Anda di halaman 1dari 6

Kisah 25 Nabi

menceritakan sejarah hidup para Nabi

Selasa, 25 Desember 2007


NABI ISA AS
Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda
diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.

Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam,
putera Mariam, dan al-Masih.

Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di
semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah
memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan
di semua alam'" (3:42).

Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia
dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia
adalah seorang perempuan yang suci.

Kelahiran

Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya
diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada
Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat.
Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,

"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada
Tuhan)!'

Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara
kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)

Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama
kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi
terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya
berbunyi:

"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata
daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di
akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)

Kemudian Mariam bertanya,


"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun
menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)

Malaikat menjawab,

"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan
supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada
Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).

Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad
dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda
untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).

Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan
tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta
daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia
dicipta daripada tanah.

Kerasulan dan Kenabian

Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah
dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang
Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta
mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:

"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian
ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami
memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan
Roh Qudus (Suci)." (2:253)

Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan
Nabi. Larangan itu berbunyi,

"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa
yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan
apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada
Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan
kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)

Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa
dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad,
dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.

Ajaran

Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil
menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang
diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan
mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk
dan cahaya," (5:46) dan,

"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)

Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi
berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-
orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-
Qur'an.

Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya
adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:

"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku
memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan;
maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)

Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang
namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:

"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat
yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang
selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)

Pengikut setia

Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan
juga yang tidak setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya
kepada Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:

"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan
rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'"
(5:111)

Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi
Allah. Firman-Nya:

"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;


kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'" (3:52)

Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya
menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman
Allah:

"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa
putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan
menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut
untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu
mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:

"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah
Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'

Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'

Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi
tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya
kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)

Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,

"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit,
yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan
satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik
daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)

Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi
mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu
surah kelima, al-Maidah.

Mukjizat

Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan
dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:

"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu,
dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk
berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu
mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu
menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu
menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu
mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya
antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)

Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata
bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah
maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak
Mempercayai Mukjizat Nabi?)

Wafat

Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi
diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib.
Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang
tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari
tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:

"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu
kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'"
(3:55)

"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau
saksi atas segala sesuatu." (5:117)

Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah
membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya
satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:

"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi
mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan
yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar
dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali
mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)

Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-
Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk
artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan
Soalan Lazim. Terima kasih.)

Terpesong

Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku
pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama
dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:

"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan)
untuk mereka" (57:27).

Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang
berbuat demikian telah terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:

"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia
ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan

"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada
mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah
memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)

Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka.
Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:

"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu.
Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah
bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah
bagaimana mereka berpaling." (5:75)

Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu
Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan
lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian belakang badan
manusia atau haiwan.

Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan
atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka.
Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.

Akhirat

Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di
akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan
ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:

"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan
ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)

Nabi Isa akan menjawab:

"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak
dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa
yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)

Jawapannya bersambung lagi:

"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas
mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau
Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)

Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda
ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:

"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang
tidak dipedulikan." (25:30)

Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih
ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.

Diposkan oleh danissha di 17:39

Anda mungkin juga menyukai