Anda di halaman 1dari 6

PERBANDINGAN HASIL KARYA PENULIS KOLONIAL DENGAN PENULIS TEMPATAN

1.0 PENGENALAN
Pensejarahan Malaysia merupakan hasil karya atau penulisan yang berkaitan dengan sejarah
berkenaan Malaysia (Yusof Hashim, 1992). Karya sejarah ini dihasilkan bukan sahaja
daripada kalangan penulis tempatan, malahan juga dihasilkan oleh penulis kolonial yang
menjajah Tanah Melayu. Antara karya pensejarahan tersebut ialah Sejarah Melayu, Hikayat
Abdullah, Tuhfat al-Nafis, British Malaya, A History of Johore dan lain-lain. Karya-karya ini
mempunyai persamaan dan perbezaan yang boleh dikaji dari pelbagai aspek seperti aspek
motif penulisan, sentrik, keobjektifan, filolog, anakronisme dan sebagainya. Namun begitu,
aspek yang diketengahkan dalam penulisan ini ialah motif penulisan, sentrik dan keobjektifan
penulisan pensejarahan Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kolonial dan penulis tempatan.

2.0 ASPEK PERBANDINGAN


2.1 MOTIF PENULISAN

Pada zaman feudalisme Melayu, penulisan sejarah bertujuan mengangkat martabat dan
keagungan raja (Raja Hassan, 1972). Hal ini demikian kerana penulisan sejarah dijadikan
panduan kepada pemerintah-pemerintah terkemudian dalam urusan pentadbiran dan
pemerintahan sesebuah negeri mahupun kerajaan. Penulisan sejarah yang dihasilkan
adalah untuk dijadikan rujukan sebagai memudahkan dan melicinkan urusan pentadbiran
sesebuah negeri yang dilaksanakan oleh seorang raja. Dalam karya Tuhfat al-Nafis, Raja Ali
Haji (1998) mengangkat martabat raja-raja Melayu dengan menyenaraikan nama-nama
sultan yang diceritakan seperti Sultan Anum, Sultan Mahmud, Sultan Ibrahim dan Sultan
Lambayang.

“Syahadan Sultan Abd al-Rahman inilah berputerakan Sultan Muhammad yang


gaharanya, ada puteranya yang bukan gahara, dua orang pertama Tengku Sulaiman,
timang-timangannya Tengku Muda, kedua Tengku Daud, timangannya Tengku Wok.
Adapun yang perempuannya pertama Tengku Tengah, kedua Tengku Kecik, ketiga
Tengku Andak. Maka pada suatu hari Sultan Lambayang mengadap Sultan Abd ai-jalil di
balai(rung) seri, maka terkentutlah Sultan Lambayang itu tiada ditahannya sambil
katanya, "Saya semua orang Palembang tiada menjadi (malu) terkentut, kerana penyakit
hendak keluar.”
Dalam karya Sejarah Melayu yang diselenggarakan oleh W.G Shellabear pula menceritakan
bahawa Sultan Muzaffar Syah mengumpulkan rakyat Melaka untuk menghadapi serangan
Siam. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keagungan Sultan Muzaffar Syah sebagai
pemerintah negeri Melaka dalam memastikan persediaan seluruh rakyat Melaka menghadapi
musuh demi menjaga keselamatan negeri mereka. Menurut Shellabear (1990) dalam karya
Sejarah Melayu, beliau menyatakan,

“Maka telah Sultan Muzaffir Syah menengar khabar itu, maka baginda menyuruh
menghimpunkan segala rakyat teluk rantau berhimpun ke Melaka.”

2.2 SENTRIK
Sejarah Melayu yang dihasilkan ditulis dengan memberikan tumpuan kepada perlakuan
Melayu. Penulisan sentrik Melayu banyak menggunakan sumber tempatan dan tafsirannya
dilakukan menurut kaca mata tempatan dengan menumpukan kepada perlakuan orang-orang
tempatan berdasarkan fakta-fakta tempatan (Yusof Hashim, 1992). Hal ini demikian kerana
penulisan sentrik Melayu terlalu mengagungkan suku kaum raja dan golongan istana seperti
yang dapat dilihat dalam karya Tuhfat al-Nafis. Penulisan Raja Ali Haji ini sangat
mengagungkan dan meninggikan martabat serta kedudukan suku kaum Bugis dalam istana
Riau pada ketika itu. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan kehebatan suku kaumnya dalam
memerintah sesebuah negeri di mata masyarakat negeri dan kerajaan lain (Arba’iyah Mohd
Noor & Hanafi Ibrahim, 2015). Hal ini dapat dibuktikan dalam karya Tuhfat al-Nafis apabila
Raja Ali menyatakan bahawa,

