Anda di halaman 1dari 14

TEKS UCAPAN PERASMIAN

DAN
UCAPTAMA
YBHG PROF DATO' DR MOHAMAD KADIM BIN SUAIDI
NAIB CANSELOR, UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK

SEMINAR KEPUSTAKAWANAN 2015 : MEMPERKASAKAN


PERPUSTAKAAN MELALUI INISIATIF BERASASKAN KEBERHASILAN

DI RIVERSIDE MAJESTIC HOTEL,

KUCHING, SARAWAK, PADA 25 NOVEMBER 2015

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan


limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul dalam Majlis Perasmian Seminar
Kepustakawanan 2015 anjuran Pusat Khidmat Maklumat Akademik Universiti
Malaysia Sarawak pada pagi ini.

Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Pusat Khidmat
Maklumat Akademik (PKMA) atas komitmen tinggi yang ditunjukkan selaku hos
dalam merealisasikan penganjuran sesi keilmuan Seminar Kepustakawanan 2015
ini. Ucapan selamat datang dan syabas juga ditujukan kepada institusi-institusi
yang mengambil bahagian dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan
seminar ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Pemilihan tema Seminar telah diperhalusi bersama oleh pihak Jawatankuasa


Penganjur Seminar dengan melihat kepada peri pentingnya perpustakaan dalam

1
mendokong apa jua agenda kerajaan pada amnya dan organisasi khasnya, maka,
pada tahun ini tema yang dipilih adalah Memperkasakan Perpustakaan
Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan

Sebagaimana yang kita semua ketahui, keberhasilan secara umumnya membawa


maksud peningkatan hasil yang lebih baik daripada sebelumnya yang merupakan
matlamat utama sesebuah organsisasi dimana segala aktiviti yang dirancang
adalah terarah untuk mecapai matlamat tersebut.

Hadirin yang dihormati sekalian

Inisiatif berasaskan keberhasilan direka supaya kita memperoleh hasil yang


spesifik , yang mana akan membantu kita melihat kepada sebab-sebab kita
melaksanakan inisiatif tersebut, jenis inisiatif yang dirancang dan hasil yang
hendak kita capai daripadanya. Inisiatif berasaskan keberhasilan meliputi
komponen-komponen penilaian yang membolehkan kita untuk merekod data
mengenai impak inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.

Pustakawan perlu memahami apa yang diperlukan oleh pengguna bagi


membuahkan hasil yang lebih baik dalam pengajaran, pembelajaran dan
penyelidikan. Kebanyakan sumber elektronik mudah diakses tetapi ia
mengurangkan interaksi secara bersemuka di antara pustakawan dan pengguna.
Jadi, bagaimanakah para pustakawan mengetahui samada pelajar, pensyarah dan
penyelidik memperoleh apa yang mereka benar-benar perlu?

Soalan-soalan berikut juga perlu dijawab oleh para pustakawan dalam usaha
mereka merancang inisiatif-inisiatif yang berasaskan keberhasilan:

Bagaimanakah cara untuk para pustakawan berkongsi impak yang diperoleh


daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan? Bagaimana mereka boleh
memperluaskan program-program kepada pengguna dan masyarakat? Bagaimana
2
mereka boleh memastikan program-program tersebut relevan dan dapat
dilestarikan?

Penilaian dan program berasaskan keberhasilan merupakan kaedah-kaedah yang


berkesan bagi menjawab soalan-soalan diatas. Ciri-ciri program berasaskan
keberhasilan:

 Menunjukkan hasil yang mampu menggambarkan nilai dan impak sesuatu


program
 Relevan kepada masyarakat
 Menepati kehendak pemegangtaruh
 Membina kapasiti dalam kalangan staf
 Berkesan dari segi kos
 Menyumbang kepada pengurusan membuat keputusan yang lebih baik

Para pustakawan tidak kira dari perpustakaan Awam, Khusus, Sekolah atau IPT
memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda negara. Mereka harus
bergerak seiring supaya dapat menyumbang ke arah mencapai hasrat tersebut
melalui inisiatif-inisiatif berasaskan keberhasilan justeru memberi impak kepada
masyarakat dan negara.

Dalam persekitaran dunia pendidikan masa kini yang berubah begitu pesat diiringi
dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berilmu, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) menggariskan sepuluh
lonjakan bagi tempoh 2015 hingga 2025 . Lonjakan pertama menumpukan kepada
penghasilan Graduan Holistik , Keusahawanan dan Seimbang dari segi ilmu,
ketrampilan, akhlak, nilai murni, patriotik dan berdisiplin ke arah
pembentukan modal insan negara yang holistik dan
berpersonaliti unggul (towering personality) manakala penekanan perlaksanaan
pula diletakkan pada aspek kurikulum dan kokurikulum yang merangkumi ilmu

3
praktikal dan ilmu falsafah bagi menyokong pembangunan pelajar secara
menyeluruh.

Dengan iklim pengajian tinggi yang semakin mencabar dan realiti pasaran
pekerjaan yang semakin kompetitif, para pelajar perlu dilengkapkan dengan
kesiap-siagaan mental dan fizikal untuk menentukan kecemerlangan aras prestasi
sebagai mahasiswa yang holistik. Pustakawan yang merupakan rakan utama
sesebuah institusi pengajian tinggi, perlu memantapkan lagi peranan demi
menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Negara ini. Perkhidmatan serta
kemudahan sesebuah perpustakaan untuk menyokong dan menyediakan sumber
maklumat untuk tujuan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan kesarjanaan
perlu diperkasakan kerana ianya kini menjadi salah satu kayu ukur dalam
penarafan sesebuah institusi pengajian tinggi. Perpustakaan kini diukur melalui 9
piawaian iaitu keberkesanan, nilai-nilai profesional, peranan kependidikan,
penemuan, koleksi, ruang, tadbir urus, personel dan hubungan luaran.

Para pustakawan perlu memanfaatkan teknologi dengan sepenuhnya kerana dalam


era teknologi maklumat, fungsi perpustakaan sebagai pusat pengumpulan dan
penyampaian maklumat tidak lagi terhad kepada bahan sumber ilmu yang berada
dalam bangunan perpustakaan sahaja. Para pustakawan kini lebih terlibat secara
aktif dalam pembelajaran pelajar melalui penyediaan pelbagai teknologi yang
sesuai dengan perkembangan semasa. Pelbagai kaedah dan media kini digunakan
bagi memastikan maklumat yang diperlukan boleh diperoleh dan dicapai tanpa
mengira masa dan tempat.

Para pustakawan harus melihat kepada penilaian berasaskan hasil demi


membentuk sifat kemenjadian individu secara holistik. Tanpa penghayatan
terhadap ilmu yang dipelajari, pengukuhan elemen keusahawanan, holistik dan
seimbang dalam diri setiap pelajar pengajian tinggi tidak akan tercapai. Maka

4
pengajian selama empat atau lima tahun di Institusi Pengajian Tinggi akan hanya
jadi sekadar mengejar segulung ijazah. Justeru itu, pengukuhan elemen ini sangat
perlu untuk menjamin penghasilan graduan yang berkualiti dan mampu menjiwai
ilmu.

Literasi Maklumat merupakan asas kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat.


Menurut The Assoction of College and Research Libraries (ACRL), Literasi
Maklumat bersifat universal untuk semua disiplin, persekitaran pembelajaran dan
juga peringkat pembelajaran. Ia bukan sahaja membolehkan penguasaan ilmu
yang lebih mendalam, malah pencarian ilmu akan menjadi lebih terarah (Self-
directed) dan terkawal.

Perpustakaan adalah inspirasi kepada pencarian ilmu atau “the pursuit of


knowledge”. Ia perlu menjadi duta kepada pembudayaan ilmu dalam kalangan
masyarakat. Daripada memupuk minat anak-anak kecil kepada buku cerita
fantasi, pencarian resipi terbaharu untuk kaum ibu kepada pencarian maklumat
yang lebih kompleks bagi para penyelidik, Perpustakaan perlu menyediakan
program-program yang membina kemahiran pencarian maklumat yang berkesan,
dan ini sudah pasti akan merangsang proses penemuan baharu dalam apa jua
bidang ilmu yang diterokai. Inilah yang telah berlaku di Perpustakaan tersohor
dunia di zaman silam seperti The Library of Alexandria di Mesir dan Bait Al-
Hikmah di Bahgdad.

Penglibatan pengguna dengan aktiviti dan program di perpustakaan bukanlah


sesuatu yang baharu. Ini kerana perpustakaan telah lama memainkan peranan
sebagai tempat berlakunya aktiviti kemasyarakatan. Program dan aktiviti ini
biasanya berbentuk sukarela, kempen kesedaran dan program yang menyumbang
kepada peningkatan sosio-ekonomi masyarakat . Di perpustakaan pengajian tinggi
dan sekolah-sekolah, pelajar-pelajar yang sudah sedia mahir menggunakan sumber

5
ilmu, alat serta teknologi untuk pembelajaran dan penyelidikan digalakkan
membantu pelajar-pelajar lain untuk menguasai penggunaannya. Pelajar yang
mempunyai kemahiran ICT yang tinggi juga boleh mengasah kemahiran mereka di
Perpustakaan dengan menawarkan bantuan teknikal kepada pelajar-pelajar lain.
Tren ini semakin popular di Perpustakaan Akademik dan Perpustakaan Awam di
luar negara. Pelajar yang aktif dalam aktiviti sukarela ini akan diberi ganjaran
berbentuk keistimewaan dalam keahlian perpustakaan dan juga penggunaan
kemudahan-kemudahan lain. Di UNIMAS sendiri, PKMA seperti perpustakaan-
perpustakaan IPT Awam dan swasta di Malaysia telah mewujudkan Friends of
CAIS /Friends of the Library untuk menggalakkan penglibatan aktif
pelajar/pengguna dengan perkhidmatan dan aktiviti di perpustakaan.

Kewujudan perpustakaan membawa makna yang besar melalui penglibatan secara


langsung dalam kehidupan masyarakat di sekelilingnya. Perpustakaan bukan
sahaja menyediakan prasarana ICT yang membolehkan masyarakat mengakses
maklumat yang tidak mengenal sempadan malah membantu mereka untuk
menggunakan maklumat-maklumat tersebut dengan efektif demi meningkatkan
tahap sosio-ekonomi dan kesejahteraan hidup. Antara program-program
penglibatan komuniti yang dijalankan di perpustakaan khususnya perpustakaan
awam adalah seperti kempen kesedaran kesihatan dan keusahawanan, kelas
penggunaan aplikasi pejabat dan juga berkolaborasi dengan badan dan organisasi
lain untuk menjalankan perkhidmatan seperti pemberian nasihat guaman secara
percuma. Syor daripada The International Federation of Library Association (IFLA)
supaya perpustakaan awam merupakan pra-syarat kepada sebuah masyarakat
demokratik yang berilmu pengetahuan adalah sangat tepat.

Perpustakaan yang sudah sekian lama menjadi gedung simpanan khazanah ilmu
dalam bentuk cetak juga merupakan antara yang terawal menggunakan ICT dalam
perkhidmatan. Perpustakaan kini lebih berbentuk hibrid dengan menyediakan

6
bahan-bahan cetak dan juga elektronik. Perpustakaan juga giat menggunakan
kemudahan ICT untuk penyebaran ilmu. Walaupun tren peminjaman buku secara
amnya semakin menurun, tren pengunjungan pengguna ke perpustakaan pula
adalah sebaliknya. Ini kerana pengguna masih lagi bergantung kepada prasarana
lain yang ditawarkan oleh perpustakaan khususnya kemudahan ICT dan ruang
bacaan. Perpustakaan dewasa ini sememangnya mendukung konsep akses terbuka
kerana ia bukan sahaja menguntungkan perpustakaan malah pengguna. Bagi para
penyelidik, mereka mahukan hasil penyelidikan mereka untuk disebar luas dan
pantas. Akses terbuka dapat menyediakan platform ini dan membolehkan penulis
dan penyelidik mengenepikan birokrasi yang wujud dalam bidang penerbitan
tradisional. Perpustakaan khususnya Perpustakaan Akademik juga aktif
menggunakan akses terbuka dalam sebaran khazanah ilmu organisasi induknya.
Dengan itu, Repositori Institusi adalah antara insiatif akses terbuka yang paling
mendapat sambutan pengguna.

Menurut The American Library Association Literasi Maklumat merupakan


kebolehan-kebolehan yang memerlukan individu untuk mengenalpasti bila
maklumat diperlukan dan mempunyai kebolehan untuk menjejak, menilai dan
mengguna secara berkesan maklumat yang diperlukan. Manakala The Association
of College and Research Libraries (ACRL) mendefinasikannya sebagai kemahiran-
kemahiran yang diperlukan untuk mencari, mendapat, menganalisa dan mengguna
maklumat.

The US National Commission on Library and Information Science pula memberi


definasi yang lebih terperinci iaitu Literasi Maklumat merangkumi pengetahuan
tentang perihal dan keperluan maklumat seseorang, dan kebolehan untuk
mengenalpasti, mencari, menganalisa dan secara berkesan mewujud, mengguna
dan menyebar maklumat supaya dapat menyelesaikan isu atau masalah yang
dihadapi. Ianya merupakan prasyarat kepada penyertaan secara efektif dalam

7
masyarakat bermaklumat, dan sebahagian daripada hak asasi kemanusiaan dalam
pembelajaran sepanjang hayat.

Tahap literasi maklumat pelajar di Malaysia adalah sederhana. Szarina Abdullah,


Nor Rashimawati Tarmuchi, Norliya Ahmad Kassim, Rasimah Aripin & Mohd
Sharif Mohd Saad (2005) menyatakan bahawa literasi maklumat dalam kalangan
pelajar di Universiti Awam & Swasta di Malaysia menunjukkan 50.1% pelajar pada
tahap pertengahan manakala 38.4% pada tahap asas dan 11.5% boleh
dikategorikan pada tahap kompetensi lanjutan.

Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2012 mendapati bahawa tahap literasi
maklumat dalam kalangan masyarakat Malaysia tidak begitu memberangsangkan,
Yazid (2012). Kajian tersebut mendapati kemahiran literasi maklumat dalam
kalangan pengguna Perpustakaan Negara Malaysia adalah ditahap rendah,
terutama dari segi elemen-elemen asas dalam pencarian maklumat, penilaian
maklumat dan kesedaran mengenai penggunaan maklumat secara sah dan
beretika.

Pada Hari Literasi Antarabangsa 8 September 2015, IFLA telah meminta semua
negara ahli untuk melangkah lebih jauh dengan memastikan pendidikan berkualiti
diberi kepada semua secara adil serta mempromosikan peluang-peluang
pembelajaran sepanjang hayat untuk semua seperti mana yang terkandung dalam
Transforming our world: the 2030 Agenda for Sustainable Development, Goal 4.
IFLA bersama dengan the International Publishers Association (IPA), the
International Authors Forum (IAF) and the Reading & Writing Foundation
(RWF) telah mengeluarkan kenyataan bersama tentang literasi dan pembacaan
yang menyeru semua ahli Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menyokong Matlamat
Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) dengan melaksanakan

8
strategi-strategi literasi komprehensif kebangsaan yang koheran dan dibiayai
sewajarnya.

Pustakawan memainkan peranan yang penting dalam mendidik pengguna


mengenai ilmu. Mereka haruslah mengambil peranan yang lebih pro-aktif dalam
bidang pendidikan dan penyelidikan serta memahami selok-belok dunia
penyelidikan di samping sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan
perkembangan terkini dalam dunia penyelidikan terutama sumber ilmu, alat dan
teknologi yang berguna untuk penyelidik.

Pustakawan juga perlu terlibat sama dengan pihak Fakulti dalam usaha
melengkapkan pelajar dengan kompetensi maklumat terutama yang khusus untuk
bidang mereka. Inisiatif Pustakawan Penghubung Fakulti yang dilaksanakan di
institusi pengajian tinggi adalah satu inisiatif yang sangat baik. Setiap bidang ilmu
mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap penyelidikan dan pustakawan
haruslah mendalami selok belok bidang tersebut untuk membolehkan mereka lebih
menjiwainya justeru dapat membantu para pelajar serta penyelidik menggunakan
sumber maklumat yang khusus dan alat serta teknologi yang diperlukan dalam
pencarian maklumat. Setiap pustakawan perlu mendalami satu-satu bidang
tertentu untuk membolehkan mereka menjadi “liaison” atau penghubung fakulti
yang berupaya untuk memberi impak kepada perkhidmatan maklumat yang
ditawarkan.

Kualiti pendidikan masyarakat perlu dilestarikan melalui pengukuhan


kecemerlangan bakat para penyedia maklumat selaras dengan tuntutan perubahan
semasa. Strategi pembangunan bakat, pengetahuan dan sikap dalam kalangan
penyedia maklumat menjadikan mereka lebih relevan untuk dirujuk dan dihormati
oleh masyarakat tempatan dan luar negara. Sehubungan ini, mereka perlu
mempersiapkan diri dengan ilmu dalam menyokong aktiviti pengajaran,

9
penyelidikan dan inovasi oleh para masyarakat. Justeru itu, anugerah
kecemerlangan yang dilaksanakan sejak dari dahulu lagi menunjukkan komitmen
kerajaan dan majikan terhadap pengiktirafan warga yang cemerlang dan komited
dalam memastikan aspirasi organisasi tercapai. Contohnya di UNIMAS, pada
tahun 2015 sebanyak 17 kategori anugerah telah disampaikan termasuk Anugerah
Ahli Akademik Harapan, Anugerah Inovasi/Pengko-mersilan UNIMAS, Anugerah
Kecemerlangan Sukan (lelaki dan wanita), Anugerah Galakan Sukan, Anugerah
Kepimpinan Pengurusan dan Profesional, Anugerah Staf Harapan Pengurusan dan
Profesional dan Anugerah Staf Harapan Pelaksana.

