Anda di halaman 1dari 4

1.

0 Pengenalan

Melayu (‫ )ماليو‬merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu (‫ )بهاس ماليو‬dan
mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada
nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari,
Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau
semasa adanya Kerajaan Srivijaya.
Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal
daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada
juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai
Melayu" di Jambi.
Masyarakat melayu seringkali dinamakan sebagai orang ‘budiman’ iaitu berbudi pekerti
dan adab sopan yang mulia, berbudi bahasa dan budi bicara yang santun, bernas dan
berwibawa, dan berhati budi yang tinggi dan bijaksana. Ini dapat dilihat mealui sastera
Melayu yang acapkali menggambarkan ketinggian budi masyarakat Melayu. Sebagai
contoh;

Yang kurik itu kundi,


Yang merah itu saga,
Yang keras itu takal;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa,
Yang cerdas itu akal.
(Hashim Hj Musa, 2008: hlm.2)

Penciptaan pantun enam kerat seperti di atas oleh anggota masyarakat bijak pandai ialah
secara anonimus, kolektif dan akumulatif dalam sejarah, iaitu berdasarkan pemerhatian
dan cerapan akal dan “peng-`alam’-an” hidup terhadap alam dan budaya masyarakat
Melayu yang mencerminkan kebijaksanaan, persepsi, sikap, dan falsafah hidup
masyarakat yang diwarisi zaman berzaman.

Menurut Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam syarahan
yang disampaikan oleh beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 4 Disember 2009
menerusi tajuk “Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu “ menyatakan bahawa
orang Melayu mempunyai kebijaksanaan dalam memanipulasikan setiap kata dan gaya
hidup mereka dalam pantun. Masyarakat Melayu pula merupakan masyarakat yang
mempunyai daya fikir yang amat tinggi. Mereka mencipta serta mendedahkan rasa
melalui pantun yang diciptanya

Sifat keperibadian sosial orang Melayu yang tersemai dalam hati budinya atau
“psyche”, dan terjelma dalam tindak-tanduk, budi pekerti, budi bahasa, nilai, norma,
pemikiran dan ilmunya. Orang-orang yang menghayatinya pula dianggap mempunyai
nilai etika, moral dan akhlak yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat.

2.0 Penjelasan tentang latar belakang masyarakat Melayu yang mempunyai budi
pekerti, budi bahasa, budi bicara, akal budi atau hati budi dan adab sopan yang
tinggi dan mulia

Awang Had Salleh (1985) menjelaskan bahawa masyarakat Melayu amat


menyanjung nilai budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa kerana bagi
beliau jika runtuh budi maka akan runtuhlah sesuatu bangsa itu. Masyarakat Melayu
beranggapan bahasa budi itu sama dengan hati budi seseorang dan budi itu merupakan
hati bagi sesuatu tamadun bangsa dan tanpa budi, budaya bangsa tidak dapat ditegakkan.

Pengertian budi pekerti yang dihuraikan oleh Imam Al-Ghazali (2002) adalah budi
pekerti berasaskan pertimbangan akal, hawa nafsu dan marah. Budi pekerti merupakan
tingkah laku individu yang baik, sopan, santun, berkakhlak terpuji dan berwatak insan
mulia serta mempunyai akal fikiran yang baik dan bijaksana. Budi yang baik
melambangkan sikap manusia yang terpuji dengan perbuatan yang berakhlak serta
memberikan kebaikan kepada individu yang lain. Budi pekerti amat ditiik beratkan dalam
masyarakat Melayu dan ini dapat dilihat dalam banyak perkara yang ditunjukkan dalam
kehidupan sosial mereka. Antara amalan budi orang melayu yang dipraktikkan zaman
berzaman ialah;

i. menundukkan badan apabila berjalan di hadapan orang


ii. Memberi salam apabila bertemu
iii. Berjabat tangan apabila bertemu dan berpisah
iv. Makan menggunakan tangan
v. Anak dara duduk bersimpuh
vi. meraikan tetamu yang datang ke rumah
vii. Membantu orang lain dengan hati yang ikhlas dan tidak mengharap apa–apa balasan
daripada orang yang menerima budi.
Bagi masyarakat Melayu, bahasa juga memantulkan sikap, kepercayaan, pemikiran,
dan secara langsung menggambarkan realiti budaya sesebuah masyarakat (Kramsch, 1998:3).
Budaya juga dianggap sebagai satu pengaruh kuat terhadap cara masyarakatnya menggunakan
bahasa dalam berkomunikasi (Gudykunst et al, 1988: 17).

Budi dan bahasa ialah dua perkataan yang begitu sinonim yang kerap datang bersama
sehingga lahir perkataan budi bahasa. Budi bahasa ialah unsur penting dalam kehidupan orang
Melayu yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih dengan
cermat (Amat Juhari Moain, 2001:286). Menurut Prof. Madya Mustafa Haji Daud (1995:4),
berbudi bahasa bererti percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, tinggi budi bicara,
beradab, bersopan santun, bertatatertib, lemah-lembut, hormat, tingkah laku yang baik dan
akhlak yang mulia. Selain itu, berbudi bahasa juga bererti berbudi melalui bahasa atau bahasa
sebagai budi. Ini kerana skop budi itu amat luas. Ia termasuk berbudi dengan harta, tenaga,
buah fikiran, nasihat, tunjuk ajar, sikap dan menggunakan bahasa yang baik dan
menyenangkan pendengar.

Apabila budi digabungkan dengan bahasa lahirlah satu pengertian yang jelas, iaitu
percakapan yang baik yang mengandungi tutur kata sempurna dan menyenangkan, penuh
dengan sifat-sifat menghormati pihak lain, bersopan santun diiringi dengan akhlak yang
mulia. Konsep bahasa dalam masyarakat Melayu begitu penting sehingga dikatakan "bahasa
tidak dijual beli" dan "hilang bahasa hilang bangsa". Orang Melayu juga ada mengatakan
"bahasa menunjukkan bangsa" yang menjelaskan bahawa orang Melayu meletakkan bahasa
sebagai suatu perkara utama bagi menggambarkan bangsanya. Peribadi seseorang dapat
dinilai menerusi bahasanya, kalau bahasanya santun dan halus, maka dia dikatakan berbudi
bahasa, sebaliknya kalau bahasa yang digunakan itu kasar dan tidak menyenangkan
pendengar, maka dia dikatakan kurang ajar. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa
pantang larang dalam kehidupan seharian mereka.
Bahasa pantang larang merupakan salah satu warisan budaya masyarakat Melayu
tradisional yang amat tinggi nilainya. Bahasa pantang larang misalnya, dikatakan satu
daripada warisan seni budaya bangsa yang telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat
Melayu sejak zaman berzaman (Habsah Mohd Noordin, 2005:1). Bahasa pantang larang juga
merupakan satu “disiplin lisan” yang terkandungdan diamalkan oleh sebahagian besar
masyarakat Melayu dahulu hingga kini. Hal ini kerana kebanyakan bahasa pantang larang
diturunkan secara turun-menurun melalui lisan.
RUJUKAN

Amat Juhari Moain, 1985. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu.


Suatu analisis sosiolinguistik. Tesis Ph.D. Akademi pengajian
Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Awang Had Salleh.(1985). “Adat Sopan dan Budi Bahasa”. Bandar Darulaman UUM.
Penerbitan Sesukala.

Hashim Hj. Musa. (2001). Falsafah, logik, teori nilai dan etika Melayu: Suatu
pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.

Habsah Mohd Noordin. (2005). Pantang Larang dan Petua Orang Tua.Jabatan
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perak

Anda mungkin juga menyukai