Anda di halaman 1dari 6

LAPORAN REFLEKTIF BINA INSAN GURU FASA 6

Pada 7 September 2013, pelajar PISMP ambilan Januari 2011 iaitu kelas
PISMP TESL, Kajian Sosial dan Pendidikan Seni Visual telah menyertai program
Bina Insan Guru (BIG) fasa keenam. Program Bina Insan Guru (BIG) ini bermatlamat
untuk melahirkan guru-guru yang mempunyai akhlak, nilai-nilai kerohanian dan
keguruan yang mantap, daya ketahanan diri yang tinggi serta aura keguruan yang
selaras dengan prinsip Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Falsafah Pendidikan Guru. Pembinaan insan guru merupakan usaha berterusan
sepanjang program pendidikan keguruan berasaskankesedaran bahawa profesion
keguruan adalah mulia dan guru adalah pembina generasi negara. Selain itu, BIG
khidmat masyarakat ini juga dapat menekankan peranan guru sebagai pendidik,
pemimpin dan agen perubahan. Fasa keenam bina insan guru ini ialah khidmat
masyarakat yang berlangsung di bilik asrama IPBA dan juga bengkel yang
bertemakan “Guru Cemerlang”. Program ini telah dijalankan di Institut Pendidikan
Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA). Ianya bertujuan untuk membersihkan
dan mengindahkan lagi bilik asrama dan juga menerapkan nilai-nilai dan ciri-ciri guru
cemerlang dalam diri setiap guru pelatih.

Objektif program Bina Insan Guru (BIG) fasa enam ini adalah untuk pelajar
membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam menganalisis masalah dan situasi
kompleks untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta berupaya
berfikir secara reflektif untuk melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.
Pelajar dapat merancang, melaksana, memimpin program, bekerjasama dan
mengambil peranan aktif dalam kumpulan. Pelajar juga dapat menunjukkan
kecaknaan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada komuniti. Selain itu, pelajar
juga dapat bertindak balas secara positif kepada keadaan dan keperluan
persekitaran yang berbeza dan mengembangkan kemahiran berkomunikasi dalam
kepelbagaian budaya. Pelajar juga dapat menghayati dan menampilkan ciri-ciri
kerohanian, nilai estetika dan akhlak keguruan. Objektifnya juga bertujuan bagi
pelajar mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan fizikal, mental, emosi, rohani
dan sosial.
Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, saya
dan rakan-rakan sekelas berjaya juga menyelesaikan tugasan Program Bina Insan
Guru fasa keenam ini bagi sesi 2013. Program Bina Insan Guru ini dijalankan di
kalangan guru-guru pelatih di setiap kampus institut pendidikan kerana hal ini
merupakan mata pelajaran wajib bagi setiap guru pelatih bagi mendapat ijazah
pendidikan yang diiktiraf oleh pihak kerajaan. Bagi program kali ini, kami hanya
menjalankan aktiviti di bilik asrama masing-masing dan bengkel di IPBA. Kami diberi
tugasan untuk mengindahkan lagi kawasan bilik asrama agar lebih ceria dan pelajar
lebih selesa untuk belajar dan juga menjalankan aktiviti harian.

Kami telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk menguruskan program


ini. Pengerusi bagi program Bina Insan Guru pada kali ini ialah Sadruddin Shahril bin
Azemei dari kelas PISMP Kajian Sosial dan timbalan pengerusi pula ialah Siti
Salbiah NurHussin dari kelas PISMP TESL E. Kami juga menubuhkan ahli
jawatankuasa seperti surat jemputan, buku program, dokumentasi, publisiti, protokol,
persiapan tempat, senamrobik, makanan, peralatan, Pengerusi Majlis, perasmian
dan juga ajk cenderahati. Beberapa siri mesyuarat juga telah diadakan dalam usaha
untuk melicinkan dan memastikan program ini supaya berjalan dengan lancar.

