Anda di halaman 1dari 7

CONTOH PENULISAN ILMIAH

KONSEP KESANTUNAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

1.0 PENGENALAN

Globalisasi telah menjadikan dunia bagai satu perkampungan kecil dengan

menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara, malah ia berjaya merubah pemikiran,

ideologi dan budaya sehingga membawa cabaran dan impak yang kuat terhadap nilai-nilai

murni dan akhlak sesebuah masyarakat. Justeru itu, aspek pembinaan nilai-nilai murni

perlu diperteguhkan bagi memantapkan nilai dan kualiti sesebuah masyarakat. Kehebatan

dan keunggulan sesebuah masyarakat bukan sekadar terletak kepada hehebatan

penguasaan teknologi semata-mata malah perlu diperkukuh dengan teras nilai murni dan

akhlak. Negara yang hebat adalah negara yang rakyatnya mempunyai ketinggian akhlak

serta kesantunannya. Negara akan dihormati dan disanjung oleh orang luar atau pelancong

apabila tarikannya bukan sekadar produk pelancongannya tetapi juga ketinggian budi

pekerti serta kesantunannya.

Atas dasar ini, konsep kesantunan sebagai satu cabang nilai murni perlulah

difahami dan dihayati oleh setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia demi mencapai

kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Dalam konteks ini kesantunan dalam perlulah

dipupuk dari semasa ke semasa agar dapat melahirkan masyarakat atau modal insan yang

berkaliber dan berkualiti selari dengan cabaran globalisasi demi kepentingan negara.

1
CONTOH PENULISAN ILMIAH

2.0 KONSEP KESANTUNAN MASYARAKAT MALAYSIA

Masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk yang mempunyai latar belakang,

budaya, bahasa dan adat resam yang pelbagai. Justeru kesantunan masyarakat Malaysia

tentunya berteraskan latar belakang yang pelbagai tersebut.

Secara umumnya, konsep kesantunan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia

merujuk kepada nilai dan tingkah laku yang sopan seperti pertuturan yang elok, halus dan

indah serta sikap yang memancarkan budi pekerti mulia. Kesantunan seseorang boleh

dilihat daripada tingkah laku dan bahasa yang digunakan seperti tingkah laku dan kata-kata

yang lemah lembut dan tidak kasar, kata-kata yang tidak mempunyai maksud sindiran,

serta penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang lain. Ini bertepatan

dengan konsep kesantunan yang dibincangkan oleh para cendekiawan. Di antara

pandangan yang dikemukakan ialah kesantunan merupakan sesuatu yang dianggap sebagai

peraturan (Asmah Hj. Omar, 2002), kesantunan bermaksud adab dan tertib (Amat Jauhari

Moain,1992; Abdull Sukor Shaari et al, 2000; Siti Hajar Abd. Aziz, 2009; Zaitul Azma

Zainon Hamzah, 2012), kesantunan berkait rapat dengan air muka seseorang (Noriati A.

Rashid, 2005; Ahmad Khair Mohd & Rohaida Abdul Ghani, 2005) dan kesantunan sebagai

alat untuk mengeratkan hubungan sesama manusia (Radiah Yusoff & Nor Aini Ismail

2005; Ding Choo Ming 2005, Yahya Othman 2005, Indirawati Wahid 2012).

2
CONTOH PENULISAN ILMIAH

Amat Juhari Moain (1992) berpandangan, kesantunan berbahasa ketika

berkomunikasi perlu mengandungi elemen kesopanan, kehalusan, adab yang tertib dan

nilai hormat yang tinggi. Pendapat ini mempunyai persamaan dengan Abdull Shukor et. al.

(2003) yang menyatakan kesantunan sebagai cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh

seseorang dengan penuh sopan, tidak biadab atau kurang ajar. Bahasa yang digunakan

penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi.

Menurut Saphir-Worf (1921) pula kesantunan seseorang dapat dilihat dari segi

tingkah laku dan penggunaan bahasanya. Tingkah laku dan penggunaan bahasa yang baik

melambangkan nilai kesantunan yang tinggi dalam diri seseorang. Bahasa yang digunakan

tidak terhad kepada perlambangan corak pemikiran ataupun buah fikiran seseorang tetapi

menjadi bayangan kepada perilaku si penutur. Apabila bahasa yang betul dan mesra

digunakan ketika berkomunikasi ia akan menjadi penanda aras yang baik kepada tahap

kesantunan penutur. Ini menunjukkan konsep kesantunan berkait rapat dengan penggunaan

bahasa ketika berkomunikasi sekaligus mencerminkan tingkahlaku yang mulia dalam diri

seseorang (Zaitul Azma Zainon Hamzah et.al, 2013)

Sebagai makhluk sosial, manusia tidak dapat lari daripada tuntutan sosial untuk

sentiasa berhubung dengan manusia di sekeliling samaada atas tuntutan kerja atau

kehendak sosial. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, pergeseran dalam

sesuatu interaksi haruslah dikurangkan agar tujuan interaksi dapat dicapai dengan mudah

dan bersih daripada perselisihan faham. Menurut Lakoff (1975), kesantunan dapat

3
CONTOH PENULISAN ILMIAH

membantu proses interaksi antara seseorang dengan seseorang yang lain supaya suatu

perkara itu menjadi mudah, mesra, berkesan dan tidak bermasalah. Seiring dengan

pandangannya ini, Lakoff telah memperkenalkan Model Kesantunan Lakoff (1978) yang

menganggap kesantunan sebagai suatu sistem perhubungan sesama manusia yang dicipta

bagi memudahkan proses komunikasi dengan meminimumkan potensi konflik. Justeru

konsep kesantunan ini merupakan komponen yang penting dalam komunikasi dua hala

dengan bertindak sebagai pelincir agar matlamat komunikasi dapat dicapai tanpa sebarang

masalah.

