NURLYANA BINTI EZANI – ELEKTIF TERBUKA PENGUCAPAN AWAM
TUTORIAL 1: 17 SEPTEMBER 2019
1. Terangkan maksud komunikasi
Komunikasi merupakan satu proses di mana seseorang menyampai dan menerima mesej. Melalui perkongsian pendapat, informasi mahu pun perasaan turut menggunakan komunikasi sebagai alatnya. Menurut Byrnes (1975) dipetik dalam Abdul Mua’ti (2001) menyatakan bahawa komunikasi adalah satu proses interaksi antara manusia yang melibatkan pertuturan dan pertukaran pendapat, gerak isyarat atau simbol. Proses interaksi ini berlaku untuk mencapai objektif seperti bertukar-tukar maklumat, mempengaruhi tingkah laku, memujuk mahupun menukar keadaan fizikal dan mental manusia. Jadi benarlah, komunikasi adalah proses pemindahan maklumat dan maklum balas daripada penutur kepada penerima.
2. Apakah yang anda faham tentang pengucapan awam
Pengucapan awam adalah terletak kepada tiga perkara asas iaitu pengucap, bahan yang ingin diucap, dan teknik pengucapan. Meskipun seseorang itu mempunyai idea yang bernas namun tidak mungkin pendengar berjaya menerima mesej dengan berkesan. Justeru itu, pengucapan awam memerlukan penggunaan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal untuk menyampaikan sesuatu input.
3. Nyatakan unsur pengucapan awam
Antara unsur yang membina sesuatu ucapan dan sekali gus membezakan pengucapan awam ini dari lain-lain aktiviti komunikasi ialah adanya pengucap. Pengucap ialah individu yang bertanggungjawab meluahkan isi bicaranya di khalayak dengan tujuan tertentu. Unsur kedua ialah ucapan yang tersemat kandungan isi bicara yang diluahkan. Unsur ketiga ialah audiens yang merujuk kepada sekumpulan manusia yang mendengar bicara dan seterusnya bertindak balas terhadap bicara tersebut. Bilangan ahli kumpulan ini boleh jadi dua puluh atau lebih. Golongan inilah yang merupakan sasaran ucapan pengucap. Dengan lain perkataan, isi bicara si pengucap sebenarnya dicipta khas untuk mereka. Unsur terakhir ialah situasi di mana keadaan dalam mana sesuatu ucapan itu diadakan dan dirancang terlebih dahulu.
4. Bagaimanakah seseorang itu mendapat kemahiran berucap
Kemahiran berucap boleh dimiliki melalui keyakinan yang dibina dalam diri seseorang diikuti pengetahuan input mesej yang bermakna. Bagi memperoleh kemahiran ini, sememangnya asuhan mahupun didikan keluarga sejak kecil memainkan peranan untuk mencungkil kemahiran verbal dan bukan verbal dengan teknik pengucapan yang baik. Selain itu, pengaruh persekitaran juga penting untuk membentuk kemahiran berucap yang baik. Buktinya, berkawan dengan rakan yang baik dalam pengucapannya akan sentiasa melatih diri seseorang untuk memperbaiki kelemahan dalam ucapannya. Seterusnya, penyertaan dalam kursus pengucapan awam akan membentuk ketrampilan bertutur profesional yang bertujuan meningkatkan kemahiran ketrampilan bertutur dengan memberikan para peserta kemahiran menggunakan teknik seni bicara yang betul dan berkesan.