Anda di halaman 1dari 16

Definisi

Pendefinisian etika adalah berbeza mengikut pandangan masing-masing. Istilah

etika berasal dari perkataan Greek 'ethos', yang bermaksud khusus kepada 'character',

ataupun perwatakan dan keperibadian. Gluck (1986 : 176) telah mendefinasikan etika

sebagai, " kajian filosofikal terhadap moraliti". Shea (1988 : 17) pula mendefinasikan

etika sebagai "prinsip-prinsip bertingkahlaku yang mengawal individu atau profesyen"

dan sebagai "satu standard tingkahlaku ". Manakala istilah etika dikalangan teknokrat

merujuk kepada kajian-kajian mengenai isu-isu 'standard moral' yang melibatkan para

teknokrat yang boleh membantu meningkatkan integriti profesyen mereka. Etika kerja

dapat disimpulkan sebagai panduan tingkahlaku yang diikuti oleh manusia yang

mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan. Tidak mengira negara, bangsa dan agama,

kesemuanya menekankan norma moral yang berlandaskan ketinggian akhlak mereka

yang mengamalkannya. Dalam masyarakat moden dewasa ini, norma keagamaan

semakin ditinggalkan dan masyarakat lebih menuju kepada kemajuan material untuk

mencapai kesenangan hidup. Sumber-sumber moral kini datang dari set etika yang

dihasilkan oleh ketentuan akal manusia dan pengkajian terhadap kehidupan manusia.

Hubungan etika kerja profesional dengan kehidupan manusia digunakan untuk

mengawal tingkahlaku ahli profesional dalam bentuk menyuruh melakukannya dan

meninggalkan perkara yang mendatangkan kesalahan sama ada di sisi undang-undang

negara mahupun statusnya sebagai profesional. Oleh itu, etika kerja profesional

merupakan satu landasan kepada masyarakat yang membolehkan teknokrat mengawal

tingkahlakunya sendiri serta membolehkan masyarakat sosial mengawasi dan menilai

setiap tindak tanduk mereka dari semasa ke semasa. Etika seharusnya dipelajari dan

diamalkan dalam kehidupan seharian. Keberkesanan prinsip etika terletak pada individu

itu sendiri. Tanpa disiplin diri dan kekuatan mental yang tinggi seseorang itu tidak dapat

1
mencapai tahap etika yang dikehendaki. Secara kesimpulannya dapatlah disimpulkan

bahawa etika itu wujud dalam diri seseorang melalui disiplin dan kekuatan diri individu

itu sendiri.

Fungsi Kod Etika

Kod etika professional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial yang digunakan

sebagai salah satu panduan dalam mendisiplinkan diri kearah yang lebih beretika.

Secara datarnya, kod etika ini berfungsi sebagai :

a. Inspirasi dan Panduan

Kod etika professional telah mengelaskan pelbagai tingkahlaku yang patut

diamalkan dalam sesebuah organisasi atau jabatan tersebut. Kod ini juga boleh

dianggap sebagai landasan dalam menjalankan pelbagai kerja dengan lebih

teratur dan lebih baik. Dengan panduan dan peraturan amalan-amalan kerja, kod

etika boleh memandu dan mengingatkan ahli-ahli professional mengenai

keputusan yang perlu diambil dan tingkahlaku yang sepatutnya apabila berada di

dalam sesuatu keadaan.

b. Pencegahan dan Disiplin

Kod-kod etika digunakan khususnya oleh badan-badan professional sebagai

asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya apabila terdapat

sebarang aduan diterima. Aduan-aduan ini akan dapat mengurangkan

penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkuasa dan berpangkat serta

mempunyai kedudukan tertentu dalam sesbuah organisasi atau jabatan. Selain

itu, ia juga dapat mengelakkan penggunaan maklumat-maklumat rahsia syarikat

atau jabatan untuk kepentingan diri sendiri.

