Anda di halaman 1dari 4

BANDING BEZA PRINSIP KAEDAH OLEH KODAYL, ORFF DAN DALCROZE DALAM

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MUZIK DI SEKOLAH RENDAH

1.0 PENGENALAN

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) muzik di seluruh dunia pada masa sekarang
adalah dipengaruhi oleh pendekatan yang diasaskan oleh pendidik muzik seperti Zoltan Kodayl,
Carl Orff dan Emily Jacques Dalcroze. Malah, pendidikan muzik di Malaysia turut menerima
pengaruh yang sama bagi meningkatkan literasi muzik dalam kalangan rakyat di negara ini.
Pendekatan PdP muzik yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh ini memberi penekanan terhadap
bagaimana konsep muzik seharusnya diperkenalkan kepada para pelajar muzik di peringkat
sekolah rendah dan prasekolah (Johami, 2010). Pendekatan PdP yang diperkenalkan boleh
dilaksanakan secara berasingan atau bercampuran dengan kaedah-kaedah lain bergantung
kepada kreativiti guru dalam melaksanakan PdP mereka secara berkesan. Oleh itu, penulisan ini
akan memfokuskan kepada prinsip serta kaedah yang digunakan dalam pendekatan Kodayl, Orff
dan Dalcroze dalam PdP muzik melalui banding beza terhadap aspek tersebut. Banding beza
dalam penulisan ini dapat membantu guru untuk menggabungjalin pendekatan-pendekatan
tersebut melalui persamaan yang terdapat dalam ketiga-tiga pendekatan. Manakala, perbezaan
dan kekurangan yang terdapat dalam pendekatan dapat ditampung dengan menggabung kaedah
yang terdapat dalam pendekatan yang lain.

2.0 ASPEK BANDING BEZA

2.1 PENGGUNAAN ALAT

Pendekatan PdP muzik yang diketengahkan oleh Kodayl, Orff dan Dalcroze melibatkan
penggunaan suara sebagai alat muzik. Pendekatan Kodayl memberi penekanan terhadap
penggunaan suara kerana setiap manusia mempunyai alat muzik semulajadi tersebut. Malah
kaedah Kodayl lebih merupakan kaedah vokal kerana beliau berpendapat bahawa kemahiran
vokal harus mendahului kemahiran muzik yang lain dengan menggunakan alat muzik (Johami,
2010). Pembelajaran alat-alat instrumental kurang menerima fokus dalam idea Kodayl yang asal
tetapi kanak-kanak digalakkan supaya meniup rekoder setelah menguasai kemahiran vokal
tertentu (Johami, 2010).
Pendekatan Orff turut menggunakan suara sebagai alat muzik namun alat muzik
genderang dan rekoder diberi penekanan. Alat muzik perkusi seperti xailofon telah diimprovisasi
dan terdiri daripada not-not pentatonik untuk disesuaikan dengan julat suara kanak-kanak.
Namun begitu, pendekatan Orff tidak merupakan satu pendekatan instrumental kerana alat-alat
tersebut hampir selalu digunakan sebagai alat-alat iringan untuk nyanyian kanak-kanak (Johami,
2010).

Pendekatan Dalcroze menggunakan tubuh badan sebagai alat muzik utama. Dalcroze
berpendapat bahawa penggunaan gerak-geri tubuh badan dapat menanamkan kefahaman dan
menimbulkan kepekaan atau sensitiviti terhadap aspek muzik seperti irama, rangkaian lagu,
melodi dan bentuk atau struktur muzik (Johami, 2010). Oleh itu, kaedah eurhythemics wujud bagi
mengintegrasi pergerakan tubuh badan dalam pendidikan muzik. Pergerakan tubuh badan
mengikut kreativiti dapat menggambarkan perasaan kanak-kanak ketika itu. Elemen muzik juga
dapat digambarkan melalui tindak balas pergerakan. Keadaan ini dapat meningkatkan
kefahaman murid terhadap elemen muzik kerana pembelajaran adalah berasaskan deria. Malah
pembelajaran berasaskan deria dapat meningkatkan kognitif kanak-kanak. Rangsangan melalui
gerakan badan yang dipamerkan dapat membawa satu interpretasi dalam muzik. Biarpun begitu,
Dalcroze tidak mengenepikan suara sebagai alat muzik dengan mengekalkan kaedah solfege
dalam pendekatan beliau.

