Anda di halaman 1dari 6

USUL: INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA MAMPU MENJANA EKONOMI NEGARA

TEKS KETUA PEMBANGKANG

Terima kasih Tuan Yang Dipertua Dewan, rakan-rakan perwakilan pembangkang, barisan cabinet kerajaan
seterusnya hadirin hadirat warga dewan sekalian. Assalamualaikum dan salam kesejahteraan ekonomi
Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,


Usul perbahasan pada hari ini seperti yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri berbunyi “Industri
Kecil dan Sederhana Mampu Menjana Ekonomi Negara”. Saya, selaku Ketua Pembangkang ingin
memberi kefahaman jelas kepada dewan bahawa kendatipun kami menyokong usaha untuk membawa
ekonomi Negara ke puncak katarsis, kita perlu bersikap rasional bahawa terdapat kekangan-kekangan
yang menyekat potensi IKS untuk menjana ekonomi Negara.

*Terima/ tolak definisi. Jika tolak definisi kerajaan, berikan definisi menurut perspektif pembangkang.

Tuan Yang Dipertua,


Startegi kami dalam perikatan pembangkang bersifat realitstik. Kami akan tunjukkan kepada dewan
permasalahan-permasalahan yang wujud dalam pengembangan IKS sebagai suatu sektor yang
menyumbang kepada ekonomi Negara. Memegang amanah sebagai Ketua Pembangkang, selesai bidasan
terhadap kelemahan penghujahan Perdana Menteri, saya akan teruskan dengan berhujah tentang
permasalahan structural IKS. Bangun yang kedua akan menyambung hujahan berkaitan isu kewangan
dan modal serta aspek kurang pengetahuan dan kepakaran di samping menjalankan kewajipannya
membidas hujahan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Yang ketiga pula akan meranapkan
kes pihak kerajaan sebelum merangkumkan premis kami dalam pakatan pembangkang.

Tuan yang dipertua, mari kita sama-sama analisis kepincangan hujahan seorang Perdana Menteri.

*Bidas hujah Perdana Menteri

Tuan Yang Dipertua, Saya kira tiba masanya untuk saya mulakan dengan pembuktian kami bahawa
terdapat dilemma structural yang mendepani IKS yang akhirnya akan membantutkan perkembangan
sector tersebut terhadap kemajuan ekonomi Negara. Seperti yang kita sedia maklum, IKS merupakan
perusahaan dengan modal pusingan tahunan kurang RM 25 juta serta jumlah pekerja sepenuh masa
kurang daripada 150 orang dan kami katakan, ciri-ciri structural IKS inilah yang menyumbang kepada
kegagalan banyak pengusaha IKS tempatan.

Tuan Yang Dipertua, Ali Salman Salleh dan Nelson Oly Ndubisi dalam kajian “An Evaluation of SME
Development in Malaysia/ Suatu Penilaian Perkembangan IKS di Malaysia” (2006) menemukan bahawa
factor utama kegagalan IKS adalah disebabkan saiz perusahan yang kecil. Hal ini akan mengehadkan
perkembangan IKS untuk menambah pendapatan mereka. Bagaimanakah pendapatan yang static dan
tidak berubah ini memberi pulangan kepada ekonomi Negara? Saya tinggalkan persoalan ini untuk
dijawab oleh delegasi kerajaan.

Tuan Yang Dipertua, antara masalah struktural terbesar yang perlu dihadapi oleh para pengusaha IKS
adalah persaingan dalam persekitaran perniagaan, sama ada secara mengufuk iaitu di antara pengusaha-
pengusaha IKS dan persaingan dalam bentuk vertikal daripada industri berskala besar. Kami setuju
bahawa persaingan yang sihat sangat penting dalam meperkembang potensi IKS, namun berdasarkan
pengalaman lalu, persaingan dalam bentuk horizontal dan vertikal ini lebih membawa implikasi negatif
terhadap IKS.

Perkara ini diburukkan lagi oleh Pelaksanaan Polisi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang
dimeterai pada tahun 1995. Sekalipun objektif utama perjanjian tersebut adalah untuk penggemblengan
kerjasama ekonomi rantau ASEAN, kita perlu melihat dengan sudut pandang yang lebih luas bahawa
punca utama banyak perusahaan IKS gulung tikar adalah akibat kegagalan daya saing di pasaran global
yang sangat kompetetif. Ayu Norazilah Mohamad, Zetty Rashid dan Rosfaliza Rahman dalam kajian
“Potensi, Cabaran, dan Hala Tuju IKS dalam Pembangunan Ekonomi Negara” (2008) meletakkan bahawa
penyebab utama kecundangnya IKS tempatan untuk bersaing dengan pemain industri besar serta
pengusaha luar adalah didorong oleh modal pusingan yang statik serta jumlah guna tenaga yang kurang.
Hal ini lantas merencatkan usaha IKS untuk menghasilkan produk atau menawarkan perkhidmatan
berkualiti menepati standard serantau mahupun global.

Tuan Yang Dipertua,


Pembuktiannya, merujuk wawancara Tan Sri Dr Kamal Salih, pakar ekonomi dan professor adjung
Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya, menurut beliau, IKS di Malaysia yang masih tidak
berjaya keluar dari kepompong kekangan saiz perniagaan menyebabkan lebih 90 peratus daripada
pengusaha IKS akhirnya gulung tikar, meski dibiayai dan disokong oleh inisiatif-inisiatif kerajaan.
“Penjajahan ekonomi” secara tidak langsung yang dilakukan oleh syarikat-syarikat multinasional akan
menyekat lagi potensi IKS untuk terus bernafas dalam persekitaran persaingan ekonomi yang semakin
mencabar pasca liberalisasi ekonomi Malaysia. Maka, ingin saya tanyakan kepada pihak kerajaan di
seberang sana, jika IKS berada dalam situasi hidup segan, mati tak mahu, bagaimanakah sector ini dapat
membawa ekonomi Malaysia ke strata yang lebih tinggi? Fikir-fikirkan.

Tuan Yang Dipertua,


Tidak pernah terlintas langsung di benak kami untuk melihat ekonomi Malaysia berada di takuk lama,
namun bersandarkan pemikiran yang rasional, kita perlulah menyedari bahawa terdapat pelbagai isu
besar yang mengekang peranan IKS terhadap pemakmuran ekonomi Negara. Maka, atas premis itulah,
kami mohon untuk membangkang. Sekian, terima kasih.
TEKS TIMBALAN KETUA PEMBANGKANG

Terima kasih Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan seperjuangan perwakilan pembangkang, Menteri-
menteri Kabinet yang dihormati dan dimuliakan, serta hadirin warga intelek sidang dewan sekalian.
Assalamualaikum dan salam wawasan ekonomi 1Malaysia.

Tuan Yang Dipertua


Terlebih dahulu, sebelum saya memberikan reaksi terhadap hujahan-hujahan Timbalan Perdana Menteri
dan Perdana Menteri, molek kiranya jika saya ulangi premis kami dalam pakatan pembangkang yang
tidak berganjak walau seiinci pun. Usul masih tidak berubah iaitu “Industri Kecil dan Sederhana Mampu
Menjana Ekonomi Negara”. Namun, kami di perikatan pembangkang mengambil pendekatan realistik
bahawa terdapat kekangan-kekangan yang wujud dalam IKS yang mendepang fungsi IKS untuk menjana
ekonomi Negara. Sebagai Timbalan Ketua Pembangkang, akan saya tunjukkan validasi premis kami
menerusi dua hujahan; pertama dari aspek modal dan kewangan dan kedua, dari aspek kekurangan
pengetahuan dan kepakaran.

Tuan Yang Dipertua, sebelum saya bawakan bingkisan idea mewakili kes kami di barisan pembangkang,
eloklah saya perbetulkan kefahaman Timbalan Perdana Menteri serta Perdana Menteri yang pincang-
pincung keadaannya.