“Syahadan maka Opu Kelana Jaya Putera pun minta kepada Raja Sulaiman hendak pergi
ke Selangor mendapatkan (sgala) Bugis-bugis di (Selangor dan di Langat) hendak
(muafakat) mencari kekuatan, kerana adalah (pada masa itu negeri Selangor dan Langat
banyak memang) Bugis berdagang diam di situ, sebab hampir negeri Melaka senang
berniaga. Pulang pergi dan banyaklah yang kaya-kaya Bugis di situ. Adapun segala
Bugis-bugis di situ apabila (datanglah) opu-opu itu ke Selangor dan ke Langat, (maka)
dipermuliakannya(lah) kerana mereka (mereka) itu tahu akan opu-opu itu anak raja (yang)
besar(nya, dan) tuan penghulu kepada mereka itu semua. Istimewa pula kedatangan opu
itu bukannya dengan merisau (kerana hendak bermain-main), tetapi adalah datangnya itu
cukup dangan hulubalang(nya, dan) menterinya serta (dengan) punggawanya, dan indera
gurunya, dan juak-juak, asykar, tenteranya serta (mereka itu) mengharapkan opu-opu itu
mendapat nama dan pangkat di tanah barat (ini) dengan berkekalan turun-menurun "

Dari perspektif sentrik Eropah pula, penulisan sejarah yang dihasilkan adalah cenderung dan
tertumpu kepada sumbangan positif pihak kolonial kepada masyarakat di Tanah Melayu. Motif
mentamadunkan orang Timur merupakan satu alasan penjahahan orang Eropah ke Timur.
Dengan itu, kemodenan dan ketamadunan di Tanah Melayu dari aspek kemajuan ekonomi,
pendidikan, infrastruktur dan lain-lain adalah untuk membuktikan kehebatan pentadbiran
penjajah kolonial. Bukan itu sahaja, mereka juga mencatat kejayaaan dan pencapaian yang
telah berjaya dilaksanakan oleh pentadbiran mereka dalam penulisan sejarah secara
terperinci. Hal ini demikian kerana mereka ingin mengangkat martabat dan kedudukan
bangsa Inggeris sebagai bangsa paling bertamadun dan berkuasa di dunia pada ketika itu.
Buktinya, penulisan Frank Swettenham (1907) dalam buku British Malaya yang
menggambarkan cara dan tindakan beliau yang cuba untuk menunjukkan kemampuan
pentadbiran kolonial di bawah beliau sebagai gabenor di Negeri-negeri Melayu Bersekutu
(NNMB) pada waktu itu. Menurut Frank Swettenham,

“In Malacca were much copper and more tin and the gun founders were as good
as those of Germany." Or take the testimony of d'Ercdia. "All kinds of spices, aromatics,
metals, precious stones and pearls found their way from foreign ports to Malaca, where
they were exchanged for cloths, and all passed from Malaca to Coromandel and
Egypt, where the trade centred in Alexandria... Extensive gold-mines exist in the territory
of Malacca, especially in certain mountains such as the mountain of Gunoleden" (=
Gunong Ledang).

2.3 KEOBJEKTIFAN
Penulisan pensejarahan yang ditulis oleh penulis tempatan mempunyai unsur-unsur mitos,
lagenda dan tahyul. Hal ini dapat dilihat pada karya Hikayat Abdullah yang mengkritik
masyarakat yang percaya akan kehebatan Encik Sulung atau lebih dikenali sebagai Pawang
Gajah yang begitu mahir menjinakkan gajah. Hal ini disebabkan oleh kebolehannya dalam
ilmu gajah ataupun pemujaan roh bagi menjinakkan haiwan liar (Abdullah Munsyi, 2007).
Ketaksuban itu telah membuatkan masyarakat mereka cerita dan menokok tambah dengan
segala kepercayaan karut mereka sedangkan bagi Abdullah, peristiwa Pawang gajah
menundukkan hampir 63 ekor gajah itu sebagai satu perkara yang bukanlah luar biasa dan
boleh dilakukan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan tanpa perlu menggunakan ilmu
mistik mahupun jin. Hal ini dapat dibuktikan dalam karya Abdullah Munsyi (2007),

“Maka bergoyanglah segala kandang-kandang itu. Maka jikalau tiada segera dipukul
dengan kayu, sudahlah roboh-roboh habis. Dan lagi, kebanyakan orang-orang Melayu
dan Cina dan lainnya percaya, katanya, "Pawang ini terlalu pandai hikmah gajah " Dan
lagi, banyak-banyak doa dibacakannya sampai gajah di hutan semuanya takut akan dia,
istimewa manusia. Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubat dan
hikmat-hikmat dan tangka-tangkal kepadanya. Maka adalah pada fikiranku bahawa
sekalian itu bohong dan bodoh orang yang percaya demikian. Maka adalah sekalian
perkara yang diperbuatnya itu dengan akal sahaja, bukannya dengan ubat atau hikmat
atau doa, adanya.”

Selain itu kepercayaan bahawa setiap nama yang diberi akan mempengaruhi tahap kesihatan
dan pemilihan nama itu haruslah bersesuaian dengan tuan punya badan ataupun si anak kecil
tersebut dan nama yang tidak sesuai boleh mengakibatkan bayi tersebut merana dengan
kondisi kesihatan yang tidak menentu seperti yang diceritakan dan dikritik oleh Abdullah
dalam hikayatnya,

“Syahadan, ada pula orang yang percaya sebab nama budak itu terlalu besar; itulah
konon mendatangkan penyakit atau mati. Maka sekaliannya itu bohong dan adat-adat
bodoh belaka, yang bukannya daripada Allah dan Rasul datangnya. Adapun darihal ibu
bapa itu sebab tersangat besar kasihnya akan anaknya, maka bagaimana pun baik,
biarlah; asal hidup sahaja, syukurlah.”

Berbeza dengan penulis kolonial, mereka hanya menceritakan tentang fakta Sejarah semata-
mata tanpa menyelitkan unsur tahyul yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Hal ini
demikian kerana kebanyakan fokus penulisan mereka adalah berdasarkan ekonomi dan
politik di Tanah Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dalam karya R. O. Winstedt (1992) yang
menyatakan bahawa Sultan Pahang yang pertama mempunyai dua orang isteri iaitu Raja
Fatimah dan juga anak perempuan Seri Nara Diraja Pahang. Dalam penulisannya ini,
Winstedt hanya menceritakan tentang kisah kehidupan raja tanpa menyelitkan unsur-unsur
mitos yang diamalkan oleh raja tersebut. Seperti yang tertera dalam A History of Johore,
“The first of this Pahang line of Suit removed from Seluyut to a spot called Tanah Puteh
(White Earth), which according to the doubtful authority of the appendix to the "Annals he
named Batu Sawar, but it was so unhealthy that he left it after two years. He had married
about 1570 two wives – one Raja Fatimah, the mother of only one child his father's
predecessor on the throne, and the other a daughter of the Sri Nara'diraja of Pahang, by
whom the Sultan had two sons both destined to become rulers of Johor.”

3.0 KESIMPULAN
Penulisan pensejarahan Malaysia ditulis dan diselenggara sama ada oleh penulis tempatan
mahupun penulis kolonial. Hal ini menyebabkan wujudnya pelbagai motif penulisan yang
dihasilkan seperti bertujuan untuk mengagungkan kedudukan dan takhta raja. Bukan itu sahaja,
penulisan berbentuk kolonial pula mengangkat martabat penjajah sebagai bangsa bertamadun
yang bertujuan untuk mentamadunkan penduduk di Tanah Melayu. Penulisan sejarah juga
mempunyai unsur sentrik sama ada sentrik Melayu atau sentrik Barat. Hal ini menyebabkan
penulisan sejarah tidak lari daripada melakukan unsur bias atau berat sebelah yang dilakukan
oleh penulis tempatan dan kolonial. Namun begitu, setelah diteliti dan difahami terhadap
pengertian sebenar dan bagaimana kemunculan pendekatan sentrik Barat dan sentrik Melayu,
kedua-dua penulisan sejarah tersebut mempunyai persamaan dan perbezaan yang dapat
dibandingbezakan antara keua-duanya. Walaupun kedua-dua pihak penulis tempatan dan
kolonial cuba mempertahankan pendekatan merka dalam soal penulisan sejarah, namun dalam
konteks Pensejarahan Malaysia hendaklah membicarakan tentang kedua-dua jenis penulisan.
Unsur berat sebelah perlulah diketepikan dalam penulisan mereka. Hal ini demikian kerana
Sejarah sepatutnya dikaji secara adil kedua-duanya, bukannya menyebelahi mana-mana pihak.
RUJUKAN

Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. (2007). Hikayat Abdullah. Selangor: Yayasan
Karyawan.

Arba’iyah Mohd. Noor & Mohd. Hanafi Ibrahim. (2015). Raja Ali Haji: Pemikir Ulung Alam
Melayu Abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Frank Swettenham. (1906). British Malaya. London: John Lane The Bodley Head.

Muhammad Yusof Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Percetakan


Watan Sdn. Bhd.

Raja Ali Haji. (1998). Tuhfat al-Nafis. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Raja Hassan Raja Noor. (1972). Pola-pola Historiografi Tradisional dalam Pensejarahan
Melayu. Jurnal Sejarah, bil 2, 16-24.

Shellabear, W. G. (1990). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn.
Bhd.

Winstedt, R. O. (1992). A History of Johore. Selangor: The Malaysian Branch of The


Royal Asiatic Society.