Anda di halaman 1dari 3

BANGSA SEPAKAT NEGARA BERKAT

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt, Salam Sinar keharmonian.

Sedarkah, tragedi konflik kemanusiaan yang berlaku di Sudan, konflik agama di Mindanoa,
Filipina dan 21 episod peperangan yang terkejam di dunia, berlaku akibat daripada titik
kesepakatan yang tidak pernah bertemu. Benarlah kata Tun Dr Mahathir, Manusia yang
lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya
kesepakatan bangsa untuk negara.

Terima kasih dan Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel
hakim yang sentiasa berasimilasi dengan kebenaran, saudara penjaga masa yang cakna
dengan randiknya, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga intelektual penerus
wawasan Negara. Ayuh renungilah mauduk pidato saya….

Saudara saudari sekalian,

Ernest Renan , dalam pidatonya di Universiti Sorbone Paris pada 11 Mac 1882
mendefinisikan Bangsa sebagai satu jiwa yang melekat pada sekelompok manusia yang
merasa dirinya bersatu kerana mempunyai nasib dan penderitaan yang sama pada masa
lampau dan mempunyai cita-cita yang sama tentang masa depan.

Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka edisi keempat, sepakat membawa maksud
hidup bersatu padu dengan cara muafakat dan bersatu hati membuat sebarang keputusan
di dalam masyarakat. berkat pula membawa maksud setiap usaha dan persetujuan yang
dicapai akan membawa kepada hasil yang baik dan memberi manfaat kepada negara itu
sendiri.

Tuntasnya, Bangsa sepakat negara berkat mengajak dan mendesak kita untuk menilai dan
merungkai bagaimanakah kemampuan dan kekuatan kesepakatan bangsa untuk
mengangkat dan membina negara yang berkat.

Hadirin sekalian,

Hari ini, usia bumi menjangkau 4.54 juta tahun dan dari awal kewujudannya hingga kini,
seramai 106.5 billion umat manusia telah menjadi penghuninya. Bayangkan mampukah
dunia kita bertahan berjuta tahun jika tiada kesepakatan antara penghuninya? Benar, usia
bumi itu hanya dalam pengetahuan Tuhan yang Esa. Namun, jiwa dan isinya pasti akan
hancur tanpa sepakatnya hati-hati kita.

Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh sesebuah negara bermasyarakat


majmuk seperti negara kita Malaysia adalah berpaksikan kesepakatan yang lahir dari nurani
yang suci. Serumpun bagai serai, selubang bagai tebu. Kita perlu berkerjasama dan saling
membantu tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi
kerana pesanan nenek moyang masih segar dalam ingatan. Hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan terbinanya amalan
bekerjasama antara kaum, maka akan wujudlah perpaduan dan kesejahteraan hidup. Tanpa
sikap tolak ansur dan bekerjasama, perbalahan dan pergeseran kaum pasti berlaku. George
Santayana pernah berpesan kepada kita, barangsiapa yang melupakan sejarah pasti akan
mengulanginya. Usah kita lupakan peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah meragut
keamanan kita suatu kita dahulu. Izinkanlah kami penerus wawasan negara untuk
menaikkan darjat negara dengan penuh keamanan.

Warga dewan yang berwawasan,

Masih ingatkah anda wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh Perdana menteri
kita, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau masih memegang jawatan Perdana Menteri
kita yang keempat? Dalam cabaran yang kelima telah dinukilkan dengan jelas iaitu untuk
membangunkan masyarakat yang bertoleransi. Ini bermakna rakyat Malaysia yang pelbagai
kaum bebas mengamalkan adat istiadat, budaya dan agama tanpa sekatan dan
kongkongan. Masyarakat Tionghua tanpa canggung memakai baju kurung dan kebaya.
Begitu juga masyarakat Melayu betapa anggun mengenakan ceongsam dan sari. Keadaan
inilah yang menonjolkan keunikan negara Malaysia yang maju dan dibangunkan oleh rakyat
yang berbilang kaum dan agama.

Bangsa sepakat negara berkat berprinsipkan cubit paha kanan, paha kiri sakit juga.
Sesungguhnya tragedi banjir besar, kebakaran, kemalangan dan sebagainya yang sering
melanda negara kita cukup merobek jiwa. 32.6 juta rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa
sepakat memberi tanpa dipinta. Makanan, pakaian serta kewangan diterima daripada
tabung-tabung kemanusiaan. Sumbangan persendirian, serta agnesi-agensi luar, rakyat
juga tidak bersendirian, apabila kerajaan tampil memberikan bantuan. Benarlah, cubit paha
kanan, paha kiri sakit juga. Indahnya bangsa sepakat, negara menjadi berkat.

Putera puteri anak pertiwi,

Generasi hari esok adalah pewaris kepemimpinan hari ini. Institusi pendidikan
memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mempunyai
jati diri. Seandainya sikap individualisitik dan materialistik wujud di kalangan pelajar maka
berkemungkinan akan melahirkan prejudis terhadap rakan etnik yang lain. Realiti yang
melanda Yugoslavia hendaklah dijadikan sebesar-besar pengajaran. Yugoslavia adalah
negara dimana terdapat pelbagai kumpulan etnik yang saling membenci antara satu sama
lain. Jika kita kurang teliti dan jika kita tidak berhati-hati, berkemungkinan warga kita akan
berpecah-belah dan mewujudkan fahaman agama yang ekstrim. Melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan, unsur-unsur negatif ini dapat ditangani demi kepentingan perpaduan nasional.
Sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama Malaysia tidak
lari daripada aspek kepelbagaian budaya anatara satu sama lain. Melalui dasar ini unsur-
unsur kebudayaan dapat dignakan untuk membentuk bangsa yang sepakat dan membina
negara yang berkat bagi mencerminkan satu keperibadian Malaysia.

Secara tuntasnya, sebagai warganegara Malaysia yang tercinta, kita harus


menjadikan bangsa yang sepakat sebagai teras kearah menjadi negara yang berkat, dan
terus gemilang. Negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Apakah erti sebenar
kehidupan ini jika kita hanya mampu melaungkan kata “sepakat”? Hanya dengan
kesepakatan antara bangsa, negara kita dapat mencapai kecemerlangan yang diimpikan
dalam segenap aspek. Ayuh warga bumi bertuah, bangkitlah. Kukuhkan kesepakatan kita
agar terus subur seiring zaman.

Disemai baja wangian kasih

Sekian sahaja dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai