Anda di halaman 1dari 6

Build your own FREE website at Tripod.

com Share: Facebook | Twitter | Digg | reddit

TAJUK: Masalah sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu
bapa dengan remaja

1. Sinopsis Isu
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan
menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar terhadap keadaan
sosial, politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran,
penggerak ekonomi dan pembangun generasi.
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang
semakin hari semakin meruncing. Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara
terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet. Masalah sosial,
keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin amat membimbangkan kerana ia turut
mengundang pelbagai implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha
melahirkan masyarakat produktif dan berdaya maju.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan
penyalahgunaan dadah. Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan dengan
tindakan ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si
mangsa. Isu ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh.
Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang
positif mahu pun yang negatif. Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang
membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd
Ali,1977)

Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus
dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial.
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan
remaja itu sendiri. Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa. Sebagaimana petikan
akhbar berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar,
Remaja Jadi Liar" Harian Metro, 6 September 2001 dan "Jenayah Rogol Juvana Salah
Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan
agihan masa. Kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit.
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan
faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang
dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu
rumah atau pihak sekolah. Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan
kendiri anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala
sosial di kalangan remaja.

2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah sosial dikalangan
remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja. Pertentangan pendapat
antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan
kebenaran masing-masing.
Remaja yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi
perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan
masa bersama, kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit. Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah
dibayar gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anak-anak
mereka. Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah
yang kononnya gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin.
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian sesuatu
masalah. Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.

3. Definisi dan Konsep Teori Konflik


Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber. Oleh itu
teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran Weber.
Mengikut Marx konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi tetapi
merupakan satu cara reformasi sosial. Bagaimana ketegangan yang berpunca daripada
ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Teori ini akan mengkaji
bagaimana hubungkait antara konflik dan perubahan. Ketegangan dan konflik akan
menyumbang kepada perubahan sosial. Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi.
Sementara itu mengikut George Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam sesuatu
masyarakat. Lewis Coser pula mengatakan bahawa sesuatu konflik itu boleh
mempercepatkan proses kesetiaan dan keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial.
Brinkerhaff and White(1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori konflik
a) Konsep dialektik- evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial tetapi konflik yang
menghasilkan perubahan sosial.
b) Determinisme ekonomi - asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh faktor-faktor
persaingan ekonomi
c) Aktiviti sosial- tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial.
Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman. Beliau adalah sosiologis, ekonomi,
sejarawan, ahli undangan, ahli falsafah. Dipengaruhi oleh Karl Marx tetapi menolak konsep
Marx. Contohnya menolak konsep materialisme sejarah Marx. Menganggap agama penting
sebagai agen perubahan. Tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme. Proses
rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi. Dunia lain terbantut
perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan andaian Marx yang
mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca oleh faktor ekonomi.
Menghujahkan bahawa perubahan sosial bukanlah kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor
lain.
Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan
sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing. Kumpulan yang kuat atau lebih
berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk menerima nilai-nilainya. Mengikut
teori ini terdapat tiga perkara penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik,
perubahan dan paksaan.

4. Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi


Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan ekspektasi yang
berbeza-beza. Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa mengangap bahawa diri mereka telah
menjalankan tanggung jawab yang sebaik mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti
memberi kesenangan. Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan
seseorang itu bertaraf, diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat terutama
bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza.
Menurut Teori Konflik perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman yang jelas
antara kedua pihak ini. Memang tidak dinafikan masyarakat madani memperlihatkan satu
budaya dimana kedua-dua pasangan suami isteri bekerja. Sekiranya ibubapa bekerja, sudah
semestinya masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di rumah.
Ini bermakna mereka hanya dapat melihat anak masing- masing ketika sebelum dan selepas
kerja. Ditambah dengan kepenatan selepas tugas, memaksa mereka untuk merehatkan diri.
Tanpa jadual harian yang menekankan program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan
komunikasi seperti tidak bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak
mengetahui siapa rakan-rakan mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif
. Sikap mementingkan materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan remaja tidak
berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai
sesuatu perkara.
Berbagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka dilahirkan tetapi
dibiarkan? Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk hingga tidak sempat melayan anak?
Apabila mereka rasa tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa,
maka mereka membawa perasaan dan harapan di luar keluarga.
Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan.
Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-
kawan yang mengambil berat, kawan yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan
yang menghargai dan memerlukannya, maka remaja ini mengalihkan perhatian kepada
kumpulan rakannya. Lama-kelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis sebaliknya
menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar.
Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri bagi menjelaskan
tabiat seseorang itu seperti Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Freud.
Pertama: Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi unsur
rangsangan seksual agresif dan tidak rasional wujud dalam diri
manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya. Kedua: Analisis Transisi, teori ini
menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan ibu bapa
ketika kecil, anak berkenaan merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu
bapa mereka.
Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau menerbitkan skrip
hidup yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh persekitaran. Ketiga:
Behaviorisma, iaitu tingkah laku yang terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi
persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan
persekitaran yang salah. Keempat: Teori Pemusatan Klien. Teori ini mengandaikan bahawa
tabiat manusia secara azalinya adalah rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai
kesempurnaan diri. Manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila
keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti mendapat kasih sayang dan
keselamatan.
James Backer mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan
anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Ibu bapa hendaklah
membimbing, memahami, menyelami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka. Jadilah
model terbaik, sekaligus sebagai perangsang. Ini akan mendorong kepada kewujudan
suasana harmonis.

