Anda di halaman 1dari 2

PURU, PIPI DAN TAMTAM

Pada zaman dahulu, terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh
jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang
masa. Di tasik yang begitu indahnya, tinggal sepasang katak bersama dua anak katak
mereka. Pasangan katak tersebut sangat baik hati dan peramah, tetapi kedua-dua anak
katak sangat nakal. Mereka bernama Puru dan Pipi. Puru dan Pipi tidak disegani dalam
kalangan rakan-rakan mereka kerana perangai mereka. Oleh itu, Pipi dan Puru
membuat keputusan untuk bermain di pinggir hutan berdekatan.
Pada satu pagi, Puru dan Pipi keluar dari kolam dan melompat ke hutan. Mereka
teruja melihat pelbagai tumbuhan yang cantik serta pokok-pokok yang besar. Mereka
pun melompat-lompat menangkap kupu-kupu serta pepatung, makanan kegemaran
mereka.
Dalam keasyikan bermain, mereka tidak sedar bahawa mereka diperhatikan oleh
seekor haiwan lain. Setelah beberapa lama, haiwan tersebut menyusur ke arah Puru
dan Pipi. Haiwan itu memperkenalkan dirinya sebagai Tamtam. Maka, Puru, Pipi dan
Tamtam mula bermain di dalam hutan dengan seronoknya.
Pada sebelah petang, Puru dan Pipi pulang ke kolam. Mereka dengan
sombongnya memberitahu katak-katak lain tentang kawan baru mereka.
‘Boo!’ ejek kawan-kawan yang lain.
Setelah makan malam, Puru dan Pipi menceritakan pengalaman baru mereka
kepada ibu bapa. Bapa katak marah dan memberi amaran kepada Puru dan Pipi agar
tidak meninggalkan kolam lagi tanpa kebenarannya. Pipi mula menangis. Ibu katak
menenangkan Pipi dan menasihati mereka bahawa keselamatan mereka amatlah
penting. Hutan mempunyai pelbagai haiwan karnivor seperti helang dan burung hantu
yang suka memakan haiwan lain.
Ibu katak kemudian bertanya, ‘Apakah haiwan yang kamu bertemu pagi tadi?’
Puru menceritakan tentang haiwan tersebut. Puru berkata haiwan tersebut
mempunyai ekor yang panjang dan berwarna hitam. Haiwan tersebut suka menyusur
dan duduk di atas ranting pokok. Pipi juga mengatakan Tamtam sangat baik dan
membantu mereka menangkap pepatung. Ibu berasa pelik dan tidak dapat meneka
apakah haiwan yang ditemui oleh anak-anaknya. Ibu katak juga meningatkan mereka
agar tidak pulang ke hutan.
Pada keesokan hari, Puru dan Pipi bermain bola di pinggir sungai. Bola yang
dibaling oleh Pipi melantun jauh dan jatuh berhampiran hutan. Puru dan Pipi kemudian
menyelinap keluar dari sungai dan melompat ke hutan untuk mengambil bola.
Kemudian, mereka terserempak dengan Tamtam. Tamtam mengajak mereka bermain
bola di hutan. Puru dan Pipi bersetuju dan mula bermain. Anak-anak katak telah
mengingkari nasihat ibu bapa mereka.
Waktu senja pun menjelang. Apabila Pipi dan Puru hendak pulang, Tamtam tiba-
tiba berdesis dengan begitu kuat. Anak-anak katak terkejut. Tamtam berkata ‘Hei,
makhluk kecil! Aku, ular yang sangat lapar. Aku ingin menjamu kamu berdua sekarang
kerana kamulah makanan kegemaran aku!’
Pipi dan Puru mula menggeletar dan menangis dalam ketakutan kerana mereka
tidak tahu Tamtam sebenarnya ialah ular.
Tiba-tiba, mereka terdengar suara bapa mereka dari belakang sebatang pokok.
Bapa katak mengarah mereka untuk lompat dengan laju dan naik di belakangnya.
Anak-anak katak memegang bapa mereka dengan erat.
Bapa katak melompat dengan sangat tinggi dan laju di antara semak-samun
yang tebal di hutan. Tamtam, si ular juga menyusur dengan cepat dalam semak-samun.
Tiba-tiba, Tamtam terjerat dalam satu perangkap yang dipasang oleh pemburu.
‘Aarrrghhh!’ terdengar suara kesakitan Tamtam apabila kepalanya terjerat dalam
perangkap.

Bapa katak tidak berhenti dan terus melompat dengan tinggi bagi mengelak
perangkap. Mereka pun selamat tiba di kolam setelah beberapa lama. Puru dan Pipi
menangis teresak-esak meminta maaf dengan ibu bapa mereka.
Bapa mereka menjelaskan bahawa sepertimana makanan katak ialah serangga
dan kupu-kupu, begitulah makanan ular ialah katak dan haiwan kecil lain. Puru dan Pipi
sedar akan kesalahan mereka dan berjanji akan berhati-hati serta bertukar menjadi
anak-anak yang baik. Puru dan Pipi tidak lagi berani untuk ke hutan bersendirian.

Unsur Sains:
- Ciri-ciri haiwan
- Pemakanan haiwan

Anda mungkin juga menyukai