Anda di halaman 1dari 10

KARANGAN : PENGURUSAN KEWANGAN YANG BERKESAN

Isi 1: berjimat cermat


Isi 2: membuat perbandingan harga
Isi 3: Membuat senarai barangan

Darsawarsa ini, negara kita telah dilanda gelombang inflasi secara global.Hal ini dapat
diperhatikan melalui kenaikan harga barangan keperluan harian yang semakin menjadi-jadi. Justeru
pelbagai pendekatan drastik perlu diimplementasikan bagi mengelakkan masalah ini daripada
semakin berlarutan. Langkah paling dominan ialah melalui pengurusan kewangan yang bijak.
Persoalannya, apakah pendekatan efektif dalam mengurus kewangan?
Apabila kita membincangkan aspek pengurusan kewangan yang berkesan, pastinya kita tidak
dapat menolak pentingnya mengamalkan sikap berjimat cermat. Amalan berjimat cermat ini perlu
menjadi budaya dalam kalangan masyarakat agar masyarakat lebih berhemat atau berhati-hati ketika
membelanjakan wang mereka terutama dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
Apabila kita menjadikan berjimat cermat sebagai amalan kita, maka perbelanjaan harian dapat
dikurangkan. Hal ini dapat mengurangkan perbelanjaan harian sekaligus mengelakkan pembaziran.
Antara cara yang doleh dipraktikkan ialah melalui penanaman sumber bahan mentah keperluan
harian seperti sayur-sayuran yang ditanam secara akuaponik. Ahli keluarga juga boleh menjadikan
amalan makan bersama keluarga sebagai langkah berjimat cermat. Jelas di sini, amalan makan
bersama ahli keluarga dan penanaman sayur-sayuran sebagai sumber makanan menjadi serampang
dua mata yang bukan sahaja mampu membantu kita menguruskan kewangan dengan bijak bahkan
kita juga mampu mengeratkan hubungan sesame ahli keluarga.

Seterusnya, langkah bijak dalam mengurus kewangan ialah membuat perbandingan harga
sesuatu barangan sebelum membuat pembelian. Sebagai mana kita sedia maklum, pengguna zaman
sekarang sangat bertuah kerana di pelbagai tempat telah didirikan gedung beli belah seperti Pasar
Raya Tesco, Giant Hypermarket, Pasar Raya Maidin, Cereefour, The Mall, Pasar Raya Jusco,dan
Econ save. Kewujudan pelbagai pasar raya berkenaan membolehkan pengguna membuat pemilihan
barangan secara bijak dengan membandingkan harga barangan ditawarkan di setiap pasar raya
berkenaan. Sebagaimana kita sedia maklum, setiap pasar raya seperti di atas membuat promosi
harga barangan terutama semasa perayaan atau hari pada cuti umum sebagai usaha menarik
kedatangan pengguna. Justeru, banyak kebaikan yang diterima oleh pengguna dengan kewujudan
pasar raya berkenaan kerana kuasa penawaran barangan tidak akan dikuasai oleh pasar raya
tertentu kerana masing-masing akan cuba menarik pengguna untuk membeli di pasar raya mereka
dengan menjual barangan dengan harga yang lebih murah. Bahkan juga, setiap pasar raya juga akan
menawarkan harga barangan yang lebih murah kepada pengguna yang menjadi ahli dengan tawaran
mata ganjaran dan pengguna boleh menebus mata ganjaran berkenaan untuk mendapatkan
barangan yang ditawarkan. Oleh sebab itu, pengguna yang bijak akan melihat iklan sama ada secara
bercetak oleh setiap pasar raya atau melalui internet. Melalui perbandingan harga yang ditawarkan
oleh setiap pasar raya, pengguna boleh merancang pembelian dengan membeli harga barangan
tersebut ketika harganya murah. Contohnya, pada tawaran harga murah harga pencuci kain seperti
Dynamo mungkin hanya RM 19,90 berbanding harga biasa RM 22.90 di pasar raya tertentu, begitu
juga dengan barangan yang lain. Justeru, pengguna boleh merancang untuk membeli barangan
berharga murah yang ditawarkan oleh pasar raya yang ada di kawasan mereka sebagai langkah
pengurusan kewangan yang berkesan.

