Anda di halaman 1dari 6

Teori Psikologi Sosial Dalam Psikologi Dakwah

Saimi bin Bujang1, a, Ezani Yaakup2,b dan Norizan binti Jaafar3,c


1
Universiti Teknologi MARA Sarawak
2
Universiti Teknologi MARA Malaysia
3
Universiti Malaysia Sarawak
a
saimi496@sarawak.uitm.edu.my, bezani907@salam.uitm.edu.my,
c
jnorizan@feb.unimas.my

Kata Kunci: Dakwah, Psikologi, Sosial

Abstrak
Kertas kerja ini memfokuskan tentang teori psikologi sosial yang boleh
diaplikasikan dalam psikologi dakwah masa kini. Perbincangan tentang
psikologi dakwah tertumpu kepada definisi, metodologi dakwah dan perkaitan
antara dakwah dengan teori psikologi sosial semasa. Perbincangan
seterusnya memperincikan tentang Teori Pembelajaran Sosial, Teori Tingkah
Laku Terancang dan Teori Pertukaran Sosial. Kertas kerja ini diakhiri dengan
kesimpulan tentang pengaplikasian dan pengamalan teori psikologi moden
dalam bidang dakwah.

1. PENGENALAN
Kajian terhadap kehendak dan karenah pengguna merupakan elemen penting dalam bidang
pemasaran (Philip Kotler, 1986; Philip Kotler dan Gary Armstrong, 2000) mahupun dalam
bidang dakwah (Ab. Aziz Mohd. Zin, 1999). Oleh itu, teori-teori asas yang dibincangkan bagi
mengenal pasti karenah dan kehendak pengguna atau golongan sasar adalah melibatkan
psikologi dakwah (Abdul Karim, 1984; 1976; Ab. Aziz, 2003), teori tingkah laku terancang
(Ajzen, 1985) dan teori pertukaran sosial (Thibaut dan Kelley, 1959; Blau, 1964). Ketiga-tiga
teori ini merupakan teori dalam bidang psikologi sosial yang berusaha untuk menjelaskan
faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia dalam membuat keputusan dan
melakukan tindakan. Saranan daripada Abdul Karim (1984) dan Ab. Aziz (2003) agar
pendakwah mengguna pakai segala bidang ilmu termasuk bidang psikologi untuk mengenal
pasti golongan sasar memungkinkan penerimaan teori tingkah laku terancang dan teori
pertukaran sosial dalam proses dakwah.

2. PSIKOLOGI DAKWAH
Islam merupakan agama yang sering mengajak manusia agar sentiasa melakukan kebaikan
dan menjauhi kemungkaran (Abu Urwah, 1988; Yusuf Al-Qaradhawi, 1992; Sayyid Qutb,
1993). Oleh itu, Ab. Aziz (2003) menyatakan bahawa objektif untuk memastikan golongan
sasar menerima apa yang disampaikan kepada mereka. Sehubungan itu, dakwah
memerlukan metod yang berhubung terus dengan ilmu kemasyarakatan terutamanya
bidang ilmu yang mampu menjelaskan faktor penyebab kepada tingkah laku manusia. Bagi
memenuhi tuntutan tersebut. Hassan (2007) menyatakan tentang pentingnya dakwah
secara psikologi kerana ia merupakan pendekatan fitrah dan juga merupakan bidang ilmu
yang membicarakan secara khusus tentang ilmu kemasyarakatan.
Psikologi dakwah merupakan gabungan dua perkataan iaitu; psikologi dan dakwah.
Psikologi berasal daripada bahasa Yunani iaitu daripada perkataan ‘psyche’ dan ‘logos’.
Psyche bermaksud ‘jiwa’ dan logos bermaksud ‘kajian mengenai sesuatu’ (Mohamed, 1990;
Desa, 2004) yang membawa maksud ‘ilmu jiwa’ (Iskandar, 1986; Sarwono, 2000). Oleh itu,
psikologi merujuk kepada ilmu pengetahuan yang mempelajari atau menyelidiki tingkah laku
manusia atau binatang secara zahir kerana ia menggambarkan tentang perasaan
seseorang (Hilgard, 1962). Manakala dakwah pula berasal daripada perkataan Arab yang

1
membawa erti; meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil,
menyeru atau melaung (Ibn Manzur, 1990; Ab. Aziz, 1991). Ab. Aziz (2003) menyatakan
bahawa perkataan dakwah membawa maksud usaha atau tindakan yang dilakukan untuk
mengubah pemikiran dan sikap seseorang supaya selaras dengan kehendak Allah s.w.t.
dan ke arah yang lebih baik dengan tujuan untuk merealisasikan ajaran Islam dalam
segenap bidang kehidupan (Ab. Aziz, 1999; Mulkhan, 1993). Menurut Sayyid Abd. Rauf
(1987) pula, dakwah dikatakan sebagai usaha mengajak manusia untuk melakukan
kebaikan dan mengikuti petunjuk, memerintahkan mereka supaya berbuat baik dan
meninggalkan perbuatan buruk agar mereka memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat.
Menurut Yusuf Al-Qardhawi (1978), secara asasnya matlamat dakwah adalah untuk
membawa seruan ke arah kebaikan (al-Khayr), iaitu menyuruh kepada perbuatan yang
mendatangkan kebaikan (al-Amr bil-Ma’ruf) dan mencegah daripada perbuatan yang boleh
membawa kemungkaran (an-Nahyu ‘anil-Mungkar) serta beriman kepada Allah s.w.t. (Don
dan Mohd Ali, 2008). Menurut Ab. Aziz (2003), matlamat umum psikologi dakwah adalah
seiringan dengan matlamat dakwah itu sendiri. Oleh yang demikian, matlamat khusus
psikologi dakwah pula adalah untuk menghurai, meramal dan mengendalikan tingkah laku
golongan sasar. Psikologi dakwah merupakan gabungan dari bidang psikologi dan dakwah.
Ia mempunyai ruang lingkup perbincangannya tersendiri yang membezakannya dengan
ilmu lain. Objektif kedua pula adalah untuk mengetahui faktor-faktor penyebab yang
mempengaruhi tingkah laku golongan sasar. Ab. Aziz (1999; 2003) menegaskan bahawa
psikologi dakwah bertujuan untuk membantu dan memberikan panduan kepada pendakwah
tentang pola dan tingkah laku golongan sasar dan faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah
laku golongan tersebut. Objektif ketiga adalah untuk mengetahui faktor-faktor yang boleh
membentuk tingkah laku golongan sasar. Melalui ilmu psikologi, pendakwah mampu
mengetahui jiwa orang lain dan bagaimanakah cara untuk mempengaruhinya sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung (Ab. Aziz, 2003).

3 Metodologi Dakwah
Menurut Abdul Karim (1976; 1984), perkataan metod jika dikaitkan dengan dakwah merujuk
kepada perkara-perkara yang berhubung dengan cara penyampaian Islam dan
menghilangkan halangan-halangan penyampaian. Ab. Aziz (2003) seterusnya menambah,
selain penggunaan perkataan metod, dakwah juga sering dikaitkan dengan perkataan
‘uslub’, ‘minhaj’ dan ‘wasilah’, ketiga-tiga perkataan tersebut berasal daripada bahasa Arab
yang mempunyai makna tersendiri. Uslub bermaksud jalan atau cara, manakala mengikut
peristilahan dakwah, uslub dakwah bermaksud penyampaian kandungan atau isi dakwah
dengan ibarat dan bentuk yang tertentu. Seterusnya, minhaj pula bermaksud jalan atau
cara. Kemudiannya wasilah pula merupakan istilah yang merujuk kepada media atau
saluran penyampaian kandungan tersebut yang pada kebiasaannya melalui media massa
(Al-Sayyid Nawfal, 1977).
Dalam pada itu, Ibn Kathir (1948) menegaskan bahawa dakwah hendaklah
dijalankan dengan baik, dengan nasihat pengajaran yang baik serta perbahasan yang baik.
Bagi mencapai peringkat yang baik dan sempurna serta penuh hikmah, ia menuntut banyak
perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang pendakwah (Ab. Aziz, 1991). Menurut Ali al-
Qahthani (1994) lagi, seorang pendakwah hendaklah mempunyai metodologi dakwah yang
efektif sehingga boleh menyampaikan dakwahnya dengan bijak dan berkesan. Beliau
mencadangkan, metodologi dakwah yang baik secara umumnya didasarkan kepada
perkara-perkara berikut:
i. Memeriksa dan mendiagnosis golongan sasar. Seorang pendakwah hendaklah
melakukan pemeriksaan dan mengetahui masalah yang terdapat pada golongan
sasar.

