Anda di halaman 1dari 22

Soalan 2 :

2.0 Pengenalan
Seni itu adalah indah dan halus kerana seni itu mempunyai nilai estetika yang
tinggi. Selain itu, seni adalah merangkumi pelbagai bidang. Dari sudut psikologi pula,
seni dinyatakan sebagai santapan jiwa. Masyarakat pada zaman prasejarah menganggap
bahawa seni sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manuia. Seni digunakan untuk
berkomunikasi, berionteraksi dan berhubung sesama manusia. Jadi, Seni tampak atau seni
visual telah lama bertapak di negara ini. Kita mengagungi karya-karya seni daripada
tokoh-tokoh terkenal tanah air seperti Dato Syed Ahmad Jamal, Hossein Enas, Mazli Mat
Som dan Chuah Tian Theng. Karya mereka memberikan gambaran secara realiti
mengenai Malaysia dari tahun 1930an sehinggalah ke hari ini. Perasaan dan ekspresi
mereka diluahkan dalam coretan-coretan di atas kanvas mahupun di media-media lain.

Sejarah seni halus bermula pada tahun 1930-an dengan terciptanya catan awal
oleh Yong Mun Sen, Abdullah Ariff. Pelukis Malaysia bebas daripada sebarang
kongkongan kerana belum terdedah kepada aliran dari barat. Pendedahan hanya tertumpu
kepada penghasilan rakan seperjuangan. Karya mereka mentah dan tidak halus kerana
tiada bimbingan.

Pada awal tahun 1950-an, Malaysia mula mempunyai pelukis yang berkedudukan
dan dedikasi seperti Yong Mun Sen, Abdullah Ariff, Cheong Soo Pieng, Khaw Sia. Alam
seni halus Malaysia masih suram dan kurang memberangsangkan. Ketibaan Mohammed
Hoessein Enas dari Indonesia telah membawa era baru dalam aliran naturalis dengan
melukis figura manusia kepada pelukis tempatan.Tay Hooi Keat yang baru pulang dari
United Kingdom memperkenalkan asas seni lukis seperti bentuk, garisan, rupa, warna,
jalinan dan sebagainya.

2.1 SYED AHMAD JAMAL


Beliau berasal dari Muar, Johor dan dilahirkan pada 19 September 1929. Datuk
Syed Ahmad bin Syed Jamal mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah,
Johor Bharu dari tahun 1936-1938 sebelum berpindah ke Sekolah Tambatan Tinggi,
Johor Bharu pada tahun 1939. Pada tahun 1940 beliau melanjutkan pelajaran ke Ngee
Heng English School dan seterusnya ke Bukit Zahrah English School, Johor Bharu pada
tahun 1941. Dari tahun 1945 hingga tahun 1949 beliau melanjutkan pelajarannya ke
Maktab Sultan Abu Bakar (English College), Johor Bahru. Beliau memulakan pendidikan
tingginya di Birmingham School of Architecture dari tahun 1950-1951 dan
kemudiaannya dari tahun 1951-1955 beliau melanjutkan pelajarannya ke Chelsea School
of Art, London. Pada tahun 1955-1956 beliau meneruskan pengajian di Institute of
Education, University of London bagi mengambil sijil pengajaran dalam bidang seni.

Beliau juga melanjutkan pelajaran ke School of Art Institute of Chicago Illinois,


Amerika Syarikat pada tahun 1963-1964 dan pada tahun 1973-1974 beliau melanjutkan
pelajaran dalam bidang Sarjana di University of Hawaii dalam bidang sejarah seni.
Beliau memulakan kariernya sebagai seorang guru di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor
pada tahun 1956 hingga 1957. Kemudian beliau ditugaskan di Institut Latihan Guru di
Cheras, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah bertugas di Kementerian Pendidikan di
Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran dan dilantik sebagai Pengarah Pusat
Kebudayaan, Universiti Malaya dari tahun 1975 hingga 1983. Beliau juga pernah
bertugas sebagai pensyarah di Malayan Teachers Training College, Kirkby, England dari
tahun 1958-1959.