Seterusnya,pengguna perlu membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak
berbelanja berlebihan dengan membeli barangan yang tidak perlu. Dengan cara ini,perbelanjaan
dapat dikawal. Kita semua tahu bahawa harga barangan,terutamanya bahan makanan dan keperluan
naik melambung pada masa kini dan tidak nampak bayang yang positif bahawa harga barangan akan
turun dalam masa yang terdekat ini. Sudah lumrah dunia pada masa ini bahawa harga barang yang
sudah naik memang sukar untuk turun kembali. Oleh sebab itu,sebagai pengguna yang bijak,kita
haruslah menggunakan kuasa pembeli semaksimum mungkin dengan membuat senarai barangan
yang hendak dibeli. Moto "Customers is Always Right" atau dalam bahasa melayunya "Pelanggan
Sentiasa Betul" seharusnya diguna pakai oleh para pengguna yang bijak ketika membeli barangan.
Untuk mengelakkan perbelanjaan secara berlebihan,bawalah sejumlah wang yang mencukupi untuk
membeli barangan yang disenaraikan. Oleh itu,pengguna dapat mengamalkan amalan berjimat-
cermat seandainya kita membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak mengalami
masalah kewangan dalam hidup.
Konklusinya,pengurusan kewangan yang berkesan adalah penting bagi seseorang individu
supaya kita tidak diisytiharkan muflis. Setiap orang perlu berhemat ketika berbelanja,terutamanya
pada waktu kegawatan ekonomi agar dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Pengguna
yang bijak mampu menguruskan kewangan mereka sendiri tanpa mengharapkan ihsan orang lain.
Oleh sebab itu,sebagai warganegara Malaysia yang prihatin,kita haruslah menyokong hasrat
kerajaan yang menekankan sifar muflis dalam kalangan rakyat.
KARANGAN-PERANAN ANAK-ANAK UNTUK MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN
KELUARGA

Pelbagai masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan.
Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan
kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk
membantu meringankan beban kewangan keluarga.

Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup
keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang
suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam dan krisis bahan
makanan cukup menakutkan pelbagai pihak. Hingga hari ini, ekonomi dunia masih dalam suasana
yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia,
India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun
bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan
dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500.00. Beban kewangan adalah antara fenomena yang
teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami
susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan
bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh untuk meringankan beban
kewangan keluarga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung
oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang
mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama tenaga
elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan
sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang
ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak
mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang
paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah paras RM20.00, justeru
penggunaan domestik tersebut adalah percuma. Langkah bijak ini sebenarnya hakikat
amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Sejajar dengan itu, langkah lain yang wajar dilakukan oleh anak-anak
adalah mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan seharian. Anak-anak yang baik adalah
yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan
keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa
bekerja mencari rezeki. Fahamilah beratnya tanggungan ibu bapa, bak kata peribahasa, berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan
sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu
sahaja. Mereka tidak harus menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Misalnya, mereka
tidak harus meminta-minta sesuatu di luar kemampuan ibu bapa seperti ingin memiliki pakaian yang
berjenama dan berselera untuk makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak
hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam
hidup, pipit sama pipit dan enggang sama enggangmasakan dapat terbang bersama.

Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sesebuah negara seperti
Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang
kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-
mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara
melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah.
Perkara yang penting ialah mereka harus mengetepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya
banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al
Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi
usahawan yang berjaya dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh sebab itu, langkah yang
terpenting ialah setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat
kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu
masih mencecahi perlimbahan”.

Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan


ekonomi ialah anak-anak harus membudayakan amalan menabung. Hal ini demikian kerana mereka
dapat membantu keluarga untuk menampung perbelanjaan luar jangkaan apabila mengalami
kesempitan wang. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, wang yang disimpan di bank boleh menjadi
penyelamat pada masa gawat. Dalam konteks ini , wang pemberian ibu bapa yang tidak
dibelanjakan harus disimpan kerana sehari selembar benang lama-lama menjadi
kain. Tamsilannya, tabungan tersebut dapat digunakan oleh ibu bapa untuk membiayai kos sara
hidup yang kian meningkat yang sedang melanda negara kita kini. Malahan, anak-anak dapat
menggunakan tabungan untuk menampung perbelanjaan persekolahan mereka. Natijahnya, jika
anak-anak mengamalkan budaya yang mulia ini, maka mereka mampu meringankan beban
kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.

Sebagai penutup wacana, anak-anak memainkan peranan yang amat penting dalam
membantu meringankan beban kewangan ibu bapa. Ketika berdepan dengan pelbagai cabaran
akibat krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham
akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan
boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian pembentukan keluarga bahagia. Semoga dengan
sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya ibarat sepanjang-panjang jalan
berliku ada penghujungnya.
PERANAN TANGGUNGJAWAB ANAK TERHADAP IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi
bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa
telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini
seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita,
Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam
institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu
keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa
yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah
yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak
dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek
kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini
hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi,
anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan
ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu
bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.
Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan
pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan
yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan
cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri
ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas
dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh
dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada
menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa
akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk
mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya
mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka.
Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah
satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan
salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas
kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-
anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi
segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan
tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun
anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah
dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu
menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana
yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh
itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-
mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah
itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka.
Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam
Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak
membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan
anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan
mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah
seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan
mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam
aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan
sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi
kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah
sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung
perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah
mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan
ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap
dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang
benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu
membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering
berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam
mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan
membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan
urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul
rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa
dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti
melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada
segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal
ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni
kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang
perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah
Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu
daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa
peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-
kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah
mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan
bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak
menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau
pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali
peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak
membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa?
Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan
peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar
nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka.
Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi
kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang
izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang
menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh
dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua
perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka
masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal
dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang
sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa
hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil
rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan,
kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal
memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia
lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila
berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat
dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-
anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha
membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam
mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan
kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang
serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak
kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat
dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan
dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi,
kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi
khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1 414 patah kata]
LANGKAH MENANGANI STRES DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Stres merupakan masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Malaysia. Polemik ini merujuk
kepada tekanan yang tinggi sehingga menaikkan tekanan darah dan membawa kepada
ketidakstabilan emosi. Lantaran menerjah arus modenisasi, pelbagai sektor di Malaysia telah
berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sektor-sektor tersebut memerlukan
perkhidmatan rakyat untuk melonjakkan prestasi mereka. Dunia yang semakin materialistik pula
memaksa rakyat bekerja keras bagai lebah menghimpun madu demi menyara keluarga mereka
dan membeli peralatan yang diingini. Harga barang yang tinggi serta kos hidup yang melambung
menyebabkan masyarakat pelbagai cara kontemporari untuk bersaing dengan industri lain.
Hakikatnya, rakyat Malaysia mendepani kepincangan ini sehingga menjejaskan organisasi sosial
negara. Persoalan yang sering berlegar-legar di benak fikiran kita ialah apakah cara atau minhaj
untuk mengurangkan masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia?

Pada asasnya, rakyat Malaysia hendaklah meluangkan masa mereka untuk bersukan. Sukan
amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan membantu mengurangkan tekanan. Misalnya,
permainan bola sepak, badminton, tenis dan sebagainya bukan sahaja memberi suasana yang
berbeza, bahkan juga membantu menyihatkan badan. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui
sukan, seseorang mengeluarkan peluh dan hormon endorfin yang mencerdaskan otak, persis badan
cergas, otak cerdas. Aktiviti ini boleh dimain di padang, taman permainan atau gelanggang yang
berhampiran dengan rumah masyarakat. Dengan bermain bersama rakan-rakan kita, fokus kita akan
beralih daripada beban kerja kepada suasana permainan. Kita tidak akan memikirkan kerja seharian
dan proses ini boleh merehatkan otak kita. Tegasnya, orang ramai perlu bersukan untuk memperoleh
kebaikan serampang dua mata, iaitu mengatasi masalah stres disamping menyihatkan diri,
persis sambil menyelam minum air.

Selain itu, rakyat negara kita perlu beriadah dan berekreasi. Aktiviti bermandi-manda di air
terjun, makan angindan sebagainya membebaskan kita daripada cengkaman realiti. Aktiviti
sedemikian boleh diadakan bersama keluarga mahupun rakan sepejabat secara berkala. Contohnya,
pada cuti sekolah, hari keluarga dan pelepasan umum. Persekitaran yang berteraskan flora dan fauna
serta penuh dengan udara nyaman mampu menyegarkan diri kita. Bunyi air mengalir serta
dendangan lagu alam semulajadi dapat menenangkan jiwa kita yang dahulu dikongkong oleh hiruk-
pikuk bandar. Suasana yang sejuk dan senyap mengajar kita melepaskan tekanan dengan
melelapkan mata di bawah sebatang pokok redup. Hakikatnya, tekanan kita dapat dilepaskan dan
diganti pula dengan jiwa yang tenang. Justeru, tidak dinafikan aktiviti beriadah dan berekreasi
melepaskan stres kita di samping memberi persekitaran berbeza, bak kata peribahasa, jauh
perjalanan, luas pemandangan.

