Anda di halaman 1dari 7

TEMA : AMALAN MEMBACA

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak


remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan
penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca agar dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat
tersebut.

Apalah nama andai tanpa ilmu


Apalah mahkota permatanya palsu
Tanpa membaca cacatlah minda
Tanpa ilmu ke manalah kita
Lirik lagu Membaca Gaya Wawasan di atas sinonim dengan kepentingan membaca
dalam kalangan anak-anak.Sungguhpun begitu, minat membaca terutama membaca
buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang
memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak
mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan
ilmu. Membaca didefinisikan sebagai proses menggabungkan huruf menjadi kata dan
ayat yang bermakna. Pada hari ini majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan
Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan remaja pada
hari ini yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka
berpendapat bahawa membaca buku membosankan kerana memerlukan minda
untuk berfikir.Mereka lebih suka “berkepit” dengan telefon pintar berbanding buku
tatkala berada di rumah mahupun ketika berkumpul bersama-sama rakan. Situasi
golongan remaja yang tidak melihat kepentingan ilmu pengetahuan ini bertepatan
dengan peribahasa, gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut
nampak. Tambah parah apabila menurut Ketua Pengarah Perpustakaan Negara
Malaysia “kadar literasi rakyat Malaysia tiada peningkatan sejak tahun 2014 kerana
purata rakyat Malaysia membaca 15 hingga 20 buah buku setahun.” Seperkara yang
jelas, buku yang baik ialah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Soalnya, apakah
modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan?
Lao Tze pernah menyatakan perjalanan seribu batu bermula dari langkah
pertama. Oleh itu , langkah prima untuk memupuk budaya membaca sepatutnya
dimulakan oleh ibu bapa. Maka ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta
buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
(PBAKL). Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak
untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis
buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk
memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat
penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang
mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga
berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah,
motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan dalam diri anak-anak. Bermula pada tahun 1981, PBAKL telah
mencatatkan lebih 2 juta pengunjung dari tahun 2013 sehingga kini. Dikatakan
bahawa PBAKL merupakan tempat yang terbaik untuk pembaca mendapatkan
buku-buku terbitan lama dan baharu. Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-
anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan
minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan
seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Peribahasa Melayu ada menyatakan, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke
nasi. Oleh itu, ibu bapa harus menjadi qudwah hasanah kepada anak-anak dalam
aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah
dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk
membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Pada zaman ini, anak-anak
tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Jadi, ibu
bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan
bermula dari rumah. Karya kanak-kanak seperti cerita Pak Pandir, Sang Kancil dan
Buaya, Arnab dengan Kura-kura boleh dibacakan kepada anak-anak sebelum tidur.
Tambahan pula, nabi Muhammad SAW sendiri membaca al-Quran sebelum tidur. Ibu
bapa juga boleh melakukan aktiviti membaca bersama-sama anak-anak pada hari cuti
sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Rentetan itu, anak-anak akan suka
membaca apabila melihat orang tuanya membaca dan anak-anak akan menjadikan
membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka berada. Bak kata
pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

Tahukah anda bahawa seorang rakyat Malaysia hanya membelanjakan kurang


RM50 sebulan untuk membeli bahan bacaan? Menyedari akan permasalahan ini, ibu
bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli lebih banyak buku
untuk bacaan isi rumah. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu
pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah
membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan
Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar
yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk
membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan
yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti
pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan
budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat,
berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu
bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena
kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir
anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar
bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa.
Bulan semakin terang, bayang semakin jelas, ibu bapa boleh mengadakan
perpustakaan mini atau sudut bacaan di rumah.Letakkanlah bahan-bahan ilmiah
yang menempatkan pelbagai buku ilmiah seperti novel karya agung Salina , Kamus
Dewan atau buku-buku agama terbitan Telaga Biru. Hal ini dapat menyuburkan minat
anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa
juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-
buku yang disediakan di rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat
khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap
minggu. Ibu bapa perlu mengeluarkan sedikit modal untuk membeli rak, kerusi, meja
dan buku. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan di
perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat
menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang
membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk
membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-
anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan harian.
Tegasnya, usaha ibu bapa menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di
rumah dapat melahirkan generasi ulul albab yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Kesimpulannya untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan,


ibu bapa insan yang menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah.
Semoga ibu bapa terus istiqamah menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan
anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas.
Sememangnya pendorong untuk menyemai minat membaca dalam kalangan anak
mereka tidak lain tidak bukan ialah insan bergelar ibu bapa. Jika anak-anak sudah
jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan
terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya
besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja
menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan
makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan

Sumber : Diubah suai daripada karangan webmaster bmspm.net


Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja
belum mencapai tahap yang memuaskan.

Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk


mencapai hasrat tersebut.

