Anda di halaman 1dari 2

Puteri Cenderawasih

Ada seorang pemikat burung. Kamat namanya. Pada suatu hari, Kamat pergi ke
pinggir hutan. Sesudah memasang getah pada suatu dahan, Kamat pun
bersembunyi dan menunggu. Kemudian itu dia tertidur. Apabila terbangun daripada
tidur, Kamat terkejut. Dia melihat seorang gadis rupawan sedang menanggalkan
getah pemikat di kakinya.

"Nama saya Cenderawasih. Saya sesat jalan," kata gadis itu.


( Kumpulan kisah teladan kanak kanak )

Kamat terpikat dengan Cenderawasih.Dia membawa Cenderawasih pulang. Kamat


cuba menanyakan orang kampung jika mereka mengenali Cenderawasih. Setelah
beberapa purnama, masih juga tiada yang mengenali Cenderawasih. Akhirnya,
Kamat dan Cenderawasih pun berkahwin.

Sebaik sahaja mereka mendapat anak, perangai Kamat mula berubah. Dia tidak
mempedulikan anak dan isterinya. Dia lebih senang keluar berseronok dengan
teman-temannya. Cenderawasih menangis dan merajuk. Pada suatu hari,
Cenderawasih meninggalkan anaknya di sisi ibu mentuanya yang sedang tidur. Dia
membaca mantera, lalu bertukar menjadi burung Cenderawasih semula. Maka
terbanglah ia dari rumah itu.

Apabila Kamat pulang, dia mendapati Cenderawasih sudah tiada. Dia bertekad
untuk mencari isterinya. Anaknya dikendong. Dia meredah hutan belantara. Dalam
perjalannya itu, dia telah menolong seekor semut yang hampir lemas di permukaan
sungai. Dia juga memabantu seekor kelisih yang lendir tubuhnya kekeringan dan
sukar bergerak menuju ke air. Dia turut membantu seekor kelip-kelip yang
dihanyutkan oleh arus sungai. Akhirnya, Kamat dan anaknya tiba di sebuah negeri.
Dia hairan melihat orang ramai yang sedang sibuk. Setelah bertanya kepada orang
kampung dia mendapat tahu Puteri Cenderawasih akan dikahwinkan dengan
tunangnya.( Kumpulan kisah teladan kanak kanak )

Kamat terkejut. Dia menghadap raja negeri itu dan menyatakan tujuannya menjejaki
Cenderawasih. Raja tidak percaya dan mahu menguji Kamat. Ujian pertama, Kamat
mesti memisahkan seguni beras yang digaul dengan seguni pasir.
"Jangan bimbang. Beri peluang saya membalas budi dengan membantumu," kata
seekor semut di sisinya.

Dalam sekelip mata, beribu-ribu ekor semut muncul dan membantunya


mengasingkan beras dan pasir itu.

Raja terperanjat, ujian kedua pula dilaksanakan. Kamat dikehendaki mengisi air ke
dalam tempayan di halaman istana dengan raga berlubang-lubang. Sekali ini, kelisih
yang pernah dibantunya pula datang menolong. Ia menutup lubang-lubang raga itu
dengan lendir tubuhnya dan menyuruh Kamat menjemur raga itu hingga kering.
Setelah kering, barulah mudah Kamat mengisi air di dalam tempayan.

Ujian terakhirnya ialah, Kamat diminta datang pada tengah malam itu. Kamat mesti
memasuki bilik gelap yang dipenuhi oleh ramai gadis. Kamat diperintahkan memilih
isterinya antara mereka. Kalau berjaya, bererti benarlah Kamat memang menantu
raja.

Kamat dibantu oleh seekor kelip-kelip yang pernah diselamatkannya . Dengan


bantuan kelip-kelip itu,Kamat berjaya membawa Puteri Cenderawasih keluar dari
bilik itu. Raja tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Tidak lama kemudian, Kamat dilantik
menggantikan raja itu. Hiduplah Kamat dan anak isterinya dengan aman damai.