Kelas kami iaitu PISMP TESL A telah ditugaskan untuk mengurus dan
menjalankan aktiviti senamrobik dan juga menyediakan sijil kepada para peserta.
Adat menjalankan sesuatu pekerjaan,sudah tentu pelbagai cabaran dan
pengalaman yang telah saya dan rakan-rakan hadapi dan rasai sepanjang program
tersebut. Berbekalkan pengalaman ini, saya belajar bahawa setiap tugasan dan
amanah yang diberikan tidak harus dilengah-lengahkan oleh seorang guru sewaktu
di sekolah nanti. Oleh itu, demi mencapai cita-cita menjadi seorang guru yang
berjaya kelak, kita harus melaksanakan amanah yangdiberi tepat pada tempoh
masa yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Hal ini juga berkaitan dengan
menepati waktu.

Program ini bermula pada pukul 7 pagi di mana para peserta hadir
mendaftarkan diri dan berkumpul mengikut kelas masing-masing. Setelah selesai
sesi pendaftaran, program dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘IPBA’
diikuti dengan bacaan doa daripada saudara Syafiq Fauzan dari kelas PISMP Seni
dan juga taklimat program Bina Insan Guru pada semester ini daripada wakil unit
kokurikulum iaitu Datin Hajah Junainah dan Encik Baharuddin. Selepas itu, aktiviti
senamrobik pun dimulakan dengan diketuai oleh kelas PISMP TESL A. Gerak
senamrobik yang ditunjukkan amat menarik sehingga semua peserta berminat untuk
mengikuti gerakan yang ditunjukkan oleh para ‘instructor’. Terdapat 3 jenis senaman
dan gerakan yang diajarkan untuk mengeluarkan peluh disamping seronok
melakukan aktiviti ini. Setelah semua peserta berasa aktif dan cergas, kami
dikehendaki untuk melakukan aktiviti khidmat masyarakat di bilik asrama masing-
masing dan akan dipantau oleh mentor masing-masing.

Asrama kami terdapat lima buah bilik dalam satu rumah. Rumah saya iaitu
803 A terdapat penghuni daripada pelajar dari kelas lain. Kami membahagikan tugas
untuk membersihkan sudut rumah dan menghias bilik masing-masing. Kami
membahagikan tugas untuk membersihkan dapur, ruang tamu dan juga bilik masing-
masing. Kami juga dikehendaki untuk membuat carta organisasi dan senarai nama
penghuni rumah di dalam rumah kami. Di samping itu, kami juga perlu menghias
pintu bilik dan melabelkan nama penghuni rumah kami. Kami diberi masa selama 2
jam untuk melaksanakan aktiviti terbabit. Setelah tamat tempoh masa yang diberi,
mentor-mentor datang memantau untuk memastikan kerja kami teratur dan cantik.
Apabila selesai sesi pemantauan daripada mentor-mentor yang terbabit, kami
dikehendaki untuk pergi ke kantin untuk berehat dan menikmati sedikit juadah.
Makanan yang dijamu ialah mee goreng dan kuey teow goreng, di mana pelajar
boleh memilih makanan yang mereka gemari. Walaupun sedikit pedas, kami
menikmati makanan tersebut dengan begitu berselera.

Pada pukul 10.30 pagi, semua pelajar dikehendaki untuk masuk ke dewan
besar untuk bengkel ‘Guru Cemerlang’. Bengkel ini dimulakan dengan slot daripada
Dr.Chong Poh Wan yang bertajuk meningkatkan amalan kreativiti & inovasi serta
daya tahan kendiri. Menurut beliau, seorang guru perlulah mempunyai amalan
kreativiti yang dapat menarik minat murid untuk belajar dan fokus di dalam kelas.
Guru juga perlu berinovasi dan mempunyai daya tahan kendiri dalam menempuhi
era global kini. Kemudian, slot kedua pula ialah dari Dr Boon Pong Ying yang
bertajuk, kemenjadian guru cemerlang. Menurut Dr Boon, kemenjadian guru
cemerlang ini amatlah penting untuk bakal guru dalam memastikan sistem
pendidikan yang cemerlang pada masa akan datang.
Manakala, slot ketiga pula ialah daripada Encik Kamal bin Sujak yang
bertajuk guru cemerlang dari perspektif islam. Menurut beliau, dari perspektif islam
terdapat beberapa ciri yang perlu diaplikasikan oleh guru-guru dalam menjadi guru
yang cemerlang terutamanya pelajar yang muslim. Slot yang terakhir pula
dikendalikan oleh Dr Lawrence Aaloysius Aeria yang bertajuk guru inovatif. Guru
inovatif ini perlulah peka dan cakna dengan isu-isu semasa. Menurut beliau, guru
boleh menggunakan isu-isu semasa dalam sesi pengajaran bagi menarik minat
murid. Guru juga boleh menggunakan lagu-lagu yang terkenal dalam menarik minat
mereka. Guru perlulah inovatif dalam penghasilan alat bantu mengajar bagi
menjadikan sesi pembelajaran menjadi lebih seronok dan bermakna. Setelah selesai
semua slot, upacara penyampaian cenderahati dan sijil dijalankan dan disampaikan
oleh Dr Chong Poh Wan selaku Timbalan Pengarah IPG KBA. Kemudian, semua
peserta dijemput untuk makan tengahari di kantin dan majlis bersurai.