Datuk Syed Ahmad merupakan di antara tokoh yang memainkan peranan penting
dalam perkembangan BSLN dan memegang jawatan Pengarah BSLN dari tahun 1983
sehingga tahun 1991. Beliau merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah
menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni
sehinggalah ke hari ini. Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan
hasilhasil karya beliau untuk tatapan umum. Di antara tema pameran beliau ialah “Antara
Langit & Bumi”, “Ruang” dan “On & Off King’s Road”.

2.2 Tiga karya Datuk Syed Ahmad


1.

Gunung Ledang
2.

Langit dan Bumi

3.
1993-001
Datuk Syed Ahmad Jamal
Sirih Pinang
1982-86 (1993-001)
Akrilik atas kanvas
199 x 199 cm

2.3 Apresiasi seni terhadap dua buah karya Syed Ahmad Jamal
2.3.1

Gunung Ledang

2.3.1.1 Menggambar

Dari segi menggambar, hasil kerja Syed Ahmad Jamal yang bertajuk Gunung
Ledang pada tahun 1978 menunjukkan seni rupa itu amat mementingkan kepada
imbangan, iaitu rupa bentuk penuh bercorak akan diimbangi dengan suatu rupa bentuk
yang tiada bercorak. Selain itu, hasil karya Syed Ahmad Jamal merupakan seni rupa
Melayu mengutamakan unsur penggenapan. lni bermakna jumlah setiap rekabentuk yang
hadir dalam sesuatu hasil seni rupa seharusnya mempunyai jumlah yang genap.Unsur
seni ruang juga digunakan bagi memperlihatkan objek yang berada pada bahagian
belakang dan hadapan.

2.3.1.2 Menganalisis
Dalam karya ini, gambaran gunung dihasilkan pada belakang catan dengan
menggunakan garisan nipis dan samar. Manakala ruang hadapan catan yang lebih dekat
ialah bentuk tiga segi yang jelas dan terang dari segi penggunaan warna. Selain daripada
itu, elemen perspektif turut diaplikasi dalam hasil kerja ini. Unsur imbangan dan imej
segitiga menyerupai bentuk Ledang menjadi unsur dominan dalam karya Syed Ahmad
Jamal. Gunung Ledang adalah sesuatu yang melambangkan tenaga dan kemakmuran.
Jika dilihat kepada karya ini, penghasilan bentuk adalah lebih kepada rupa geometri iaitu
segitiga yang disusun secara tidak terancang dan juga secara berperingkat. Hasil kerja
yang dihasilkan ini dapat dianalisis dan ia dapat menunjukkan kesesuaian dalam
pemilihan warna berdasarkan sifat semulajadi material yang digunakan untuk membuat
sesuatu produk. Hasil karya ini juga berpengaruh kepada seni Islam dalam seni rupa
Melayu yang menyaksikan ketidakhadiran figura tetapi digantikan oleh corak-corak
tumbuhan dan motif geometri yang paling dominan dalam seni rupa Islam. Syed Ahmad
Jamal merupakan pelopor dan menggemari aliran ekspresionalisme kerana ia
memberikan kelangsungan dalam hasil karya dan fleksibiliti aliran ini membenarkan
pemikiran diterjemahkan secara langsung menjadi bahan seni. Dalam karya Gunung
Ledang ini telah menggunakan media cat minyak pada kanvas. Catan ini bersatu dari
aspek warna, ruang dan bentuk yang dihasilkan oleh Syed Ahmad Jamal.

