Anda di halaman 1dari 4

Manfaat bidang falsafah untuk maju

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin


mohdaizat@bh.com.my

SEJAK dulu lagi penerimaan alam Melayu dan dunia Islam terhadap bidang
falsafah agak dingin berikutan pandangan yang menyifatkan ia tidak penting
dan kurang berguna kepada masyarakat.

Malah perbincangan dalam bidang falsafah kerap dikatakan sukar untuk


difahami dan berbeza dengan struktur budaya serta gaya berfikir
masyarakat.

Perkara ini ditekankan oleh ulama Nusantara, Hamka atau nama


sebenarnya Abdul Malik Karim Amrullah yang mendapati wujud salah faham
dan pemikiran negatif terhadap bidang falsafah.

Dalam bukunya Falsafah Hidup yang diterbitkan pada 1940, Hamka menulis
bahawa akan tiba pada satu ketika dalam kalangan masyarakat Islam timbul
kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan falsafah untuk tuntutan
berfikir.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),


Dr Muhammad Razak Idris, berkata Falsafah Hidup dihasilkan bagi
menangani salah faham terhadap bidang falsafah, malah menjadikan beliau
sebagai mujaddid cuba mengembangkan aspek tajdid dalam dunia Melayu
dan Islam.

“Apabila membaca buku itu, beliau merujuk nama yang dekat dengan aliran
tajdid dan islah dalam dunia Islam seperti Jamalud-din al-Afghani,
Muhammad Abduh dan Rashid Rida iaitu tokoh yang berusaha untuk
memberi penyelesaian semasa,” katanya pada program Bicara Buku
Hamka: Falsafah Hidup di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM, Bangi.

Atasi kemunduran

Muhammad Razak berkata, Hamka dalam tulisannya itu juga ada menyebut
bahawa budaya dan sikap negatif akan merugikan umat Islam.

“Kemunduran umat Islam mesti diubati dengan pelbagai cara, antaranya


dengan mengikis sikap negatif terhadap bidang falsafah dan
memperbetulkan salah faham terhadapnya dengan alam erti kata
masyarakat mesti dikembalikan semula keyakinannya terhadap bidang
falsafah.

“Hilang falsafah dalam kehidupan akan melemahkan proses jati diri umat
Islam. Hakikatnya menulis falsafah akan menjadi landasan dan jalan yang
akan memajukan umat Islam pada era kemunduran,” katanya.

Muhammad Razak berkata, masyarakat harus memahami bahawa Hamka


sendiri berada dalam situasi dan persekitaran masyarakat yang mundur.

“Sebagai tokoh mujaddid, beliau ingin menyumbang kepada kemajuan


masyarakat dan umat Islam. Pelbagai cara digerakkan oleh Hamka, kita
boleh membaca sumbangan beliau dalam konteks pembangunan falsafah
dan memperbetulkan sejarah. Malah beliau juga menulis mengenai akhlak
selain naskhah kesusasteraan dan bahasa,” katanya.

Justeru, buku Falsafah Hidup adalah antara sumbangan terpenting Hamka


dalam memperbetulkan salah faham terhadap bidang falsafah serta usaha
menyeru umat Islam bersikap positif terhadap falsafah.

“Hamka melihat bidang falsafah boleh membantu kemajuan umat Islam


kerana tabiat bidang ini yang bersifat mencari atau berusaha untuk
mengenal rahsia. Malah ahli atau sarjana falsafah juga dipanggil sebagai
pencari rahsia.

“Banyak rahsia yang terselindung dalam kehidupan dan alam semesta. Jadi
ahli falsafah perlu mencari rahsia itu sebelum diolah dalam bentuk, formula,
teori dan idea,” katanya.

Muhammad Razak berkata, dalam konteks ketamadunan dan istilah


keagamaan, ia disebut sebagai al-hikmah.

“Dalam bidang falsafah terkandung rahsia dan hikmah kehidupan. Jadi


mempelajari falsafah bererti berusaha untuk menguasai jalan ilmu yang
akan membawa kepada al-hikmah.

