Anda di halaman 1dari 3

10 tips untuk mendapat Ramadhan yang Terbaik

Alhamdulillah Ramadhan hampir tiba kurang 3 hari lagi. Peluang keemasan yang hanya datang
setahun sekali untuk kita memperbaiki diri, mendidik nafsu dan membina semula keperibadian
mulia. Tempoh yang singkat ini perlu dimanfaatkan semaksima mungkin dengan membuat
perancangan terbaik. Saya akan kongsikan 10 tips untuk mendapat yang terbaik daripada
Ramadhan kali ini:
TIPS RAMADHAN 1:Mulakan dengan perkara dasar
Memang seronok tambah pahala sunat bulan ni, nak pulak semua berlumba-lumba tarawih dan
qiamullail. Tapi jangan lupa MULAKAN dan UTAMAKAN perkara dasar iaitu amalan yang wajib.
Perbaiki amalan wajib kerana Allah paling suka amalan WAJIB. Jangan tenggelam dengan
perkara sunat sehingga mengabaikan perkara wajib.
“Tidaklah hamba-hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai
dibanding hal-hal yang Aku wajibkan. Dan hambaKu akan terus mendekatkan diri kepadaKu
dengan amalan-amalan nafilah, sampai Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah
mencintainya, Aku akan menjadi pendengaran dimana ia mendengar dengannya. Aku akan
menjadi penglihatan yang ia melihat dengannya. Aku akan menjadi tangan dimana ia bertindak
dengannya. Dan Aku akan menjadi kaki yang mana ia berjalan dengannya.” (Hadith Qudsi
Riwayat Bukhari & Muslim)

TIPS RAMADHAN 2:Berterusan walaupun sedikit


Rancang amalan anda, kalau boleh biarlah ia mampu dilaksanakan secara berterusan. Kerana
Allah sukakan amalan yang berterusan walaupun sedikit. Jangan terlalu gelojoh melakukan
amalan di luar kemampuan kita, nanti akan terhenti di pertengahan jalan.
Perubahan yang kecil tetapi berterusan lebih baik berbanding perubahan besar yang hanya
dilakukan pada suatu masa sahaja.
Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu.
Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah
amalan yang berterusan walaupun sedikit.“(Bukhari & Muslim)

TIPS RAMADHAN 3: Perbanyakkan amalan yang memberi manfaat kepada orang lain
Kebiasaannya apabila disuruh menambahkan amalan soleh, yang sering terbayang pasti solat,
zikir, puasa sahaja. Benar ia amalan soleh, dan ia memberi manfaat kepada mereka yang
melakukannya. Tetapi alangkah baiknya sekiranya amalan soleh itu juga memberi manfaat
kepada orang lain. Manfaat pahala dapat pada kita, manfaat kebaikan dapat juga pada orang
lain. Jangan terlalu menumpukan kepada ibadah untuk diri sendiri sehingga melupakan ibadah
yang bermanfaat untuk orang lain.
Sabda Rasulullah SAW: “Di antara pintu sedekah adalah takbir, tasbih, tahmid, tahlil, istighfar,
mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menyingkirkan duri, tulang dan batu dari
jalan yang dilaui manusia, menunjukkan jalan bagi orang yang buta, membantu orang yang tuli
mendengar, memahamkan orang yang bisu, menunjukkan jalan bagi orang yang memerlukan
ke arah yang engkau ketahui tempatnya, berusaha sekuat tenagamu untuk menyelamatkan
orang yang tenggelam, dan mengangkat tanganmu meringankan beban yang lemah. Semua
itu adalah pintu sedekah darimu dan untukmu”(Ahmad, Nasa’ie & Ibnu Hibban).

TIPS RAMADHAN 4: Buat pelaburan yang menguntungkan


Terdapat amalan soleh yang sekiranya dilaksanakan ia bagaikan pelaburan yang sentiasa
memberi keuntungan kepada pelakunya. Amalan berbentuk pelaburan begini akan berterusan
mengalirkan pahala kepada kita bukan sahaja sepanjang Ramadhan, malah selagi mana
manfaat daripada amalan itu ada maka kita pasti akan mendapat ganjarannya meskipun
nyawa terpisah dari badan. Ini baru betul yang orang kata buat untung walaupun tengah tidur!
Sabda Nabi SAW:“Ada tujuh perkara yang pahalanya tetap mengalir untuk seorang hamba
setelah ia meninggal, padahal ia berada di dalam kuburnya: (1) orang yang mengajarkan ilmu
pengetahuan, (2) orang yang mengalirkan sungai (yang terputus) (3) orang yang menggali
telaga, (4) orang yang menanam kurma (buah), (5) orang yang membangun masjid, (6) orang
yang mewariskan mushaf Alquran, dan (7) orang yang meninggalkan seorang anak yang
sentiasa memohonkan ampun untuknya setelah ia mati.” (HR Al-Bazar)

TIPS RAMADHAN 5: Pelbagaikan jenis kebaikan


Jiwa manusia lemah dan cepat jemu. Oleh itu, bagi mengelakkan kebosanan melakukan
sesuatu amalan yang sama, rancang sebaiknya amalan anda sepanjang Ramadhan. Hari ini
sedekah, esok ziarah, lusa gotong royong bantu orang susah.
Boleh juga pelbagaikan zikir-zikir harian, pelbagaikan tempat menunaikan solat tarawih atau
pelbagaikan bentuk pemberian sedekah. Gunakan kreativiti anda, pasti setiap amalan
dilakukan dengan lebih keseronokan!

