Anda di halaman 1dari 6

USUL: INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA MAMPU MENJANA EKONOMI NEGARA

Teks Perdana Menteri

Terima Kasih Tuan Yang Dipertua Dewan, rakan-rakan delegasi kerajaan, panel pembangkang
yang dihormati dan disegani serta seluruh warga dewan yang dimuliakan. Assalamualaikum dan
salam transformasi ekonomi.

Tuan Yang Dipertua Dewan,


Selaku Perdana Menteri, mewakili rakan-rakan di saf kerajaan, saya mencadangkan agar dewan
ini percaya bahawa "Industri Kecil dan Sederhana Mampu Menjana Ekonomi Negara". Terlebih
dahulu, izinkan saya untuk mentakrifkan segenap frasa yang mengikat konsep perdebatan pada
hari ini.

Pertama, apa yang boleh saya fahamkan, "Industri kecil dan sederhana (IKS)" menurut
Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) merujuk kepada syarikat
dengan pusingan jualan tahunan tidak melebihi RM25 juta dan jumlah pekerja sepenuh masa
tidak melebihi 150 orang. Sementara itu, frasa "mampu menjana ekonomi negara" kami kaitkan
dengan keupayaan, kebolehan serta potensi IKS bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Kes kami di pihak kerajaan cukup mudah. Kami ukur keupayaan dan potensi IKS untuk
memangkin ekonomi negara berdasarkan tiga indikator:
1. Pertama, dari aspek galakan aliran wang dan pelaburan
2. Kedua, dari sudut peluasan peluang pekerjaan
3. Ketiga, dari segi suntikan modal dan inisiatif kerajaan

Tuan Yang Dipertua,


Selaku Perdana Menteri, hujahan saya akan bertumpu kepada indikator pertama iaitu dari aspek
aliran wang dan pelaburan. Bangkit Timbalan Perdana Menteri, setelah memberikan respons
kepada hujahan Ketua Pembangkang, beliau akan membawa hujahan dari aspek peluasan
peluang pekerjaan dan suntikan modal dan inisiatif kerajaan. Sementara itu, Menteri Kedua akan
membuat semakan semula kes pakatan pembangkang serta rangkuman kes perwakilan kerajaan.

Tuan Yang Dipertua Dewan,


Mangara Tambunan dan Lasmono Tri Sunaryonto (2004) dalam kajian mereka "Industri Kecil dan
Sederhana Sebagai Sumber Baru Pertumbuhan Ekonomi di Negara-negara ASEAN" merumuskan
bahawa sementelah impak kegawatan ekonomi pasca 1997, IKS telah diakui sebagai tulang
belakang yang membantu proses pemulihan ekonomi di rantau ASEAN. Kajian tersebut turut
menggariskan bahawa kejayaan IKS merupakan faktor penentu jatuh bangunnya ekonomi
sesebuah negara.

Hal ini dibuktikan lagi oleh perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia pada
tahun 2005. Menurut data yang diperoleh, China selaku kuasa baru ekonomi dunia mencatatkan
sumbangan IKS sebesar 60 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)
negara tersebut. Jerman; 57 peratus, Jepun; 55.3 peratus, Korea; 50 peratus dan Malaysia
sendiri, 47.3 peratus. Maka jelas, perkembangan IKS di Malaysia berada pada landasan tepat
untuk memacu momentum ekonomi hasil galakan aliran wang dan pelaburan yang aktif dalam
sektor tersebut'
.
Tuan Yang Dipertua,
Menurut laman sesawang rasmi SME Corp, pada tahun 2010, IKS membentuk 99.2 peratus
daripada keseluruhan domain perniagaan di Malaysia. Laporan Tahunan Industri Kecil dan
Sederhana pada tahun 2008 menjelaskan bahawa di sebalik perangkap krisis ekonomi global,
aliran wang dan pelaburan dalam segmen IKS Malaysia tetap rancak terutamanya dalam industri
berteraskan eksport. Penembusan produk IKS ke luar negara ini sangat penting kerana selain
pelaburan langsung modal domestik, sektor IKS di negara kita sudah berkembang maju dan
berjaya menarik perhatian pelaburan langsung asing (FDI) sebagai nilai tambah kepada
pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pelaburan langsung asing ini juga memberikan
kelebihan kepada Malaysia sebagai negara hos dari aspek peningkatan sumber modal yang gagal
ditampung oleh pelaburan domestik. Pada September 2012, pelaburan langsung asing (FDI)
Malaysia dalam sektor IKS melonjak 42 peratus kepada RM 26.4 bilion berbanding RM 18.6 bilion
pada tempoh sama pada tahun 2011. Selain itu, kesan langsung dapat dilihat menerusi
peningkatan kuasa pasaran ringgit sebagai mata wang dalam pasaran dunia. Pengintegrasian
pelaburan domestik dan asing ini dilihat sebagai sinergi utama yang mengupayakan IKS sebagai
peneraju ekonomi negara.