Rentetan itu, individu yang menghadapi masalah stres yang serius harus berjumpa dengan doktor.
Hal ini demikian kerana doktor lebih berpengalaman dan tahu cara mengubatinya, persis kata
mutiara, jauhari juga yang mengenal manikam. Apabila kita mengalami sakit kepala atau migrain,
doktor dapat memberi khidmat kesihatan dan menasihati kita untuk menangani tekanan. Imbasan CT
dapat menunjukkan kondisi otak manakala kepakaran doktor menganalisis dan mendiagnos diri kita
untuk mengelakkan masalah ini bertambah ruwet, persis sebelum kudis menjadi tokak.
Seterusnya, pemberian ubat-ubatan menenangkan jiwa boleh merawat gejala ini. Kita juga dapat
bertanya dan menjelaskan kekeliruan kita. Intihanya, perkhidmatan doktor wajar diperoleh untuk
menangani masalah stres kerana doktor memahami anatomi badan kita.
Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, masalah stres merupakan satu kekangan serius
dan harus ditangani sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya tidak, nescaya masyarakat tidak
dihembusi bayu keharmonian lantaran terikat dengan kehidupan rancak di bandar. Justeru, semua
pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mencari jalan penyelesaian serta tidak
memandang enteng terhadap polemik ini persis rumput di tepi jalan. Sesungguhnya, Beng Tju,
seorang pemikir unggul pernah menukilkan kata-kata, “rakyat ialah akar bangsa, jika akarnya sihat,
pokoknya sihat juga”. Tuntasnya, masalah stres perlu dibendung untuk menjamin masa depan
masyarakat yang sejahtera, damai dan permai.

CARA-CARA UNTUK MENJADI SEORANG PENULIS YANG BAIK.

Penulis sering dianggap manusia yang bijak dan unik kerana berupaya menerangkan sesuatu
aspek kehidupan, perkara, peristiwa atau apa-apa dengan mudah tetapi berkesan. Kerjaya sebagai
penulis dikatakan satu kerjaya yang glamor terutama kalau hasil penulisannya berupaya dijual
dengan banyak. Sikap media massa yang sering menayangkan kejayaan seseorang penulis turut
menjadikan kehidupan penulis menjadi buruan media massa terutama akhbar yang mementingkan
berita sensasi. Lantaran itu, apakah perkara yang harus dimiliki oleh seseorang untuk menjadi
penulis yang berjaya?

Untuk menjadi penulis yang berjaya sudah pasti seseeorang itu perlu banyak menulis terutama
aspek penulisan yang diminatinya. Penulis juga seperti kerjaya lain yang memerlukan seseorang itu
untuk selalu berlatih sebelum berupaya menguasai aspek penulisan dengan baik. Latihan demi
latihan ini memberikan penulis satu gambaran sebenar tentang cara menulis, cara pembaca
memahami karya dan mungkin cara mendapatkan ilham untuk menulis. Jadi, seseorang yang ingin
menjadi penulis perlulah banyak menulis tanpa ada perasaan jemu.

Selain itu, penulis juga harus memiliki sikap suka berbincang dengan orang lain tentang sesuatu
perkara terutama bahan yang akan dijadikan asas penulisan mereka. Perbincangan ini berupaya
menghasilkan satu kefahaman yang sejati tentang tajuk yang sedang ditulis oleh penulis itu. Sikap
menerima pandangan membina atau kritikan orang lain menjadikan penulis itu lebih berjaya dan
matang dalam penulisannya. Oleh itu, sikap suka berdiskusi memastikan penulis itu mampu untuk
melihat sesuatu tajuk penulisan mereka dengan lebih baik.

Malah, sikap penulis yang baik juga banyak bergantung kepada sikap yang suka mengembara atau
berjalan. Keadaan ini membolehkan penulis memiliki banyak pengalaman tentang kehidupan
terutama perkara yang boleh menjadi topik penulisan mereka.Pengalaman yang diperoleh menerusi
aktiviti berjalan atau mengembara ini berupaya menjadikan penulis lebih matang dan faham
tindakan manusia terhadap sesuatu masalah yang timbul. Maka, penulis yang suka berjalan sudah
pasti mempunyai banyak ilham untuk menulis terutama tentang kehidupan kemanusiaan.

Tambahan pula, penulis juga harus banyak membaca terutama pembacaan yang berbentuk
akademik atau bersesuaian dengan penulisan mereka. Pembacaan memberikan mereka lebih
banyak kefahaman tentang teknik penulisan penulis lain dan juga menajamkan minda mereka
terhadap sesuatu topik itu. Membaca dan penulis merupakan satu ikatan yang tidak boleh ditukar
ganti. Jelasah, penulis perlu membaca dengan banyak terutama ketika mereka sedang mencari
bahan penulisan mereka.
Kesimpulannya, penulis yang berjaya ialah penulis yang rajin, suka membaca dan membuat
renungan tentang kehidupan dengan lebih kritis. Sikap penulis yang peka terhadap sesuatu perkara
menjadikan diri mereka begitu unik. Namun, masih ramai yang menganggap kerja menulis mudah
dan tidak perlu satu masa yang panjang untuk menguasainya. Peribahasa 'sehari selembar
benang, lama-lama menjadi kain” membuktikan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya,
seseorang itu memerlukan masa yang panjang untuk menguasainya.