Anda di halaman 1dari 4

Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mengotorkan alam sekitar

sehingga boleh menjejaskan ekosistem di muka bumi ini. Dewasa ini,era permodenan menderaskan lagi
pembangunan negara. Pelbagai projek sosio ekonomi dijalankan begitu pesat untuk meningkatkan taraf
pembangunan negara, namun kita alpa tentang kesan terhadap alam sekitar yang boleh membahayakan
diri manusia.Pencemaran alam sekitar telah menjadi satu kemelut yang tidak dapat dielakkan oleh
negara kita sehingga mencalarkan nama negara. Negara kita sebenarnya telah terhimpit antara
meningkatkan pembangunan negara setaraf negara maju dengan kebajikan terhadap alam sekitar yang
perlu di pelihara untuk masyarakat. Bak kata pepatah”di telan mati emak di luah mati bapa”. "Kita tidak
mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi
akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata
Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga
yang perlu dijaga kepentingannya. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan kondisi alam
sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap
kepentingan alam sekitar. Isu-isu tentang alam sekitar kerap dipaparkan dalam surat khabar dan
televisyen. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di negara kita
antaranya ialah pencemaran air, udara, dan pencemaran udara. Pada pendapat saya, isu pencemaran
alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat.

Antara punca utama yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar berada di tahap yang kritikal
adalah disebabkan tangan manusia sendiri. Pada kebiasaannya manusia sering kali melakukan
pencemaran alam sekitar dalam keadaan sedar ataupun tidak seperti udara, air, tanah, bunyi dan
radiasi. Kesan terhadap pencemaran alam sekitar sudah pun disebarkan melalui media massa namun
manusia ”durjana” yang tidak mencintai alam memandang “enteng” terhadap permasalahan
pencemaran alam sekitar. Sifat materialistik yang ada dalam masyarakat pada hari ini juga sukar untuk
kita mengurangi masalah pencemaran di atas muka bumi ini. Terdapat juga individu yang mengambil
mudah tentang aspek kebersihan lalu membuang sampah ke dalam sungai. Individu yang membuang
sampah ke dalam sungai ini akan menyebabkan sungai dipenuhi dengan sampah sarap lalu sungai
menjadi kotor. Selain itu, perbuatan membuang puntung rokok ke dalam semak pula akan
menyebabkan kebakaran yang boleh mencemarkan udara. Minda manusia berjiwa rakus seperti
golongan pemaju perumahan masih dangkal kerana asyik memikirkan keuntungan. Jadi, kealpaan ini
menyebabkan pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana, semakin banyak pokok-pokok ditebang bagi
memberikan medan kepada kemajuan sektor pembangunan. Pencemaran udara berlaku apabila gas
karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia tidak dapat diserap oleh sang flora dek kerana
populasinya kian merudum. Proses perumahan di kawasan lereng bukit juga harus dihentikan kerana
menyoroti peristiwa lampau, tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 menjadi indikator
yang jelas bahawa hal ini tidak harus dimanifestasikan.

Punca seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar ini adalah kerana sikap pekerja di sektor
pertanian dan industri juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja di
sektor pertanian yang membuang sisa racun rumpai ke dalam sungai dan perbuatan ini boleh
menyebabkan air sungai tercemar. Selain itu, terdapat juga pekerja di sektor pertanian yang membakar
hutan bagi membersihkan tanah untuk bercucuk tanam. Hutan yang terbakar ini akan mengeluarkan
asap yang tebal lalu berlakulah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Asap-asap kilang dan
kenderaan juga boleh diwartakan sebagai punca-punca pencemaran udara. Ini disebabkan oleh asap-
asap hitam yang keluar dari kilang dan kenderaan boleh mengakibatkan asap-asap tersebut
terperangkap di ruang udara. Selain itu, terdapat juga gas-gas yang beracun seperti gas monoksida yang
boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan tertutup. Sejenis lagi bahan yang boleh
dihasilkan oleh kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat berbahaya
sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak terutama kanak-kanak. Selain itu, manusia juga turut
menerima udara yang tidak segar untuk menarik nafas. Ini menimbulkan ketidakselesaan oleh setiap
masyarakat dalam kehidupan seharian. Dengan ini jelaslah bahawa pencemaran udara yang dilakukan
oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab amat memberi kesan terhadap seluruh
masyarakat.

Kesan pencemaran alam sekitar yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga
dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau.
Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat
dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas
karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan
haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas.
Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global
menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga
berlakunya kejadian alam yang tidak normal. penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di
bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan
dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini
menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada
cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga
hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di
bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada
masa kini. Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan
nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan
kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.

Kesan seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar ini menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang
disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini
berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan
bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid
nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa
asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang
terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Hal ini juga boleh
menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam
tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur. Hujan asid juga
disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang
terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan
kereta telah menyebabkan bahan api fossil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api
fossil seperti minyak dan arang batu oleh logi tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-
juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan
akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid
nitrik. Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Ini berlaku apabila
asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-
tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna
bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid
juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka
yang berpenyakit seperti mengidap asma.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah
mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan
pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang
kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa
merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga
dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon
(CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi
penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut
memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi
menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh
kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.
Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan
penggunaan bahan kimia.

Langkah seterusnya adalah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan
kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat
pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan
yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam
kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam
laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini turut
menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan
peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi
oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika hal ini tidak dibendung,
masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja,
majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan
protein. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh
mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah
disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan
pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum
air”. Melalui cara ini, sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan
mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat
menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat memelihara
kebersihan alam sekitar. Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi
pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi pencemaran terhadap
alam sekitar seperti penguatkuasaan undang-undang, kempen-kempen kesedaran, pameran yang
berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya. Namun, usaha-usaha kerajaan itu ibarat mencurah air
kedaun keladi tanpa disokong oleh pihak-pihak (NGO) dan masyarakat di negara ini.

Anda mungkin juga menyukai