Anda di halaman 1dari 3

Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin

Kassim (PERAHMAT)
Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 2/2017-1438H yang bersidang pada 30 Mac 2017 bersamaan 2
Rejab 1438H telah bersetuju dan memutuskan dengan sighah seperti berikut :
1. Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah menyeleweng dan bertentangan
dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,
2. Penyelewengan ajaran Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim ini adalah seperti
berikut:
i. Terbatal Kesemua Rukun Islam Sekiranya Tidak Mempelajari Ilmu Syahadah yang Dibawa Oleh
Ismail bin Kassim (IBK). Rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua kalimah Syahadah bagi
seseorang itu terbatal sekiranya dia tidak mempelajari Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian) yang dibawa oleh
Ismail bin Kassim. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan ialah ilmu penyaksian roh yang sedang bersyahadah.
ii. Tuntutan Mencari Penyaksi Di Alam Arwah. Seseorang itu hendaklah berusaha mencari penyaksinya
yang akan dibawa sebagai saksi pada hari akhirat kelak. Sekiranya penyaksi tersebut tidak dapat ditemui,
ia akan menyebabkan amalan Zikir Nafasnya tidak dapat berjalan dengan lancar. Namun begitu, dia tidak
perlu bersusah payah untuk mencari penyaksi kerana penyaksi itu akan diutuskan oleh Allah s.w.t di alam
shahadah, apabila mengamalkan Zikir Nafas.
iii. Wajib Mempelajari Zikir Nafas Kerana Tiada Cara Lain Untuk Mencari Allah Kecuali Melaluinya.
Seseorang itu Wajib Mempelajari Zikir Nafas, kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya.
Mencari Allah s.w.t melibatkan peranan yang dimainkan oleh qalbu. Anggota pancaindera manusia yang
lain, seperti mata dan telinga peranannya terhad kepada alam zahir sahaja, berbeza dengan qalbu yang
mempunyai peranan ghaib. Hanya dengan amalan Zikir Nafas boleh membuka mata hati qalbu. Oleh yang
demikian, apabila mata hati qalbu seseorang telah terbuka, maka dia akan dapat melihat penyaksian roh,
dan perkara-perkara ghaib yang lain dengan berterusan secara autopilot. Manakala untuk mengambil ilmu
Zikir Nafas pula, hendaklah melalui guru yang berketurunan Ahli Bait sahaja.
iv. Amalan Zikir Nafas IBK Adalah Sabit Melalui al-Quran, dan Mengingkarinya Bermakna Syak
terhadap Ayat al-Quran. Amalan Zikir Nafas adalah sahih dan sabit melalui al-Quran dan al-Hadith, dan
sesiapa yang mengingkarinya dianggap telah menaruh syak terhadap al-Quran dan al-sunnah.
v. Amalan Zikir Nafas juga dianggap sebagai kunci kepada lima perkara, iaitu :
a) Mengenal Allah
b) Menyaksi ilah
c) Menikmati setiap gerak-geri ilah
d) Merasai peredaran nafas dengan ilah
e) Menghayati kuasa ilah
Perkara ini adalah merupakan kepercayaan yang dipegang oleh Ismail Bin Kassim dan para pengikutnya.
Adalah salah untuk kita mengatakan bahawa zikir nafas Ismail Bin Kassim adalah kunci kepada 5 perkara
di atas kerana banyak kitab karangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah dikarang untuk menjelaskan
tentang Dua Kalimah Shahadah yang penting dalam Islam. Di samping itu perkara c,d dan e amat
mengelirukan kerana ia boleh membawa fahaman seolah-olah Allah swt berjisim, tasybih dan hulul.
vi. Mentakwil Ayat-ayat al-Quran secara Bathil. Mentakwil ayat-ayat al-quran secara batil, antaranya
seperti berikut:
Pada ayat dalam surah al-Fatihah : ‫ إهدنا الصراط المستقيم‬, Allah SWT akan menjawab: ‫صراط الذين انعمت عليهم‬, iaitu ‫ا‬
‫ والصديقين‬,‫ الشهدأ‬, ‫لصا لحين‬
Tafsiran bagi ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:
1. ‫الصالحين‬: Mempunyai zikir nafas dan kenal Allah dengan aqal;
2. ‫ الشهداء‬: mempunyai Zikir Nafas dan syahadah dengan qalbu;
3. ‫ الصديقين‬: Mempunyai Zikir Nafas dan rohnya bersyahadah;
vii. Kaedah Penafsiran al-Quran (Usul Tafsir) Yang Menyeleweng.