Tuan Yang Dipertua,


Hujahan pertama saya menyentuh isu “modal dan kewangan” yang menjadi limitasi terhadap potensi IKS
sebagai pemangkin ekonomi Negara. Mori Kogid, Kasim Mansur, Dullah Mulok dan Wilson Akmadia
dalam kajian ‘Industri Kecil & Sederhana dan Pinjaman Kewangan di Sabah: Suatu Analisis Empirikal”
(2009) sekalipun dengan kewujudan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (Bank SME)
pada 2005 serta skim-skim pembiayaan mikrokredit di bawah seliaan agensi kerajaan yang lain, masalah
modal dan kewangan masih lagi menghantui kebolehupayaan IKS. Hal ini demikian kerana sebahagian
besar IKS yang beroperasi di Negara kita mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman disebabkan
oleh masalah ketiadaan cagaran yang setara atau penjamin yang sesuai. Lantas, permohonan mereka
ditolak oleh insitutsi kewangan atau bank. Di samping itu, ketiadaan rekod perniagaan serign dijadikan
alasan oleh pihak bank untuk menolak permohonan pinjaman pengusaha IKS.Ketiadaan system
perakaunan yang teratur yang boleh dijadikan bukti ketika membuat permohonan juga dilihat sebagai
punca berlakunya masalah ini. Atas keraguan itulah, bank dilihat kurang bermiant dan yakin untuk
menawarkan pinjaman kepada mereka.

Tuan Yang Dipertua,


Hongbo Duan dalam kajian “An Analysis of Causes for SMEs Financing Difficulty/ Suatu Analisis
Pneyebab-penyebab Kesukaran Pembiayaan Kewangan pada IKS” (2009) menemukan bahawa
kelemahan-kelemahan dalam IKS menjadi pendorong utama kepada kegagalan mereka untuk
memperoleh pembiayaan kewangan. Pertama, IKS berada pada posisi yang lebih rendah dari aspek
penurasan kredit. Disebabkan oleh bank perlu bersifat selektif dalam menawarkan pinjaman kepada
pemohon yang diyakini boleh membayar semula pinjaman, IKS sering dilihat sebagai kos lepas yang
terpaksa diabaikan berikutan ketiadaan cagaran. Selain itu, risiko untuk IKS menghadapi kebankrapan
secara amnya adalah lebih besar berbanding industri berat, justeru institusi kewangan mengambil
langkah berjaga-jaga demi kepentingan perniagaannya.

Tuan Yang Dipertua,


Selain itu, factor penolak lain ialah IKS berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi dalam operasinya.
Dalam erti kata lain, IKS kebiasaannya beroperasi pada tempoh yang lebih singkat berbanding
perusahaan bersaiz lebih besar. Lantaran itu, kebarangkalian IKS untuk tersingkir daripada pasaran
adalah sangat tinggi dan hal ini sangat membimbangkan, jika dilihat dari perspektif pihak bank.
Norhazlina Ahmad dalam kajian “Analisis Tindakan Berkaitan Kegagalan Perniagaan: Kajian Kualitatif
terhadap Pengusaha IKS di Malaysia dan Australia (2009) menemukan bahawa 23.7% perusahan IKS
telah menghilang dalam masa dua tahun ke belakang disebabkan oleh kekurangan modal dan kegagalan
mendapatkan pinjaman bagi menampung operasi perniagaan mereka. Jadi, dengan trend di mana kita
melihat IKS berada di ambang kebankrapan seperti ini, wajarkah kita letakkan IKS sebagai penjana
ekonomi Negara? Saya nantikan respons perwakilan kerajaan.

Sekarang, mari kita beralih kepada coretan idea terakhir pakatan pembangkang iaitu “kekurangan
pengetahuan dan kepakaran”.

Tuan Yang Dipertua Dewan,


Kelemahan IKS dari sudut pengetahuan, kepakaran dan pelan strategik dalam mengatur operasi
perniagaan merupakan salah satu faktor yang tidak boleh kita ketepikan. Calvin Wang, Elizabeth A
Walker dan Janice Redmond dalam kertas kerja “Explaining the Lack of Strategic Planning in SMEs: The
Importance of Owner’s Motivation/ Menjelaskan Kekurangan Perancangan Strategik dalam IKS:
Kepentingan Motivasi Pengusaha” menyorot akan pencapaian kurang memberangsangkan IKS
disebabkan oleh kurangnya pengetahuan serta kemahiran bagi mengkoordinasi operasi perusahaan
untuk jangka pendek sederhana dan yang lebih penting untuk jangka panjang. Hal ini akan memberikan
implikasi langsung kepada pemaksimuman keuntungan yang seterusnya akan membawa kesan buruk
kepada ekonomi Negara.