Tuan Yang Dipertua,


Mengapa kami katakan IKS merupakan enjin penggerak ekonomi negara? Pertama, aktiviti IKS
melibatkan pelbagai ruang lingkup perniagaan baik dari sektor pembuatan, produk pertanian,
makanan mahupun perkhidmatan pada modal dan kos yang lebih kompetetif. Kedua, di samping
memenuhi kehendak pasaran eksport ke luar negara, IKS juga berperanan sebagai penyedia
sumber produk-produk untuk pasaran domestik yang sekaligus dapat mengelakkan aliran ringgit
ke luar negara. Hal ini juga dapat mengatasi kebergantungan terhadap produk-produk import
yang memberi kesan negatif kepada aliran wang keluar serta nilai ringgit di pasaran mata wang
global. Akhir sekali, pelaburan asing serta eksport produk IKS ke luar negara akan memperkukuh
lagi kedudukan Malaysia dalam strata ekonomi dunia. Menurut Majlis Pembangunan Industri
Kecil dan Sederhana Nasional, pada tahun 2012, 19 peratus daripada keseluruhan eksport
negara disumbangkan oleh sektor IKS.

Tuan Yang Dipertua,


Berdasarkan analisis saya akan sumbangan besar IKS terhadap galakan aliran wang dan
pelaburan yang sekaligus memberi impak positif kepada KDNK negara, jelaslah bahawa "Industri
Kecil dan Sederhana Mampu Menjana Ekonomi Negara". Sebelum berundur, mohon untuk
mencadang.

Terima kasih.
Teks Timbalan Perdana Menteri

Terima kasih Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan di kabinet kerajaan, pihak pembangkang yang
saya muliakan serta hadirin sidang dewan sekalian. Assalamualaikum dan salam kemakmuran
ekonomi Malaysia.

Usul masih tetap sama dan sekali lagi, kami di meja kerajaan ingin menegaskan bahawa kami
masih yakin dan percaya bahawa "Industri Kecil dan Sederhana Mampu Menjana Ekonomi
Negara." Sebelum fikrah anda saya sorot kepada hujahan-hujahan yang mendokong premis kami
di panel kerajaan, mari kita imbas kembali kepincangan-kepincangan dalam penghujahan Yang
Berhormat Ketua Pembangkang.

*Bidasan hujahan Ketua Pembangkang - Sebaik bangkit Ketua Pembangkang, beliau


menyatakan......Satu lagi kelompangan dalam penghujahan beliau ialah....Saya timbulkan
persoalan..... Beliau juga gagal.....

Tuan Speaker Dewan,


Usai sudah bidasan terhadap hujahan Ketua Pembangkang, izinkan saya untuk beralih kepada
hujahan kami yang seterusnya iaitu dari aspek peluasan peluang pekerjaan. Kami berpegang
kepada premis bahawa dengan pesatnya perkembangan sektor IKS, hal ini akan membuka luas
peluang pekerjaan yang sekaligus mempertingkat ekonomi.

Tuan Speaker Dewan,


Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam artikel bertajuk "Global Economic Recovery and Job
Creation" atau "Pemulihan Ekonomi Global dan Penghasilan Pekerjaan", menegaskan bahawa
dampak terburuk krisis ekonomi global 2008 adalah kadar pengangguran yang semakin
meningkat. Pada 2012, kadar pengangguran dunia mencatatkan seramai lebih kurang 200 juta
orang penganggur. Hakiaktnya, pengangguran bukan sahaja memberi kesan kepada individu,
keluarga dan masyarakat, tetapi jika dilihat dengan lensa yang lebih besar, pengangguran
memberi implikasi buruk kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Linda Levine dalam "Economic Growth and Unemployment Rate/ Pertumbuhan Ekonomi dan
Kadar Pengangguran" merumuskan bahawa menjelaskan bahawa kadar pengangguran
merupakan pembolehubah yang bergerak secara negatif terhadap perkembangan ekonomi.
Dalam kata lain, semakin rendah kadar pengangguran sesebuah negara, semakin baik
pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

