Anda di halaman 1dari 4

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam

empat bidang kegiatan iaitu:


1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif,
interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta
menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. Menggambar
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta
kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan
pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan
komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster
Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan
menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan
dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran
asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam
persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat
memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka
seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid
menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan.
Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini
boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan
cerita.

2. Membuat Corak dan Rekaan


Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk
menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan
rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang
kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.
Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:
2.1 Corak tidak terancang secara:
2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:


2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi
Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam
dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan
olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang
kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak
tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu
proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti
pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat Binaan


Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni
dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek
tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan
membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga
mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan.
Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan,
semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan
membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:
3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami
Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat
rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea
dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan
sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara
seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional


Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan
kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi
turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:
4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar
Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam
budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik
membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan
sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan
serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini
boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan
cerita.

Anda mungkin juga menyukai