Anda di halaman 1dari 8

1.

0 Pengenalan

Laporan audit merupakan satu laporan yang disediakan oleh juruaudit yang mengandungi
pendapat juruaudit tentang kunci kira-kira, akaun untung dan rugi, dan penyata sumber
dan penggunaan dana. Penyata itu disediakan mengikut kehendak Akta Syarikat, 1965
dan prinsip perakaunan diterima umum supaya memberi gambaran benar dan saksama
tentang hasil kendalian entiti bagi tahun yang berkenaan. Laporan audit juga
membentangkan kedudukan kewangannya pada tarikh kunci kira-kira, serta pendapat
sama ada rekod perakaunan dan rekod-rekod lain disimpan dengan baik mengikut
kehendak akta tersebut atau tidak. Ia juga adalah mengikut penetapan sebagaimana yang
termaktub dalam Akta Audit 1957.

Akta Syarikat, 1965, Seksyen 174 memperuntukkan bahawa juruaudit perlu memberikan
pendapatnya tentang perkara yang berikut; Sama ada pada pendapat juruaudit penyata
kewangan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan
kewangan syarikat dan hasil kendalian syarikat serta perubahan kedudukan kewangan
syarikat atau tidak; sama ada penyata kewangan itu disediakan mengikut kehendak akta
atau tidak dan sama ada rekod perakaunan dan rekod lain termasuk daftar disediakan dan
disimpan seperti yang dikehendaki oleh akta atau tidak. Walaupun laporan juruaudit
hanya menyentuh perkara yang tersebut di atas, juruaudit juga bertanggungjawab
terhadap soal kebenaran dan kesaksamaan laporan pengarah kerana laporan pengarah
merupakan sebahagian daripada penyata kewangan. Laporan pengarah yang disertakan
bersama-sama dengan penyata kewangan memang dimestikan oleh Akta Syarikat 1965,
mengikut Seksyen 169.

Laporan audit hanya akan dikeluarkan setelah juruaudit selesai dengan kerja pemeriksaan
audit. ISA 700, The Auditor's Report on Financial Statements, menghendaki juruaudit
menyemak dan menilai kesimpulan yang diambil daripada bukti audit yang diperoleh
sebagai asas pemberian pendapat tentang penyata kewangan. Juruaudit dikehendaki
melapor kepada pemegang saham atau ahli entiti sama ada menurut pendapat mereka,
penyata kewangan pada hakikatnya memberikan gambaran yang benar dan saksama
tentang kedudukan kewangan pelanggan tersebut dan hasil kendaliannya, atau tidak. Oleh
sebab implikasi laporan audit adalah berat, juruaudit harus sentiasa berhati-hati pada
sepanjang tempoh tugasnya, iaitu mulai dari peringkat tinjauan sistem pelanggan, semasa
penyiasatan terperinci terhadap rekod pelanggan dan akhir sekali pada peringkat
pemeriksaan akaun akhir.

2.0 Laporan Ketua Audit Negara

Tugas menyediakan penyata kewangan merupakan tanggungjawab pihak pengurusan


entiti. Tanggungjawab utama juruaudit bebas pula adalah untuk memberikan pendapat
kepada pihak luar termasuk para pelabur dan pemiutang tentang penyata kewangan yang
dipersembahkan sama ada ia memberikan gambaran yang benar dan saksama tentang
kedudukan kewangan entiti dan hasil kendaliannya atau sebaliknya. Tanggungjawab ini
dapat dipenuhi dengan menyertakan bersama-sama penyata kewangan sebuah laporan
audit yang mengandungi pendapat tersebut. Pengauditan adalah proses di mana individu
yang kompeten, bebas mengumpul dan menilai segala bukti mengenai maklumat yang
berhubung rapat dengan entiti ekonomi yang spesifik untuk tujuan mengenalpasti dan
seterusnya melaporkan tahap pertalian di antara maklumat yang dikenalpasti dengan
kriteria yang telah ditetapkan. Definisi ringkas Laporan Ketua Audit Negara ialah sebuah
laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara di atas syor serta persetujuan dari
Ketua Audit Negara yang telah dilantik. Ianya datang sama ada secara tahunan atau dwi-
tahunan.