Tuan Speaker Dewan,


Prinsip asas ekonomi sepeti yang diterangkan oleh Jan de Kok dalam "Do SMEs Create More and
Better Jobs/ Adakah IKS Menghasilkan Lebih Banyak Pekerjaan dan Pekerjaan Yang Lebih Baik"
menggagaskan bahawa kadar penghasilan pekerjaan merupakan titik keseimbangan antara
jumlah penghasilan pekerjaan dan jumlah pengangguran. Justeru, persoalan pokoknya ialah
bagaimanakah IKS menyediakan wadah penawaran peluang pekerjaan yang sekaligus membantu
menjana ekonomi negara?

Tuan Speaker Dewan,


Zaini Jamaluddin dalam kajian "Pertumbuhan Industri Kecil & Sederhana Dari Sudut Penawaran
Peluang Pekerjaan: Kajian Ke Atas IKS Bumiputera di Selangor" menjelaskan faktor utama yang
membolehkan IKS menjana ruang pekerjaan yang luas ialah penubuhan IKS tidak memerlukan
modal yang besar serta tidak rumit berbanding dengan operasi firma-firma berskala multi
nasional. Di samping itu, kebolehan IKS untuk beradaptasi dengan keadaan setempat termasuk
kawasan pedalaman menjadikannya sesuai untuk dieksploitasi bagi menjana ekonomi setempat
menerusi penawaran peluang pekerjaan. Justeru, walaupun tanpa infrastrukur yang lengkap,
asalkan wujudnya permintaan. IKS mampu memangkin pembangunan kawasan setempat
menerusi aktiviti ekonomi. Menurut laporan Borneo Post bertarikh 1 Julai 2012, Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) SME Corp, Datuk Hafsah Hashim dipetik sebagai berkata pada tahun 2011,
seramai 2.2 juta orang pekerja IKS terdapat dalam sektor perkhidmatan, 740,000 dan 131,000
orang masing-masing dalam sektor pembuatan dan pertanian. Maka, jelaslah tanpa sebarang
keraguan bahawa IKS merupakan mangkin yang menyuburkan sektor pekerjaan di negara kita
yang akhirnya menyumbang kepada perolehan cukai pendapatan yang lebih tinggi serta aliran
ekonomi yang lebih positif.

Tuan Speaker Dewan,


Sekarang kita telusuri hujah ketiga yang mendukung paksi premis kerajaan iaitu "IKS Mampu
Menjana Ekonomi dari Segi Suntikan Modal dan Inisiatif Kerajaan." Sokongan tidak berbelah bagi
kerajaan dalam mengangkat sektor IKS di negara kita merupakan inti penting yang dapat
menggerakkan ekonomi kita ke tahap yang optimum. Untuk tujuan ini, akan saya tunjukkan
kepada warga dewan inisiatif-inisiatif pihak kerajaan dalam menyokong sektor IKS yang akhirnya
memberikan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pertama, kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp) menerusi Akta Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana 1995. Agensi ini berperanan
sebagai portal sehenti bagi IKS yang memberikan informasi dari segenap aspek berkenaan
pembiayaan kewangan, khidmat nasihat, program latihan, peluang perniagaan dan sebagainya.
Dalam kapasiti tersebut juga, SME Corp turut berperanan meninjau dan mengkoordinasi semua
aktiviti pembangunan berkaitan IKS melangkaui kementerian mahupun jabatan kerajaan,
memformulasi polisi dan strategi bagi usaha pembangunan sektor IKS yang efisyen,
mengkoordinasi statistik dan penerbitan berkenaan IKS dan melaksana polisi kewangan IKS bagi
mempermudah akses para usahawan IKS kepada sumber pembiayaan perniagaan. Y.A.B Datuk
Seri Najib Tun Razak ketika mempengerusikan mesyuarat tahunan Majlis Perusahaan Kecil dan
Sederhana Nasional pada 12 Julai 2012 berkata bahawa kerajaan telah bersetuju untuk
memperkenalkan rancangan induk bagi memperkuat fungsi SME Corp dalam pembentukan IKS
yang berimpak tinggi.

