Bayi adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai. Ketika bayi baru lahir, mereka
dipercayai masih suci daripada sebarang dosa bagaikan kain putih yang tiada nodanya. Namun
begitu, dewasa ini manusia seolah-olah lupa akan betapa berharganya bayi dalam dunia ini
sebagai pelapis bangsa yang bakal meneraju dunia ini. Ramai antara manusia yang
bertopengkan haiwan, tidak mengenal erti belas kasihan dan dengan mudahnya membuang
bayi yang susah payah mereka lahirkan. Persoalannya ialah, apakah yang mendorong mereka
untuk melakukan kekejaman ini?
Antara faktor yang membawa kepada berleluasanya gejala pembuangan bayi adalah
kerana ingin menutup rasa malu yang bakal dihadapi bukan sahaja oleh individu malah keluarga
mereka juga terlibat sama. Akibat keterlanjuran, mereka melakukan zina yang kita sedia
maklum diharamkan dalam agama Islam. Setelah mengandung, baru pula si ibu ingin
menggugurkan bayi tersebut. Namun, tiada siapa yang dapat melawan kuasa Tuhan yang Maha
Berkuasa. Oleh itu, dengan terpaksa si ibu mengandungkan anak tersebut selama lebih kurang
sembilan bulan. Apabila saja bayi tersebut lahir, bermacam-macam idea yang timbul difikiran si
ibu untuk mengelakkan daripada diketahui tentang kelahiran bayi tersebut. Kesannya, dapat
kita lihat bayi yang tidak berdosa dibiarkan di dalam tong sampah.
Selain itu, ada juga yang terpaksa membuang bayi mereka kerana tidak ingin diketahui
oleh ibu bapa dan keluarga mereka tentang kesalahan yang dilakukan.