Anda di halaman 1dari 6

MAKSUD LITERASI BAHASA

LITERASI bahasa atau dalam bahasa Melayu pernah juga disebut sebagai "kenal huruf" atau
"celik huruf" bermaksud kemampuan minimum untuk membaca dan menulis dalam suatu
bahasa. Penulis tidak menggunakan istilah kenal huruf dalam makalah ini kerana maksud
kenal huruf akan terpesong apabila perbincangan tentang konsep literasi dikupas secara
terperinci, dan merangkum bukan sahaja mengenal huruf dan dapat menulis semula huruf
tersebut secara mekanis.

Konsep literasi bahasa lebih meluas daripada istilah kenal huruf yang kita ketahui selama ini
apabila perbincangan menyentuh aspek pemahaman bacaan dan penulisan yang berkesan,
serta menggunakan daya pemikiran yang kritis dan analitis dalam pembacaan dan penulisan.
Pada suatu ketika dahulu seseorang yang tahu membaca dan menulis namanya sendiri
dianggap telah mempunyai keupayaan literasi bahasa.

Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)


mendefinisikan orang yang mempunyai keupayaan literasi sebagai orang yang 99 membaca
dan menulis suatu pernyataan yang pendek dan mudah dalam kehidupan hariannya. Namun
demikian, kita harus sedar bahawa banyak orang yang dapat membaca sesuatu pernyataan
yang ditulis di tempat-tempat awam dengan lancar seperti papan tanda di hadapan gedung
membeli belah, tanda jalan, peraturan jalan raya dan sebagainya, baik dalam bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris, tetapi mereka masih tidak mempunyai keupayaan literasi yang dapat
membantu mereka menggunakan kemahiran membaca dan menulis tersebut dalam kehidupan
harian mereka sepenuhnya kerana kelemahan mereka dalam menguasai kemahiran bahasa
tersebut.

Tahap keupayaan membaca dan menulis bagi mengukur tahap literasi sebenarnya semakin
meningkat selaras dengan peredaran masa dan meningkatnya kemajuan masyarakat
menggunakan bahan bercetak dan sumber maklumat pelbagai media. Bidang kemampuan
literasi pun semakin hari semakin bertambah apabila sesuatu masyarakat menempuh arus
kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keupayaan literasi yang lebih luas ini dapat
dihubungkan dengan literasi budaya, literasi ekonomi, literasi undang-undang, literasi
teknologi maklumat, dan sebagainya. Semakin maju sesuatu masyarakat, semakin banyak
bidang kehidupan yang perlu diketahui oleh anggotanya. Bagi menjadikan tahap literasi
bahasa berfungsi dalam kehidupan hariannya, seseorang itu haruslah dapat memanfaatkan
kebolehan membaca dan menulis sepenuhnya dan berterusan bagi tujuan pembentukan
dirinya dan penglibatan diri dengan masyarakatnya.

LITERASI BERFUNGSI

LITERASI berfungsi bermaksud kemampuan menggunakan set minda untuk memanfaatkan


kemampuan membaca dan menulis dalam kehidupan harian dengan lebih bermakna. Hal ini
bermaksud, sekiranya seseorang itu dapat memberikan apa-apa makna dan kesan terhadap
mindanya, atau mempengaruhinya supaya mengambil sesuatu tindakan, maka proses literasi
berfungsi masih tidak berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat dalam situasi orang yang dapat
membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa yang tidak dikuasainya, menjadikan
pembacaannya tidak mendatangkan apa-apa makna, dan tidak pula mendapat apa-apa faedah
atau pengajaran daripada apa-apa yang dibacanya.

Tahap literasi berfungsi berbeza-beza juga menurut sejauh mana pertalian dapat dilakukan
antara si pembaca dengan bahan yang dibacanya. Kadangkala si pembaca hanya dapat
memanfaatkan bahan yang dibacanya pada tahap pemahaman sahaja, iaitu mengetahui
maksud perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat sesuatu teks yang dibaca. Proses literasi
berfungsi begini berlaku pada tahap yang rendah. Pada tahap yang lebih tinggi, proses literasi
berfungsi berlaku apabila si pembaca dapat membuat taakulan, penilaian, dan penghayatan
terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini si pembaca bukan sahaja dapat memberikan
makna perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat, tetapi dapat pula membuat ulasan,
analisis, dan sintesis terhadap bahan yang dibacanya.

Pada tahap ini, pembaca bukan sahaja dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh
daripada bahan bacaan, malah dapat pula menghalusi bahasa yang digunakan penulis. Tindak
balas pembaca secara eferen dan estetik (Rosenblatt 1978) terhadap bahan bacaan adalah
matlamat yang harus dicapai dalam pembacaan pada peringkat tertinggi. Tindak balas secara
eferen bermaksud pembaca meneliti bahan bagi mendapatkan maklumat daripada bahan yang
dibaca supaya dapat dijadikan panduan untuk mengambil tindakan, seperti membaca manual
mesin basuh pakaian yang baru dibeli bagi menggunakan mesin tersebut. Tindak balas estetik
pula dilakukan bagi menikmati bahan bacaan dari sudut keindahan bahasa yang digunakan
penulis dalam bahan penulisannya.
PEMBELAJARAN LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa,
iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal
pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis, dan berfikir. Kemahiran-kemahiran tersebut
perlu berlaku serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir mendampingi keempat-
empat kemahiran asas bahasa tersebut. Oleh hal yang demikian, bagi membantu murid-murid
membina dan menguasai literasi bahasa, guru perlu mengambil kira bahawa setiap komponen
kemahiran yang dinyatakan tidak diabaikan. Setiap kemahiran seharusnya tidak diajarkan
secara berasingan atau diajarkan dalam tajuk yang terpisah-pisah kerana kesemua aspek
kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling bantu-membantu antara satu sama
yang lain. Kekurangan pada satu aspek akan menyebabkan berlakunya kekurangan pada
aspek yang lain.

Pada masa yang lalu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal
persekolahan lagi. Kanak-kanak diajarkan menghafal huruf A hingga Z dan dilatih tubi
dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan berdasarkan
suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Penekanan kemahiran bacaan secara ini
tertumpu pada tahap mengenal huruf semata-mata, sehingga kanak-kanak hanya mempunyai
kemampuan menyebut perkataan yang ditunjukkan menerusi carta atau kad imbas tersebut
tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya dalam satu situasi yang lebih bermakna.

Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah pada masa yang sama juga percaya
bahawa kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajarkan kemahiran
menulis. Pengajaran penulisan secara bermakna hanya berlaku setelah pelajar memasuki
tahun kedua persekolahan. Penulisan karangan hanya diperkenalkan kepada pelajar pada
tahun tiga atau empat. Kelewatan mendedahkan pelajar pada pengalaman membaca dan
menulis dalam situasi yang sebenar menyebabkan menguasai kedua-dua kemahiran tersebut
terbantut. Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sekiranya pelajar lambat didedahkan
kepada kemahiran membaca dan menulis yang sebenar, dan tidak dapat menguasai kedua-dua
kemahiran tersebut pada akhir tahun ketiga persekolahan, mereka bukan sahaja akan terus
ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis tetapi juga dalam semua aspek
akademik pada peringkat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak pada usia awal persekolahan perlu didedahkan kepada pengalaman membaca
dan menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan kad imbasan atau carta
huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka dengan
pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan bahan bacaan yang diterbitkan dalam
bentuk yang asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan mesej yang tertentu, di
samping mengandungi pelbagai ilustrasi yang menarik. Mereka perlu juga diberikan peluang
menyalurkan apa-apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dalam bentuk lisan atau
penulisan dengan kemampuan yang ada pada peringkat usia mereka sendiri.

Sungguhpun sebahagian daripada hasil penulisan mereka itu nanti berbentuk cakaran huruf
yang tidak jelas, tidak tepat, dan tidak membawa maksud yang tertentu, latihan begini perlu
sebagai langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih kukuh pada peringkat yang lebih
matang. Semakin banyak seseorang kanak-kanak itu mencuba, semakin kukuh
kepercayaannya menyungkil makna daripada bahan yang bercetak dan menyampaikan
maksud menerusi alat tulis dan kertas yang digunakannya. Ejaan ciptaan yang digunakan
kanak-kanak pada peringkat awal ini menjadi asas bagi memperkenalkan alam penulisan
yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa. Contoh pengajaran guru pada awal makalah
ini menunjukkan bagaimana guru tersebut menggunakan buku cerita Anak Ayam dengan
Sang Musang dalam pengajaran bacaan dan pemahaman bacaannya secara interaktif. Murid-
murid yang terlibat secara langsung mendengar bacaan guru, membuat taakulan, dan
memberikan pandangan secara lisan. Seterusnya, dalam aktiviti perbincangan secara
kumpulan, murid-murid menulis, dan mengemukakan pandangan masing-masing dalam
kumpulan kecil dan dalam bilik darjah. Cara begini mengukuhkan pengalaman literasi
mereka secara langsung.

PENAMPILAN LITERASI
PADA masa yang lalu, pendidik bahasa dan bacaan kerap berbicara tentang "kesediaan
membaca" di kalangan kanak-kanak peringkat awal persekolahan. Mereka berpendapat
bahawa pengajaran bacaan hanya dapat dijalankan sekiranya pelajar dapat menguasai satu set
kemahiran asas sebagai persediaan untuk menguasai kemahiran membaca. Sebagai contoh,
kemahiran mengenal semua huruf seperti yang dibincangkan pada bahagian sebelum ini.
Mereka percaya bahawa kegagalan menguasai prasyarat kemahiran asas ini akan
menggagalkan kemahiran yang seterusnya. Seterusnya mereka percaya bahawa penumpuan
yang perlu dibuat pada peringkat awal usia kanak-kanak yang baru mengenali literasi ialah
pada aspek pembacaan. Hal ini bermaksud juga bahawa penulisan (kecuali pembentukan
huruf secara mekanis dan tulisan tangan) perlu ditangguhkan sehingga pelajar telah mencapai
kemahiran membaca sepenuhnya. Berdasarkan kepercayaan inilah guru Bahasa Melayu yang
mengajar tahap satu atau dua menekankan aspek kemahiran "mengenal huruf" dalam
pengajaran mereka. Guru yang mendokong kepercayaan ini berpendapat bahawa pelajar perlu
mempelajari teknik membaca, bukan menguasai kemahiran membaca.

