Anda di halaman 1dari 21

LAPORAN PELAKSANAAN INTERNSHIP

NAMA PELAJAR : RAJA YONG ZAHARIAH BINTI RAJA BADARUDDIN

PROGRAM : PISMP 8A

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN SERI PERMAISURI

NAMA PROJEK/AKTIVITI : PERTANDINGAN MENGHASILKAN ‘BIG BOOK’

ALAT-ALAT KEBESARAN DIRAJA TAHUN 5

TEMPOH PELAKSANAAN ; 8.30 PAGI – 10.30 PAGI ( 2 JAM )

PENDAHULUAN :

Pada zaman globalisasi kini, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara membangun
yang semakin maju dalam pelbagai bidang terutamanya dari aspek teknologi,
pendidikan dan juga pembangunan. Namun begitu, dalam meniti nikmat kecanggihan
serta kemodenan yang tersedia sekarang, jati diri rakyat perlu dibentuk supaya unsur-
unsur tradisi yang menjadi kebanggaan dan identiti negara sejak zaman dahulu lagi
dapat terus dipraktik dan dikekalkan. Institusi beraja adalah merupakan salah satu
unsur tradisi yang masih diamalkan sehingga kini. ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’
adalah merupakan antara kata-kata yang sering kita dengar dan lihat menerusi media
elektronik mahupun media cetak. Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya
institusi ini dalam melindungi dan menjaga kepentingan serta kebajikan rakyatnya.
Walau bagaimanapun, kebanyakan rakyat kini tidak menyedari atau mengambil peduli
tentang kewujudan Insittusi beraja ini. Bagi mengatasi masalah ini, sekolah adalah
merupakan salah satu agen yang berkesan dalam memupuk perasaan patriotisme
dan menghormati institusi beraja dalam diri murid.

Justeru itu, bertepatan dengan program Sambutan Bulan Patriotisme SK Seri


Permaisuri, Panitia Sejarah akan melaksanakan satu Pertandingan Menghasilkan ‘Big
Book’ Alat-alat Kebesaran Diraja bagi murid-murid Tahun 5. Pelaksanaan aktiviti ini
adalah untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap institusi beraja selain turut
menjadi pemangkin untuk memupuk semangat patriotik dalam diri mereka.
RASIONAL

Sering kali dipaparkan bahawa murid-murid pada zaman kini tidak begitu mengenali
dan memahami tentang kewujudan sistem institusi beraja yang hakikatnya turut
berperanan penting dalam mencorak sistem pemerintahan negara. Kenyataan ini
menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan serta semangat patriotisme dalam diri
murid untuk menghayati sejarah negara.

Justeru itu, diharapkan pelaksanaan Pertandingan Mengahasilkan ‘Big Book’


ini, dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk lebih memahami tentang
kepentingan serta keistimewaan institusi ini dalam dalam membentuk sistem
pentadbiran negara.

MATLAMAT

Matlamat utama penganjuran Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ ini adalah


untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid selain untuk
meningkatkan kefahaman mereka terhadap institusi beraja. Pertandingan ini juga
bermatlamatkan untuk meningkatkan kreativiti murid dalam menghasilkan peta minda
serta menyusun maklumat penting selaras dengan pembelajaran abad ke-21.

OBJEKTIF

I. Memupuk taat setia terhadap institusi beraja dan pemerintah.


II. Mengetahui alat-alat kebesaran diraja.
III. Menyemai semangat 1 Malaysia.
IV. Mewujudkan komitmen dan daya saing antara murid.
V. Membantu murid meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan
audien.
VI. Menyemai semangat kecintaan terhadap warisan zaman berzaman
masyarakat tradisional daripada luput ditelan zaman.
STRATEGI PELAKSANAAN

 Pembentukan Jawatan Kuasa program Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’


Alat-alat Kebesaran Diraja.
 Taklimat kepada semua guru yang terlibat dengan penganjuran pertandingan
ini.
 Hebahan tentang pertandingan kepada semua guru dan murid yang terlibat.
 Pelaksanaan pertandingan.
 Pemilihan pemenang.
 Penilaian program.

REFLEKSI

1.) KEKUATAN PROJEK/AKTIVITI

Secara keseluruhannya, Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ telah dapat


dilaksanakan dengan lancar kerana mendapat kerjasama yang baik daripada
pihak guru serta murid. Keadaan ini adalah disebabkan oleh tindakan saya yang
telah memberi penerangan awal kepada guru-guru yang terlibat semasa sesi
pelaksanaan pertandingan selain saya juga telah membuat hebahan secara
meluas tentang pertandingan ini. Pengumuman di perhimpunan dan dari kelas ke
kelas telah dibuat bagi memaklumkan murid tentang syarat,dan keperluan
Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ ini.

Pertandingan ini juga dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan
walaupun pada mulanya saya berasakan masa yang diperuntukkan agak singkat
iaitu selama dua jam. Hal ini demikian kerana, saya berpendapat bahawa murid
memerlukan masa yang lebih lama untuk mencari dan menyusun maklumat serta
menghias ‘big book’ tersebut. Namun begitu, murid-murid ini telah bersedia
dengan lebih awal kerana kebanyakan mereka telahpun mengumpulkan maklumat
berkaitan dengan tajuk yang diberi. Pelaksanaan pertandingan secara
berkumpulan juga berjaya menjimatkan masa penghasilan buku ini dengan
jayanya. Keadaan ini secara tidak langsung dapat memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran pada waktu selepas rehat dapat berlangsung seperti biasa.
Saya berasa lega kerana tidak mengganggu waktu mengajar guru lain kerana
terdapat beberapa subjek teras seperti Matematik dan Sains pada hari tersebut.

Selain itu, terdapat beberapa lagi kekuatan dalam perlaksanaan pertandingan


ini antaranya ialah dapat mendedahkan murid tentang alat-alat kebesaran diraja
yang sememangnya agak asing bagi mereka. Pada zaman ini, kebanyakan murid
tidak lagi berminat untuk mengambil tahu tentang unsur-unsur tradisi yang terdapat
dalam sistem pemerintahan negara kerana kurangnya pendedahan terhadap
mereka. Mereka hanya tahu tentang beberapa alat yang biasa dilihat sahaja,
misalnya seperti tengkolok dan keris tetapi mereka tidak jelas tentang kegunaan
atau ciri-ciri khas yang terdapat pada alatan tersebut. Lebih menyedihkan lagi
apabila kebanyakan daripada mereka langsung tidak tahu tentang kewujudan
pakaian-pakaian rasmi Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan menganggap pakaian
yang dipakai oleh Baginda ialah baju Melayu. Justeru itu, pertandingan ini secara
tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang alat
kebesaran diraja menerusi aktiviti pencarian dan penyusunan maklumat yang
dijalankan. Pengetahuan tambahan ini amat penting untuk dimiliki oleh murid
dalam usaha membentuk jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

Perasaan cinta dan taat setia terhadap pemerintah khususnya institusi beraja
turut dapat dipupuk menerusi pertandingan ini. Hal ini demikian kerana, murid-
murid berpeluang untuk lebih mengenali Raja-raja Melayu yang terdapat di
Malaysia khususnya Yang Di-Pertuan Agong semasa melengkapkan ‘big book’ ini.
Sebelum ini, murid-murid mungkin berasa asing dengan nama YDPA sehinggakan
ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan nama Baginda. Jadi, saya
mengambil peluang ini untuk turut meminta mereka memasukkan maklumat
tambahan berkaitan dengan Yang Di-Pertuan Agong dalam buku yang dihasilkan.
Saya mendapati kebanyakan mereka begitu teruja apabila mengetahui latar
belakang YDPA kita sekarang sehinggakan murid-murid ini menjadikan Baginda
sebagai idola. Ternyata sekali bahawa melalui Pertandingan Menghasilkan ‘Big
Book’ ini perasaan cinta serta taat setia terhadap pemerintah dapat ditanam di
dalam diri murid.

