Anda di halaman 1dari 4

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan
peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai
golongan pelajar yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Isu ini
menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai.
Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng.
Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga
institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi
keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku
Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah
diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa
perlulah memainkan peranan bagi menghalang golongan anak muda daripada terjebak
dalam gejala sosial seperti ponteng sekolah.

Antara punca berlakunya gejala sosial seperti ponteng adalah disebabkan oleh ibu
bapa yang tidak mengambil berat tentang anak-anak mereka. Golongan ibu bapa wajarlah
mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai
menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan
Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan
kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah
dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada
pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga
mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah
meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak
mereka. Ibu bapa bolehlah membawa pelajar makan angin di destinasi-destinasi yang
menarik di negara kita (Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah, Hj. Muhammad Zakaria, & Maheran
Makhtar, 2006). Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih,
ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi
kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan
kasih sayang seorang ayah dan ibu.

Golongan pelajar perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang
sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap
pembentukan mental pelajar kerana didikan agama dan moral dapat menjamin bahawa
pelajar akan dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan
seterusnya mendorong pelajar mengawal tingkah laku mereka (Nur Thairah Syamsuddin,
2013). Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih
daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama
sekali. Mereka juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama
yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan
ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada pelajar dapat memastikan bahawa
anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan
untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan
merosakkan nama baik sesebuah keluarga (Asmawati Baharuddin & Norhalim Ibrahim,
1996). Ibu bapa perlu memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mereka tentang
gejala-gejala sosial seperti ponteng supaya pelajar mengetahui bahawa perbuatan tersebut
adalah tidak baik.

Seterusnya, punca pelajar ponteng sekolah adalah kurangnya pemantauan ibu bapa
terhadap anak-anak. Ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak berkawan dengan pelajar-
pelajar yang tidak bermoral. Masalah ini sangatlah perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Ibu
bapa seharusnya menasihati anak-anak mereka dari awal lagi untuk memilih rakan-rakan
yang baik. Hal ini demikian kerana, tanpa nasihat ibu bapa kepada anak-anak, mereka tidak
tahu bahawa perkara tersebut tidak baik untuk mereka. Kebanyakan pelajar melihat pelajar-
pelajar yang tidak bermoral ini lebih ‘seronok’ untuk dijadikan sebagai rakan (Mohd. Hasani
Dali, 2011). Pelajar-pelajar yang tidak bermoral lebih bebas dan tidak mengikut peraturan
sekolah. Hal ini menjadi satu tarikan kepada pelajar-pelajar lain untuk turut mencontohi
mereka (Rathakrishnan, 2015). Oleh itu, ibu bapa seharusnya menghalang anak-anak
mereka daripada bergaul dengan rakan-rakan sedemikian. Ibu bapa perlu tahu bahawa
anak-anak mereka masih tidak matang dan tidak tahu untuk membezakan antara rakan
yang baik dan buruk. Justeru, pantauan ibu bapa penting untuk mengelakkan anak-anak
terjebak dengan gejala ponteng sekolah.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan
anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari
semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah
untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai
contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa
dan guru (Saat Sulaiman, 2006). Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat
bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu pelajar yang bermasalah dengan mencari
jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan
oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi.
Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah pelajar perlu dikesan sebelum terlambat
kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk
menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak
mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Selain itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu
bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana
segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka (Dr. Hj. Mohd. Fadzilah
Kamsah, Hj. Muhammad Zakaria, & Maheran Makhtar, 2006). Malah, segala tingkah laku
ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat
buruk seperti mengambil cuti walaupun tidak sakit perlulah berhenti dari berbuat demikian
kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya
ponteng sekolah. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri
mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah
kepada amalan yang tidak baik. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh
anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan pelajar tidak akan terpengaruh dengan tabiat
buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu
menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial seperti ponteng sekolah yang menjadi duri dalam
daging perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi
memastikan golongan pelajar tidak akan menjangkiti sebarang penyakit sosial kerana
pelajarlah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing
agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung,
impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat
direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri daripada terjerumus dalam kancah
sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara.
Rujukan
Akhiar Bin Pardi, & Shamsina Shamsuddin. (2015). PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN
TINGKAH LAKU . Bangi: Pelangi Professional Publishing Sdn. Bhd.

Asmawati Baharuddin, & Norhalim Ibrahim. (1996). Peranan Ibu Bapa. Kajang: Makruf
Publisher & Distributor Sdn. Bhd.

Dali, M. H. (2011). PENGURUSAN BILIK DARJAH UNTUK GURU NOVIS. Sintok: Penerbit
UUM.

Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah, Hj. Muhammad Zakaria, & Maheran Makhtar. (2006).
MENANGANI ANAK BERMASALAH. Damansara: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Nur Thairah Syamsuddin. (2013). PANDUAN MENANGANI ANAK YANG MOGOK


SEKOLAH DAN MALAS BELAJAR. Batu Caves: Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.

Rathakrishnan, B. (2015). INTERVENSI SOSIAL. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan


Pustaka.

Sulaiman, S. (2006). Panduan Menjadi Ibu Bapa CEMERLANG. Bentong: PTS Millennia
Sdn. Bhd.