5. Menganalisis isu berdasarkan tiga konsep sosiologi


5.1 Modenisasi
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat
sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi boleh juga diterima sebagai
keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti,
hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru. Gaya hidup tradisi telah berubah
sebagai gaya hidup moden. Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan
adanya pertemuan dengan gejala barat.
Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan atau
masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu bapa disebabkan
oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi. Ibu bapa lebih memanjakan anak
memenuhi segala kehendak mereka dan sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka.
Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan di rumah.
Kanak-kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar untuk menyesuaikan diri atau
memahami hasrat ibu bapa.
Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu dengan ibu bapa mereka
mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar untuk menyelesaikan situasi yang
berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan yang menyakitkan ke atas setengah-setengah
kanak-kanak yang mana merupakan suatu penggalak kepada masalah sosial.
Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku,manusia menjadi materialistik dan
individualistik.

5.2 Kelas sosial


Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil
dengan masalah sosial di kalangan remaja. Remaja yang datang dari keluarga yang taraf
sosio ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah
disiplin. Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan
remaja berkenaan.
Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat
juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Dapatan
yang dinyatakan ini adalah bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur &
Ericson (1992); Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan
alasan utama menyebabkan masalah disiplin.
Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota. Pengambilan pil
Ecstasy dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti
Malaya, Dr. Hussain Mohammad "Pusat hiburan eksklusif menjadi tumpuan remaja seperti
ini untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Remaja ini
pastinya mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil Estasy.
Hanya remaja berada saja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal". Dipetik dari
Harian Metro bertajuk "Ayah Sibuk Remaja Liar", 1 Ogos 2001.
Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan.
Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan. Kadar lompatan kelas juga adalah
berbeza. Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama.
Bagi kelas bawahan mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza.
Mereka yang berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-
peluang pendidikan dan kerjaya terbaru. Untuk mengekalkan atau meningkatkan lagi
kedudukan mereka, mereka harus bekerja lebih giat. Begitu juga dengan kelas bawah untuk
bersaing mereka harus melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan. Usaha
keras inilah yang meruntun pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya.
5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial. Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi
sosial. Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu
masyarakat kepada kanak-kanak. Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk
konsep diri pada individu. Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok
yang paling berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan. Anak-anak mula
belajar dari kedua ibu bapa mereka. Oleh itu ibu bapa yang memberi 'quality time' kepada
anak-anak mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan
dan peluang yang berpatutan.
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah
kecemerlangan. Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah
yang terbaik memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai
keunggulan peribadi. Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih
sayang, perhatian dan pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan
fikiran mereka dengan penuh kegembiraan dan kejayaan. Namun ada sesetengah ibu bapa
tidak memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat
diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai
pengetahuan untuk membantu anak remaja. Mereka tidak lagi prihatin tentang
perkembangan anak-anak di sekolah, tidak mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka
dan tidak menghiraukan bagaimana masa lapang mereka dihabiskan. Masa yang diluangkan
untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi
berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian (Laurance
Steinberg 1996). Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan bahawa ibu bapa pada era
ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Maka itu kegagalan ibu bapa memberi
pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa kepada suatu petanda yang buruk
terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996). Ini meneguhkan pendapat Freud,(Mahmod
Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang diberikan di peringkat awal
akan mempengaruhi di kemudian hari.
Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di sebalik berlakunya
pelanggaran undang-undang dan kawalan sosial, jenayah sebenarnya boleh berlaku
disebabkan keadaan sesuatu masyarakat itu disusun. Merton menegaskan, dalam kehidupan
manusia memerlukan banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau
hanya setakat rumah yang selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman.
Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya
jenayah dalam masyarakat.

6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" . Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan
yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi
pendidikan atau masyarakat.
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-
anak sejak mereka kecil dan sentiasa sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa
seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan
persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang. Kekeliruan
perasaan, tidak dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa
antara punca lain mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah.
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.
Komunikasi dua hala yang sihat akan membantu anak meluahkan masalah mereka. Ibu bapa
perlu belajar menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya
bersikap egosentrik dapat dilembutkan. Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-
anak.
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial. Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak
akan tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap
remaja perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin. Keunggulan ini dapat
dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin,
kaunselor, dan ibu bapa pelajar. Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin
meningkat peratusnya dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu. Formula dan strategi
pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan
mampu bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi.
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka
program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada
kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda. Kerajaan menerusi
kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program
berkenaan.
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja
masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam
persekitaran. Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup
masyarakat kita. Manusia menjadi semakin individualistik dan materialistik. Lantaran itu,
keseimbangan sosial harus dipulihkan semula. Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan
kekeluargaan serta anggota masyarakat dapat diperteguhkan. Apa yang lebih penting setiap
daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita
merealisasikan 'masyarakat madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.
Ini hanya dapat dijayakan dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke
lembah yang tidak diingini.

Agama Pendidikan Hiburan Akhbar & Majalah


Komputer Poskad Wallpaper Malaysia
Laman Utama

Anda mungkin juga menyukai

  • Jpnin
    Jpnin
    Dokumen1 halaman
    Jpnin
    Syed Imran
    Belum ada peringkat
  • Gdi
    Gdi
    Dokumen10 halaman
    Gdi
    Syed Imran
    Belum ada peringkat
  • Ombak Rindu
    Ombak Rindu
    Dokumen1 halaman
    Ombak Rindu
    Syed Imran
    Belum ada peringkat
  • Kini Lyrics
    Kini Lyrics
    Dokumen1 halaman
    Kini Lyrics
    Syed Imran
    Belum ada peringkat