Ayat-ayat al-Quran tidak boleh difahami semata-mata dengan membaca terjemahannya, kitab-kitab tafsir,
mahupun asbab al-nuzul, bahkan hanya boleh difahami dengan ilmu al-Quran (Ilmu Takwil, Ilmu al-Furqan,
Ilmu Ma’na, ilmu Maqsud, Ilmu Hikmah, Ilmu Makrifat, Ilmu Hakikat, Ilmu Asrar, Ilmu Ghaib dan Ilmu Yaqin).
viii. Berpegang Kepada Hadith Palsu. Antaranya adalah seperti yang berikut:
“Sesiapa yang menyakiti seorang tolibul-ilmi seperti menyakiti 124,000 nabi, sesiapa menyakiti 124,000
nabi seperti menyakiti Rasulullah s.a.w, sesiapa yang menyakiti Rasulullah s.a.w seperti menyakiti Allah,
dan sesiapa yang menyakiti Allah, neraka tempatnya”.
“Barang siapa yang mencariku, pasti menjumpai-Nya, barang siapa yang menjumpai-Nya, maka dia telah
menjumpai segala-galanya, Nabi Muhammad s.a.w bertanya bagaimana ingin mencari Allah, dan Allah
pun menjawab: “Shahadah”.
“Barang siapa yang datang berjumpa dengan Aku dalam pada mana dia mengenal aku, setiap kebajikan
aku beri dia sedunia bilangan makhluk yang pernah Aku cipta dan akan aku cipta”.
ix. Ghuluw (Melampau) dalam Menghormati Guru. Peraturan yang wajib dipatuhi oleh murid kepada
Ismail bin Kassim selaku guru atau sheikh seperti berikut:
Sesiapa yang hendak bersalaman dengan Ismail Bin Kassim wajib mengambil wuduk terlebih dahulu
kerana Ismail Bin Kassim dianggap membawa al-Quran yang hidup;
a. Setiap murid berkeadaan yakin bahawa guru dapat mengesan ketaatan murid, atas izin Allah s.w.t;
b. Setiap murid jangan menderhaka kepada guru atas amanah-amanahnya;
c. Setiap murid jangan ada sangkaan bahawa guru tidak mengetahui kelakuan dan perbuatan mereka;
d. Setiap murid jangan meragui atau membantah di hadapan guru atau dibelakangnya kerana guru
hanya mengajar ilmu kalimah la ila ha illallah;
e. Setiap murid jangan sekali-kali melanggar panduan di atas, kelak akan terjerumus ke dalam
kecelakaan dan kebinasaan.
Kesimpulannya ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah meragukan dan
bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Penyelewengan ajaran ini dapat dilihat pada 5
persoalan utama, iaitu:
i. Ilmu Syahadah Ismail Bin Kassim mengandungi elemen takfir terhadap orang yang tidak menerima
ajarannya.
ii. Fahaman Ismail Bin Kassim mengandungi unsur hulul dan ittihad
iii. Mengandungi unsur penghinaan terhadap para Sahabat r.a.h dengan tuduhan munafik.
iv. Ajaran Zikir Nafas Ismail Bin Kassim tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.
v. Ajaran Ismail Bin Kassim menyeleweng daripada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang sahih dan
memanipulasi sumber ajaran Islam dan tokoh-tokoh ulama yang muktabar.
3. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang
kepada fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim termasuklah:-
i. Menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim atau
apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah
dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau,
ii. Berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan
ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
iii. Mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan
Zikir Nafas Ismail Bin Kassim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya,
sama ada melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain seperti berbai’ah (taat setia) dengan
fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
iv. Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya
melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran
fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
v. Terlibat dengan pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan
ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
vi. Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau
majlis yang boleh dikaitkan dengan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
vii. Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah
atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau
tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Ilmu
Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau
vii. Mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas
Ismail Bin Kassim di Negeri Sembilan.
4. Mana-mana orang Islam yang mengamalkan Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah
disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon
keampunan Allah s.w.t.
5. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang
mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang
dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah disifatkan
mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
6. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka
yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim atau apa-
apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan
cetakan atau siaran dalam mana-mana sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah
diharamkan.
7. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan
dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan.