KARANGAN
2020
Soalan 1: Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penubuhan badan
khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya. Panjang rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Dari masa ke masa kita dihadapkan dengan kes-kes pesakit kronik yang merayu simpati orang
ramai supaya memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan mereka mendapat rawatan segera. Kita
berbangga kerana ramai dermawan yang sanggup memberikan sumbangan kemanusiaan seumpama ini.
Namun begitu, cara ini bukanlah langkah yang terbaik dalam kalangan masyarakat penyayang. Hal ini
demikian kerana pesakit-pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera terpaksa meminta bantuan
daripada individu atau dermawan tertentu. Golongan pesakit kronik ini juga biasanya berusaha untuk
mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak.
Kita percaya bahawa adalah lebih wajar diwujudkan badan khas untuk membolehkan pesakit-
pesakit kronik mendapat bantuan kewangan. Badan khas ini juga dapat membiayai rawatan segera supaya
mereka tidak perlu membuat rayuan kepada orang ramai. Di samping itu, orang ramai atau badan-badan
yang ingin menderma dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan supaya
dapat disampaikan kepada pesakit kronik yang memerlukan bantuan. Kita percaya bahawa dengan cara
ini, bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus. Pesakit kronik pula tidak
perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media. Dengan cara ini, gagasan masyarakat
penyayang akan dapat dilihat lebih adil, proaktif dan komprehensif. Semua penghidap pesakit kronik akan
memperoleh manfaat dan bukan hanya pesakit kronik yang mempunyai kedudukan yang tertentu sahaja.
Namun begitu, orang ramai yang ingin menyumbangkan derma secara langsung kepada individu tertentu
masih boleh berbuat demikian. Sumbangan mereka ini harus digalakkan. Langkah mereka akan
mengurangkan beban badan yang dicadangkan supaya badan ini dapat menumpukan perhatian kepada
golongan yang tidak berupaya untuk mendapat bantuan daripada pihak lain.
Dalam pada itu, kita sedar bahawa telah wujud banyak badan kebajikan dan badan amal, baik
yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun yang ditubuhkan orang ramai. Kita harus bersyukur kerana
badan-badan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kebajikan rakyat di negara ini. Namun begitu,
jika ada dasar penyelarasan yang lebih berkesan , kita percaya lebih banyak anggota masyarakat yang
memerlukan bantuan akan mendapat manfaat. Sememangnya kerajaan dan badan-badan amal tidak dapat
membantu semua orang yang memerlukan bantuan tersebut. Kita berharap agar penyelesaian yang
berkesan akan mampu memberikan manfaat kepada golongan yang berkenaan seluas-luasnya.
Penubuhan badan ini dapat menentukan keperluan bantuan sebenar pesakit dari segi jenis, kos
dan tempat rawatan. Secara tidak langsung, badan ini dapat memastikan bahawa wang yang
disumbangkan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Sesungguhnya, kewujudan masyarakat penyayang yang
mampu melindungi kebajikan anggotanya yang daif merupakan salah satu ciri penting sesebuah negara
penyayang.
(Diubahsuaikan daripada rencana pengarang
Utusan Malaysia: Badan Bantu Pesakit Kronik,30 Julai 2002)
Soalan 2 (a)
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata melindungi kebajikan anggotanya yang daif. [2 markah]
(ii) Bagaimanakah pesakit kronik memperoleh sumber kewangan untuk membiayai kos perubatan
mereka?
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk mengelakkan berlakunya penyakit kronik
dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini?
[4 markah]
1
Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup
berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi
120 patah perkataan.
Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam
setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat
yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana
kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang
berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling
mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat
diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran
yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang
besar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi
bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan
setempat daripada ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.
Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah
dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan
kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif
melaporkan kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli
keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata
pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil
berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan
kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman
yang mantap sesama jiran.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan
berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya
memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka.
Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya
membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam
menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera
sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
2
Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan
masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang menitikberatkan
nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai
pelengkap kehidupan berhemah. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan dan sopan
santun yang meliputi akhlak mulia. Untuk menyuburkan amalan yang mulia ini, kerajaan melancarkan
Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murini. Justeru, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan
oleh semua pihak untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.
Sementera itu, amalan beterima kasih hendaklah disuburkan semula. Alangkah eloknya tradisi
masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja pada setiap masa. Dalam
kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Amalan ini akan
menyemai perasaan hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat
. Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam itu termasuklah
budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.
Ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya
membesar dengan akhlak yang terpuji. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit oleh tuntutan
kerjaya masing-masing. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru perlu mendidik murid mereka supaya
berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah. Satu
langkah drastik yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan
memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh sebab itu, amalan berbudi
bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah. Malahan amalan ini perlu dihayati dan
diamalkan oleh seluruh rakyat. Dengan perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam
mengekalkan nilai budi bahasa itu.
Jika hal itu dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun
2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murni merupakan satu daripada ukuran kemajuan bangsa dan
negara. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat bercambah tanpa usaha untuk memupuknya. Rakyat
dan kerajaan mesti berusaha bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi
bahasa. Untuk tujuan ini, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian terhakis itu
menjadi amalan pada setiap masa. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan kemuncak tindakan
kerajaan untuk menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia
dalam pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan
mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.
Soalan 2 (a)
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(ii) Mengapakah kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni? [3 markah]
(iii) Pada pandangan anda, jelaskan faktor-faktor yang menentukan kejayaan kempen tersebut.
[4 markah]
3
Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi
masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjang rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan
pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara.
Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kental
jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya
termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.
Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas
Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di
samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil
oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan
keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah
disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin
murid. Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai
yang bertanggungjawab.
Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan
bantuan polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan
sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa
mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah
masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak
pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.
Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada
seperti mengenakan hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian,
sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini
diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan
kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah.
Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan.
Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan
peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata sekolah yang berstatus elit. [2 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin
di sekolah?
[4 markah]
4
Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah
penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang
penerokaan angkasa lepas. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas bermula pada awal 1980-an
sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain. Pada mulanya
rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa lepas itu benar-benar berbaloi
dengan kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu telah terjawab apabila Malaysia
diakui sebagai antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia.
Belakangan ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila melaksanakan
program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan beberapa buah
negara lain. Pemilihan calon angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana
ramai peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri daripada pendidik,
doktor, jurutera, saintis dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada
negara untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini juga, negara dapat
menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Secara
tidak langsung, kerjasama dengan negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara
mereka bekerja dalam bidang tersebut.
Masyarakat, yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan manfaat penerokaan angkasa lepas,
kini menerima hakikat bahawa sistem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil daripada penerokaan
angkasa lepas. Kecanggihan sistem komunikasi ini, seperti penggunaan Internet, telah menyebabkan
bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas. Kita boleh mencontohi negara-negara maju yang
menggunakan Internet untuk tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan
dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan sistem komunikasi ini.
Satu lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran tiga buah
satelit ke angkasa lepas. Menerusi pelancaran satelit ini, sistem komunikasi negara terus berkembang
maju yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan
pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan
dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi turut
memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti pendidikan, penyelidikan dan
perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini mempunyai peluang yang cerah untuk berkembang
pada masa hadapan. Oleh sebab itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya pada suatu hari nanti
Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membuktikan kehebatan negara dalam bidang
angkasa lepas.
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam
bidang penerokaan angkasa lepas.
Nyatakan bukti-bukti tersebut. [3 markah]
(iii) Sebagai murid yang berwawasan, jelaskan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan supaya
terpilih sebagai calon angkasawan pada masa akan datang.
[4 markah]
5
Soalan 1: Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari
segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah anda
mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan tumpuan kepada kerja ataupun
pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini
ada kaitannya dengan faktor tidur.
Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti
hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang
paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme
karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan
yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu
meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain
itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu, mereka yang sering
tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan menyebabkan
proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan tumpuan seseorang dalam
membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian, kebanyakan kemalangan yang berlaku di
tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.
Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang
yang tidur kurang daripada kadar biasa akan mengalami tekanan dan melemahkan ketahanan badan
sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan
biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu malam. Oleh
itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak
mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi seseorang.
Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan
tubuh badan, sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur secara rutin
selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau bagaimanapun,
seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian
kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup
pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.
Soalan 2 (a)
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang dialami jika seseorang tidak mendapat tidur
yang secukupnya.
Nyatakan tiga daripada kesan tersebut. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah
sukar tidur?
Kemukakan empat punca.
[4 markah]