Anda di halaman 1dari 2

Menjelang 16 Mei setiap tahun, seluruh warga guru menyambut Hari Guru.

Tema hari
guru pada tahun ini ialah ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’. Jasa dan
sumbangan para guru terhadap masyarakat dan negara amatlah besar. Menerusi wadah
pendidikan ini, para guru menjadi agent of change (agen perubah) bagi membentuk,
membina dan melahirkan generasi umat berkualiti.

Memang tugas dan amanah kependidikan ini berat dan sukar. Sejarah telah merakam
bahawa disebalik kegemilangan ketamadunan sesuatu bangsa dan umat terletak dibahu
para guru. Meneliti kejayaan tamadun Islam bermula dari Era Nubuwwah , Era Khulafak
sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, maka mereka yang mewarnai dan
mencorak kekuatan umat adalah para ilmuwan dan intelektual Islam yang bergelar
sebagai seorang guru.
Kehebatan para pemimpin Islam dahulu juga ditunjangi oleh para guru yang mursyid,
yang bertindak sebagai seorang murobbi, muallim, muaddib dalam kerangka melanjut
dan melangsung kepimpinan umat Islam. Yang menghebatkan para sahabat r.a adalah
Rasulullah SAW selaku rasul dan murobbi agung, yang menghebatkan Khalifah Umar
Abdul Aziz dan Khalifah Harun Ar-Rashid ialah guru yang bernama Imam Malik b.
Anas, yang menghebatkan Sultan Solahuddin Al-Ayyubi ialah Bahauddin bin
Shaddad dan yang menghebatkan Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya
bernama Syeikh Agha Shamsuddin. Kata Sultan Muhammad al-Fateh
: “Penghormatan saya kepada Syeikh Agha Shamsuddin bukanlah satu pilihan
saya. Ketika berada bersamanya, saya rasa terpegum dan kagum.”
Justeru, guru di sepanjang babak membangun peradaban dan ketamadunan telah
memainkan peranan yang bukan kepalang, peranan ta’lim, ta’dib dan tazkiyah. Atas
tangan mereka lahirlah para ilmuwan,cendekiawan, hartawan, teknokrat dan pemimpin
terbilang sepanjang zaman.

Hari ini, guru berdepan dengan cabaran yang pelbagai rencam. Antara cabaran terbesar
mereka ialah bagaimana mereka mampu menjadi ‘tranformer’ kepada pembinaan umat
dan negara. Kekangan dan hambatan profesion perguruan menjadikan mereka hilang
fokus dan lebih mengutamakan nilai-nilai materialistik. Apatah lagi halatuju pendidikan
negara yang bercelaru dan tempang. Di tambah pula matlamat dan falsafah pendidikan
negara yang terpinggir dari mentaliti para guru hari ini.

Tidak hairanlah kita melihat indeks keruntuhan moral dikalangan warga pelajar sekolah
semakin meningkat, jenayah berleluasa di dalam masyarakat dan suburnya fahaman
hedonisme, liberalisme dan humanisme yang bertunjangkan hawa nafsu menjalar
dikalangan anak-anak yang menuntut di sekolah.

Terpinggirnya arus perdana pendidikan Islam dalam pendidikan negara melahirkan


generasi pelajar yang tempang, berjiwa kolonial dan rendah akal budi dan akar umbi
bangsa. Semangat keislaman dan kemalayuan yang malap dijiwa para pelajar melayu
Islam mengundang kerosakan dan kehancuran umat.

Maka sempena Hari Guru 2011, seluruh warga pendidik sama ada yang berada di mana-
mana institusi pendidikan perlu menilai peranan dan skop profesian mereka. Warga guru
sewajarnya menjadi jurubicara umat, pejuang rakyat, pengemudi dan pelopor
kebangkitan serta pencetus dan penjana transformasi umat dan bangsa melalui wadah
pendidikan.

Sejajar dengan pelaksanaan KSSR dan KSSM, pertambahan sekolah-sekolah Kluster dan
SBT ( sekolah berprestasi tinggi), imbuhan dan insentif yang diberikan kepada warga
guru , maka sepatutnya martabat pendidikan negara tercapai.

Namun kelompangan ini sewajarnya membuka mata para pendidik bahawa pendidikan
kita perlu kepada beberapa anjakan transformasi dari sudut pensejajaran dengan
falsafah pendidikan negara, kurikulum yang mantap dan bersepadu, guru yang
berkualiti, berwibawa dan berautoriti, pengurusan kependidikan cemerlang, sekolah dan
murid berwatak serta menumbuhkan iklim harmonis dalam proses penyediaan generasi
masa depan.

Betapa jatuh bangun sesebuah tamadun terletak pada kekuatan akar bangsanya.
Manakala kekuatan akar bangsanya pula dilihat pada kehebatan pemimpinnya. Dan
kehebatan para pemimpinnya tergalas di bahu para gurunya. Memang guru penjana
transformasi pendidikan negara.

Anda mungkin juga menyukai