2
c. Memelihara Maruah Profesyen

Kod-kod etika memberi satu gambaran kepada semua pihak tentang imej positif

setiap profesyen kerana setiap ahli terikat dengan satu standard etika yang

tinggi. Etika merupakan satu panduan kepada professional untuk membina,

meningkat dan mempertahankan integriti, kejujuran dan maruah profesyen

masing-masing. Ini secara umumnya, setiap kod etika professional menjelaskan

bahawa setiap ahlinya perlu menggunakan segala ilmu pengetahuan yang

dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia seluruhnya, jujur kepada

diri sendiri, majikan, masyarakat dan pelanggannya serta sentiasa berusaha

untuk meningkatkan pengetahuan untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih

cemerlang dari semasa kesemasa.

d. Memelihara Keharmonian

Kod etika menggariskan standard tingkahlaku yang harus dipatuhi dan

diamalkan sepenuhnya supaya kepentingan semua pihak terpelihara. Ini dapat

mengelakkan daripada berlakunya pertembungan di antara kepentingan diri dan

kepentingan umum. Ini akhirnya menyebabkan pelbagai konflik dan rasa tidak

puas hati dikalangan pihak yang berkaitan. Setiap ahli professional dalam bidang

masing-masing perlu mengiktiraf kehidupan, keselamatan, kesihatan dan

kebajikan setiap anggota masyarakatnya.

e. Sokongan

Jika seseorang teknokrat didakwa atau diragui oleh pihak lain tentang apa yang

dilakukan, maka dia boleh menggunakan kod etika untuk menyokong

tindakannya dalam memberi sokongan akan apa yang telah dilakukan.

Hendaklah ahli teknokrat tersebut yakin akan pekerjaan yang telah beliau

lakukan tidak salah disisi undang-undang dan agama serta etika organisasi atau

jabatan. Para professional hendaklah menolak sebarang arahan majikan yang

3
bertentangan dengan etika professional syarikat atau organisasi berkenaan.

Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi inspirasi, galakan dan

sokongan kepada pengguna-pengguna teknologi dalam bidang kepakaran

masing-masing. Etika professional lebih menumpukan kepada dimensi perlakuan

yang positif sebagai panduan tingkahlaku yang paling sesuai untuk diamalkan

oleh seseorang professional.

Semua etika professional yang diguna pakai di seluruh dunia dalam bidang-

bidang seperti perubatan, guaman, perniagaan, perakuanan dan kejuruteraan

mempunyai asas-asas etika yang sama. Ini kerana tujuan etika dibentuk adalah

digunakan untuk diri dan masyarakat amnya.

Kod Etika Bahagian Pengurusan Perkhidmatan dan Sumber Manusia, Jabatan

Perdana Menteri

Bahagian Pengurusan Perkhidmatan dan Sumber Manusia ( BPPSM ), Jabatan

Perdana Menteri adalah suatu jabatan kerajaan yang turut tidak terlepas daripada

mengamalkan kod-kod etika yang telah ditetapkan oleh jabatan sama ada mereka terdiri

daripada golongan atasan mahupun golongan bawahan. BPPSM mempunyai lapan kod

etika yang harus dipatuhi oleh semua kakitangannya iaitu amanah dan

bertanggungjawab, komitmen dan dedikasi, bijaksana dan profesional, telus dan

saksama, berakhlak dan berdisiplin, saling menghormati dan kerja berpasukan, mesra

pelanggan serta bersyukur dan berbangga.

a. Amanah dan Bertanggungjawab

Melaksanakan tugas yang diberikan dengan penuh ikhlas, jujur mengikut

peraturan dan prosedur yang ditetapkan tanpa ada kepentingan peribadi dan

bertanggungjawab di atas hasil kerja, tindakan atau keputusan yang dibuat.

4
b. Komitemen dan Dedikasi

Sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh kesungguhan, efektif, produktif dan

beriltizam untuk menghasikan kualiti kerja terbaik serta sedia dan rela menerima

tanggungjawab dan menyertai program anjuran jabatan pada bila-bila masa demi

kepentingan Jabatan.

c. Bijaksana dan Profesional

Bertindak dengan arif, berdasarkan ilmu dan fakta, tertib dalam membuat

keputusan, sentiasa kreatif, inovatif, proaktif dan berdaya saing di samping dapat

bertindak dalam keadaaan tenang tanpa dipengaruhi emosi.

d. Telus dan Saksama

Menjalankan tugas menepati keperluan selaras dengan peraturan dan undang-

undang dengan memastikan setiap tindakan atau keputusan diambil tidak berat

sebelah dan menepati piawai kualiti perkhidmatan selaras dengan piagam

pelanggan.