Dari aspek kemahiran sosialisasi pula, pertandingan ini dapat memupuk


semangat kerjasama dalam diri murid kerana proses penghasilan ‘big book’ ini
perlu dilakukan secara berkumpulan. Dari peringkat awal lagi, murid perlu
membahagikan tugas secara terancang agar dapat menyiapkan buku tersebut
dalam tempoh masa yang ditetapkan. Mereka perlu mencari maklumat dari sumber
yang pelbagai supaya isi yang dikemukakan dalam ‘big book’ adalah tepat dan
benar. Saya dapati terdapat beberapa kumpulan yang memuatkan maklumat
tambahan yang tidak terdapat di dalam buku teks ke dalam ‘big book’ mereka.
Usaha sebegini telah menunjukkan bahawa kumpulan-kumpulan tersebut
mempunyai semangat kerjasama yang tinggi dan wajar dihargai dengan memberi
markah bonus.

Proses penyediaan ‘big book’ ini memerlukan murid berbincang sesama ahli
kumpulan agar dapat menghasilkan satu bahan yang berkualiti serta menarik.
Pada peringkat ini, mereka perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik
supaya setiap perbincangan dapat menemui kata sepakat dan mengelakkan
berlakunya perselisihan faham. Murid-murid perlu bijak memilih perkataan dalam
bertutur kata selain mereka juga perlu mengamalkan sikap tolak ansur ketika
bekerja secara berkumpulan. Berdasarkan situasi ini, dapat saya nyatakan
bahawa Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ turut memupuk kemahiran
berkomunikasi dan berinteraksi murid.

Kekuatan pertandingan ini juga adalah dapat menggalakkan pemikiran kritis


dan kreatif murid. Murid diminta untuk memilih isi atau maklumat penting sahaja
untuk dimuatkan di dalam ‘big book’ yang dihasilkan. Situasi ini dapat menguji
kemampuan murid menilai maklumat yang diterima Kreativiti murid pula dapat
dijana semasa mereka menyusun serta menghias ‘big book’ tersebut. Terdapat
murid yang menggunakan peta buih untuk menyampaikan idea, menghasilkan
origami dan ada juga yang membuat ‘pops –up’ sebagai perhiasan. Banyak idea
menarik yang ditunjukkan oleh murid sepanjang saya menilai hasil kerja mereka.

Ringkasnya, terdapat banyak kekuatan yang dapat diperoleh hasil daripada


pelaksanaan Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ ini. Banyak nilai positif dapat
dipupuk dalam diri murid selain pihak sekolah juga secara tidak langsung
mendapat manfaat kerana hasil kerja murid dapat dijadikan sebagai bahan
pameran atau rujukan untuk masa akan datang. Saya juga dapat
mempertingkatkan kualiti diri semasa mengelolakan pertandingan ini kerana
banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari. Proses untuk mendapatkan
kebenaran melaksanakan pertandingan, cara untuk membina soalan dan
kemahiran berkomunikasi dengan jelas merupakan antara kelebihan yang dapat
saya miliki setelah melaksanakan pertandingan ini. Ternyata Pertandingan
Menghasilkan ‘Big Book’ berupaya memberi banyak manfaat kepada pelbagai
pihak.
2.) KELEMAHAN PROJEK/ AKTIVTI

Memandangkan saya masih belum begitu biasa mengendali sesuatu projek


secara besar-besaran maka terdapat beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti
sepanjang proses pelaksanaan pertandingan ini. Salah satu kelemahan yang saya
dapati ialah perancangan untuk merealisasikan pertandingan ini agak lambat
dilakukan. Hal ini demikian kerana, pada peringkat awal saya mahu melaksanakan
aktiviti lain tetapi akibat kekangan masa saya memilih untuk melaksanakan
Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ Alat-alat Kebesaran Diraja. Kesan daripada
tindakan lambat merancang ini, saya terpaksa menyediakan alatan-alatan
pertandingan dalam masa yang suntuk. Situasi ini menyebabkan terdapat beberapa
alatan yang tidak dapat disediakan dan diganti dengan alatan yang lain.

