Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN WAKIL PENGAWAS KOPERASI SEMPENA MAJLIS HI-TEA PENGAWAS

SEKOLAH, KOPERASI, DAN PUSAT SUMBER TAHUN 2019

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


(Basmallah dan Salawat)
Sejambak kasih titipan khas buat Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha
Tuan Haji Ruslan bin Abdol,
Pengetua SMK Desa Serdang,

Pn Kamariah Binti Che Ngah


Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran

Pn Siti Baizura Binti Zainuddin,


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

Pn Siti Hanim Binti Hj Ramli,


Penolong Kanan Kokurikulum,

Barisan guru-guru yang dihormati,

serta seluruh rakan dan hadirin yang dapat bersama-sama dalam Majlis Hi-Tea Pengawas
Sekolah, Koperasi, dan Pusat Sumber bagi tahun 2019 pada kali ini.

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, setinggi-tinggi kesyukuran kita lafazkan ke hadrat Allah
S.W.T kerana dengan limpahan kurnia dan rahmat-Nya, dapat kita bersama-sama dalam
majlis yang begitu bermakna dan bermanfaat pada pagi ini. Setinggi-tinggi kesyukuran juga
kita rafakkan kepada-Nya kerana pada hari ini kita semua diberikan kesihatan dan
kelapangan waktu bagi sama-sama menjayakan Majlis Hi-Tea Pengawas Sekolah, Koperasi
dan Pusat Sumber bagi tahun 2019.

2. Saya mewakili barisan Pengawas Koperasi Sekolah Menengah SMK Desa Serdang
(sebut nama anda)
mengucapkan jutaan terima kasih dan rakaman penghargaan ini saya tujukan khusus kepada
pihak pengurusan Majlis, kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk
menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis ‘keramat’ yang dianjurkan khusus buat kami
pada kali ini. Kesempatan pada hari ini merupakan suatu detik bersejarah bagi diri saya
kerana dapat menyampaikan ucapan sebagai wakil Pengawas Koperasi dalam Majlis Hi-Tea

1
pada tahun ini yang pastinya semua sedia maklum turut merupakan majlis perpisahan buat
kami yang akan menamatkan bangku persekolahan tidak lama lagi.

Ayahanda pengetua, guru-guru dan para hadirin sekalian,

3. Tugas sebagai Pengawas Koperasi sekolah merupakan wadah berkesan yang menawarkan
peluang untuk saya dan rakan-rakan serta adik-adik belajar berniaga, menjadi usahawan,
mentadbir dan mengurus koperasi serta mendapat kemahiran-kemahiran insaniah lain yang
tidak diajar dalam kelas. Malah penglibatan kami dalam aktiviti koperasi sekolah mampu
memperkukuhkan jati diri seperti bersatu padu, tolerasi, kesaksamaan, tolong-menolong dan
sebagainya selaras dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan
koperasi.

Hadirin yang dihormati,

4. Koperasi sekolah menjadi platform yang paling tepat dalam membantu dan mendedahkan
murid seperti kami dengan budaya dan nilai-nilai keusahawanan yang merupakan satu
proses pembelajaran yang dapat membuka ruang dan minda kami supaya menjadi lebih
kreatif, inovatif dan berdaya maju. In shaa Allah, melalui pengalaman ini, apabila dewasa
kelak kami mampu berdikari bekerja sendiri. Selain tunjuk ajar, guru-guru turut menjadi
tempat rujukan kami dalam melaksanakan tugas agar tanggungjawab yang diamanahkan
dapat dilakukan dengan mematuhi prosedur yang betul. Guru-guru adalah segala-galanya
buat kami. Terima kasih cikgu. Sesungguhnya, kesediaan guru-guru untuk membantu kami
amatlah kami hargai dan sanjungi.

Tenang-tenang air di laut,


Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi guru-guru rasa nak junjung.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Pesanan saya kepada adik-adik yang disayangi sekalian, tingkatkan usaha adik-adik semua
untuk menaikkan dan mengharumkan nama Koperasi sekolah kita yang tercinta ini pada
peringkat yang lebih tinggi dan lebih baik. Tidak mustahil kita boleh melakukannya sekiranya
kita semua meletakkan kepentingan sekolah sebagai tanggungjawab kita bersama.
Perjuangan tugas untuk menggalas nama baik sekolah kini terletak di bahu bahu adik-adik
sekalian. Junjunglah nama baik sekolah kita. Berusahalah untuk meningkatkan prestasi
sekolah kita dalam apa jua lapangan sekali pun.

2
Hadirin, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,

6. Akhir sekali,saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru. Duhai guru, halalkan
segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan. Restuilah kami dan doakanlah kejayaan
kami dalam peperiksaan SPM yang akan menjelang tidak lama lagi daripada sekarang.

7. Akhirulkalam, sebelum saya menyerahkan majlis ini kepada Pengerusi Majlis yang disegani,
saya selaku wakil Pengawas Koperasi Sekolah SMK Desa Serdang bagi tahun 2019 ingin
merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada para guru
yang telah sudi menabur bakti demi kecemerlangan hidup kami pada hari muka. Segala jasa
dan pengorbanan guru-guru tidak dapat kami balas, justeru kami serahkan kepada Allah jua
untuk membalasnya.

Dirunduk hanyalah padi


Didendang si gadis desa;
Yang baik hanyalah budi,
Dikenang hanyalah jasa.

Budi bahasa tak jual beli,


Orang berbudi kita berbahasa;
Pekerti mulia pakaian diri,
Orang memberi kita merasa.

Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada, kasih kepada yang sudi, meminta kepada yang ada
dan bertanya kepada yang tahu.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai