Anda di halaman 1dari 1

Laporan Reflektif Keusahawanan

Kursus ini memberikan saya gambaran sebenar berkaitan keusahawanan yang telah lama
wujud dan diteruskan pada masa sekarang. Melalui kursus ini, saya mendapat pelbagai maklumat
yang tepat berkaitan ilmu keusahawanan seperti konsep, mitos, visi, inovasi, penjanaan idea,
rancangan perniagaan dan kini saya telah mampu membezakan antara peniaga dan usahawan.
Selain itu, kursus ini turut menambah kemahiran saya untuk mengharungi pembelajaran melalui
kaedah membaca modul, forum, menonton video dan menjawab soalan. Kaedah kursus tersebut
merupakan pemangkin untuk saya teruskan pembelajaran di OUM secara kendiri dengan penuh
keyakinan dalam menyiapkan tugasan yang telah di berikan.

Sepanjang kursus ini, saya merasa amat teruja dengan begitu banyak ilmu pengetahuan
yang telah diperolehi di sertai juga dengan kepelbagaian ilmu dan teknik yang amatlah berguna.
Oleh hal yang demikian, saya juga turut mengambil kesempatan dalam mengisi masa dengan
membaca beberapa artikel berkaitan keusahawanan oleh penulis-penulis jurnal secara atas talian.
Saya juga semakin selesa mengikuti forum, tugasan, soalan, kuiz di laman sesawang
myINSPIRE dalam mengajukan soalan dan bertukar-tukar pandangan berkaitan kursus. Selain
itu, saya berazam akan terus mendalami ilmu pengetahuan keusahawanan dari semasa ke semasa.
Sebagai harapan di masa akan datang, saya akan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi untuk
menjadi seorang usahawan yang berjaya pada suatu hari nanti.

Akhir sekali, saya berbesar hati dalam memberikan cadangan untuk meningkatkan
kualiti pembelajaran bagi kursus ini. Antaranya, saya mencadangkan agar pihak OUM
berkerjasama dengan SSM, MARA, Badan Kerajaan dan individu persendirian yang berkaitan
untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar berkaitan keusahawanan melalui ceramah,
gerai pameran, forum dan taklimat. Selain itu, saya juga mencadangkan agar diwujudkan satu
kerja kursus untuk pelajar-pelajar membuat perancangan perniagaan dan tugasan mendaftar
perniagaan sendiri dengan SSM sebagai salah satu cara penilaian kursus ini. Hal ini dapat
melibatkan pelajar-pelajar dengan situasi sebenar sebagai seorang peniaga seterusnya bergelar
usahawan yang berjaya.

(290 patah perkataan)