Anda di halaman 1dari 2

Fungsi Dan Kepentingan Pusat Sumber Sekolah

Pusat Sumber Sekolah merupakan tempat berlakunya segala aktiviti memperoleh sesuatu maklumat atau
pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme keguruan dan pencapaian akademik
pelajar. Sehubungan itu, PSS merupakan suatu unit bersepadu yang berfungsi mengumpul, memilih, menyusun dan
menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran ( bahan bantu mengajar ) sama ada dalam bentuk
bercetak atau bukan bercetak dengan aktif dan bermakna bagi memenuhi kehendak pelanggannya sama ada
pensyarah, guru dan murid.

PSS pada hari ini bukan lagi terhad kepada bahan-bahan bercetak seperti buku, surat khabar, majalah,
makalah dan jurnal. Fungsi PSS kini kian meluas iaitu meliputi bahan bantu mengajar, bilik audio visual, pusat akses ,
bilik tayangan malah juga merangkumi makmal komputer. Fungsi PSS telah diperluas selaras dengan tuntutan
semasa dan kemajuan teknologi terkini.

Di sekolah, pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkatkan tahap pengajaran dan
pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik pelajar. Pusat Sumber Sekolah hendaklah berkhidmat sebagai
tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan mengedarkan bahan untuk proses pengajaran dan
pembelajaran yang diperlukan oleh pensyarah dan penuntut IPT atau guru dan murid-murid. PSS memberi
perkhidmatan pinjaman bahan atau buku kepada pelanggannya. Ini dapat menjimatkan kos pembelian buku dan
bahan rujukan oleh para pelajar, penuntut dan pendidik dalam usaha mereka menyempurnakan tugasan masing-
masing.

Selain itu, Pusat Sumber Sekolah berperanan sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan dapat
pula digunakan secara individu atau berkumpulan. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari , diakses dan
digunakan dengan cepat dan mudah. Para guru dan pelajar boleh mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan
sama ada yang ada kena-mengena dengan pelajaran atau pun tidak. Bahan-bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat
bantu mengajar seperti radio, alat pandang dengar, cakera padat, televisyen , televisyen satelit , capaian internet ,
pusat akses dan pelbagai bahan rekreasi sekolah seperti buku cerita, karya sastera, karya akademik dan ilmiah ,
majalah, surat khabar dan sebagainya.

Pusat Sumber Sekolah dapat bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan, iaitu bahan pelajaran
dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Selain itu, pusat sumber ini juga memberi panduan
kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan
keperluan dan tujuan tugasan masing-masing. Pelbagai info terkini dapat diperoleh melalui PSS. Contohnya, seorang
guru yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu kemahiran atau mata pelajaran tertentu akan
mencari bahan-bahan rujukan atau alat-alat bantu mengajar yang tepat dan sesuai dengan mata pelajaran itu di sini.

Dengan adanya Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran akan. berjalan dengan lebih
sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat sumber dapat membantu seseorang guru
menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-
murid dan juga guru. Kemudahan televisyen satelit seperti Astro membolehkan guru memanfaatkan rancangan
menarik melalui saluran History, Discovery, Sains dan Tutor untuk membantu aktitviti guru dalam bilik darjah.
Misalnya, kebanyakan murid-murid di negara ini tidak pernah melihat salji dan suasana di kutub, maka sebuah filem
atau siaran rencana berkaitan salji dan persekitarannya di kutub akan menambahkan pengalaman murid-murid
tersebut. Hal ini menggambarkan murid-murid itu sendiri yang mengalami persekitaran itu setelah mendapat
gambaran yang jelas, penerangan yang baik dan spontan yang dapat dilihat oleh murid-murid. Ini akan meningkatkan
tahap pemahaman pelajar berhubung topik atau perkara yang diajar.
Dengan menggunakan bahan sumber yang sesuai, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan menjadi
lebih dekat, lebih `detail dan spesialis’ (detail and specialise) serta menjadi lebih menarik dan bermakna. Sesuatu
perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan dengan menggunakan sumber yang ada.
Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih hampir kepada murid-murid kerana perkara tersebut boleh
dipindahkan ke dalam bentuk media dan dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin
memberitahu tentang jenis-jenis kenderaan kepada murid-murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut,
terutamanya murid-murid di kawasan pedalaman, penggunaan sumber seperti poster, gambar dan video dapat
membantu dan memudahkan kerja guru. Ini akan menggalakkan perubahan tingkah laku yang diingini. Pembelajaran
yang berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh menyeronokkan murid-murid kerana persekitaran di
dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di samping adanya pelbagai media perangsang.

Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang amat
penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Tanpa Pusat Sumber Sekolah,
pengajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh dan berkesan. Oleh hal yang demikian, guru
dan pelajar harus memanfaatkan penggunaan PSS demi kemajuan dan kejayaan dalam akademik dan pelajaran.

Anda mungkin juga menyukai