e. Berakhlak dan Berdisiplin

Sentiasa memperlihatkan sifat-sifat keperibadian yang luhur dengan berkelakuan

baik, mematuhi undang-undang dan peraturan yang diguna pakai serta menepati

masa.

f. Saling Menghormati dan Kerja Berpasukan

Sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira

pangkat dan kedudukan, bersikap positif, bertolak ansur, berfikiran terbuka dan

sentiasa berkerjasama sebagai satu pasukan dalam melaksanakan tugas demi

kepentingan Jabatan.

g. Mesra Pelanggan

Memberi perkhidmatan terbaik secara telus, memenuhi kehendak dan mesra

pelanggan dalam setiap tugas yang diamanahkan berlandaskan peraturan.

5
h. Bersyukur dan Berbangga

Sentiasa bersyukur dengan anugerah tuhan dan berbangga menjadi warga

jabatan dengan memberikan perkhidmatan berkualiti serta sentiasa berusaha ke

arah kecemerlangan demi kepentingan Jabatan.

Kod Etika Persatuan Psikologi Malaysia

Persatuan Psikologi Malaysia ( PSIMA ) adalah sebuah persatuan yang

bertujuan untuk menyatukan ahli-ahli Psikologi dan menggalakkan mereka

mengamalkan ilmu Psikologi mengikut garis panduan dan kod etika disiplin Psikologi

secara teratur dan rasmi. Persatuan ini juga bertujuan untuk mendalami dan memajukan

lagi bidang Psikologi melalui penyelidikan, pendidikan, pembentukan dan pengekalan

tingkat etika dan tingkahlaku, dan penerapan serta perkembangan pengetahuan

Psikologi. Terdapat sepuluh kod etika yang harus dipatuhi oleh ahli-ahlinya iaitu

bertanggungjawab, kecekapan, standard moral dan perundangan, pengumuman awam,

kerahsiaan, kebajikan pelanggan, perhubungan profesional, teknik penilaian,

penyelidikan menggunakan manusia dan penyelidikan menggunakan haiwan.

Kesepuluh-sepuluh elemen dalam kod etika PSIMA ini adalah suatu kod yang dibentuk

untuk membentuk etika dan akhlak para ahlinya agar lebih bertanggungjawab dan

beretika dalam setiap tingkahlaku yang dilakukan. Dalam masa yang sama juga, kod

etika ini bertujuan untuk membentuk sahsiah ahli-ahlinya dalam menjalankan

pentadbiran organisasi.

Kod Etika MAMPU

MAMPU adalah salah satu jabatan kerajaan yang turut menggariskan beberapa

kod etika yang harus dipatuhi oleh kakitangannya. Pembentukan Kod Etika ini adalah

bertujuan untuk membantu memudahkan warga MAMPU mengotakan ikrar dan aku janji

6
yang telah dilafazkan dalam pelaksanaan tanggungjawab masing-masing terhadap diri,

MAMPU, Perkhidmatan Awam dan Negara. Berdasarkan kepada tujuan ini, MAMPU

telah menggariskan beberapa kod etika yang harus dipatuhi seperti berikut :

• Benar

Berdasarkan kepada etika ini, MAMPU telah menggariskan 7 sifat atau

tingkahlaku yang harus diikuti iaitu :

a. Jujur dalam melaksanakan tanggungjawab.

b. Bercakap benar dan menepati janji.

c. Cermat dan berhemat dalam membuat keputusan.

d. Bertindak berasaskan profesionalisme.

e. Memberikan arahan yang jelas dan tepat.

f. Patuh dan setia dalam melaksanakan tugas.

g. Sanggup menerima teguran dan nasihat.

• Amanah

Melalui etika ini, setiap tugas hendaklah disempurnakan dengan penuh

tanggungjawab dan ikhlas. Dengan itu warga MAMPU perlu sentiasa:

a. Berdedikasi dan sentiasa bersedia menerima tugas dan tanggungjawab.

b. Komited dan tekun melaksanakan tugas ke tahap yang terbaik.

c. Berusaha meningkatkan kualiti dan hasil kerja.

d. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran sepanjang

masa.

e. Bertanggungjawab ke atas hasil kerja, tindakan dan keputusan yang

dibuat.

