Anda di halaman 1dari 2

Ya Allah ya Tuhan kami.

Pada malam yang hening ini, kami tinggalkan keenakan rehat semata-mata untuk mendapatkan
keredhaan dan rahmatMu terhadap apa yang kami usaha dan harapkan.

Untuk kali ini ya Allah. Engkau tunaikan dan penuhkanlah hajat dan harapan kami ya Allah. Iaitu
kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan besar yang bakal kami tempohi di bulan September
tahun ini.

Ya Allah. Ya Tuhan kami.


Harapan ini juga merupakan harapan keluarga kami terutama ibu dan bapa kami. Mereka
mengharapkan kami ya Allah. Mereka telah banyak berkorban untuk kami ya Allah. Engkau sedia
ketahui ya Allah betapa pengorbanan mereka itu kepada kami, Ya Allah.

Hitam kulit ayah dibakar mentari mencari rezeki untuk kami. Bertungkus lumus bekerja dari pagi ke
petang, atau dari petang ke pagi mencari bekalan hidup untuk kami. Cengkung mata ibu menjaga
dan melayan kerenah dan kenakalan kami. Ya Allah.

Oleh itu ya Allah. Apakah patut kami balas pengorbanan mereka itu dengan kehampaan. Jangan ya
Allah Engkau akhiri perjalanan ini dengan kekecewaan dan kedukaan.

Ya Allah ya Tuhan kami.


Pada malam yang hening ini. Semua ahli keluarga kami sedang berada di sini atau dengan apa
sahaja urusan mereka. Kami terbayang wajah ayah. Kami terbayangkan wajah ibu. Terbayangkan
wajah abang, kakak dan adik-adik. Satu-satu kami bayangkan, kami bayangkan bagaimana wajah
mereka apabila kami berjaya, dan bagaimana pula wajahnya jika kami gagal.

Ya Allah. Tolonglah dan bantulah kami. Hanya Engkaulah ya Allah yang mampu memberi
pertolongan itu, ya Allah. Engkau permudahkanlah perjalanan ini.
Ya Allah ya Tuhan kami. Ketika kami bermohon ini, guru-guru kami turut merestui, menyertai kami,
menyaksikan dan mendengar rayuan kami. Oh Tuhan, alangkah malunya kami, sekiranya Engkau
akhiri alam persekolahan kami dengan kehampaan, kekecewaan atau kegagalan.

Ya Allah ya Tuhan kami.


Berikan kami kesihatan tubuh badan, kecergasan akal dan kecergasan fizikal... agar kami mampu
menempuh onak dan duri yang sedang kami lalui ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami,


Ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, kasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi
kami sejak kami kecil. Ampuni dosa guru-guru kami, dosa anak-anak kami dan dosa seluruh
muslimin muslimat, sama ada yang masih hidup atau yang telah mati.

Ya Allah Ya Tuhan kami,


Ikhlaskan hati anak kami dalam menuntut ilmu, kekalkan semangat yang tinggi untuk mereka terus
belajar tanpa ada rasa jemu, janganlah Engkau palingkan hati mereka dan hati kami, lindungilah
kami dan mereka dari menuntut ilmu hanya kerana segulung sijil, hanya untuk harta, hanya untuk
wanita, hanya untuk lelaki dan hanya untuk tahta kedudukan. Lindungilah kami dan mereka dari
sifat tamakkan dunia.

Ya Allah Ya Tuhan kami,


Kami berlindung kepadaMu daripada ilmu yang tidak memberi manfaat kepada diri dan agama
kami, jadikanlah kami orang yang beramal dengan ilmu yang telah Engkau pinjamkan kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami,


Kami memohon kepadaMu, mengharap kepadaMu, bertawakkal kepadaMu, berilah kejayaan
kepada kami dan anak-anak kami dalam peperiksaan yang bakal kami tempuhi, tenangkan hati
kami dan hati mereka, lapangkan dada kami dan dada mereka, luaskan fikiran kami dan fikiran
mereka, kuatkan ingatan kami dan ingatan mereka serta permudahkanlah kami dan
permudahkanlah mereka.

Anda mungkin juga menyukai