Selain itu, saya mendapati proses pemberian markah terhadap hasil kerja
murid berlaku agak lambat. Hal ini demikian kerana saya tidak memberi penerangan
yang jelas berkaitan dengan kriteria permarkahan dan borang pemarkahan juga agak
lambat diedarkan. Perkara ini berlaku kerana disebabkan oleh kecuaian saya yang
terlupa untuk mencetak borang permarkahan dengan lebih awal.

Kelemahan yang terakhir ialah murid-murid keliru untuk menghantar hasil kerja
mereka. Kebanyakan kumpulan menghantar hasil kerja mereka kepada saya tetapi
sepatutnya mereka perlu menghantar hasil kerja tersebut kepada guru mata pelajaran
Sejarah masing-masing. Keadaan ini menyebabkan saya perlu menyusun semula ‘big
book’ yang telah dihasilkan mengikut kelas.
KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Pertandingan Menghasilkan ‘Big Book’ ini telah


berjaya dijalankan dengan lancar. Murid-murid didapati sangat teruja untuk
menghasilkan ‘big book’ kerana ini adalah merupakan pengalaman mereka yang
pertama. Hasil daripada pelaksanaan pertandingan ini juga telah berjaya menarik
minat murid untuk mengetahui tentang institusi beraja selain turut memupuk minat
mereka terhadap subjek Sejarah.

Saya berharap, pertandingan seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada


masa akan datang. Perancangan yang lebih teliti perlu dilakukan agar kelemahan-
kelamahan yang timbul dalam pertandingan kali ini dapat diatasi dengan baik.
Diharapkan juga, pada masa akan datang pertandingan ini juga dapat diadakan untuk
murid-murid tahap dua yang lain dan tidak berfokus kepada murid tahun 5 yang
sahaja.
LAPORAN PELAKSANAAN INTERNSHIP

NAMA PELAJAR : LOUIS PULONG

RAJA YONG ZAHARIAH BINTI RAJA BADARUDDIN

PROGRAM : PISMP 8A

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN SERI PERMAISURI

NAMA PROJEK/AKTIVITI : PAMERAN KEMERDEKAAN

TEMPOH PELAKSANAAN : 7- 25 OGOS 2017 (2 MINGGU)

PENDAHULUAN

Dalam era globalisasi kini, rakyat Malaysia begitu rancak menikmati perubahan gaya
hidup supaya sejajar dengan tahap kemajuan negara-negara luar khususnya seperti
Amerika Syarikat, Korea dan Jepun. Kerancakan permodenan ini telah membuatkan
mereka hanyut dengan gaya hidup moden yang mampu menghakis identiti budaya
masyarakat dan seterusnya membuatkan mereka lupa dengan sejarah kewujudan
negara khususnya yang berkaitan dengan kemerdekaan. Situasi ini akan
menyebabkan mereka tidak mempunyai jati diri yang tinggi selain turut tidak
menghargai nikmat keamanan yang ada. Jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, tidak
mustahil satu hari nanti negara akan kekurangan rakyat yang berkualiti serta boleh
diharapkan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Justeru itu, menyedari perlunya tindakan guru untuk memupuk kesedaran


tentang pentingnya menghargai kemerdekaan negara dalam diri murid, Panitia
Sejarah SK Seri Permaisuri telah mengadakan satu Pameran Kemerdekaan Tindakan
ini juga bertepatan dengan program Sambutan Bulan Patriotisme SK Seri Permaisuri
bagi tahun 2017. Pelaksanaan ini juga menerangkan dengan jelas tentang kronologi
kemerdekaan Tanah Melayu sehingga tertubuhnya Malaysia. Beberapa identiti
negara iaitu Jata Negara dan Jalur Gemilang juga dipamerkan supaya murid lebih
memahami konsep negara Malaysia. Maklumat tentang kepelbagaian kaum
masyarakat di Malaysia turut dimuatkan supaya murid-murid ini lebih memahami
tentang kebudayaan kaum lain.

RASIONAL

Kebanyakan murid kini tidak mengetahui tentang sejarah kemerdekaan negara dan
hanya tahu melaungkan ‘kemerdekaan’ sahaja tanpa memahami makna disebalik
laungan tersebut. Lebih menyedihkan mereka tidak begitu memahami proses
penubuhan Tanah Melayu sehingga tertubuhnya Malaysia dan menganggap bahawa
kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam satu tempoh masa yang sama. Keadaan ini
menunjukkan bahawa murid tidak mengambil peduli dengan sejarah negara dan tidak
mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

Justeru itu, diharapkan pelaksanaan Pameran Kemerdekaan ini, dapat


memberi peluang kepada murid-murid untuk lebih memahami tentang sejarah
kemerdekaan negara dan lebih mengenali identiti negara yang seharusnya menjadi
kebanggaan setiap rakyat Malaysia. Pameran Kemerdekaan ini turut memaparkan
tentang cara hidup masyarakat yang pelbagai di Malaysia untuk meningkatkan lagi
tahap persefahaman antara murid yang terdiri daripada pelbagai kaum.

MATLAMAT

Matlamat utama Pameran Kemerdekaan ini adalah untuk memupuk semangat


patriotisme dalam kalangan murid selain untuk meningkatkan kefahaman mereka
tentang sejarah kemerdekaan negara. Pameran ini juga memberi peluang kepada
murid untuk mengenali lambang-lambang negara seperti bendera dan jata negara.

OBJEKTIF

I. Murid-murid mengetahui sejarah kemerdekaan negara dan bersyukur atas


nikmat kemerdekaan negara yang mereka kecapi selama ini.
II. Murid-murid dapat menghayati makna kemerdekaan dan berusaha untuk
mengekalkan kemerdekaan ini.
III. Menanam sikap cinta akan negara dalam diri murid.
IV. Mewujudkan semangat perpaduan serta kekitaan dan menghargai jasa
pemimpin.
V. Memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri serta
menanam rasa tanggungjawab kepada sekolah dan negara.
VI. Murid-murid dapat mengamalkan cara hidup yang bersatu padu antara kaum
dan menghayati tema sambutan kemerdekaan.

STRATEGI PELAKSANAAN

 Pembentukan Jawatan Kuasa program Pameran Kemerdekaan.


 Taklimat kepada semua guru yang terlibat dengan penganjuran pameran ini.
 Proses pengumpulan bahan pameran.
 Proses penyusunan bahan pameran.
 Pelaksanaan pameran untuk guru-guru dan murid-murid.
 Penilaian program.

REFLEKSI

1.) KEKUATAN PROJEK/ AKTIVITI

Secara keseluruhannya, Pameran Kemerdekaan ini dapat dijalankan dengan


jayanya walaupun terdapat beberapa halangan pada peringkat awal proses
penyediaan bahan pameran. Salah satu kekuatan pameran ini ialah, kemampuan
kami untuk menyediakan bahan pameran dengan baik walaupun terhad dari segi
masa dan tenaga kerja. Hampir kesemua bahan pameran perlu kami hasilkan kerana
tidak banyak bahan sedia ada yang boleh digunakan untuk pameran. Kami telah
membahagikan tajuk-tajuk tertentu untuk proses penyediaan bahan kepada setiap ahli
jawatankuasa. Selain itu, hasil kerja murid untuk pertandingan yang dijalankan
sepanjang bulan patriotisme juga dipaparkan dalam pameran ini supaya murid-murid
lebih berminat untuk melawat pameran yang diadakan. Kerjasama antara guru dan
murid ini juga secara tidak langsung membolehkan bahan pameran disediakan dalam
tempoh masa yang ditetapkan.
Kekuatan pameran ini yang seterusnya ialah bahan-bahan yang dihasilkan
sangat menarik dan berjaya memikat hati pengunjung terutamanya murid-murid. Hal
ini demikian kerana kebanyakan maklumat disampaikan dalam bentuk peta minda dan
terdapat juga gambar yang ditampal bagi menyokong penerangan yang diberi. Peta
Malaysia yang diperbuat daripada tanah liat juga dapat membuatkan murid-murid
lebih berminat untuk memahami kronologi kemerdekaan negara. Keadaan ini
membuktikan bahawa walaupun aspek kewangan dan masa kami agak terhad, kami
masih lagi mampu menyediakan bahan pameran dengan baik dan berkualiti.

Memberi maklumat serta mendedahkan murid tentang sejarah kemerdekaan


negara, lambang-lambang negara dan kepelbagaiaan kaum di Malaysia turut menjadi
kekuatan bagi pelaksanaan Pameran Kemerdekaan ini. Murid-murid berpeluang
menelusuri sejarah penubuhan negara melalui maklumat serta gambar yang
dipaparkan. Keaadan ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan mereka tentang
kepentingan untuk menghargai serta mengekalkan kemerdekaan yang dicapai
dengan cara menjadi seorang rakyat Malaysia yang berguna pada masa hadapan.
Murid akan juga sedar tentang betapa sukarnya untuk pemimpin serta masyarakat
terdahulu berjuang untuk memperoleh kemerdekaan melalui pameran ini.

Pameran ini juga memuatkan maklumat tentang Perdana-perdana Menteri


Malaysia yang telah banyak menaburkan jasa terhadap negara. Latar belakang dan
sumbangan mereka terhadap negara diterangkan secara ringkas dalam pameran ini
supaya murid-murid dapat mengenali serta mengetahui tentang sifat ketokohan
pemimpin-pemimpin tempatan. Kebanyakan murid pada hari ini hanya mengenali
Perdana Menteri kita sekarang tetapi kurang pasti atau tidak tahu tentang nama-nama
Perdana Menteri yang lain. Justeru, Pameran Kemerdekaan ini secara tidak langsung
dapat meningkatkan pengetahuan mereka tentang pemimpin negara dan seterusnya
berupaya memupuk perasaan cinta serta hormat terhadap insan yang telah banyak
berjasa kepada Malaysia. Hal ini demikian kerana, setelah pembacaan bahan
pameran dilakukan oleh murid-murid, mereka dapat mengetahui banyak kejayaan dan
perubahan yang telah dikukan oleh Perdana-perdana Menteri ini. Situasi ini akan
menimbulkan kekaguman dalam diri murid dan akhirnya membuatkan mereka lebih
menghargai sumbangan tokoh-tokoh ini.
Keunikan-keunikan sejarah negara yang dimuatkan dalam pameran ini juga
berjaya membuatkan murid-murid lebih berminat kepada mata pelajaran Sejarah. Hal
ini demikian kerana, mereka berasakan terdapat banyak maklumat menarik yang
dapat diketahui sekiranya mereka mendalami serta menghayati peristiwa sejarah.
Pembacaan bahan sejarah juga berupaya menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri
murid seterusnya menggalakkan mereka untuk terus mencari maklumat tentang
sesuatu peristiwa. Maklumat-maklumat yang diperoleh ini juga sangat berguna untuk
mereka gunakan bagi mata pelajaran lain misalnya Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris terutamanya apabila menghasilkan karangan.

Ringkasnya, banyak kelebihan yang diperoleh sepanjang menjayakan


Pameran Kemerdekaan ini. Pelbagai nilai positif dapat dipupuk dalam diri murid dan
guru menerusi pameran ini terutamanya dari aspek penyuburan perasaan cinta akan
negara. Kami juga berpeluang untuk belajar mengurus dan membentuk disiplin diri
sebagai seorang bakal guru menerusi penganjuran pameran ini.
2.) KELEMAHAN PROJEK/ AKTIVITI

Sepanjang melaksanakan pameran ini, kami mendapati terdapat beberapa


kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa hadapan. Kurang mendapat kerjasama
daripada beberapa orang ahli jawatankuasa merupakan antara kelemahan yang
paling ketara. Keadaan ini berkemungkinan berlaku kerana guru-guru yang terlibat
juga perlu mengendalikan program lain yang berkaitan dengan sambutan bulan
patriotisme. Kekurangan tenaga kerja ini menyebabkan kami perlu bekerja dengan
lebih keras untuk mencari dan menghasilkan bahan pameran. Namun begitu,
pengalaman ini telah membentuk diri kami supaya menjadi seorang individu yang
tidak mudah putus asa dan perlu mengurus masa dengan sebaiknya. Pada hemat
kami, bagi mengatasi masalah yang timbul ini, mesyuarat atau sekurang-kurangnya
perbincangan berkumpulan perlu diadakan dari semasa ke semasa supaya
perkembangan setiap ahli jawatankuasa dapat dikenal pasti. Tindakan ini sekurang-
kurangnya dapat mengelakkan mereka daripada melewat-lewatkan kerja atau
bersikap lepas tangan.

Kami juga berhadapan dengan masalah apabila peruntukan kewangan agak


terhad dan bahan-bahan perhiasan untuk pameran juga lambat diberikan. Situasi ini
menyebabkan tugasan kami tergendala seketika kerana kekurangan bahan. Kami
mengambil inisiatif untuk menggunakan semula kad manila yang masih elok bagi
menampal maklumat yang ada dan menggunakan hasil kerja murid sebagai bahan
pameran. Tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan masa penghasilan
bahan pameran.

Jadual untuk melawat ke bilik pameran juga agak lambat disediakan kerana
kami mengambil masa yang agak lama untuk menyusun waktu lawatan bagi setiap
kelas. Perkara ini berlaku kerana kami mahu mencari waktu yang sesuai untuk murid-
murid tahun 6 agar tidak mengganggu masa ujian mereka. Kami juga telah terlepas
pandang beberapa kelas semasa menyusun jadual lawatan bilik pameran dan
keadaan ini menyebabkan kami perlu menyusun atur semula jadual waktu tersebut.

Semasa pelaksanaan pameran juga, terdapat kelemahan yang boleh diperbaiki


untuk mempertingkatkan kualiti pameran yang akan diadakan pada masa akan
datang. Waktu melawat selama 20 minit agak singkat bagi kelas yang mempunyai
murid yang ramai. Keadaan ini menyebabkan mereka berebut-rebut untuk melihat
bahan pameran sehingga terdapat beberapa bahan yang hampir rosak. Jika perkara
ini dibiarkan terus berlaku, tidak mustahil bahan yang disediakan tidak dapat
digunakan lagi pada pameran yang berikutnya.

Ringkasnya, terdapat beberapa kelemahan sepanjang pelaksanaan Pameran


Kemerdekaan ini. Namun begitu, kelemahan-kelemahan ini bukanlah penghalang
kepada kami untuk mencuba melakukan yang terbaik dalam menyediakan maklumat
tentang kemerdekaan bagi murid-murid serta guru-guru yang datang melawat.
KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Pameran Kemerdekaan ini berjalan dengan lancar


dan telah memberi banyak manfaat kepada murid. Kebanyakan murid teruja untuk
melihat dan membaca maklumat yang dipaparkan kerana setiap tajuk yang
dikongsikan, disampaikan secara menarik misalnya dengan menggunakan carta atau
gambar.

Kami berharap pameran seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan
datang dengan memuatkan lebih banyak maklumat menarik dan bahan maujud. Saya
juga mencadangkan supaya menyediakan seorang guru untuk menjaga pameran
tersebut agar penerangan lanjut dapat diberikan kepada murid semasa mereka
datang melawat.
MAKLUMAT PERIBADI
MAKLUMAT SEKOLAH
KERTAS KERJA
LAPORAN PROJEK
LAPORAN

Anda mungkin juga menyukai