Anda di halaman 1dari 2

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT

MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut
sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan
aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara,
yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia.
Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman


perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang
berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan.
Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain
melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu,
saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-
rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat
perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum
dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan
membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh
dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling
memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata
mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat


jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-
taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum
rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan
oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin
dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin
turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang
berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling
menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran
dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan
menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat
melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan
antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini
sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh
pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia
dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan
jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang
berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk


memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat
berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa
rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah
mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku
bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan
2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

Anda mungkin juga menyukai