2.1 Jabatan Audit Negara Malaysia

Jabatan Audit Negara, adalah sebuah jabatan yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia
bagi menyelia kewangan semua kementerian, agensi dan jabatan dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) di negara Malaysia. Institusi Audit sebenarnya telah lama wujud di Tanah
Melayu iaitu semenjak dari zaman pentadbiran Kolonial British lagi, pada awal abad ke
20 bagi memperkukuhkan sistem pentadbiran kewangan kerajaan pada ketika itu. Ianya
wujud secara berasingan mengikut negeri-negeri iaitu Negeri Melayu Bersekutu dan
Negeri Selat. Di setiap Negeri Melayu Bersekutu, Institusi ini diberi nama 'Audit Office'
dan diketuai oleh State Auditor. Ibu pejabat bagi Audit office ini terletak di Kuala
Lumpur dan diketuai oleh seorang Chief Auditor. Institusi Audit Negara yang lebih
tersusun dari segi struktur dan bidang tugasnya bermula pada tahun 1906 di mana Ketua
Audit Negara untuk Negeri Melayu Bersekutu pertama iaitu W.J.P Hume dilantik. Pada
tahun 1932 kedua-dua Institusi digabungkan dan diletakkan di bawah kawalan Director
of Colonial Audit yang berpusat di London. Tugas pengauditan dipertanggungjawabkan
kepada Auditor of the Straits Settlements and the Federated Malay States yang berpusat
di Kuala Lumpur. Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, jawatan
Director of Audit Malaya ditukar kepada nama Ketua Audit Negara. Pelantikan Ketua
Audit Negara serta tanggungjawabnya termaktub di bawah Perkara 105 Perlembagaan
Persekutuan dan Akta Audit 1957.

2.2 Ketua Audit Negara

Jabatan Audit Negara diketuai oleh seorang Ketua Audit Negara yang dilantik
berdasarkan Akta Audit 1957. Ketua Audit Negara pada kebiasaannya dilantik dikalangan
pegawai tinggi Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik) yang telah bersara.
Ketua Audit Negara dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas
nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja mengikut Artikel
105 Perlembagaan Persekutuan. Beliau dibantu oleh 2 orang Timbalan Ketua Audit
Negara iaitu pegawai tertinggi Skim Perkhidmatan Juruaudit. Melalui penstrukturan
organisasi pada 2007, Jabatan Audit Negara dibahagikan kepada 5 sektor iaitu Sektor
Pengurusan, Sektor Audit Kerajaan Persekutuan, Sektor Audit Badan Berkanun
Persekutuan, Sektor Audit Kerajaan Negeri dan Sektor Audit Khas dan Penyelidikan.
Ketua Audit Negara berkuasa penuh untuk mendapatkan segala maklumat dan keterangan
serta penjelasan dalam menjalankan kewajipannya. Beliau berhak memeriksa semua
dokumen dan boleh meminta individu tertentu memberi keterangan secara bersumpah
serta memberi kuasa kepada mana-mana individu menjalankan penyiasatan dan
pemeriksaan bagi pihak beliau. Di samping itu, Ketua Audit Negara juga boleh
mendapatkan khidmat nasihat perundangan bagi menjalankan tugasnya. Segala
keterangan dan maklumat yang didapati oleh Ketua Audit Negara berkaitan dengan
kewajipannya adalah rahsia.

3.0 Huraian Dari Laporan Ketua Audit Negara 2015

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat
pada tahun 2015 itu menunjukkan tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan
semakin cemerlang berbanding tahun sebelumnya. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin
Buang, berkata sebanyak 180 kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan
mendapat penarafan Cemerlang (5 bintang), berbanding hanya 114, pada tahun 2014.
Pencapaian yang ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti telah memberi
dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan
terhadap pengurusan kewangan. Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan pada
keseluruhannya memberi gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan
kewangan Kerajaan Persekutuan seperti pada 31 Disember 2015 serta hasil operasi dan
aliran tunainya bagi tahun berakhir pada tarikh itu. Rekod perakaunannya telah
diselenggarakan dengan teratur dan kemaskini. Laporan Ketua Audit Negara mengenai
aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, dan Kerajaan-kerajaan
negeri Tahun 2015 dibentangkan secara bersiri sebanyak dua kali pada tahun ini.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan
menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksana dan
dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program / aktiviti
dan projek itu tercapai. Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan
dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik
bagi perbelanjaan yang dibuat. Secara keseluruhannya, hasil Kerajaan Persekutuan
berkurangan sejumlah RM1.537 bilion (0.7 peratus) berbanding dengan tahun 2014.

Kutipan Cukai Pendapatan Individu menunjukkan peningkatan sejumlah RM1.899 bilion


(7.8 peratus) dan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mencapai sasaran yang
ditetapkan iaitu RM27 bilion. Bagaimanapun, pengurangan hasil Cukai Pendapatan
Petroleum sejumlah RM15.397 bilion, Cukai Pendapatan Syarikat sejumlah RM1.560
bilion dan Royalti Petroleum sejumlah RM1.389 bilion menyumbang kepada
pengurangan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2015. Kejatuhan harga minyak
mentah dunia memberi kesan yang besar kepada kutipan hasil. Manakala kutipan cukai
jualan dan perkhidmatan berkurangan apabila cukai ini digantikan dengan GST. Pada
tahun 2015, kutipan GST Tempatan berjumlah RM14.040 bilion dan kutipan GST Import
berjumlah RM12.973 bilion, oleh itu, kutipan GST 2015 adalah sebanyak RM27.013
bilion," katanya.

Dalam Laporan Siri 1 itu, sebanyak 70 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan


pengurusan Syarikat Kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri
merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan, hasil
dan pengurusan syarikat. Ketua Jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih
dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan
pengesahan. Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh
Ketua Jabatan berkenaan, Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 78 syor
kepada Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan (43) dan Kerajaan Negeri
(181) untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan. Selain itu, Kementerian
Kewangan juga telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua
Audit Negara Tahun 2015 yang memberi ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua
Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan terhadap isu yang dilaporkan oleh Ketua
Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

3.1 Jabatan Imigresen Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah merupakan salah satu agensi di bawah
Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia menyediakan perkhidmatan kepada warganegara
Malaysia, Penduduk Tetap dan Warganegara Asing yang berkunjung ke Malaysia. Ibu
pejabat pertama Jabatan Imigresen Malaysia terletak Pulau Pinang dan ditubuhkan pada
tahun 1947. Ibu pejabat Imigresen dipindahkan beberapa kali dalam kawasan Kuala
Lumpur sehingga pada bulan September 2004, di mana ia dipindahkan ke Wilayah
Persekutuan Putrajaya. Perpindahan ini dilakukan secara berperingkat sebagai langkah
untuk memastikan proses kerja dapat dijalankan dengan sempurna.

Antara fungsi-fungsi Jabatan Imigresen Malaysia ialah; Mengeluarkan Pasport dan


Dokumen Perjalanan kepada warganegara dan penduduk tetap, mengeluarkan Visa, Pas
dan Permit kepada warganegara asing yang memasuki Malaysi, mengawal selia
pergerakan keluar masuk orang di pintu-pintu masuk yang diwartakan serta
menguatkuasakan Akta Imigresen 1959 / 63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta
Pasport 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007
(pindaan 2010).
3.2 Huraian tentang Teguran (Berdasarkan LKAN 2015)

LKAN 2015 Siri 1 dibentangkan di Parlimen pada 18 Mei 2015 dan terdapat dua bentuk
teguran iaitu teguran 'corrective' yang melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur
manakala teguran punitif melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku
atau kecuaian pelaksanaan tugas. Dalam Laporan Siri 1 itu, terdapat 751 teguran iaitu 708
teguran corrective (94.3 peratus) dan 43 teguran punitif (5.7 peratus) melibatkan empat
kementerian, Badan Berkanun Persekutuan (dua), Kerajaan Negeri (tujuh) dan Syarikat
Persekutuan (dua). Bagi 708 teguran corrective, beliau berkata 280 teguran atau 39.5
peratus telah selesai diambil tindakan penambahbaikan oleh kementerian / agensi yang
berkenaan manakala 428 teguran (60.5 peratus) masih dalam tindakan kerana teguran-
teguran berkenaan memerlukan masa untuk dibuat tindakan pembetulan /
penambahbaikan oleh kementerian / agensi yang terlibat. Status tindakan ini dipantau
melalui Dashboard Jabatan Audit Negara. Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap
sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku dan akan memastikan tindakan tegas
diambil.

Enam Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat 10 teguran punitif yang
melibatkan empat kementerian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 (LKAN) 2015
Siri 1. Siasatan telah dibuat melibatkan empat kementerian iaitu Kementerian Kerja
Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Siasatan ini
bertujuan untuk memperoleh keterangan relevan dari aspek kesaksian dan keterlibatan
pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan dan sekiranya pegawai didapati salah laku atau
kecuaian, maka tindakan tatatertib, surcaj, atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan
dikenakan. Berdasarkan siasatan tersebut juga, dua teguran melibatkan Pengurusan
Perolehan dan Perkhidmatan di Jabatan Pertahanan Awam, JPM dan Pelaksanaan Sistem
Imigresen Malaysia (myIMMs), KDN mempunyai asas untuk dimulakan prosiding
tatatertib yang melibatkan enam pegawai (empat pegawai Gred pangkat 48 ke atas dan
dua lagi Gred 44 ke bawah). Lapan teguran didapati tiada unsur penyelewengan,
penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya
memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa, katanya dalam sesi
bersama media susulan LKAN 2015 Siri 1 di Auditorium Kompleks E di sini, Selasa.
Bagi 33 teguran yang melibatkan Badan Berkanun Persekutuan, Kerajaan Negeri dan
Syarikat Persekutuan, Ali berkata perkara ini akan dibawa oleh Jabatan Audit Negara ke
peringkat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara untuk menentukan bentuk
tindakan yang akan diambil.

4.0 Syor Dan Cadangan


Sistem myIMMs Jabatan Imigresen telah gagal dalam membekalkan data yang tepat
tentang jumlah pekerja asing yang ada di Malaysia. Ini merupakan antara penemuan
tentang kelemahan Jabatan Imigresen Malaysia, sedangkan berjuta ringgit dari
peruntukkan yang telah dibelanjakan untuk implimentasinya. Hasil siasatan Jabatan Audit
Negara dalam Laporan Audit Negara 2015 Siri 1 mendedahkan bahawa laporan janaan
sistem myIMMS Jabatan Imigresen Negara adalah jauh berbeza dengan data analisa
Jabatan Audit. Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Dato' Zahid Hamidi yang telah
menswastakan pelaksanaan urusan Jabatan Imigresen kepada syarikat swasta. Ini adalah
tindakan yang dirasakan tidak rasional dari segi akauntabiliti sedangkan Jabatan
Imigresen Malaysia pada ketika itu gagal dalam pengumpulan data-data pekerja asing.

Data pekerja asing pada tahun 2014 mengikut analisa audit adalah sejumlah 1,107,982
orang tetapi laporan janaan sistem myIMMs memaparkan data seramai 1,770,983 orang
pekerja asing sedang bekerja di dalam Malaysia, dengan perbezaan sejumlah 663,001
orang. Laporan audit turut mendedahkan bahawa penjanaan maklumat yang tidak tepat
telah mengakibatkan permasalahan di bahagian penguatkuasaan dalam melaksanakan
tugas mereka. Isu pendatang asing dan pekerja asing merupakan satu isu yang berkaitan
rapat dengan keselamatan dan kedaulatan negara. Bagaimanakah kerajaan Malaysia
menjamin keselamatan rakyat Malaysia dalam keadaan sistem myIMMS yang
digunapakai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang tidak efisien dan gagal dalam
perkara asas seperti mengumpul data jumlah pekerja asing di dalam negara. Selain
daripada itu, masalah yang berkaitan tentang penggunaan MyEG. Sejumlah 8,975
permohonan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sambilan melalui sistem MyEG yang telah
diluluskan oleh MyEG tanpa semakan dan kelulusan pegawai Imigresen. Ini telah
menimbulkan pelbagai tanggapan serta membuktikan terdapat urusan yang tidak sah
dalam pelaksanaan sistem tersebut. Syarikat tersebut merupakan sebuah entiti swasta
yang tidak ada perkaitan dengan JIM, namun hasil kutipannya adalah hak milik 100%
syarikat yang mengelolanya sedangkan segala perbelanjaannya diperolehi dari
peruntukkan kerajaan yang diberikan kepada JIM. Ini adalah agak tidak masuk akal.

Berikut adalah antara syor-syor yang pengkaji rasakan perlu untuk menyelesaikan
permasalahan yang dihadapi oleh Jabatan Imigresen Malaysia;

4.1 Menghentikan Penggunaan Sistem myIMMS dan MyEG

Menggantikan terus Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dengan suatu sistem baru
yang lebih bersepadu sebagai satu pembaharuan terhadap sistem teras dan aplikasi
imigresen agar berupaya memenuhi keperluan keselamatan negara secara menyeluruh
dan bersepadu. Pembaharuan tersebut amat kritikal bagi memastikan sistem yang
digunakan dapat berfungsi dengan selamat, lebih efisien serta kekal relevan sesuai
dengan cabaran semasa. Persekitaran keselamatan global yang semakin mencabar
menuntut sistem kawalan sempadan dan imigresen yang lebih berkesan serta cekap bagi
menangani khususnya aktiviti militan, keganasan dan pemerdagangan manusia termasuk
pengawalan kemasukan warganegara asing ke negara ini.

