Anda di halaman 1dari 1

IPOH: Sukan bukan hanya untuk tontonan dan hiburan tetapi ia juga adalah ejen perpaduan

dalam menyatukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sukan perlu
dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum.
“Apabila sukan dapat menyatukan rakyat, kita akan dapat menghapuskan tembok politik
perkauman dan agama. Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih
besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat Malaysia
perlu bangga dengan negara ini dan bangga dengan Jalur Gemilang.
“Pastikan Malaysia boleh,” katanya dalam ucapan perasmian Sukan Malaysia Ke-19
(SUKMA XIX) Perak 2018 di Stadium Perak, di sini malam tadi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya pula berkata,
sebagai tuan rumah kepada acara sukan terbesar negara, pihaknya berbesar hati meraikan
kehadiran hampir 12,000 atlet dan pegawai daripada semua kontinjen.
“Kerajaan negeri menaruh setinggi harapan agar temasya SUKMA ke-19 ini akan menjadi
pentas mencungkil bakat baharu negara untuk menyambung obor perjuangan atlet senior di
peringkat antarabangsa.
“Saya juga senada dengan harapan Menteri Belia dan Sukan yang mahu melihat SUKMA
2018 Perak ini meneruskan tradisi melahirkan tokoh sukan dan berharap agar ada di kalangan
bintang-bintang muda menyinar sehingga ke peringkat Olimpik dan kejohanan dunia suatu
hari nanti,” katanya.
Tirai temasya dwi-tahunan dibuka secara rasmi dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian dan menyalakan obor
kejohanan.

Anda mungkin juga menyukai