Anda di halaman 1dari 2

Kegagalan komunikasi punca keruntuhan rumah tangga

Di sini, dikongsikan antara punca berlaku halangan dalam komunikasi dan


kaedah mengatasinya.

1. Gagal untuk mendengar

Sukar untuk mendapat kefahaman yang tepat daripada pasangan jika terdapat banyak celahan
dalam percakapan. Gagal untuk mendengar menyebabkan pasangan berasa diri mereka tidak
difahami sebaliknya telah dijatuhkan hukuman dan tidak dipedulikan dengan balasan kata-
kata yang menyakitkan hati.

Bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini? Ini caranya:

• Pilih masa dan tempat yang bersesuaian untuk berbincang

• Pastikan jauh daripada gangguan

• Pastikan pasangan tenang dan bersedia untuk mendengar

• Berikan tumpuan dan fahami apa yang sedang dirasakan pasangan

• Berikan respons dan pandangan jika diminta pasangan

2. Ekspektasi yang berbeza

Hasrat dan harapan yang berbeza antara pasangan boleh membuka ruang berlakunya salah
faham dan pertengkaran. Ketidakmampuan untuk mencapai sesuatu perkara seperti yang
diinginkan menjadi salah satu punca ketidakpuasan pasangan dan menyebabkan hilangnya
minat untuk berkomunikasi. Bagi mengatasi hal ini, berikut antara cadangannya:

• Para suami perlu faham bahawa isteri amat memerlukan kesalinghubungan dalam
berkomunikasi

• Para isteri perlu faham bahawa suami inginkan kebebasan dalam berinteraksi

• Suami isteri perlu saling memberi apa yang diingini pasangan

• Suami isteri perlu elak berprasangka buruk terhadap apa yang difikirkan dan dirasakan oleh
pasangan

• Letakkan ekspektasi yang sewajarnya dengan kemampuan pasangan


3. Cara dan bentuk komunikasi yang berbeza

Pertikaian terhadap gaya pertuturan pasangan turut menjadi halangan komunikasi dalam
rumah tangga. Isu bahasa, nada suara, mimik muka dan pandangan mata yang tidak
menyenangkan pasangan menyebabkan hubungan menjadi hambar.

Situasi ini dapat dielak dengan cara berikut:

• Suami isteri perlu sedar dan peka dengan perbezaan cara pasangan berkomunikasi

• Suami isteri perlu faham bahawa sejarah dan latar belakang pasangan ada kaitan dengan
cara mereka berkomunikasi

• Suami isteri harus belajar untuk menerima perbezaan tersebut

• Suami isteri harus mempertingkatkan seni komunikasi yang dekat dengan pasangan

4. Isu yang tidak boleh diselesaikan

Adakalanya, pasangan diuji dengan sesuatu yang agak berat untuk ditanggung dalam rumah
tangga. Memaksa pasangan menyelesaikan isu dengan segera sedangkan dirinya tidak
mampu pada saat itu boleh mengundang komunikasi yang tidak baik dan memudaratkan
hubungan.

Antara perkara yang disarankan apabila menghadapi isu ini adalah:

• Berikan ruang dan masa untuk kedua-dua pasangan bertenang

• Cuba ubah lokasi perbincangan dengan persekitaran yang lebih kondusif

• Yakin dan sentiasa positif bahawa pasangan boleh berubah

• Kenal pasti kekuatan dan kelebihan pasangan yang boleh dimanfaatkan bagi menyelesaikan
isu yang dihadapi.