2.3.1.3 Tafsiran
Elemen penegasan merupakan satu prinsip rekaan yang penting dalam aspek
penafsiran di mana karya ini dapat dilihat pada bentuk segitiga yang terbesar yang
mempunyai tujuh tahap. Tujuh tahap yang dimaksudkan dalam bentuk Gunung Ledang
melambangkan kepercayaan yang mempercayai terdapatnya tujuh tangga yang harus
dilalui untuk sampai di syurga. Warna biru di atasnya adalah langit manakala warna hijau
di bahagian bawah mewakili bumi. Warna garisan kekuningan di bahagian bawah
melambangkan emas yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang daripada Sultan Mahmud
sebagai hantaran. Warna biru yang lebih lembut di bahagian atas menunjukkan
kesyurgaan alam fana dan bentuk hijau seperti bendera adalah tempat bersemadi roh-roh
mangsa nahas tersebut. Kesyurgaan itu juga menyebabkan bintang-bintang bertukar
menjadi bentuk-bentuk segitiga.Bentuk-bentuk yang terdapat dalam hasil karya tersebut
adalah tidak konsisten di atas gunung itu iaitu terdapat cebisan atau bangkai kapal
terbang yang berkecai di Tanjung Kupang setelah melintasi Gunung Ledang. Perkara
yang menarik dalam Gunung Ledang ialah perkembangan pemikiran dalam catan tersebut
yang bermula dari bawah ke atas berkaitan dengan kenaikan roh dari dunia ini. Catan ini
semakin jelas apabila warna biru dan hijau mendominasi catan ini di mana pilihan warna
yang paling tepat untuk menunjukkan unsur duniawi dan syurga. Warna putih dan merah
di bahagian tengah adalah serpihan dan darah dalam nahas itu.

2.3.1.4 Penilaian
Hasil karya ini dapat memperlihat seni lukis sebagai satu bidang yang
berautonomi tanpa ikatan dengan sebarang naungan. Penggiat seni dalam bidang ini, iaitu
pelukis pula mengganggap Syed Ahmad Jamal sebagai seorang individu yang unik dan
bebas. Sesebuah karya dapat dilihat sebagai sesuatu yang memiliki kewujudan mistik dan
makna tersendiri. Perkara ini terjadi kerana seni terhasil daripada khayalan dalaman.
Khayalan ini berpusat dalam diri pelukis dan hanya akan diluahkan atas rasa kerelaan
serta mempunyai motif yang bersifat keindividuan. Syed Ahmad Jamal telah menggaris
beberapa perkara penting yang perlu dimiliki dan dinikmati oleh sebarang individu yang
bergelar pelukis. Perkara-perkara tersebut boleh dianggap sebagai etika pelukis yang
terdiri daripada kepentingan meluahkan perasaan tanpa batasan, kefahaman terhadap diri
yang mendalam untuk menentukan tujuan, keaslian identiti pengkaryaan bagi
mengelakkan peniruan dan akhir sekali pengutamaan terhadap kebebasan. Catan Gunung
Ledang merupakan kemuncak Syed Ahmad Jamal dalam kehiduapan beliau sebagai
seorang pelukis. Pada tahap ini lukisannya amat bertenaga melambangkan keunggulan
kaedah dan pemikiran yang didokongnya selama ini. dapat bersua dengan perasaan
pelukis.

2.3.2
Langit dan Bumi

2.3.2.1 Menggambar

Dalam hasil karya yang bertajuk “Langit dan Bumi ”, Syed Ahmad Jamal cuba
memberikan apresiasi karya yang dikira sarat dengan subjek rujukan, bentuk dan isinya.
Karya beliau yang bertajuk Bumi dan Langit I telah dihasilkan pada tahun 1998
mengunakan akrilik di atas kanvas berukuran 203sm x 274.5sm. Karya ini menggunakan
subjek alam tabii atau alam semulajadi sebagai teras pengkaryaannya. Melihat pada
format kanvas dari bawah ke atas didapati karya beliau ini terbahagi kepada empat
bahagian.

2.3.2.2 Menganalisis
Bahagian pertama di bawahnya terdiri daripada lapisan bumi, bahagian kedua
pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Manakala bahagian ketiga
terdiri daripada awan, jalur cahaya dan hujan. Seterusnya pada bahagian keempat di
atasnya terdiri daripada langit dan bintang-bintang. Hasil karya ini mengukuhkan struktur
dengan kombinasi garisan, rupa, bentuk, dan jalinan. Sementara komposisi karya ini
diseimbangkan, dikontrakan, diulang-ulangkan, ditegangkan, dan diharmonikan. Sapuan
garisan yang pantas amat ketara sekali pada bahagian kedua karya iaitu terutamanya
dalam menghasilkan imej tumbuh-tumbuhan. Cadangan tumbuhan seperti lalang ataupun
di kawasan padang dihasilkan secara sapuan pantas dengan dominasi garisan condong
iaitu ‘diagonal line’di mana ia diulang secara ketara dan dapat dilihat pada sebelah kiri
karya. Garisan melintang ‘horizontal line’pula dibentuk melalui tanah yang berlapis-lapis
di bahagian pertama ataupun bawah karya. Garisan melintang juga agak jelas pada
bahagian kiri permukaan langit dan bumi dalam karya tersebut.. Bagaimanapun, garisan
cembung ‘curve line’ dikontraskan terutamanya bahagian di antara langit dengan bumi
iaitu pada bahagian berwarna ungu gelap. Garisan cembung juga amat ketara digunakan
pada bahagian awan.

Dari aspek elemen ruang pula, hasil karya ini menggunakan ‘ruang mendatar’ dan
‘ruang cetek’. Hasil karya ini mendominasikan ruang cetek. Sementara ruang mendatar
pula dapat dilihat sedikit sahaja terutamanya pada bahagian pertama atau bawah karya
iaitu lapisan tanah yang berwarna merah. Hasil karya ini juga terdapat pelbagai jenis
karektor garisan; ada garisan perlahan, sederhana, pantas dan tegas. Gabungan daripada
pelbagai jenis garisan tersebut akan membentuk beberapa jenis jalinan ‘texture’,
memperkayakan lagi karya ini. Secara keseluruhannya hasil karya ini menggunakan
jalinan mujarad ‘abstract texture’. Penggunaan rupa yang agak ketara dapat dilihat pada
bahagian pertama atau bawah karya iaitu rupa merah pada tanah yang berlapis-lapis.

Tambahan pula, karya ini menggunakan ‘warna panas’ ke ‘warna sejuk’ dalam
pengolahan karyanya ini. Warna merah (warna panas) pada bahagian pertama atau bawah
karya. Diikuti dengan warna kuning (warna panas) memenuhi sebahagian kawasan bumi.
Warna biru muda (warna sejuk) di bahagian ketiga iaitu kawasan awan dan akhirnya
warna biru tua (warna sejuk) di bahagian langit dan bintang-bintang. Untuk membentuk
‘keharmonian’ dari segi warna, warna-warna panas tersebut diulang-ulangkan pada
bahagian warna sejuk. Ini dapat dilihat terutamanya pada bentuk awan dan juga bintang-
bintang. Format kanvas yang berbentuk empat segi tepat digunakan dengan memberi
penekanan kepada ’kesinambungan tidak sama ukur iaitu ‘assymetrical balance’. Namun
begitu, karya ini juga menggabungkan ‘keseimbangan kristal grafik ‘crystal graphic
balance’ ataupun pandangan saujana dalam istilah kesenian Islam ‘infinite patterning’ di
dalam karyanya. Keseimbangan tak sama ukur ini dapat dilihat dengan perletakan imej
yang tidak sekata. Malah warna merah yang sedikit dikontraskan dengan warna biru yang
dominan juga menimbulkan implikasi keseimbangan tidak sama ukur. Sebaliknya imej
dan bentuk seakan-akan lalang, tanah, gunung, hujan, awan dan bintang-bintang pula
membentuk struktur karya ini kepada titik fokus mencapah (keseimbangan kristal grafik)
ataupun tidak memusat. Titik fokus mencapah tersebut selari dengan pandangan saujana
dalam kesenian Islam. Kesimpulannya, format karya ini menggunakan ‘rentak tidak
senada’ iaitu ‘random rhythm’ kecuali pada bahagian tepi sebelah kiri, di antara langit
dengan bumi. Di bahagian tepi sebelah kiri ini ‘rentak tersusun’ ‘regular rhythm’ pula
digunakan terutamanya pada bahagian yang digambarkan seperti hujan.

2.3.2.3 Tafsiran
Melalui abstraksi dan penggaya-gayaan , karya ini menapis alam tabii yang
bersifat semulajadi tersebut kepada satu intipati yang bersifat dalaman. Secara tidak
langsung penggunaan perspektif biomorfik dan ruang mendatar dan cetek tersebut telah
menolak ciri-ciri semulajadi yang mendominasikan catan-catan Barat terutamanya pada
zaman Renaisan dan Realisme atau pun apa yang dikenali oleh Pak Mail sebagai ciri-ciri
seni simbolis dan seni memesis. Penolakan ciri-ciri luaran (semulajadi) yang bersifat
sementara dengan penarikan atau memasukkan ciri-ciri dalaman (kerohanian) yang
bersifat kekal, membuatkan karya ini mempunyai ciri-ciri ketauhidan. Gabungan elemen
dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu kesatuan yang cukup mantap.
Penyatuan elemen-elemen dengan komposisi serta pandangan saujana antaranya
menimbulkan keanekaan di dalam kepelbagaian. Kesatuan dan keanekaan di dalam
kepelbagaian itu telah membentuk karya ini sebagai karya yang kaya, sarat bahkan berisi
nilai-nilai falsafah dan budaya. Falsafah dan budaya yang mencerminkan pemikirannya,
masyarakatnya dan budayanya akan menjadi satu khazanah peradaban yang tidak ternilai
harganya.

Unsur kepelbagaian garisan, jalinan, rupa dan bentuk yang juga bercorak ‘islami’.
Sungguhpun terdapat dalam karya ini telah menggunakan nada ekspresionis, Bahkan
penggunaan sapuan berus dengan diselangselikan dan ditindani dengan kesan warna
sembur, menjadikan karyanya lebih terkawal. Dengan kata lain, karya ini menggunakan
ciri-ciri ekspresi Melayu yang bertunjangkan kesenian Islam. Hal ini dapat dibuktikan
dengan sapuan ekspresi tetapi terkawal adalah seolah-olah seperti pantun ataupun bentuk
kiasan Melayu umpamanya “pukul anak sindir menantu.” Konsep seperti kiasan ataupun
pantun tersebut dapat diperkukuhkan lagi dengan pendapat Muliyadi (2000) yang
mengatakan, “beliau meletakkan keindahan sebagai teras kreativitinya. Baginya karya
seni seperti catan perlulah indah, sekalipun membawa mesej atau penceritaan yang berat
maupun menyedihkan.” Melihat dari aspek format bawah ke atas juga, didapati
penggunaan tanah dengan cadangan berlapisan dapat menegaskan lagi sifat geografik
bumi yang berlapis-lapis. Tumbuh-tumbuhan, padang dan bukit diambil secara saripati,
dipersembahkan secara abstrak mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah
melalui penciptaan alam tabii. Begitu juga dengan fenomena bintang bertaburan dan
langit yang berlapis-lapis, menandakan rakaman alam dalaman yang menyanjungi ciptaan
tuhan. Bentuk seakan-akan awan yang dihasilkan dengan penuh tenaga bagaikan jantung
alam semesta ataupun seperti guruh berdentum dengan memancarkan seperti jaluran kilat
lalu membentuk kesan hujan (garisan diagonal). Melihat dari sudut warna pula,
penggunaan warna panas ke sejuk juga dapat mengajak pemerhati memikirkan sejenak
tentang kehebatan alam tabii ciptaan tuhan. Warna merah seperti fenomena senja, kuning
seperti petang, hijau seperti siang, biru seperti fajar dan biru tua kegelapan seperti malam,
mencerminkan ketelitian dan kehalusan beliau membentuk format ’Bumi dan Langit I’.
Menghubungkan elemen warna melalui komposisi catan dari atas ke bawah pula didapati
warna gelap (malam) mewakili warna waktu isyak, warna biru muda (fajar) mewakili
waktu subuh, seterusnya warna hijau (siang) mewakili waktu zohor dan kuning (petang)
mewakili waktu asar, dan akhirnya warna merah (senja) mewakili waktu maghrib.
Kelima-lima masa dan waktu yang berperingkat-peringkat ini selain menjadi nadi penting
kehidupan orang Islam, juga mencerminkan pergerakan masa mengikut kosmologi atau
pun sunatullah.
2.3.2.4 Penilaian

Karya ’Bumi dan Langit I’ amat berjaya sama ada dari segi bentuk, komposisi dan
isinya. Penggabungan pelbagai budaya keilmuan berstrukturkan format kesenian Melayu-
Islam meletakkan karya ini ke hadapan, malah merentasi masa. Dengan sedemikian
karya-karya yang digarapnya adalah tulen dan segar. Kekuatan ilmu dan saripati budaya
Melayu-Islam yang menjadi teras cara hidupnya amat terserlah sehinggakan
memantulkan keindahan dalaman melalui tanda visual pada karyanya. Hasil karya ini
bukan sahaja menggunakan tunjang budaya Melayu-Islam sebagai struktur karyanya,
bahkan mana-mana ilmu daripada tamadun Barat maupun Timur yang baik dan
bersesuaian digarapnya menjadi wadah pemikirannya. Suatu perkara yang penting dalam
karya ini telah melompat dari unsur-unsur konversi kesenian Islam yang lampau. Karya
ini berjaya membina fragmen masa baru yang menunjukkan penggabungan format
kesenian Islam. Format kesenian Islam termasuklah seperti pengulangan, pandangan
saujana, kerumitan, dinamik, gabungan berurutan dan meditatif dan seumpamanya.
Kecekapan beliau mencernakan tunjang kesenian Islam dengan gabungan prinsip seni
Barat seperti ulangan, harmoni, keseimbangan dan kontras umpamanya membentuk suatu
struktur baru dan teguh.
Lampiran: Salinan maklumat apresiasi seni

Lampiran 1 :

KRITIKAN DAN APRESIASI SENI: APA YANG DICARI SUDAH TERJUMPA?

Kritikan dan apresiasi seni visual dalam menilai dan menganalisis karya-karya
seni adalah proses pembelajaran yang bersistematik dalam bentuk proses berfikir.
Sememangnya perlu diterap dan disemai dalam kurikulum mulai sekolah rendah lagi
namun sejauhmana idea ini dapat direalisasikan. Isu ini sentiasa mendapat perhatian
daripada pendidik seni dan menarik perhatian penggubal kurikulum, pensyarah dan orang
ramai. Keperluan isu ini penting untuk difikirkan bagi melahirkan modal insan yang
terdidik berfikir secara kreatif dan kritis. Secara tidak langsung ilmu berhujah dan
membuat interpritasi seni menuju ke arah yang positif dalam melahirkan generasi pewaris
yang tahu membuat seni, bercakap tentang seni dan mengangkat martabat karya seni itu
sebagai karya yang halus.
Keperluan kritikan dalam apresiasi memerlukan pengetahuan dalam menilai dan
menganalisis hasil kerja seni. Keperluan ini disentuh secara tidak langsung dalam
kehidupan seharian namun secara asasnya nilai indah sebagai elemen estetik itu berkait
dan berkembang bersama ilmu bantu lain. Hubungkait perkembangan ilmu ini dilihat
saling membantu antara elemen dan prinsip seni dengan hasil kerja seni yang dihayati.
Pengetahuan sedia ada ini sebagai satu lapisan luaran yang memerlukan pengukuhan
mantap dari segi falsafah estetik bersama perspektif perbandingan antara teori seni,
sejarah, periwayatan artis,dokumentasi, input sedia ada dengan pengayaan skil dan
teknik pengkaryaan.
Darjah pemikiran manusia dalam menginterpritasi karya seni adalah berbeza dan
menghasilkan pelbagai interpritasi. Barangkali ada yang bersetuju masih terdapat
sebahagian kecil artis-artis di Malaysia yang berkarya sekadar melayan rasa dan
perasaan. Hasil karya itu apabila dikomen melalui input apresiasi dan sedikit tersentuh
dari aspek-aspek kelemahan menyebabkan nilai pemikiran dan usaha menceliksenikan
masyarakat terbantut. Suatu pertemuan ilmu yang murni dan bermanfaat tidak tercapai
dan ada pandangan prejudis antara pengkarya dengan penikmat. Walaupun usaha yang
baik dan niat yang murni itu telah terpesong namun usaha mencari yang terbaik itu patut
diteruskan. Itu adalah tugas pengkritik seni. Bagi peminat dan khalayak seni marhain pula
ungkapan biasa keluar dari mulut ialah sama ada cantik dan tidak cantik.
Dengan menyatakan karya seni itu berada pada tahap baik bermaksud meletakkan
seni itu pada tahap keunggulan sebagai satu hasil karya yang halus. Mana lebih sesuai
disebut dengan menyatakan, “saya suka karya ini”atau “saya suka karya ini kerana ia
ada membawa satu dorongan untuk kita kaitkan dengan aspek-aspek psikologi yang ada
perkaitan dalam terapi seni”. Inilah contoh keperluan kritikan seni sebagai suatu bentuk
proses berfikir atau sekurang-kurangnya dapat diterapkan dalam perbincangan yang
berlunaskan nilai-nilai hormat menghormati.
Bagi Bernard Harrison, beliau membawa pandangan yang dikenali
sebagai“kritikan secara nature” dengan meletakkan sesuatu karya itu baik setelah
mengenalpasti beberapa kualiti yang terserlah. Dalam istilahR.G.Collingwood, kualiti ini
dapat disenaraikan sebagai cara kita memahami apakah itu seni dan apakah yang
dikatakan bukan seni. Sama ada ia dalam objek atau sudah ada tersemat di dalam minda
boleh membawa perkaitan dengan kesempurnaan dan dianggap menjadi sebahagian
daripada teori-teori seni.
Perasaan yang bercampurbaur dengan pengalaman estetik dapat membantu
memperhalusi karya-karya seni secara “nature” dan bagi menjelaskan kualiti“nature” ini
memerlukan kesinambungan dalam kritikan. Adalah mustahil untuk membuat keputusan
antara yang baik dalam kritikan sebelum penghakiman yang akhir terjadi sehingga tiada
sesiapapun yang tahu tentang seni. Dicadangkan lebih baik diketahui sesuatu yang kita
suka dan minat supaya penilaian dan keputusan yang dibuat ke atas karya-karya seni
berlaku secara adil. Diakui kritikan dan apresiasi seni tidak bergantung pada
keistimewaan yang ada dalam karya seni semata-mata. Kritikan juga dianggap mampu
dibuat apabila percubaan yang dilakukan boleh menjangkau sesuatu dengan tepat setelah
dikenalpasti dan dianggap munasabah. Sebagai pengetahuan umum, jarak yang adil dan
munasabah boleh membantu supaya hasil seni dilihat halus dan sifat-sifat seni yang baik
boleh didekati dan dirunding bersama secara lebih “nature”.
Terdapat dua motif utama dalam pendekatan kualiti “nature” yang boleh
membantu kritikan itu berada pada dasar yang adil.
1. Menerapkan nilai adil pada asas-asas yang munasabah yang menampakkan perbezaan
antara kritikan melulu dengan kritikan berbantukan penglihatan dan tafsiran yang adil.
2. Menerapkan nilai saksama bagi menunjukkan kenapa seni itu penting di dalam aktiviti
kehidupan manusia.
Penilaian dan apresiasi seni haruslah tidak terkongkong sama ada dalam statusnya
tersendiri atau dalam lengkongan pengikutnya. Hilangkan kongkongan dan benteng yang
menjadikan ia karya berstatus kepada karya yang diperagakan untuk suatu pengetahuan
yang istimewa. Jika terlalu banyak kongkongan dalam menilai seni, boleh menjadikan
seni itu kaku dan terhad kepada golongan tertentu. Suatu cara yang dicadangkan ialah
kaitkan seni itu dengan fungsinya yang berbagai. Cara sebegini boleh
memperkembangkan seni itu dalam statusnya yang luas dan apabila fungsi itu dikaitkan
bersama karya seni, aspek nilai akan turut dibicarakan bersama.