Bagi memastikan kelestarian bakat kepimpinan, laluan kerjaya dan kemahiran


insaniah, pelbagai program dilaksanakan oleh pihak kerajaan antaranya yang
dilaksanakan oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT). Pelbagai
program dan kursus kepimpinan dijalankan melibatkan pengurusan tertinggi,
dekan-dekan, serta pegawai-pegawai utama institusi pengajian. Dalam era
globalisasi dan pengantarabangsaan, para pegawai juga didedahkan dengan
komuniti luar negara melalui pelbagai program, antaranya kursus kepimpinan di
Asian Institute of Managament, IFLA Fellowship, UNESCO Fellowhip, Fullbright
Fellowship dan pelbagai lagi. Terpulang kepada kita untuk meneroka dan
mengambil peluang yang sedia terbentang luas.

Dalam menyokong perbelanjaan berhemah, perpustakaan-perpustakaan telah


mewujudkan jalinan kerjasama pintar di dalam dan luar negara untuk perkongsian
sumber, ilmu dan kepakaran. AUNILO, k@Borneo, IFLA, CONSAL, Association of
Commonwealth University merupakan beberapa contoh kolaborasi luar negara. Di
dalam negara pula, Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC) yang
dianggotai oleh Perpustakaan Negara Malaysia, 20 Universiti Awam, 5 Universiti
GLC dan 7 perpustakaan/pusat sumber jabatan kerajaan dan bukan kerajaan

10
bertindak sebagai entiti yang berfungsi untuk membincangkan perkongsian
koleksi, perundingan harga langganan/perolehan serta harga perkhidmatan.

Malaysian Academic Library Institutional Repository (MALREP) merupakan


platform yang membolehkan pencarian maklumat dari 25 repositori institusi ahli
dengan hanya melalui satu kotak pencarian. Terdapat lebih daripada 250,000
bahan yang terkandung dalam MALREP yang terdiri daripada penulisan dalam
pelbagai bidang. Ini boleh dimanfaatkan oleh penyelidik dan penggiat industri
tempatan supaya lebih banyak penyelidikan dapat dihasilkan dan seterusnya
dikomersialkan. Sehubungan itu, para pustakawan boleh bekerjasama lebih erat
dengan badan/organisasi penyelidikan untuk menyediakan pakej-pakej maklumat
berbayar kepada pihak-pihak yang berkepentingan di dalam dan luar negara

Selain itu, perkongsian sumber ilmu melalui pinjaman antara perpustakaan dan
bekalan dokumen giat dijalankan di perpustakaan-perpustakaan di Malaysia dan
ini telah membantu mengurangkan kos langganan jurnal dan sumber ilmu lain di
perpustakaan.

Dalam keadaan ekonomi semasa, perpustakaan juga perlu mewujudkan inisiatif


untuk penjanaan pendapatan. Perpustakaan-perpustakaan universiti dalam dan
luar negara telah mula bergerak ke arah ini. Contohnya beberapa buah
perpustakaan UA telah melaksanakan inisiatif wakaf dan derma. Manakala di luar
negara, University of Washington, Amerika Syarikat telah mengadakan kempen
Support The Libraries. Sumbangan yang diperoleh adalah dalam bentuk sumber
ilmu, derma, wakaf, matching gift, pemberian terancang, securities, real property
dan lain-lain.

Perpustakaan memainkan peranan yang signifikan ke arah meningkatkan daya


saing organisasi di peringkat global. Pembangunan dan pemantapan Repositori
Institusi merupakan jendela kepada penerbitan organisasi, yang menyumbang
kepada peningkatan visibiliti pengarang dan penyelidik serta organisasi.

11
Penerbitan merupakan output kepada ciptaan ilmu dan ia juga merupakan antara
kaedah utama penyebarannya. Penglibatan perpustakaan dalam komunikasi
kesarjanaan merupakan satu daripada misi teras perpustakaan. Sebagai rakan
penyelidikan, perpustakaan berperanan dalam penciptaan ilmu, pengaksesan
kepada maklumat dan pemeliharaan data. Pustakawan menyokong penyelidikan
dengan menyumbang kepakaran dalam pemeliharaan data dan penemuan
penyelidikan dan seterusnya menyebarkan kepada masyarakat.

Penerbit jurnal seperti BioMed Central dan Public Library of Science (PLOS)
memerlukan pengarang untuk memberi akses kepada pengguna bagi artikel-
artikel yang diterbitkan. Ini memastikan lebih banyak data dalam domain terbuka
bagi perkongsian maklumat serta membolehkan data yang dipetik dalam
penerbitan yang telah disemak dan disahkan oleh pakar dalam bidang berkenaan
(peer-reviewed publications) diguna lagi dan dianalisis dengan lebih efisien.
Penerbit serta agregator jurnal masa kini menghadapi tekanan untuk membuka
kandungan penerbitan mereka bagi inisiatif-inisiatif perlombongan dan penuaian
data secara besar-besaran. Sebagai contoh, Elsevier telah membuka laluan kepada
para penyelidik bagi membolehkan data dapat diekstrak daripada banyak artikel.
Semua ini telah membuka peluang kepada penyelidikan dan penemuan baharu.

Usaha terus diberi untuk menyokong dan menginsentifkan akses terbuka kepada
penyelidikan untuk faedah pendidikan tinggi secara amnya. Perpustakaan
akademik serta institusi mereka terus menyokong untuk mengimplimentasikan
mandat akses terbuka seluruh institusi (institutional-wide open access mandates).
Ini terbukti dengan wujudnya Coalition of Open Access Policy Institutions yang
diasaskan oleh The Association of Research and College Libraries.

Dengan pengumuman oleh Menteri Pendidikan Tinggi tentang pembelajaran Atas


Talian ( online learning) sebagai elemen penting dalam PPPM ( PT) kerajaan

12
komited untuk mendukung teknologi seperti dalam inisiatif Massive Open Online
Courses (MOOCs) dan Blended Learning untuk memastikan pelajar memperoleh
pengalaman melalui pembelajaran transformatif.

Pembelajaran teradun menggabung aktiviti-aktiviti atas talian dan dalam kelas,


untuk memastikan pembelajaran lebih aktif dan seterusnya memberi hasil
pembelajaran yang lebih baik. Dengan pengumuman sebanyak 60 MOOCs yang
aktif masa kini dalam kalangan Universiti Awam dan diunjurkan sebanyak 15%
kursus ditawarkan sebagai MOOCs pada akhir 2015 dan ini akan terus meningkat
kepada 30% pada akhir 2020. Perkembangan yang berterusan ini merupakan
sebahagian daripada pelan strategik KPT untuk meningkatkan kualiti dan akses
kepada pendidikan tinggi negara. Para pustakawan harus mengambil peluang
untuk menyokong inisiatif ini dengan menyediakan Metaliterasi MOOCs iaitu,
literasi maklumat dalam persekitaran pembelajaran terbuka dan media sosial
masa kini serta menyelaraskan urusan berkaitan hak cipta. Mereka juga perlu
menjejak dan mengenalpasti serta mempromosi kandungan terbuka & sumber
pembelajaran terbuka (Open Educational Resources) untuk digunakan dalam
MOOCs.

Para pustakawan harus mengambil peluang untuk menyumbang kepada


masyarakat dan negara melalui inisiatif berasaskan keberhasilan agar
perpustakaan dan bidang kepustakawanan terus mampan dan kekal relevan dalam
abad ini dan yang akan datang.

Akhir kata, semoga Seminar Kepustakawanan 2015, yang bertemakan


Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan
Keberhasilan ini menjadi satu platform yang signifikan kepada para peserta
untuk mengwujudkan perkongsian pintar yang lestari dengan keperluan semasa
13
serta menjadi titik tolak ke arah kejayaan yang lebih besar dalam dunia
kepustakawanan. Sesungguhnya, UNIMAS sentiasa menyokong usaha PKMA
dalam penganjuran seminar sebegini.

Dengan kata-kata itu, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan terima
kasih kepada Jawatankuasa Penganjur atas komitmen dan kesungguhan bagi
menjayakan Seminar ini. Terima kasih juga kepada peserta, pembentang,
pemamir, penaja dan media, semoga apa yang diperoleh sepanjang dua hari
Seminar ini akan diterapkan dalam usaha mencapai matlamat organisasi tuan-
tuan dan puan-puan.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan


Seminar Kepustakawanan 2015 dengan tema: Memperkasakan
Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan

14

Anda mungkin juga menyukai