2.4 PERGERAKAN TUBUH BADAN

Ketiga-tiga pendekatan tersebut turut melibatkan pergerakan tubuh badan. Dalam pendekatan
Kodayl, kemahiran psikomotor atau kinestetik turut diambil kira bagi meningkatkan kefahaman
murid terutamanya bagi elemen muzik melodi. Isyarat tangan Kodayl yang berasal dari sistem
isyarat tangan Curwen digunakan dalam pendekatan Kodayl bagi mengaitkan pembacaan muzik
dengan gerak-geri badan (Johami, 2010). Penggunaan alat genderang dan rekoder dalam
pendekatan Orff turut melibatkan pergerakan otot-otot besar. Malah proses eksplorasi ruang
dalam pendekatan Orff memerlukan murid untuk melakukan aktiviti pergerakan berdasarkan
naluri semulajadi mereka berdasarkan rangsangan dari luaran dan dalaman. Manakala,
pergerakan berirama, eurhythemics dalam pendekatan Dalcroze merupakan kesinambungan
antara muzik dan gerakan tubuh badan. Melalui aktiviti ini, murid dapat menghayati dan merasai
pic, irama dan melodi sebagai unsur penting yang boleh dilakukan dalam pergerakan.
2.5 IMPROVISASI

Ketiga-tiga pendekatan menekankan aspek improvisasi. Aspek ini dapat dilihat dalam setiap akhir
proses pendekatan. Improvisasi dalam pendekatan Orff lebih kepada penciptaan irama, melodi
dan pergerakan mengikut kreativiti murid. Dalam pendekatan ini, kreativiti murid tidak dihadkan
dan mereka bebas untuk mengembangkan kreativiti masing-masing. Improvisasi juga boleh
dilakukan dalam permainan alat perkusi terutamanya bagi elemen irama. Seterusnya, improvisasi
dalam pendekatan Dalcroze merujuk kepada gabungan kaedah solfege dan eurhythmics. Murid
menghasilkan ciptaan berdasarkan kepada kegiatan dua kaedah tersebut, iaitu satu keadaan di
mana guru memainkan satu bentuk irama dan apabila murid memainkan irama itu, mereka
mengubah corak irama tersebut tanpa mencacatkan tempo dan detik (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2010). Dalam pendekatan Kodayl, proses improvisasi tidak ditekankan sebagai salah
satu kaedah beliau tetapi improvisasi digunakan sebagai satu cara untuk menilai kefahaman
murid terhadap elemen muzik yang telah dipelajari. Misalnya, permainan baling tepuk, guru
mengimprovisasi kaedah pengajaran bagi konsep detik menggunakan bola. Murid bukan sahaja
dapat memahami konsep muzik, malah turut menggunakan pergerakan otot-otot badan. Biarpun
improvisasi dilakukan oleh guru, tidak dinafikan murid turut memperolehi pengalaman improvisasi
dalam aktiviti tersebut.

3.0 PENUTUP

Persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam ketiga-tiga pendekatan ini membolehkan guru
untuk mengintegrasi pendekatan tersebut dalam pengajaran muzik bagi menghasilkan
pembelajaran muzik yang bermakna kepada murid. Malah, pendekatan yang digunakan dapat
meningkatkan kefahaman yang mendalam oleh murid terhadap muzik seterusnya menarik minat
murid untuk mengembangkan bakat mereka dalam aktiviti muzikal. Oleh itu, guru perlu berusaha
untuk menggabungkan ketiga-tiga pendekatan ini dalam PdP muzik bagi mewujudkan
pembelajaran yang aktif dan bermakna.
RUJUKAN

Johami Abdullah. (2010). Pendidikan Muzik Kontemporari Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). PGSR: Mod Kursus Dalam Cuti, Modul Pendekatan
Pengajaran Muzik (MZU3111). Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Luen, L. C., Aminah Ayob, Collen Wong & Christine Augustine. (Januari 2016). Kaedah Kodayl
dalam Pengajaran Muzik Kanak-kanak. Trend dan isu: Pengajaran dan Pembelajaran.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Anda mungkin juga menyukai