Antara fungsi dan nilai dalam penghasilan seni terkandung keindahan yang dapat
ditafsir dari berbagai sudut. Tafsiran yang mencari kesempurnaan pada objek yang
dihasilkan dapat dilihat dari sudut luaran dan dalaman. Manakala nilai seni itu diletakkan
sejajar dengan kehendak masyarakat yang membawa kesan pengaruh mempengaruhi.
Kesempurnaan dalam karya seni ditafsir, dinilai dan diberi kedudukannya. Harus
diingat segala aspek kesempurnaan itu ada batas perbezaan yang dipengaruhi oleh
perbezaan persepsi, pengalaman, ilmu dan jurang perbezaan silang budaya. Ini
menjadikan nilai sempurna dan tidak sempurnanya hasilan seni adalah suatu yang
subjektif.
Lampiran 2 :
Nampak pelik ayat tajuk diatas. Namun bagi pelajar yang mengambil jurusan seni tajuk
atas bukanlah suatu yang baru, malah ia adalah satu subjek yang perlu diambil, dan satu
kajian yang mendalam mengenai suatu gambar yang telah dilukis secara tersurat
mahupun tersirat.
Apakah itu Apresiasi Seni?
Ia boleh didefinisikan sebagai kajian mengenai pelukis-pelukis atau pandai tukang
mengenai hasil-hasil seni mereka, faktor yang mempengaruhi mereka, cara mereka
bekerja, bagaimana mereka memilih tema dan ‘subject matter’ serta gaya dan cara
mereka mengikut kreativiti masing-masing untuk mengolah suatu gambar menjadi seperti
penceritaan.
Semua ini berhubung dengan aspek pemahaman mereka dari aspek- aspek kognitif. Ianya
juga sebagai satu penghargaan terhadap penilaian dan perasaan terhadap sesuatu hasil
seni itu. Ia boleh dikatakan sebagai pembentukan sikap, minat dan kebolehan membuat
pilihan dan ini berkait rapat dengan aspek-aspek afektif.
Objektif Apresiasi:
 a) Memahami dan bertindak terhadap aspek seni
 b) Mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan
 c) Menghasilkan karya (produk seni)
 d) Memahami seni dan hubungannya
 e) Membuat dan menggunakan pertimbangan estetik dan kualiti karya seni
Banyak aspek yang disentuh untuk mengkaji dalam Apresiasi Seni ini.
Percayalah, bukan sehari dua pemahaman untuk kita mengenali lebih details tentang
subjek ini. Banyak sub topik yang dikecilkan. Ia banyak dinilai melalui psikologi dan
juga secara logik(tradisional). Kedua-dua elemen ini penting, dan perlu tahu.
Tak mahu bercakap banyak. Mari kita tengok, baca, hayati dan fahami, contoh karya
Apresiasi Seni yang telah lama dibuat oleh pakar lukisan oleh Dr. Zakaria bin
Ali.Bertajuk WInd 1991. Mungkin sedikit sebanyak boleh anda pelajari apa kandungan
yang cuba disampaikan oleh Dr Zakaria yang otai ini.

Rujukan

1. http://wargamarhaen.blogspot.com/2011/07/koleksi-tetap-karya-almarhum-datuk-
syed.html
2. www.arkib.gov.my/syed_ahmad_jamal
3. http://wargamarhaen.blogspot.com/2011/07/koleksi-tetap-karya-almarhum-datuk-
syed.html
4. http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?
file=/2009/10/7/mstar_manusia_peristiwa/20091007131319&sec=mstar_manusia_peristi
wa
5. Salawati Hj Abdul Wahab (2008) .Modul OUM HBAE4303.Apresiasi Dan
Kritikan Seni:Open Universiti Malaysia
6. Zakaria Ali (1989). Seni dan Seniman; Esei Seni Halus. Dewan Bahasa dan
Pustaka Kuala Lumpur

Anda mungkin juga menyukai