• Telus

7
Dalam pada itu, setiap tindakan dan keputusan hendaklah di buat melalui proses

yang telus dan maklumatnya perlu dihebahkan kepada pihak yang berhak selagi

ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan. Dengan itu setiap

warga MAMPU perlu sentiasa:

a. Mengamalkan kaedah syura dalam apa tindakan dan keputusan yang

hendak dibuat.

b. Bersikap terbuka dalam memberi buah fikiran dan pendapat serta yakin

dalam menegakkan kebenaran.

c. Memaklumkan tindakan dan keputusan kepada pihak-pihak yang berhak

mengetahuinya, sama ada pihak-pihak dalam organisasi atau di luar

organisasi.

d. Menepati standard kualiti perkhidmatan selaras dengan Piagam

Pelanggan MAMPU.

Selain daripada tiga kod etika yang diamalkan oleh MAMPU diatas, terdapat lagi

beberapa kod etika yang harus dipatuhi oleh setiap kakitangannya seperti Bijaksana,

Bersyukur, Adil, Bertanggungjawab, Berdedikasi, Berdisiplin, Bekerjasama, Bersih,

Berbudi Mulia, Ikhlas, Tekun, Sederhana dan Sabar.

Kod Etika Jabatan Perkhidmatan Awam

Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA ) juga turut mempunyai kod etikanya yang

tersendiri dalam mendidik kakitangan mereka untuk lebih profesional dalam tugas yang

dijalankan. JPA telah menggariskan lima asas dalam membentuk akhlak dan

tingkahlaku kakitangannya seperti mana yang berikut :

1. Profesionalisme

8
Menghayati dan mengamalkan profesionalisme meliputi komitmen yang tinggi,

bertanggungjawab, gigih, berkemahiran, bijaksana, berkemampuan, ada integriti,

kreatif, inovatif, bermutu, berbudaya saing, tekun dan tabah dalam menjalankan

tugas.

2. Bertindak Sebagai Satu Pasukan

Ke arah pencapaian objektif, misi, visi dan peningkatan keberkesanan serta imej

Jabatan.

3. Kecemerlangan dan Keunggulan

Mengutamakan kecemerlangan dan keunggulan melalui prestasi kerja terbaik,

mengutamakan pelanggan, mendapatkan pelbagai kemahiran bagi

melaksanakan tugas, berdedikasi dan berdisiplin tinggi.

4. Berhemah dan Berwibawa

Mengamalkan sifat-sifat terpuji, termasuk dapat menyesuaikan diri dalam semua

keadaan, bersedia menerima kritikan dan teguran, memelihara penampilan diri

serta berbudi bahasa.

5. Pembelajaran Berterusan

Meneruskan pembelajaran melalui pelbagai cara untuk peningkatan diri

termasuk melaui pengalaman dan menggalakkan anggota lain turut belajar untuk

tujuan yang serupa.

Kod Etika Jabatan Pendaftaran Negara

Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN ) telah menggariskan lima kod etika yang

harus dipatuhi oleh kakitangannya. Antaranya ialah :

1. Profesional

• Mempunyai Komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk

menjalankan tugas.

9
• Bertanggungjawab dan gigih dalam setiap pekerjaan yang dilakukan

dalam tempoh masa yang ditetapkan, di samping menjamin kualiti.

• Mempunyai kemahiran, kebijaksanaan serta berkemampuan dalam

menjalankan tugas yang diamanahkan.

• Integriti dari segi objektiviti, tidak bias dan tidak mementingkan diri.

• Mempunyai ciri-ciri kreatif, inovatif, bermotivasi, berdayasaing dan

akauntabiliti.

2. Bertindak Sebagai Satu Pasukan

• Bertindak ke arah satu visi.

• Sentiasa melibatkan diri dan memberi sumbangan dalam aktiviti jabatan.

• Berkongsi pengalaman, maklumat, ilmu dan pengetahuan.

• Sentiasa menjaga imej jabatan.

• Sentiasa bertolak ansur, bertoleransi, bekerjasama dan saling hormat

menghormati.

3. Kecemerlangan dan Keunggulan

• Berusaha untuk melakukan yang terbaik.

• Sentiasa berusaha untuk memperbaiki prestasi kerja.