Kedua, sokongan fiskal dari segi pemberian dana dan pinjaman mudah kepada IKS perlu dilihat
sebagai komponen utama yang menyumbang kepada kemaslahatan IKS di Malaysia. Pelbagai
bentuk konsolidasi fiskal telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu pengusaha-
pengusaha IKS dari segi modal mahupun usaha untuk memperkembang perniagaan. Menurut
laman Portal Rasmi Kerajaan Malaysia, sehingga kini, terdapat pelbagai jenis insentif kewangan
yang ditawarkan antaranya: Geran dan Insentif Enterpris Kecil dan Sederhana, Skim Pinjaman
Institusi Kewangan Kerajaan, Tabung Usahawan Baru Bank Negara, Skim Kewangan bagi EKS
Dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Skim Pelaburan dan
Pembiayaan Francais PNS, Skim Pembiayaan Mara untuk Usahawan Bumiputera, dan Geran
Pembangunan Pemasaran MATRADE. Dokongan dari aspek kewangan inilah yang akhirnya
membantu perkembangan IKS serta pengantarabangsaan sektor.
Ketiga, dari sudut pemasaran dan promosi, kerajaan telah menubuhkan Perbadanan
Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Mac 1993 yang bertanggungjawab
membantu IKS tempatan menerobos pasaran antarabangsa. Selain mengadakan aktiviti promosi
produk tempatan di laur negara, badan ini juga turut menjalankan penyelidikan kompehensif dan
mengumpul data bagi pengeksportan produk Malaysia. Di samping itu, MATRADE turut
bertanggungjawab untuk menjalin perkongsian bijak antara pengusaha IKS tempatan dengan
rakan niaga atau pelabur luar.

Tuan Yang Dipertua,


Maka sudah terang lagi bersuluh, kami telah buktikan bahawa IKS mampu menjadi tulang
belakang penjanaan ekonomi negara. Jadi, sebelum yang ketiga menyambung bicara, sekali lagi
suka saya ulangi pendirian kami di perwakilan kerajaan bahawa kami sebulat suara menyokong
usul pada hari ini "Industri Kecil & Sederhana Mampu Menjana Ekonomi Negara." Mohon untuk
terus mencadang.

Sekian, terima kasih.


Teks Menteri Ketiga

Terima kasih Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Kabinet seperjuangan, yang dihormati delegasi
pakatan pembangkang dan yang dimuliakan warga dewan sekalian. Assalamualaikum dan salam
Malaysia Baharu.

Sebagai Menteri Ketiga, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian kami tidak berganjak
walau seinci pun. Kami yakin dan percaya bahawa “Industri Kecil dan Sederhana Mampu
Menjana Ekonomi Negara”. Justeru, bangkit saya selaku Menteri Ketiga pada hari ini akan
membuktikan kepada dewan kelemahan-kelemahan dalam penghujahan pihak pembangkang.
Seterusnya, saya akan menegaskan hujahan-hujahan kami di barisan Kerajaan.

Tuan Yang diPertua,

Izinkan saya untuk memulakan bidasan bagi mematahkan hujahan Timbalan Ketua
Pembangkang.
*Bidasan hujahan Timbalan Ketua Pembangkang

Tuan Speaker Dewan,


Saya akan teruskan dengan bidasan terhadap kelompangan dalam penghujahan Ketua
Pembangkang.
*Bidasan hujahan Ketua Pembangkang

Kini, tibalah masanya bagi saya Menteri Ketiga untuk meyakinkan warga Dewan bahawa usul
pada hari ni perlu diterima. Seperti yang dirangkumkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan
Perdana Menteri, pendirian kami menyokong usul pada hari ini adalah Industri Kecil dan
Sederhana mampu menjana ekonomi negara berlandaskan TIGA premis:
• Pertama, dari aspek galakan aliran wang dan pelaburan
• Kedua, dari sudut peluasan peluang pekerjaan
• Ketiga, dari segi suntikan modal dan inisiatif kerajaan

*Ringkasan TIGA hujahan di atas

Tuan Yang Dipertua Dewan,

Pada hemat kami selaku menteri-menteri Kabinet, kami telah berjaya menunjukkan kepada
Dewan bahawa IKS mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi negara. Maka, dengan rendah
hati saya memohon kepada warga Dewan untuk menerima usul pada hari ini iaitu “Industri Kecil
dan Sederhana mampu menjana ekonomi negara”. Mohon untuk terus mencadang. Terima
kasih.

Anda mungkin juga menyukai