Konsep penampilan literasi dicetuskan daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh M.M.
Clay (1967), tokoh bahasa dari New Zealand. Kajian-kajian beliau menekankan aspek
penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak hinggalah ke alam
remaja. Penampilan literasi bermaksud kanak-kanak membina kemahiran membaca dan
menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua kemahiran tersebut terbina secara
serentak dan saling bergantung antara satu sama yang lain tanpa turutan yang tertentu
(Strickland 1990; Teale dan Sulzby 1986).

Hal ini bermaksud, literasi tampil dalam diri seseorang individu secara berterusan, tanpa
prasyarat mengenal huruf, dan terbina secara bersepadu antara kemahiran mendengar,
bertutur, membaca, menulis, dan berfikir. Walau bagaimanapun, proses ini bermula lama
sebelum seseorang kanak-kanak memasuki alam persekolahan - menerusi aktiviti-aktiviti dan
pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan hariannya dan interaksinya dengan rakan
sebaya dan orang yang lebih dewasa (Goodman 1986). Pemelajaran literasi melibatkan
kesemua ciri proses komunikasi - membaca, menulis, bertutur, mendengar, dan berfikir. Hal
ini bermaksud kanak-kanak membina kefahaman membaca dengan berkongsi bahan-bahan
bacaan yang bermakna bagi mereka dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa.

PENGUASAAN BAHASA SECARA HOLISTIK


SEPERTI yang dinyatakan di atas, proses menguasai bahasa adalah berterusan dan tidak ada
batasannya. Setiap waktu kita akan terus mempelajari aspek bahasa yang baru menerusi
interaksi dan pengalaman yang kita lalui. Oleh itu, penguasaan bahasa adalah satu proses
sosial dan aktif (Cook-Gumprez 1986, Wells 1990). Dalam keadaan normal, seseorang
kanak-kanak akan dapat menguasai tatabahasa asas bahasa ibundanya sebelum mencapai
ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Ketika memasuki kelas Tadika dan Tahap Satu
persekolahan, mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh, walaupun mungkin ada
antara mereka yang menguasai bahasa yang tidak bersesuaian dengan bahasa yang perlu
digunakan di alam persekolahan tersebut seperti kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa
Melayu dan juga mereka yang menggunakan dialek daerah atau negeri tertentu. Guru harus
sedar akan perbezaan ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terpinggir kerana tidak dapat
menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru ditempuh mereka pada peringkat
awal persekolahannya.

Walau bagaimanapun, perbezaan ini tidak akan menyekat konsep yang ditegaskan pada awal-
awal lagi, iaitu kemahiran literasi terbina daripada penguasaan bahasa yang dipunyai oleh
kanak-kanak secara semula jadi, dan penguasaan literasi perlu dijalankan secara holistik.
Mereka berhak memperoleh kemahiran literasi berasaskan bahasa yang dibawa dari rumah ke
sekolah, walaupun bahan yang digunakan mungkin mempunyai beberapa perbezaan yang
jelas berbanding dengan bahasa mereka. Tugas guru ialah mengendalikan jurang perbezaan
yang terdapat antara kedua-dua bahasa tersebut.

Pada peringkat awalnya tentulah mereka akan menempuh pelbagai kesukaran dan banyak
melakukan kesilapan dalam proses menguasai "bahasa baru" yang digunakan di alam
persekolahan, terutama bagi kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu atau yang
menggunakan dialek daerah dan negeri. Banyak teori penguasaan bahasa yang telah
dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli linguistik. Golongan nativists percaya bahawa
kanak-kanak menguasai bahasa secara semula jadi tanpa perlu dilatih atau dipaksa (Chomsky
1965). Hal ini bermaksud kanak-kanak akan menguasai bahasa seperti mereka menguasai
kemahiran merangkak, kemudian bertatih, dan akhirnya berjalan. Bahasa dikuasai kerana
memberikan makna dan kemudahan berinteraksi dalam kehidupan kanak-kanak tersebut,
seperti berjalan memberikan mereka kemudahan untuk bergerak ke merata tempat. Teori ini
banyak dipersoalkan kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak tidak menguasai bahasa
kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa yang digunakan oleh manusia. Hal ini
membuktikan bahawa bahasa tidak dapat dikuasai secara semula jadi, tanpa penglibatan
sosial yang aktif antara manusia.

Anda mungkin juga menyukai