• Sentiasa peka dan prihatin kepada kehendak pelanggan.

• Keupayaan mempelajari pelbagai kemahiran ( multiple skills ) bagi

menjalankan pelbagai tugas ( multiple tasks ).

• Berdedikasi dan berdisiplin.

4. Berhemah dan Berwibawa

• Jujur, amanah dan berakhlak dalam menjalankan tugas tanpa

menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

10
• Bertimbang rasa, mesra, adil dan saksama.

• Tegas, tepat dan konsisten dalam membuat keputusan.

• Sentiasa tenang dan sabar dan dapat menyesuaikan diri dalam semua

situasi.

• Bersedia mendengar teguran dan kritikan.

• Menampilkan diri dengan berpakaian kemas dan berbudi bahasa.

5. Pembelajaran Berterusan

• Bersedia belajar dari pengalaman diri sendiri dan orang lain ke arah

penambahbaikan.

• Sentiasa mencari ruang untuk memaju dan meningkatkan kemahiran diri.

• Sentiasa menggalakkan semua anggota supaya berusaha memajukan

diri.

• Sentiasa berusaha memupuk bakat individu.

• Tidak segan untuk bertanya.

Kod Etika Maktab Kerjasama Malaysia

Kod etika Maktab Kerjasama Malaysia ( MKM ) adalah suatu kod etika yang

dibentuk untuk memantapkan pentadbiran pendidikan dan latihan perkoperasian yang

cekap dan berkesan berasakan kepada prinsip dan teras berikut :

1. Mengamalkan nilai-nilai peribadi mulia sebagai budaya kerja.

2. Mengamalkan nilai-nilai profesionalisme dalam perkhidmatan.

3. Memegang teguh prinsip akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam

tugas yang diamanahkan.

4. Mengutamakan kepentingan pelanggan.

11
5. Meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran sepanjang hayat.

Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Keenam-Enam Kod Etika

Secara keseluruhannya, keenam-enam organisasi yang mengamalkan kod etika

pada dasarnya mempunyai persamaan matlamat yang utama iaitu untuk membentuk

akhlak dan sahsiah para pekerja mereka agar memiliki ciri-ciri positif dalam diri mereka.

Sikap-sikap yang positif seperti bertanggung jawab, ikhlas, jujur, amanah dan

sebagainya seperti mana yang dibincangkan di atas akan dapat membantu para

kakitangan mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik dan cekap. Kejayaan

dan kecemerlangan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada kecekapan

kakitangannya. Sekiranya para kakitangan sebuah organisasi malas, selalu

menangguhkan tugas, kerap datang lewat ke pejabat dan sebagainya boleh

menyebabkan keupayaan dan kecekapan organisasi berkenaan menurun. Oleh yang

demikian, peranan kod etika di sini adalah untuk melatih dan mewajibkan para

kakitangan tersebut untuk mengikuti segala kod etika yang telah ditetapkan dalam

organisasi berkenaan. Selain dapat membentuk tingkahlaku dan sahsiah pekerja,

kecerlangan organisasi juga akan dapat dicapai.

Selain itu, pengawalan dan pemantauan biasanya akan dilakukan oleh pihak

atau golongan atasan seperti pihak pengurusan dan pentadbiran. Perlaksanaan nilai-

nilai moral atau etika dalam keenam-enam oraganisasi berkenaan akan sentiasa

dipantau oleh pihak pengurusan dalam mencapai segala bentuk matlamat dan objektif

organisasi. Contohnya seperti organisasi yang menginginkan kualiti dalam pentadbiran

mereka, perlu sentiasa melihat kualiti dan produktiviti kerja kakitangan mereka.

Sekiranya produktiviti pekerja berada pada tahap yang rendah, kecekapan dan

12
kecemerlangan yang diharapkan dalam organisasi berkenaan tidak akan tercapai. Oleh

itu, pemerhatian dan pemantauan perlu dilakukan pada setiap masa dalam membentuk

akhlak, tingkahlaku dan kualiti kerja kakitangan selaras dengan matlamat kod etika

organisasi yang ingin membentuk suasana kerja yang lebih bersifat jujur, amanah dan

profesional dalam menjalankan tugasan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan yang boleh dibincangkan

berkenaan keenam-enam kod etika organisasi berkenaan. Perbezaan utama yang

wujud dalam kod etika bagi keenam-enam organisasi berkenaan adalah berkenaan

dengan ciri-ciri kod etika yang perlu dipatuhi. Terdapat organisasi yang hanya

menggariskan lima kod etika sahaja dan terdapat juga organisasi yang menyenaraikan

lebih daripada sepuluh kod etika yang harus dipatuhi. Penentuan dan pengamalan kod

etika dalam sesebuah organisasi adalah berbeza mengikut amalan yang diinginkan oleh

sesebuah organisasi. Namun begitu, matlamat akhirnya adalah sama iaitu untuk

membentuk tingkahlaku dan jati diri pekerja yang positif.

Dalam pada itu, penekanan yang diberikan adalah berbeza mengikut organisasi.

Terdapat organisasi yang menekankan kepada keperibadian akhlak dan tingkahlaku.

Contohnya seperti MKM yang menekankan kepada aspek nilai-nilai moral dalam

menjalankan tugasan seharian. Begitu juga halnya dengan Bahagian Pengurusan

Perkhidmatan dan Sumber Manusia (BPPSM), Jabatan Perdana Menteri yang

menkankan nilai-nilai moral seperti amanah dan bertanggung jawab sebagai aspek

utama dalam kod etika organisasi mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga organisasi yang lebih memfokuskan kepada

kecemerlangan dan kesungguhan dalam menjalankan tugasan. Contohnya seperti

13
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang lebih

mengutamakan ciri-ciri profesionalisme dalam memjalankan sesuatu tugas. Penekanan

ini lebih diutamakan untuk membentuk satu budaya kerja yang lengkap, bersih dan

teratur agar segala bentuk keperluan dan tugasan yang dilakukan dalam organisasi

berkenaan akan kelihatan sempurna dan dilakukan secara profesional.

Walau apapun kod etika yang diamalkan, tujuan utamanya adalah untuk

menajdikan organisasi menjadi lebih cekap dan cemerlang dalam organisasi harian

mereka.

Kesimpulan

Etika kerja diwujudkan adalah untuk mengawal tingkahlaku para profesional atau

ahli teknokrat supaya mereka dapat menggunakan segala pengetahuan, kepakaran dan

kemahiran yang ada untuk kebaikan semua pihak. Untuk mencapai tujuan ini tidaklah

dinafikan bahawa etika kerja professional memainkan peranan yang amat penting untuk

menjadikan masyarakat yang beretika dan berjaya. Namun demikian, mekanisme untuk

mengawal tingkahlaku manusia perlu melangkaui etika professional. Ini kerana terdapat

banyak faktor yang boleh mempengaruhi dan menentukan tingkahlaku seseorang

individu dan keputusan yang dibuatnya. Oleh itu, faktor-faktor lain seperti keperluan

kehidupan, nilai-nilai hidup, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan agama,

budaya kerja dan lain-lain perlu diambil kira supaya mewujudkan satu persekitaran

kehidupan yang sentiasa mendorong seseorang individu melakukan sesuatu yang

hanya mendatangkan faedah dan kebaikan semua pihak.

Etika kerja professional bukanlah merupakan jalan penyelesaian masalah yang

kompleks, tetapi ianya tetap penting dan mempunyai peranannya yang tersendiri untuk

14
mengawal tingkahlaku para professional. Etika kerja professional telah menentukan

asas-asas hubungan di antara para professional dengan masyarakat, majikan,

pelanggan dan rakan sekerja. Etika kerja professional telah wujud sejak dahulu lagi

sehingga ke hari ini masih dianggap penting dan berfaedah. Sesiapapun tidak terkecuali

daripada patuh kepada prinsip dan nilai etika termasuklah para teknokrat.

15
Bibliografi

• Dr. Mohd. Diah Jurini, Professional Ethics, Open University Malaysia, Kuala

Lumpur, 2006

• http://members.tripod.com/takingoff/etika.html

• http://www.bkp.jpm.my

• http://www.uum.edu.my/psima/prinsip.htm

• http://www.jpn.gov.my

• http://www.mkm.edu.my

• http://www.jpa.gov.my

• http://www.mampu.gov.my

16

Anda mungkin juga menyukai