Anda di halaman 1dari 4

Pertanian dan Penternakan dalam Islam

Pertanian bukan sahaja boleh memberi faedah dan kesenangan hidup


umat Islam di dunia malah ia juga adalah satu ibadah yang tinggi nilainya
GAMBAR HIASAN
SAODAH ABD. RAHMAN
10 Jun 2016 6:10 PM
PERTANIAN adalah satu kegiatan yang penting bagi kehidupan manusia di
dunia ini. Ia juga satu kegiatan yang mulia di sisi Allah. Hasil pertanian dan
penternakan adalah asas kehidupan manusia. Bumi yang dikurniakan oleh
Allah perlu diusahakan oleh manusia supaya penghuninya tidak kelaparan
dan menderita.

Allah menyediakan keperluan asas pertanian seperti mata air, hujan dan
seumpamanya bagi menghidupkan bumi dengan tanaman dan
penternakan demi kebaikan manusia di dunia ini. Sepertimana firman Allah
dalam Surah 36 (Yasin): 34-35 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan (di
atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) kebun-kebun kurma
dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Supaya
mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh
tangan mereka, maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”

Kegiatan pertanian dan penternakan bukan sahaja sumber rezeki yang


diperoleh oleh petani malah ia juga satu aktiviti yang boleh mendorong
umat Islam mendekatkan diri kepada Allah dan memperkukuhkan akidah
mereka. Ini disebabkan tanda atau bukti kebesaran Allah dapat dilihat
dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan dan hasil
penternakan.

Ketakwaan kepada Allah mudah diresapi dalam minda dan sanubari


hamba Allah yang beriman kerana kegiatan pertanian dan penternakan
boleh mendorong petani dan penternak memahami hakikat sebenar
bertawakal kepada Allah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan.
Jika Allah takdirkan sesuatu tanaman itu hidup maka tanaman tersebut
akan hidup dengan subur dan memperoleh hasil lumayan secara
menurunkan hujan dan seumpamanya.

Jika Allah ingin memusnahkan tanaman dan ternakan maka petani tidak
terdaya untuk menghalang takdir Ilahi walaupun negara mempunyai
teknologi yang canggih dalam pertanian. Kemarau dan ketandusan tanah
yang berpanjangan serta musuh-musuh pertanian seperti tikus, belalang
dan seumpamanya boleh menyebabkan petani mengalami kerugian dan
kesulitan dalam kehidupan.

Berdasarkan kepada suasana begini maka petani yang beriman sering


bertawakal dan berdoa kepada Allah serta mengeluarkan zakat hasil
tanaman dan ternakan mereka. Ini adalah sifat yang mulia terdapat pada
diri petani yang beriman.

Ulama Islam mengaitkan bidang pertanian dan penternakan sebagai fardu


ain atau fardu kifayah berdasarkan kepada keperluan individu, masyarakat
dan negara. Jika seorang individu hanya memperoleh nafkah untuk dirinya
dan keluarganya melalui pertanian maka hukumnya ialah fardu ain baginya
menceburi diri dalam bidang pertanian. Jika seseorang itu mempunyai
kepakaran dalam salah satu bidang pertanian dan tidak ada seorang pun
yang pakar sepertinya maka hukumnya adalah wajib baginya menceburi
bidang tersebut demi kepentingan orang awam.

Jika terdapat ramai petani yang pakar dalam bidang pertanian maka
menjadi fardu kifayah kepada setiap petani tersebut mengeluarkan hasil
pertanian mencukupi demi kepentingan awam. Bidang pertanian adalah
fardu kifayah kepada individu Islam kerana manfaatnya lebih besar
daripada kepentingan peribadi. Kebanyakan ulama berpendapat kegiatan
pertanian lebih utama dalam Islam berbanding dengan kegiatan ekonomi
lain kerana ia adalah asas kehidupan manusia yang paling utama. Hasil
pertanian dan penternakan adalah sumber pemakanan dan kesihatan
manusia. Oleh itu, menceburi bidang pertanian adalah kegiatan yang tidak
dapat diabaikan oleh umat Islam.

Pertanian bukan sahaja boleh memberi faedah dan kesenangan hidup


umat Islam di dunia malah ia juga adalah satu ibadah yang tinggi nilainya.
Ia adalah sedekah jariah di mana pahalanya sentiasa bertambah walaupun
petani tersebut telah meninggal dunia.

Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiada


seorang Muslim pun yang bertani, lalu hasil tanamannya dimakan oleh
burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala
di atas hal itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Umat Islam yang rajin dan gigih mencari nafkah tidak akan kelaparan dan
mengalami kesengsaraan dalam kehidupan. Mereka akan berusaha
menghijaukan bumi yang terbiar dengan tanaman-tanaman yang boleh
memberi rezeki yang halal. Dalam negara yang menerima hujan dan tanah
yang subur sepatutnya rakyat tidak menghadapi ketandusan hasil
pertanian yang adalah punca rezeki dan pemakanan seharian. Tanah-
tanah yang diselaputi oleh semak samun sepatutnya diusahakan sebagai
ladang dan kebun buah-buahan untuk memenuhi perut yang kosong dan
sumber pendapatan seharian.

Perkara bagaimana hendak mengisi perut yang kosong di luar bandar


adalah tidak sukar jika penduduk luar bandar rajin dan gigih. Tanah-tanah
terbiar semakin hari kian bertambah lantaran sikap dan pemikiran remaja
Islam yang kurang gemar menceburi diri dalam bidang pertanian.

Konsep hidup yang bercirikan pemikiran yang cetek di mana punca rezeki
hanya bergantung kepada pekerjaan dalam pejabat berhawa dingin dan
berpakaian bergaya adalah faktor utama tanah-tanah di kawasan luar
bandar menjadi tanah terbiar dan negara ketandusan hasil pertanian.

Kerajaan sepatutnya melatih remaja-remaja luar bandar yang menganggur


dan berkeliaran di waktu malam supaya melibatkan diri dalam bidang
pertanian. Mereka perlu diberi latihan dan galakkan supaya mengisi masa
lapang mereka dengan kegiatan pertanian. Bimbingan dan tunjuk ajar
dalam pertanian dan penternakan perlu dijadikan satu agenda utama wakil
rakyat untuk masyarakat supaya bahan asas keperluan makanan dan
minuman negara mencukupi bagi masyarakat dalam negara ini.
Mengimport bahan asas makanan bagi keperluan masyarakat adalah
kurang praktikal bagi negara yang menerima hujan dan tanah-tanah terbiar
yang ditumbuhi oleh semak samun.

Berdasarkan kepada fenomena di mana negara menghadapi kekurangan


asas makanan maka kerajaan perlu menggerakkan wakil-wakil rakyat dan
agensi kerajaan supaya mendorong remaja dan masyarakat luar bandar
supaya melibatkan diri dalam pertanian secara memberi bantuan pertanian
dan penternakan dan latihan-latihan kemahiran dalam pertanian. Kegiatan
seperti ini dituntut oleh agama Islam dan adalah fardu kifayah kepada
masyarakat dan kewajipan kepada kerajaan. Oleh itu, ceburilah bidang
pertanian kerana ia adalah salah satu ibadah yang dituntut dan mulia di sisi
Allah.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan
Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM)

Anda mungkin juga menyukai