4.2 Urusan Perekodan Data Diserahkan kepada JIM

Segala urusan merekod data-data mengenai imigran dan warganegara melalui urusan visa
dan juga dokumen perjalanan warganegara hendaklah diuruskan sepenuhnya oleh JIM.
Tiada lagi menggunakan vendor swasta mahupun asing bagi urusan tersebut yang mana
boleh diklasifikasikan sebagai dokumen sulit. Ini bagi mengelakkan daripada data-data
tersebut disalah gunakan untuk tujuan-tujuan yang salah, dan juga mengelakkan dari
perbelanjaan kerajaan yang mana sepatutnya digunakan untuk jabatan kerajaan tersebut
disalah gunakan untuk entiti swasta yang tidak ada perkaitan dengan kerajaan.

4.3 Jabatan Imigresen Di Raja Malaysia

Sudah sepatutnya pihak kerajaan menaik taraf Jabatan Imigresen Malaysia ke Jabatan
Imigresen Di Raja Malaysia. Ini kerana sudah agak lama jabatan tersebut menjadi
penyumbang kepada Hasil Negara dan bagi mengelakkan ketirisan pemerolehan
mahupun peruntukkan yang berleluasa di jabatan tersebut.

4.4 Menghentikan Pengurusan Tendar Menggunakan Syarikat Swasta

Amalan pengurusan tender-tender projek sistem dan perkhidmatan utiliti di JIM masih
lagi menggunakan vendor-vendor dari syarikat-syarikat swasta. Kos-kos pengeluaran
ataupun implimentasi sistem adalah berada di bawah budi bicara syarikat tersebut yang
mana jauh lebih tinggi. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) haruslah menghentikan amalan
ini dan mengambil inisiatif untuk melakukan semuanya dengan sendiri. Apa gunanya
Kumpulan Innovatif dan Kreatif (KIK) setiap tahun kalau hasil yang sama diberikan
secara tender kepada syarikat swasta. Bayangkan, Kementerian Kewangan Malaysia telah
membelanjakan sebanyak RM 29.9 Juta pada tahun 2010 kepada syarikat HeiTech Padu
Berhad, untuk MyIMMS selama satu tahun, dan selepas 4 tahun permasalahan dan
kelemahan sistem tersebut mulai dikesan dan JIM serta warga kerjanya yang
dipersalahkan.

4.5 Tiada Lagi 'Political Favors'

Tiada lagi amalan budi bicara politikal diberikan kepada golongan VVIP dari walaupun
parti politik yang memerintah dalam kerajaan. Amalan ini diberikan kepada mereka yang
dalam sistem sudah pun diisytiharkan sebagai bankrup. Dengan semudah menekan
keyboard dan mouse segala rekod-rekod mereka dihapuskan dan juga berkeadaan 'bersih'.
Semua ini sama ada dilakukan secara rasuah ataupun ugutan politikal. Ini dapat dilakukan
dengan sistem operasian JIM yang lemah. Oleh itu permintaan yang berbaur politikal
favors ini wajib dihapuskan terus.
5.0 Kesimpulan

Pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan akan menyumbang kepada


pembangunan dan kemakmuran negara. Dalam melaksanakan pengurusan kewangan
yang cekap, berkesan, berintegriti dan berakauntabiliti bagi menyokong usaha-usaha
perlbagai program-program, kementerian, jabatan dan syarikat milik kerajaan (GLC)
perlu mematuhi segala Arahan Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang
dikuatkuasakan oleh kerajaan. Selain daripada itu, untuk mengatasi masalah ketirisan
mahupun mengekalkan perbelanjaan berhemah, kerjasama dari semua pihak termasuklah
pegawai serta yang diperingkat atasan juga diperlukan. Oleh itu etika kerja juga amat
penting. Kakitangan, staf atau penjawat awam yang berkualiti tinggi merupakan aset
penting terhadap kejayaan sesebuah organisasi dan negara. Sifat amanah, telus,
bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam merupakan intipati kepada
istilah integriti dan etika. Dengan kata lain integriti dan etika dalam pekerjaan dan
organisasi bukan sekadar penglibatan diri individu untuk menyediakan keperluan dirinya
sahaja sebaliknya melibatkan tindakan baik yang dilakukan dalam kerja dan semua ini
mempunyai kaitan erat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai manusia.
Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam akan mengakibatkan kepincangan
pentadbiran dan salah laku dalam organisasi. Justeru, pengamalan dan pemahaman
terhadap integriti dan etika amat perlu dilaksanakan.

RUJUKAN

Takiah Iskandar, 2004. Asas Pengauditan Edisi Kedua, Kuala Lumpur: DBP

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM: 2013-2025. (2012). Kementerian


Pendidikan Malaysia.

http://www.moe.gov.my/v/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025

https://www.audit.gov.my/index.php/ms/