Di Malaysia pula, menurut dapatan Abu Bakar Hamid, Rohaizat Baharun dan Hazarina Hashim dalam
“Analisis Perbandingan Praktik Pengurusan IKS di Malaysia menemukan bahawa kelemahan pengurusan
operasi IKS natijah kekurangan pengetahuan dari aspek pengurusan dan perniagaan merupakan factor
yang membatasi kemampuan IKS untuk bersaing dengan pemain industry berat dan pengantarabangsaan
sector tersebut. Hal ini turut dipersetujui sendiri oleh SME Corp dalam Rancangan Induk Industri Keicl
dan Sederhana 2012 dalam Bab 4, di mana kekurangan IKS dari aspek percambahan ilmu terutama
berkaitan asas perniagaan serta pengurusan adalah disebabkan oleh kos untuk meningkatkan
pengetahuan dan kepakaran tidak mampu ditampung oleh pengusaha IKS yang memiliki modal terhad.
Justeru, warga IKS kurang responsif terhadap usaha-usaha kerajaan dalam bentuk latihan, kursus dan
sebagainya bagi meningkatkan pencapaian mereka. Benar, pihak kerajaan telah memberikan yang
terbaik bagi membantu para pengusaha IKS ini, namun kami di panel pembangkang yakin dan percaya
bawaha usaha pembangunan IKS ini perlu bersifat dua hala. Sebaik mana pun rancangan yang telah
diatur oleh kerajaan, sekiranya warga IKS tidak menghulur tangan menyambut inisiatif-inisiatif kerajaan,
industry IKS tidak akan mampu untuk bergerak seiring kemajuan Negara.

Tuan Yang Dipertua,


Membidas sudah, berhujah pun sudah. Apa yang dapat saya simpulkan adalah bersandarkan prinsip
kami yang cukup realistic, telah terbukti terdapat pelbagai kekangan dalam usaha mengangkat IKS
sebagai penjana ekonomi Negara. Atas prinsip itulah, kami mohon agar usul pada hari ini ditolak oleh
Dewan. Mohon untuk terus membangkang.
TEKS PEMBANGKANG KETIGA

Sekalung apresiasi buat Tuan Speaker Dewan, yang dihormati rakan-rakan sealiran dalam saf
pembangkang, Menteri-menteri Kabinet serta wakil rakyat sekalian. Salam persidangan.

Usul pada hari ini masih sama iaitu “Industri Kecil dan Sederhana Mampu Menjana Ekonomi Negara”.
Pendirian kami pakatan pembangkang masih juga tidak berganjak . Kami sepakat bahawa walaupun
penjanaan ekonomi negara merupakan teras kepada kemaslahatan rakyat seluruhnya, terdapat
berencam kepincangan dalam IKS yang menghalang sektor tersebut daripada memangkin ekonomi
negara.

Strategi saya selaku pembangkang ketiga akan membidas terlebih dahulu hujahan yang dibawa oleh
Menteri Ketiga.
*Bidasan terhadap hujahan Menteri Ketiga

Selesai bidasan terhadap Menteri Ketiga, ayuh kita lihat kepincangan dalam hujahan Timbalan Perdana
Menteri.
*Bidasan terhadap hujahan Timbalan Perdana Menteri

Tuan Yang diPertua Dewan, izinkan saya meneruskan bidasan bagi mematahkan hujahan Perdana
Menteri.
*Bidasan terhadap hujahan Perdana Menteri

Tuan Speaker Dewan,


Usai sesi bidasan, kini saya akan meneruskan hujahan dengan menegaskan pendirian kami di barisan
pembangkang terhadap usul kita pada hari ini. Kami dalam pakatan pembangkang bersepakat bahawa
IKS tidak mampu menjana ekonomi negara bersandarkan tiga premis:
1. Permasalahan structural IKS
2. Isu kewangan dan modal
3. Aspek kurang pengetahuan dan kepakaran
*Ringkaskan TIGA hujahan di atas

Tuan Yang diPertua Dewan,


Kami di barisan pembangkang sangat mengalu-alukan insentif bagi menyuntik perkembangan pesat
ekonomi negara. Pun begitu, pihak kerajaan harus sedar bahawa bersandarkan kepincangan dan
kelemahan IKS seperti yang telah kami tunjukkan kepada Dewan pada hari ini, “Industri Kecil dan
Sederhana Tidak Mampu Menjana Ekonomi Negara”. Atas pendirian itulah, kami menolak usul pada hari
ini. Mohon untuk terus membangkang.

Anda mungkin juga menyukai