Anda di halaman 1dari 3

Tajuk : Kemalangan

Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan


pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan
keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai
tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-
betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai
salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan
raya. Ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-
faktor kemalangan haruslah dikenalpasti supaya langkah-langkah yang wajar dapat
diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini.
 

Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada


pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu.Komen yang sentiasa dapat kita
dengar daripada pelancong  ialah negara kita mempunyai masyarakat yang bersopan
santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat penunggang
motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang
tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar, dan
memotong dari sebelah kiri kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka
bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.
 
 

Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan


keseronokan atau “thrill” ketika memandu laju. Pemandu-pemandu seperti ini akan
tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan
bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin memandu laju, mereka
sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab” di jalan raya iaitu tidak
mematuhi arahan lampu isyarat seperti tidak memberhentikan kenderaan mereka
ketika lampu isyarat berwarna merah. Perkara-perkara yang dilakukan ini bukan
sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang
lain juga akan turut terancam.
 
 

Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti  sebagai pembunuh utama di negara
kita. Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah
Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap
hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim perayaan ketika jalan raya dan
lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan. Menurut laporan tersebut juga,
kebanyakan kemalangan berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal yang
bersikap angkuh, cuai , dan terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing
sehingga sanggup memandu secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil
itu tidak setimpal dengan bencana yang diterima mereka.
 
 
 
 
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-
baru ini. Selogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan
pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak
sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang
dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan
itu.
 
 

Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu
kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut
menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan
melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan
salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang
kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis
ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana
operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering
berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.
 
 

Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku


akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang
yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan
sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya
akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya
diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini
demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu
kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan
kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-
hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah
ditetapkan.
 
 

Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu


yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu
sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan.
Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik.
Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu
akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang
anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat
kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan
yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
 
 

Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita
sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak.
Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai
kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang
wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu
pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki
kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu
kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!

Anda mungkin juga menyukai