KEKUATAN

Antara kekuatan bagi program ini ialah kami sebagai bakal guru dapat dapat
merancang, melaksana, memimpin program, bekerjasama dan mengambil peranan
aktif dalam kumpulan. Ianya amat penting bagi seorang bakal guru untuk
mengetahui semua ini dalam usaha untuk menjadi seorang guru yang serba boleh
dan cemerlang serta memajukan sekolah sehingga ke tahap yang tinggi. Penghuni-
penghuni rumah juga amat bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti khidmat
masyarakat yang diberi. Bengkel yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah
cemerlang juga amat menarik dan juga maklumat yang disampaikan amatlah
berguna untuk diaplikasi dalam usaha menjadi guru yang cemerlang suatu hari
nanti.

KELEMAHAN

Kelemahan yang didapati pada Program Bina Insan Guru kali ini adalah dari
aspek masa. Ini kerana masa yang telah diberikan kepada kami untuk aktiviti
khidmat masyarakat amatlah singkat. Kami boleh menghias bilik asrama kami
dengan lebih cantik sekiranya mendapat peruntukan waktu yang mencukupi. Masa
bengkel yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah yang cemerlang juga singkat.
Oleh itu, masih banyak lagi maklumat yang belum kami terima untuk dijadikan
panduan. Tempat bengkel tersebut juga tidak selesa kerana keadaan dewan besar
yang panas berikutan penghawa dingin yang tidak berfungsi. Hal ini menyebabkan
ramai pelajar yang hilang fokus ketika ceramah sedang berlangsung. Hal ini amat
menganggu emosi pelajar berikutan dengan keadaan yang tidak selesa.

CADANGAN

Cadangan saya bagi mengatasi kekurangan Program Bina Insan Guru pada
kali ini adalah dengan memberikan guru-guru pelatih masa yang mencukupi supaya
lebih banyak maklumat dapat diserap yang boleh dijadikan panduan semasa
berkhidmat sekaligus meningkatkan profesionalisme keguruan dalam diri masing-
masing. Tempat juga perlu diutamakan dalam memberi keselesaan ketika
mendengar bengkel bagi mengelakkan para peserta untuk cepat hilang fokus.

PENUTUP

Program Bina Insan Guru Fasa Enam ini amatlah berguna untuk diaplikasikan
ketika menjadi seorang guru kelak. Ilmu-ilmu yang diberikan ketika bengkel amatlah
berguna dalam usaha pembentukkan guru cemerlang. Pengalaman dan ilmu yang
saya timba pada kali ini semasa menjalankan Program BIG akan saya gunakan
semasa bergelar guru kelak. Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana telah
melalui program BIG ini yang telah banyak memberi ilmu pengetahuan, menguji
mental dan fizikal diri serta dapat membantu diri saya membina jati diri. Saya dapat
mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi kearah
pembentukkan diri sebagai insan guru yang berkaliber dan berintegriti di masa
hadapan kelak. Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk mengikuti program
Bina Insan Guru ini sebanyak enam kali.Program ini amat berguna untuk
menyediakan saya dari segi fizikal dan mental untuk berkhidmat sebagai seorang
guru kelak. Saya berharap agar pengalaman dan ilmu yang saya pelajari dapat
membantu bagi mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang pendidik yang
gemilang dan berguna kepada bangsa dan negara.
LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai