Anda di halaman 1dari 5

WALAUPUN hari ini hari nikah aku, aku tetap sibuk menolong apa yang patut.

Sejak
semalam, sepicing pun aku tak dapat lena. Mana nak dengar leteran, mana nak dengar
nasihat itu ini ditambah dengan kegelisahan yang tidak berpenghujung…

Sungguh! Sungguh aku berharap agar cepatlah hari-hari berlalu. Aku ingin tinggalkan
tempat ini dan balik ke Kuala Lumpur. Aku ingin hidup berdua dengan dia, kekasih
hati yang bakal bergelar suamiku tidak beberapa jam sahaja lagi.

Ketika ini, aku berseorangan di ruang tamu. Mana entah perginya insan-insan lain
yang tadi penuh di sini. Tapi tak kisahlah. Masing-masing pun sibuk, bukan? Tentu
ada kerja yang sudah diagih-agih di antara mereka. Maklumlah, emak dan abah masih
hendak mengamalkan konsep tradisional. Masih mahu bergotong royong sesama
kawan-kawan mereka di seluruh taman perumahan ini. Memang pelik perangai orang
tuaku. Kalau panggil katering, kan senang? Tak gaduh nak buat macam-macam.
Itulah fasal! Saja aje hendak memenatkan diri masing-masing.

Waktu aku sibuk hendak membetulkan langsir yang entah siapa jatuhkan lalu
ditinggalkan di tengah-tengah ruang tamu, ada orang berdeham di belakangku. Aku
toleh.

“Biar saya tolong sangkutkan. Awak tu pengantin. Kalau jatuh dan terseliuh kaki tu,
terjengkut-jengkut pula bila naik pelamin nanti.”

Aku tengok dia atas bawah. Eeii, sakit mata! Geli! Dah macam pekerja di kedai
mamak rupa dia. Dengan seluar panjang yang dilipat naik sampai ke bawah lutut,
dengan kain buruk tersangkut atas bahu, dengan songkok kat kepala… macam
manalah emak boleh terfikir nak buat dia jadi calon menantu?

Tapi itulah emak. Lelaki nerd berkaca mata tebal inilah lelaki kebanggaannya. Lelaki
yang langsung tidak memiliki ciri-ciri lelaki idamanku. Memanglah dia berkerjaya.
Doktor tu! Tapi hati aku ni memang tak boleh nak suka dia. Tak boleh!

“Cik pengantin, saya nak tolong awak ni. Yang awak diam tak cakap apa-apa tu
apasal? Takkan nak kahwin dah terus gamam kut?”
Doktor ni kan… saja nak ganggu emosi aku agaknya. Saja nak buat aku marah-marah
dia. Seronok kut kena marah dengan aku ni?

“Awak buat apa kat sini? Orang lelaki dilarang masuk ke dalam rumah, tahu?”

Nada suaraku beralun tinggi.

Si nerd yang tak berapa hendak nerd itu ketawa. Geli hatilah konon?

“Saya nak ke dapur, bukan nak berdua-duaan dengan awak di sini. Tapi, bila dah
tengok awak duk terkial-kial hendak sangkutkan langsir tu, takkanlah saya nak tengok
saja. Dah! Bak sini langsir tu!”

Aku hulurkan apa yang diminta.

Dia pandang aku pula. Hesy, si nerd ni nak apa lagi?


“Boleh turun dari kerusi tu tak? Jangan duk perasan diri tu tinggi. Lepas tu tolong ke
tepi sikit. Tak elok awak rapat-rapat sangat dengan saya. Nanti orang nampak, jenuh
nak jelaskan pada dia orang!”

Aku ketap gigi. Rasa nak tukar jadi hulk lepas tu nak angkat dia baling jauh-jauh
hingga ke Jupiter. Baru padan muka dia! Dia ingat aku terhegeh-hegeh hendak dekat
dengan dia sangat?

“Marahkan sayalah tu, kan? Saya kenal sangat dengan awak, Erin. Kalau awak marah,
awak suka sangat gigit-gigit bibir awak tu. Tu yang buat saya…”

“Boleh tak kalau awak diam? Nak tolong, tolong aje! Jangan nak membebel, okey!”

“Okey!”

Amar tersenyum sinis kepadaku. Kemudian dia pun mula memasukkan setiap satu
cincin ke gigi railing. Dengan ketinggiannya, mudah sahaja bahagian hujung renda
dan ropol langsir itu disangkut semula.

“Dah siap!” ujarnya.

Aku jongket bahu.