“Membaca itu jambatan ilmu,” merupakan satu kata-kata hikmat yang jelas
menunjukkan kepentingan amalan membaca dalam hidup kita. Kendatipun begitu, kata-kata
hikmat ini sering dipandang enteng oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia terutamanya
para remaja yang akan menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak. Masyarakat
Malaysia sering kali menganggap bahawa amalan membaca itu bukan sekadar untuk lulus
peperiksaan semata-mata tetapi juga untuk mengetahui keadaan semasa, meluaskan ilmu
pengetahuan dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, setiap pihak haruslah melaksanakan
obligasi masing-masing untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat
Malaysia

Ibu bapa merupakan insan yang memainkan peranan signifikan untuk memupuk tabiat
suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Confucius, “ keluarga merupakan
unit asas pembentukan masyarakat”. Kata-kata ini jelas menunjukkan pembentukan
peribadi seseorang individu bermula daripada keluarga dan keluarga itu pula lahir dengan
sepasang ibu bapa. Dalam hal ini, sebagai insan yang paling penting, ibu bapa perlulah
menjadi entity mithali yang terbaik bagi anak-anak. Ibu bapa mestilah menunjukkan uswah
terbaik dengan mengamalkan amalan membaca di hadapan anak-anak. Hal ini demikian
kerana, apabila ibu bapa hanya menasihati anak-anak supaya membaca tetapi mereka sendiri
tidak menunjukkan teladan yang baik, pasti anak-anak akan mempersoalkan sebab mereka
perlu membaca, sedangkan ibu bapa mereka tidak perlu membaca. Oleh hal yang demikian,
sebagai insan yang terdekat dengan anak-anak, ibu bapa perlulah mengamalkan amalan
membaca di hadapan anak-anak sama ada membaca akhbar, buku ilmiah, novel dan
sebagainya. Dengan adanya contoh yang baik di hadapan anak-anak, barulah ibu bapa boleh
menasihati anak-anak supaya membaca pada saat itu, anak-anak tidak akan mempersoalkan
lagi sebab mereka perlu membaca, seperti cogan kata, “ kepimpinan melalui teladan.”

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlulah membelanjakan sedikit daripada wang
pendapatan mereka untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak. Ibu bapa seharusnya
tidak kedekut dalam membelanjakan sebahagian daripada wang pendapatan mereka untuk
membeli bahan bacaan kerana mereka perlu sedar bahawa yang dibelanjakan oleh mereka
itu tidak sia-sia dan bakal menjadi sesuatu yang berguna untuk anak-anak mereka sebagai
peneraju masa hadapan, seperti kata-kata seorang tokoh, “ masa hadapan itu dibeli oleh
masa sekarang.” Apabila ibu bapa sudi membelanjakan sebahagian daripada wang mereka
untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak, pasti anak-anak akan lebih mudah
mendapatkan bahan bacaan dan tidak perlu ke mana-mana untuk mendapatkan bahan
bacaan sekali gus meningkatkan minat membaca dalam diri anak-anak. Seiring dengan itu,
selain sebuah keluarga ini dapat membentuk sebahagian masyarakat, apabila anak-anak
kecil ini keluar dari rumah mereka dan membaca di hadapan masyarakat lain, pasti
masyarakat lain akan mencontohi perbuatan anak-anak kecil ini sebagai orang yang lebih
dewasa, pasti mereka akan berasa malu terhadap anak-anak kecil ini. Hal ini demikian kerana,
apabila masyarakat yang lebih dewasa melakukan kerja yang sia-sia, dalam mengisi waktu
lapang mereka, pasti akan terdetik dalam sukma mereka, sedangkan anak kecil ini lebih
menghargai masa dengan memenuhkan masa lapang mereka dengan membaca, mengapa
mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman tidak melakukan hal yang yang sama. Dengan
itu, secara implisit, tabiat suka membaca dalam diri masyarakat Malaysia dapat dipupuk.

Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan untuk memupuk tabiat membaca
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, pihak kerajaan bolehlah mengadakan
kempen-kempen yang menggalakkan amalan membaca. Pihak kerajaan seharusnya
menggunakan sebahagian daripada pendapatan negara untuk memupuk minat membaca
dalam diri masyarakat Malaysia. Bagi golongan miskin pula, dalam menjayakan kempen
memupuk budaya membaca ini, pihak kerajaan bolehlah membantu warga miskin ini dengan
memberikan buku-buku percuma kepada mereka. Dengan adanya buku-buku mahupun
bahan-bahan bacaan yang percuma, pasti kempen ini dapat dijayakan oleh seluruh rakyat
Malaysia kerana tidak timbul lagi masalah ketiadaaan bahan bacaan dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Pihak kerajaan juga seharusnya tidak memandang enteng terhadap
usaha mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana
dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh dan beristiqamah oleh pihak kerajaan,
pasti matlamat kudsi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang minat membaca dapat
diwujudkan. Pihak kerajaan seharusnya tidak takut akan kegagalan usaha mereka ini, seperti
kata-kata Phytagoras, “ kegagalan bukanlah bererti kemusnahan tetapi jadikanlah kegagalan
itu sebagai lanjakan untuk mencapai kejayaan”. Oleh itu, wajarlah pihak kerajaan
mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana “ belum
cuba, belum tahu.”

Media massa juga berperanan penting untuk memupuk minat membaca dalam
kalangan masyarakat. Media massa seperti televisyen, internet, radio dan sebagainya penting
dalam menghebahkan kepada masyarakat tentang kepentingan tabiat membaca. Dalam hal
ini, pihak-pihak yang terlibat seperti penerbit stesen televisyen haruslah mengadakan satu
dokumentasi yang memaparkan kepentingan membaca dalam kehidupan dan
menayangkannya di televisyen. Dengan ini, masyarakat yang cetek ilmu tentang kepentingan
membaca akan lebih tahu mengapa membaca itu penting dalam kehidupan mereka. Drama
pendek yang berkaitan dengan kepentingan membaca juga boleh dipertontonkan di televisyen
kerana mesej yang disampaikan oleh drama-drama yang ditayangkan di televisyen akan
meresap dengan lebih mudah dalam jiwa masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, jiwa
masyarakat selalunya lebih tertarik dengan dunia hiburan. Jadi, sebagai pihak media massa
yang prihatin, mereka seharusnya lebih kreatif dalam melaksanakan usaha untuk memupuk
tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia agar Malaysia terus maju seiring
dengan arus globalisasi.

Pihak sekolah juga menggalas tanggungjawab untuk memupuk minat membaca


dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, guru merupakan insan terpenting yang
berperanan memupuk minat membaca dalam diri pelajar. Sebagai guru yang penyayang dan
ingin pelajarnya berjaya, pasti guru-guru sedar akan kepentingaan membaca dalam
kehidupan. Guru-guru di sekolah seharusnya bekerjasama dalam mengadakan pertandingan
bagi memupuk minat membaca dalam diri pelajar. “melentur buluh biarlah dari rebungnya,”
jelas menunjukkan dalam usaha membentuk peribadi seseorang, kita perlulah membentuknya
sejak dari kecil lagi. Guru-guru tadika mahupun guru-guru sekolah rendah memikul
tanggungjawab yang paling penting untuk menerapkan minat membaca dalam kalangan
pelajar sekolah kerana pada saat ini, pelajar-pelajar ibarat kain putih yang belum dicorakkan.
Pada ketika ini, pelajar-pelajar masih belum dapat membezakan antara baik dan buruk
mahupun dosa dan pahala. Oleh itu, apabila guru-guru mengadakan pertandingan seperti
pertandingan membaca paling banyak dan memberikan hadiah berupa wang tunai dan bahan
bacaan kepada para pemenang,pasti pelajar-pelajar tersebut tidak akan melepaskan peluang
untuk mengambil bahagian sekali gus mereka akan selalu membaca. Mungkin pada mulanya,
pelajar-pelajar ini membaca kerana ingin memenangi pertandingan tetapi pasti lama-
kelamaan minat membaca akan timbul dalam diri mereka. Oleh hal yang demikian, guru-guru
haruslah menjalankan peranan mereka untuk memupuk minat membaca dalam diri pelajar
sekali gus membentuk masyarakat Malaysia yang minat membaca.

Tidak kurang juga, syarikat-syarikat penerbitan buku seperti Karangkraf, PtsOne


dan sebagainya perlulah menjalankan peranan dengan mengeluarkan bahan bacaan yang
sesuai untuk semua peringkat umur agar masyarakat Malaysia mempunyai lebih banyak
pilihan dalam memilih bahan bacaan yang sesuai dengan umur mereka. Dengan adanya
kepelbagaian bahan bacaan, pasti masyarakat Malaysia akan menjadi lebih tertarik untuk
membaca. Oleh itu, sebagai syarikat swasta yang prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia,
mereka haruslah menjalankan peranan mereka dengan bersungguh-sungguh.

Akhirulkalam, semua pihak haruslah berganding bahu untuk memupuk minat


membaca dalam diri masyarakat dan tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak
kerajaan semata-mata kerana “ muafakat membawa berkat.” Semua pihak haruslah bersikap,
“ bagai aur dengan tebing” dalam menjayakan usaha untuk memupuk minat membaca dalam
kalangan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia pula, kita seharusnya turut mempunyai
inisiatif dalam mengubah diri bagi memupuk minat membaca dlam diri kita sendiri kerana “ di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Janganlah kita terlalu mengharapkan pihak lain dalam
membentuk peribadi kita kerana segala-galanya yang berlaku adalah pilihan kita sendiri.

Dikirim oleh : Noraini Ismail


AUNEE AZRINA ZULKIFLI (5SC1)

Anda mungkin juga menyukai