Konsep kesantunan masyarakat Malaysia juga ditentukan atas asas kepercayaan

beragama yang dipegang oleh setiap kaum di Malaysia. Dalam masyarakat Melayu

contohnya, nilai kesantunan yang dipegang adalah dibentuk berteraskan akhlak Islam yang

terkandung dalam ajaran Islam. Menurut Zainal Kling (1980), Islam menjadi jiwa dan

keseluruhan sosial dan budaya orang Melayu. Justeru nilai-nilai Islam itu telah membentuk

peraturan sosial yang dapat membina disiplin sosial lalu wujudlah hubungan sosial yang

berkesan. Masyarakat Cina pula mempunyai nilai kesantunan yang dibentuk melalui ajaran

Buddha dan adat resam yang dipegang secara turun temurun contohnya kepercayaan

kepada konsep ‘Fengshui’ yang memberi banyak petua dan panduan dalam perlakuan. Bagi

masyarakat India, ajaran agama Hindu telah membentuk konsep kesantunan yang kuat

dalam kehidupan mereka seperti konsep ‘karma yoga’ yang mementingkan perlakuan yang

baik dibalas baik.

4
CONTOH PENULISAN ILMIAH

Selain agama, kesantunan bahasa dan tingkah laku masyarakat di Malaysia juga

dibentuk atas dasar prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Untuk menjayakan prinsip ini, masyarakat Malaysia secara umumnya mementingkan

pendidikan adab dan kesopanan sejak dari kecil selaras dengan peribahasa ‘melentur buluh

biarlah dari rebungnya’. Menurut Ding Choo Ming (2005) bahasa yang baik, elok,

berfaedah dan santun itu bukan sahaja perlu dipelajari daripada buku tetapi diasuh oleh

ibu-bapa disamping bergaul dengan mereka yang lebih tahu dan berpengalaman. Nilai

kesantunan yang unggul ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang ingin

melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Penerapan

nilai kesantuan ini juga bagi meneruskan kesinambungann amalan kesantunan yang telah

diwarisi daripada generasi terdahulu seperti kata pepatah ‘bahasa disanjung budi

dijunjung’

5
CONTOH PENULISAN ILMIAH

3.0 KESIMPULAN

Ternyata pada zaman yang serba moden dan serta mencabar ini, pelbagai pengaruh telah

meresap dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Pengaruh-pengaruh ini ada yang bersifat

positif dan tidak kurang juga yang negatif. Namun dalam apa pun situasi konsep

kesantunan perlu dipertahan dan dikekalkan berteraskan kepercayaan dan amalan setiap

kaum di Malaysia. Kepelbagaian budaya dan adat resam serta agama bukanlah penghalang

untuk mempraktikkan nilai kesantunan. Ini kerana, disebalik kepelbagaian tersebut

terdapat titik penerimaan yang jelas bahawa kesantunan adalah ciri penting dalam sesebuah

masyarakat. Kesantunan sangat penting bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Perpaduan akan tercapai melalui amalan kesantunan dan saling memahami dan

menghormati amalan kesantunan sesuatu kaum.

Masyarakat Malaysia perlu mempertahan dan mengembangkan nilai kesantunan

agar menjadi sebati dengan kehidupan seharian. Pendidikan berkaitan dengan kesantunan

perlu dipupuk dan dibajai semenjak daripada kecil lagi. Anak-anak mesti dibesarkan dalam

nilai persekitaran yang positif terhadap pengamalan nilai-nilai kesantunan.

Masyarakat Malaysia perlu saling proaktif untuk sama-sama mendukung nilai-nilai

kesantunan dalam kehidupan seharian. Setiap individu perlu cakna dan prihatin kearah

memastikan nilai kesantunan berakar umbi dalam budaya hidup masyarakat Malaysia.

Bangsa Malaysia akan menjadi bangsa yang dihormati dan disegani kerana amalan

kesantunan yang tinggi. Hebatnya Malaysia bukan sekadar pembangunan fizikal malah

kerana kesantunan masyarakat yang memikat hati.

6
CONTOH PENULISAN ILMIAH

RUJUKAN

Asmah Omar (2002). Setia dan Santun Bahasa. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan
Sultan Idris.

Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bakhary, N., Fathurohman, I., Fuad, A., Hassan, M., & Hamid, Z. (2013). Kesantunan
Bahasa Dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah. Malaysian Journal of Society
and Space, 4(4), 186–197.

Ding Choo Ming. (2005). Bahasa Penjaga Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Nasariah Mansor, Faizah Ahmad, & Yusniza Yaakub. (2010). Kesantunan Bahasa Dalam
Kalangan Pelajar IPT : Satu Kajian Perbandingan Etnik. Political Managements and
Policies in Malaysia: Seminar on National Resilience, 337–352.

Rashid, N. a. (2005). Nilai Kesantunan Dalam Konteks Sosiobudaya Masyarakat Melayu.


Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 15, 232–253. Retrieved from
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/23959/Article_11.PDF.

Anda mungkin juga menyukai