“Pada pandangan Hamka, untuk mengatasi permasalahan kemunduran


umat Islam, al-hikmah iaitu rahsia yang membawa kepada kemajuan,
kecemerlangan, kejayaan dan keagungan perlulah dikuasai,” katanya.
Sikap positif Hamka ini tegas beliau bukan rekaan semata-mata sebaliknya
Hamka jika diteliti menulis menggunakan pendekatan tersendiri iaitu dengan
kaedah popular dan bukannya akademik supaya lebih mudah difahami
masyarakat.

“Beliau terdedah dengan karya asal tapi mengolah semula dalam tulisannya
dengan gaya bahasa yang senang dan mudah. Dalam suasana masyarakat
yang negatif terhadap bidang falsafah, buku ini menjadi pengenalan kepada
dunia falsafah yang mendalam dan murni,” katanya.

Tambah Muhammad Razak, Hamka mengasaskan semangat itu dan


mengajak umat Islam mengambil positif terhadap bidang falsafah kerana
dorongan al-Quran dan hadis. Firman Allah SWT: “Tidakkah mereka
memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit,
bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang,
bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia
dihamparkan?.” (Al Ghaasyiyah: 17-20).

“Hamka banyak mengutip ayat al-Quran antaranya ayat yang mengajak


umat Islam untuk mencari rahsia kejadian alam kerana di sebaliknya
terkandung banyak rahsia kehidupan yang boleh dijadikan pegangan atau
al-hikmah.

“Menerusi penerokaan terhadap al-Quran, kita dapat melihat sifat positif ilmu
wahyu ini terhadap pengkajian ilmiah dan menerusinya manusia
memperoleh hikmah melalui jalan keinsafan.

“Selain itu, hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Hikmah adalah barang
hilang milik orang beriman. Di mana saja ia temukan, ambillah sebagai
pelajaran.” (HR. Tirmidzi). Semangat itu membawa kepada gerakan
pencarian hikmah dalam dunia Islam yang pernah membawa kepada zaman
keagungannya,” katanya.

Zaman Yunani

Tambah Muhammad Razak, Yunani adalah tamadun terawal yang agresif


dalam pencarian tuhan dan berusaha mencari jawapan di sebalik kejadian
alam.
“Ketika masyarakat berada dalam suasana tahyul dan khurafat, lahir
kelompok yang memberi jawapan yang berlainan daripada pemikiran sedia
ada. Ia membawa kepada gerakan keilmuan zaman Yunani dan seterusnya
membawa kepada kecemerlangan tamadun terbabit.

“Apabila tamadun Islam bangkit di zaman Abbasiyah, dibangunkan Baitul


Hikmah untuk menterjemah karya dan kitab tamadun terdahulu. Lahirlah
nama hebat seperti Al-Razi, Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Ghazali yang
muncul dalam proses penemuan hikmah,” katanya.

“Malah pusat penyebaran ilmu itu berpindah dari Yunani ke Iskandariah dan
Hamka juga berkata kemudiannya berlaku perpindahan ke Baghdad, Iraq
dan ke benua Eropah apabila kini semua orang berpusu-pusu untuk belajar
di sana,” katanya.

Justeru, Hamka mengajak umat Islam untuk kembali menguasai bidang


falsafah dengan membangunkan akal dan mengoptimumkan penguasaan
akal yang dimiliki untuk menguasai rahsia dan al-hikmah.

“Akal dan otak adalah anugerah Allah SWT yang menjadi saluran untuk
menemui hakikat Tuhan dan menerusinya umat Islam dapat menakluki ilmu
serta kefahaman terhadap kejadian.

“Sekiranya kita tidak positif terhadap akal, jalan falsafah tidak dapat dikuasai
dan ia akan menjadi kering dan gersang.

“Hamka juga ada berkata, dengan akal, manusia dapat memikirkan nikmat
besar Tuhan. Jadi akal harus dibangunkan dalam masyarakat dengan
diberikan kebebasan bersuara dan institusi yang dapat mendukung supaya
masyarakat tidak terjebak dengan kebodohan,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai