Anda di halaman 1dari 3

Bab 1

NAMANYA Layla. Layla Amir. Tiada apa yang istimewa tentangnya. Bapanya
seorang pemandu. Ibunya pula seorang suri rumah.

Layla bercita-cita ingin belajar di luar negara seperti abangnya. Abangnya, Zarif
belajar di Ireland dalam jurusan seni bina. Kakaknya, Nura pula di USM dalam
bidang Kejuruteraaan Petroleum. Kakak dan abangnya memang hebat. Sentiasa
jadi sebutan orang kampung.

Sejak ayah mereka, Pak Amir bekerja dengan seorang hartawan yang agak
pemurah, kehidupan mereka agak senang berbanding dahulu.

Layla bukan genius seperti kakak dan abangnya. Dalam banyak keadaan, Layla
perlu usaha lebih. Dia terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan A. Tidak
seperti abang dan kakaknya yang mempunyai otak geliga.

Bukan senang untuk menjadi anak tengah. Emaknya selalu menegur Layla yang
sering masak nasi hangit kerana leka membaca novel. Dalam banyak perkara,
cuma ayahnya saja yang memahami hatinya.

Ayah selalu nasihatkan Layla supaya apa-apa pun yang Layla lakukan, Layla
mesti ingatkan keluarga. Ingat Allah. Layla melihat lelaki itu sebagai ayah yang
hebat. Ayah yang sanggup buat apa saja untuk kelangsungan anak-anak dan
isterinya. Ayah yang tidak akan makan selagi anak-anak tidak kenyang.
Ayahnya juga seorang suami yang penyayang dan romantik.

Dua tiga minggu lagi keputusan SPM akan keluar. Entah tercapai harapan emak
untuk lihat dia lulus dengan cemerlang dalam SPM. Memang dia sudah
berusaha. Tapi, semua kemungkinan boleh berlaku. Sebab dia adalah manusia
yang paling tidak konsisten dalam apa sahaja yang dia lakukan.
“Kalau SPM Layla tak bagus, Layla kahwin ajelah. Ibu dan ayah bukan ada duit
nak hantar belajar kolej swasta,” kata Mak Mah ketika Layla sedang
menghidang makanan tengah hari.

Berdesing telinga Layla. Wajarkah emak suruh dia kahwin? Inikan abad 21.
Mana ada orang kahwin selepas SPM? Layla menarik muka. Terasa mahu saja
dia menghempas bekas lauk di atas meja. Tapi takut pula kalau ayah kata dia
kurang ajar. Nanti tak semena-mena kena penampar free daripada ayah pula.
Layla lihat ayahnya diam sahaja tanpa berkata apa-apa walaupun dia memang
mengharapkan ayah berkata sesuatu.

“ibu, Layla tak nak kahwin lagi. Masak nasi pun belum pandai,” jawab Layla
perlahan sambil menahan marah di dada. Dia telah pun duduk sambil
menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Hmm... kena belajarlah. Dah kalau tak nak belajar kat universiti belajar jadi
isteri aje,” sela Mak Mah lagi.

“Hisy awak ni… tunggulah keputusan dia keluar dulu. Jangan fikir bukan-
bukan. Nanti masin mulut awak tu terpaksa pulak kita terima menantu.” Pak
Amir bersuara.

“Saya risau. Macam manalah keputusan Layla ni nanti. Awak tengok PMR
dulu. Buat malu kita aje. Tak macam Zarif dan Nura.”

Layla tersentak mendengar kata-kata ibunya. Nasi di mulut rasa tidak tertelan.
Air mata seolah mahu menitis, tapi segera ditahan.

“Sebagai ibu... awak kena doakan dia, bukannya cakap macam ni. Saya pasti
Layla dah buat yang terbaik. Tapi, kalau tak kesampaian bukan rezeki namanya.
Awak sepatutnya lebih tahu daripada saya benda-benda macam ni,” nasihat Pak
Amir.
“Awak menangkanlah anak kesayangan awak tu. Dia banyak lemak dah sebab
awak asyik bela dia. Sebab tu, dia jadi macam tu!” marah Mak Mah. Dia
merenung Layla dengan tajam.

Layla hanya diam. Kenapa ibu tidak faham perasaannya? Ibu tak sayang dia ke?
Kenapa kasih ibu berbeza untuknya? Anak angkatkah dia? Kalau tidak kerana
dia masih hormatkan ibu dan ayah, dia sudah lari ke bilik.

“Dahlah. Tak baik depan rezeki cakap macam tu. Jom makan. Belum masanya
kita bincang perkara ni. Keputusan pun belum keluar lagi. Apa yang awak ribut-
ributkan pulak. Kita tengok macam mana nanti. Yang penting, kita doakan
Layla berjaya,” kata Pak Amir.

Mak Mah terdiam, tapi mukanya mencuka kerana rasa tidak puas hati.

Layla merenung nasi di dalam pinggan. Kalaulah dia tidak dapat keputusan
yang terbaik dalam SPM nanti, habislah angan-angannya untuk ke universiti.
Entah dengan siapalah ibu mahu jodohkan dia. Dia resah. Cepat sahaja dia
mengangkat pinggan meskipun nasinya masih bersisa. Selepas itu, dia terus
bangun.

“Tengok... nasi pun makan tak habis. Membazir. Itu tanda buat kerja tak
sempurna,” bebel Mak Mah.

“Layla kenyanglah, ibu.” Layla memberi alasan.

“Kalau dah kenyang, kenapa ambik banyak tadi? Hisy! Membazir aje,” sela
Mak Mah lagi.

Layla tinggalkan saja emaknya dengan perasaan berbuku. Segera Layla basuh
tangan dan pinggan di singki.

Anda mungkin juga menyukai