Tiba-tiba dia berdiri, menghadapkan wajahnya ke wajahku. Perbuatan yang


menyebabkan hatiku tiba-tiba jadi berdebar. Selalunya, kalau itu aku rasakan bererti
doktor kerek itu sedang menelek muka aku. Seperti yang selalu dilakukannya waktu
dulu-dulu. Waktu zaman persekolahan kami berdua.

Ahh, tak mahulah kenang!

“Tunggu apa lagi ni? Kata tadi nak ke dapur. Ni, yang duk telek muka anak jiran
sebelah rumah, apa ke halnya?” marahku. Namun sebenarnya, lebih kepada hendak
menutup rasa gugup.

“Teleklah sementara boleh. Kejap lagi dah jadi hak orang, tak dapatlah nak tenung
begini lagi,” balas Amar.

Aik, kenapa suaranya bagaikan berjauh hati saja?

Aku mendongak. Pandangan mata kami berlaga sebelum Amar melarikan


pandangannya.

“Saya tahu awak kecewa tapi ramai lagi gadis lain di luar sana, Amar,” pujukku.

Amar tidak menyahut. Sebaliknya, dia berpaling untuk meninggalkan aku. Kata-
kataku tadi terbiar sepi.

“Terima kasih,” ucapku agak kuat.


“Tak apa. Bukan besar mana pun pertolongan tu tadi,” katanya tanpa menoleh
kepadaku lagi.

Aku lepaskan keluhan. Mataku masih lagi memerhati dirinya. Dia yang kukenali
sekian lama, sejak umur kami 8 tahun lagi. Sejak keluarganya berpindah ke mari dan
membeli rumah sebelah dan kami menjadi jiran.

Dia, lelaki pelik! Dari dulu perangainya tidak mudah kutelah. Yang aku tahu, dia
sentiasa ada untuk membantu apabila aku ditimpa masalah tapi lepas tu dia hilang.
Kadang-kadang, aku nak ucap terima kasih pun tak sempat.

Aku tengokkan saja dia mengatur langkah menuju ke dapur. Dari dulu, rumahku ini
sudah seperti rumahnya sendiri. Ibuku sudah menganggap Amar seperti anak
lelakinya. Agaknya, dia nak jumpa emaklah tu! Mungkin dia hendak memujuk sebab
emak memang mogok dengan aku. Emak mogok suara. Mogok segala-gala!

Hmm, aku nak mengendap mereka. Nak dengar kata-kata memujuknya. Nak dengar
sama ada dia akan kutuk aku atau tidak. Kalau dia sama naik dengan emak mengutuk
dan mengata aku, aku tak akan teragak-agak untuk membalas. Tahulah bagaimana
aku nak sakitkan hati dia nanti.

Terhendap-hendap aku melangkah, mengikut arah yang diambil oleh Amar tadi.

“Mak Non sedih, Amar. Sedih sangat! Kenapalah anak Mak Non yang seorang ni
langsung tak nak dengar nasihat? Kenapa dia tak nak pilih kamu? Kenapa mesti lelaki
lain yang jadi menantu Mak Non? Kenapa bukan kamu?”

Mata aku buntang. Hati aku terasa dicucuk-cucuk dengan garpu. Sakit sungguh
rasanya apabila emak aku sendiri enggan mengiktiraf lelaki pilihanku. Masih juga
berharap agar lelaki yang sudah berkali-kali kena reject dengan aku ni menjadi
menantu dia. Amboi, amboi… Emak siap jadi pelakon air mata lagi!

“Mak Non, tak baik cakap macam tu. Hari ni hari bahagia Erin. Kalau Erin nampak
Mak Non nangis macam ni, dia mesti sedih!”

Hmm, sejuk rasa hatiku mendengar kata-kata lelaki itu.

“Dari dulu, kamu hanya fikirkan Erin aje. Kamu susah hati kalau dia sedih. Kamu
yang risau apabila dia merajuk dengan Mak Non. Kamu yang gelisah bila dia
menangis. Bukan main lagi kamu simpati pada dia, ya? Habis, yang Mak Non
menangis ni? Kamu langsung tak rasa kesian ke, Amar?”

Betulkah apa yang aku dengar? Amar sedih bila aku sedih? Amar gelisah bila aku
menangis? Tapi kenapa?

Diam pulak dah! Lama juga kebisuan melanda. Tapi, ketika suara emak kedengaran,
aku rasa macam nak sumbat aje telingaku ini dengan kapas.

“Kenapa Erin tak pernah nampak kebaikan yang kamu buat, Amar?”
Kebaikan? Kebaikan apa yang Amar buat untuk aku? Rasa hendak sahaja aku terjah
masuk. Biar jadi penyibuk daripada mendengar cakap emak yang tak habis-habis
memuji doktor tu. Macam istimewa sangat? Macam bagus sangat? Eee, sakit hati
betullah!

“Dahlah tu, Mak Non. Jom kita ke depan. Ibu cakap, Mak Non belum makan apa-apa
pun lagi. Jom!”

“Mak Non tak ada selera.”

“Makan dengan saya pun Mak Non tak nak? Sampai hati!”

Aduhai! Mamat ni memanglah! Pandai betul dia pujuk mak. Aku tengok, emak sudah
pun tersenyum.

“Mak Non tahu kamu sayangkan Mak Non. Tapi Mak Non tahu jugak yang kamu
akan pergi jauh bila Erin dah kahwin nanti. Itu yang Mak Non tak sanggup, Amar!”

“Saya nak ke mana, Mak Non? Rumah saya kat sebelah tu aje,” nafi Amar.

“Memanglah! Tapi nanti entah-entah kamu dah jarang balik ke mari…”

“Tak lah! Saya kena jenguk ibu dengan ayah. Mak Non ni banyak sangat berfikir
yang tidak tidak.”

Emak mengeluh. Keluhannya buat aku rasa bersalah sangat. Tapi, ini soal masa
depanku. Kenapa emak asyik mengungkit keenggananku? Pada si nerd tu pula?

“Redalah dengan kehendak Allah, Mak Non. Terimalah pilihan hati Erin. Jangan
seksa perasaan Mak Non macam ni lagi. Sedih saya tengok, tahu tak?”

“Tapi, Amar…”

“Janganlah mogok sembunyi diri dalam sini.”

“Mak Non sakit hati tengok orang gelak, Amar!”

“Kenapa macam tu pula? Mak Non, Mak Non selalu pesan pada saya dulu. Mak Non
kata, hidup ni singkat sangat untuk kita bersedih. Mak Non cakap, selepas kita
berusaha tapi temui kegagalan, jangan berputus asa. Tentu ada yang lebih baik yang
Allah nak ganti.”

Amar berjeda seketika. Emak pula kulihat sedang menyeka air matanya. Semakin
hatiku berasa bersalah. Alahai, apakah aku terlalu kejam terhadap ibuku ini? Keras
hati sangatkah aku ini?

“Mak Non anggap saja yang bakal menantu Mak Non tu lelaki terbaik untuk Erin.
Doakan mereka bahagia. Restu Mak Non penting untuk dia.”
Aku tak mahu lagi berada di situ. Pilu rasa hati tengok adegan pujuk memujuk itu.
Hatiku sedih. Sayu sangat!

Rupa-rupanya emak masih enggan menerima pilihan hatiku. Aku ingat dia sudah
mengalah tapi aku silap. Sampai sekarang, hanya sejam sebelum aku nak menikah
pun, emak tetap tak suka. Tetap tak boleh terima Abang Lan jadi menantu dia.

Sampai hati emak!

Aku tinggalkan mereka di situ. Melangkah lemah menaiki anak tangga menuju ke
bilikku.

“Dari mana ni, pengantin?”

“Bawah.” Kuberitahu kepada Kak Lin, sepupu merangkap mak andamku.

“Dah, pergi mandi! Nanti boleh bersiap. Dah dekat pukul 11.30 dah ni. Sejam lagi
pengantin lelaki dah nak sampai, kan?”

Aku angguk.

Ketika mukaku sedang dirias, telefonku berbunyi menandakan satu pesanan ringkas
masuk. Aku senyum kerana aku tahu bahawa SMS itu daripada si dia. Lelaki
kesayanganku!

Aku tinggalkan Kak Lin lalu duduk di birai katil. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi
ingin membaca apa yang dititipkan oleh bakal suamiku. Wajah-wajah di sekelilingku,
adik-adik dan sepupu… tidak kupeduli.
Namun, madah-madah cinta yang kuharapkan tidak terlakar di skrin telefonku.
Sebaliknya, yang tertulis di situ menyebabkan hati yang sedang berbunga ini tiba-tiba
terasa bagaikan kena tikam dengan pisau. Dadaku berombak kencang. Mataku
berpinar. Aku rasakan tubuhku longlai saat ini. Tak berdaya lagi menahan air mata
daripada mengalir membasahi pipi.

Kenapa sampai hati Abang Lan buat aku begini?

Tubuhku yang lembik terasa melurut jatuh dari katil. Kelibat manusia di sekelilingku
tadi kini menjadi bebayang hitam yang bergerak mendekatiku. Jeritan suara entah
siapa tidak langsung kufahaminya. Aku hilang. Aku hanyut dalam duka dan
kesedihanku.

Segalanya hitam pekat kini!

Anda mungkin juga menyukai