TIPS RAMADHAN 6:Penunjuk kepada kebaikan sepertimana pelakunya


Ramadhan sebulan sahaja, terlalu banyak ganjaran yang nak direbut. Salah satu cara untuk
memperbanyakkan ganjaran kebaikan adalah melalui mengajak orang lain melakukan
kebaikan. Setiap kali orang tersebut melakukan kebaikan yang kita tunjukkan atau sarankan
itu, pahalanya akan kembali semula kepada kita tanpa dikurangi walau sedikitpun.
Lebih kerap orang itu mengulangi kebaikan tersebut, lebih banyak pahala kita. Ini belum kira
lagi sekiranya dia mengajak orang lain pula melakukan kebaikan tersebut. Sabda Rasulullah
SAW:
“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti
pahala orang yang mengerjakannya” (HR. Muslim).

TIPS RAMADHAN 7: Pengorbanan yang lebih besar membuahkan ganjaran yang lebih
besar
Allah memberi ganjaran berdasarkan kadar pengorbanan bukan nilaian manusia semata.
Seringgit yang diinfaqkan oleh orang yang hanya memiliki 2 ringgit lebih besar maknanya
berbanding seratus ribu ringgit yang disedekahkan oleh seorang yang kaya raya. Oleh itu
jangan teragak-agak untuk bersedekah walaupun merasa kekurangan dan hanya mampu
menghulurkan sedikit sahaja.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik sedekah adalah yang engkau keluarkan ketika engkau sihat, kedekut dan sangat
mengharapkan kekayaan serta takutkan kemiskinan”(HR Bukhari & Muslim)

TIPS RAMADHAN 8: Peluang menggantikan


Sekiranya anda terlepas daripada melakukan satu-satu amal soleh, jangan biarkan begitu
sahaja, segera rebut kembali peluang dengan menggantikan ibadah tersebut dengan ibadah
lain. Ingat Ramadhan terlalu berharga untuk dipersiakan!
“Barangsiapa meninggalkan solat witir kerana tertidur, dia boleh menggantinya dengan solat
setelah matahari terbit (Dhuha)”.(HR Tirmizi)
Bagi kaum wanita yang tidak dibolehkan menunaikan ibadah solat dan puasa kerana haid
atau nifas, jangan lepaskan peluang menggantikannya dengan memberi atau menyediakan
makanan untuk mereka yang berpuasa, boleh juga memudahkan urusan ibu-ibu yang
menunaikan terawih dengan menjaga anak-anak mereka.
“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya
pahala yang sepertimana orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang
berpuasa tersebut sedikit pun.” (HR. At Tirmidzi, beliau berkata, “Hadits Hasan Shahih”)
TIPS RAMADHAN 9:Awasi Penghangus Amalan
Jauhi dosa-dosa yang boleh menghanguskan amalan kebaikan, menghilangkan pahala dan
mendatangkan kepayahan tanpa imbalan.
“Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar
dan betapa ramai orang yang bangun malam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya
kecuali hanya berjaga malam..” (HR Ibnu Majah)
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah
tidak butuh dari rasa lapar dan dahaga yang dia tahan.” (HR. Bukhari)

TIPS RAMADHAN 10: Utamakan yang lebih utama


Bagi mengoptimakan ganjaran di bulan mulia ini, kita perlu bijak dalam memberikan
keutamaan kepada amalan yang lebih utama. Keutamaan amalan berbeza mengikut masa,
jenis ibadah, tempat ibadah serta keadaan.
Antara amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah solat malam (termasuk terawih)
dan bersedekah berdasarkan hadith:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh
keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya
yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
“Rasulullah S.A.W adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih
menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada
setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah S.A.W
lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari).
Namun, jika memasuki 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan amalan paling utama
ketika itu ialah beriktikaf berdasarkan hadith Rasulullah SAW.
“Nabi SAW beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil
nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .”(HR. Bukhari &
Muslim )
Antara contoh lain keutamaan adalah amalan terbaik di waktu sahur ialah solat dan istighfar,
manakala amalan terbaik sebelum berbuka puasa ialah berdoa. Menunaikan solat secara
berjemaah di masjid lebih baik daripada melakukannya secara bersendirian di rumah. Ibadah
solat adalah lebih utama berbanding membaca al-Qur’an, manakala membaca al-Qur’an
adalah lebih utama berbanding berzikir. Kebijaksanaan merancang amalan dan
menyesuaikan dengan keutamaan bakal memberikan ganjaran yang terbaik dengan izin-Nya.
Selamat merancang untuk Ramadhan kali ini! Semoga Allah sampaikan kita semua ke bulan
Ramadhan dan memilih kita sebagai hamba-Nya yang berjaya dan diampunkan.

Kredit: Ustazah Kauthar


- Inspirasi Berlumba ke Syurga Khaled Abu Syadi