2
ii. Menghilangkan syubhat. Hal ini bertujuan agar golongan sasar tidak sempat melihat
masalah tersebut apatah lagi merasainya kerana syubhat mampu mendatangkan
keraguan (syak) pada kejujuran seorang pendakwah dan hakikat ajakannya.
iii. Memberikan semangat kepada golongan sasar agar selalu menerima kebenaran.
iv. Membimbing golongan sasar dengan al-Quran, as-Sunnah dan sirah golongan
terdahulu.
v. Menyampaikan cara-cara yang telah dinyatakan tadi dengan bijak iaitu melalui
nasihat dan diskusi yang baik.
Dalam pada itu, A. Aziz (2003) menjelaskan bahawa asas metod dakwah hendaklah
mengandungi beberapa perkara berikut, iaitu: penjelasan yang nyata dan jelas,
berperingkat-peringkat, mudah, menjinakkan, adanya sebab di sebalik sesuatu suruhan
serta larangan dan bersesuaian dengan keadaan sasaran. Di samping itu, Ab. Aziz (1991)
turut menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara penting yang boleh menentukan
sejauh manakah berkesan atau tidaknya sesuatu dakwah yang disampaikan, iaitu;
keperibadian pendakwah atau sifat pendakwah; kefahaman yang mendalam di dalam isi
dakwah yang hendak dikemukakan kepada masyarakat, supaya perkara yang hendak
disampaikan itu terang, jelas dan tepat serta tidak menimbulkan kekeliruan; kefahaman
yang mendalam tentang selok-belok dakwah. Kefahaman yang diperlukan oleh seorang
pendakwah seperti psikologi sasaran dakwah, kebudayaan, kepercayaan, keadaan sosial
golongan sasar, kemampuan berkomunikasi dan kaedah yang sesuai untuk mengatasinya;
kefahaman asas dalam pengetahuan umum seperti dalam bidang sains, politik, ekonomi,
kesihatan, astronomi dan lain-lain; dan menggunakan media yang sesuai. Media yang
sesuai adalah media yang berpengaruh dalam sesuatu masa, mengikut suasana,
masyarakat serta tempat ia digunakan. Sekiranya media yang digunakan adalah surat
khabar sedangkan golongan sasar adalah mereka yang buta huruf, maka usaha tersebut
adalah sia-sia.

4. Dakwah Dan Teori Psikologi Moden


Ab. Aziz (1991) menegaskan bahawa bidang dakwah amat memerlukan kepada suatu
usaha yang teratur, sistematik, gigih dan besar-besaran. Oleh kerana keperluan itu begitu
penting dan mendesak maka satu kefahaman yang menyeluruh terhadap dakwah amatlah
diperlukan kerana kaedah penyampaian dakwah itu wajib menggunakan kaedah yang lebih
baru dan memanfaatkan kemajuan sosial yang terdapat dalam kehidupan. Namun,
kebanyakan kajian dan penulisan dakwah dewasa ini terlalu menekankan kepada persoalan
dalam konteks metodologi dakwah, media saluran dakwah, penggunaan bahasa dan akhlak
(Abdul Karim, 1976; Ab. Aziz, 1991), iaitu; bagaimana kaedah yang akan digunakan untuk
menyampaikan Islam kepada golongan sasar? Apakah medium yang lebih berkesan?
Apakah bahasa yang boleh memikat golongan sasar? Dan bagaimanakah akhlak yang
mesti dimiliki oleh seorang pendakwah?
Menurut Abdul Karim (1976), sebelum memilih metodologi dakwah yang efektif
seseorang pendakwah hendaklah terlebih dahulu mengenal pasti dan memahami keadaan
serta keinginan golongan sasar. Dalam hal ini, Zaidan (1976; 1984) memberikan satu
gambaran yang sangat menarik tentang bagaimana seorang doktor hendak mengubat
seorang pesakit. Pada mulanya doktor akan melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti
apakah penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Selepas pemeriksaan yang teliti dilakukan
barulah ditentukan ubatnya. Seseorang pendakwah merupakan doktor kepada penyakit hati
dan roh. Langkah permulaan yang mesti dilakukan oleh pendakwah adalah dengan
mengenal pasti apakah penyakit golongan sasaran. Kemudian barulah ditentukan ubatnya
(Abdul Karim, 1976; 1984; Ab. Aziz, 1991).
Dengan lain perkataan, pendakwah hendaklah mengenal pasti apakah faktor-faktor
penyebab yang mendorong seseorang melakukan sesuatu tindakan. Ab. Aziz (1991)

3
menegaskan bahawa memahami dan mengenali seseorang individu, kumpulan atau
masyarakat adalah penting bagi seseorang pendakwah. Bagi mengenal dan memahami
sesuatu masyarakat pula tidak ada jalan mudah yang dapat diambil selain daripada
mengkaji tentang golongan sasar. Oleh sebab itu, Abdul Karim (1976; 1984) menegaskan
agar pendakwah hendaklah mengetahui secara kasar ilmu-ilmu baru penemuan manusia
sekarang khususnya dalam sains dan teknologi, termasuk ilmu psikologi, perubatan,
astronomi, fizik dan lain-lain. Pengetahuan dalam bidang ini walaupun secara mendatar ia
amat diperlukan untuk memberikan kepuasan serta keyakinan terhadap apa-apa yang
dibicarakan oleh pendakwah. Ab. Aziz (1991) turut menambah agar setiap pendakwah
bukan sahaja memerlukan pengetahuan mengenai Islam, malah juga pengetahuan yang
berhubung dengan kehidupan manusia khususnya pengetahuan mengenai kaedah
mempengaruhi masyarakat.
Dalam membahaskan perkaitan dakwah dengan ilmu moden, Hassan (2007) telah
berusaha untuk menjalinkan konsep dakwah tradisional dengan bidang psikologi iaitu
mencadangkan beberapa teori-teori motivasi yang boleh digunakan untuk memahami
tingkah laku dan faktor-faktor penyebab yang mendorong seseorang individu tersebut
melakukan tindakan. Hal ini telahpun menjadi amalan yang penting di dalam pemasaran
kerana langkah pertama yang harus dilakukan adalah dengan mengetahui kehendak dan
keinginan pelanggan sebelum sesuatu produk tersebut dikeluarkan untuk memenuhi
permintaan (Kotler, 1986; 1997; Kotler dan Armstrong, 2000).

5. Teori Psikologi Moden


Pelbagai bidang seperti pemasaran, pendidikan, motivasi dan lain-lain lagi telah menerima
pakai rangka kerja teori berkenaan dengan psikologi sosial untuk mengenal pasti kelakuan
individu. Oleh itu, mengaplikasi teori psikologi moden ke dalam bidang dakwah hendaklah
dipergiatkan bagi mengenal pasti kehendak atau kemahuan golongan sasar. Antara teori
psikologi sosial yang dicadangkan dalam kertas kerja ini adalah; teori pembelajaran sosial,
teori tingkah laku terancang dan teori pertukaran social. Teori pembelajaran sosial yang
diasaskan oleh Bandura (1977) menfokuskan pengaruh persekitaran ke atas individu. Teori
ini menekankan bahawa tingkah laku merupakan satu keputusan daripada interaksi di
antara kedua-dua faktor personal dan persekitaran. Faktor utama yang menentukan
kepatuhan datangnya daripada pendapat keluarga, rakan sebaya (peer) dan lain-lain
pengaruh sosial yang berkaitan. Umpamanya, faktor rakan sebaya boleh mempengaruhi
individu sama ada berbentuk ganjaran mahupun hukuman. Teori ini merujuk kepada
bagaimana individu belajar berkenaan tingkah laku sosial melalui pemerhatian ke atas
orang lain dan meniru cara mereka (Bandura, 1977).
Selain itu, teori tingkah laku terancang (Theory of Planned Behavior) (TPB) yang
diasaskan oleh Ajzen (1991) pula merujuk kepada usaha untuk meramal dan menjelaskan
tingkah laku manusia dalam konteks tertentu. Ajzen dan Fishbein (1980) menyatakan
bahawa sikap dan keperibadian seseorang dipengaruhi oleh beberapa faktor yang berkait
rapat dengan perilaku. Oleh itu, Bidin dan Idris (2009) serta Sommer (2011) menegaskan
bahawa teori ini merupakan model teoretikal psikologi sosial yang popular dan sering
diaplikasikan untuk menerangkan pelbagai situasi tingkah laku bagi memahami pelbagai
tingkah laku individu. Smith et. al. (2007) dan Sommer (2011) turut memperakui
keberkesanan teori ini dan menyatakan bahawa ia merupakan teori yang terbaik dalam
bidang psikologi sosial untuk meramalkan tingkah laku manusia.
Sementara itu, teori pertukaran sosial (Social Exchange Theory) (SET) yang
diasaskan oleh Thibaut dan Kelley (1959) pula merupakan pengembangan ilmu psikologi
tingkah laku dan antropologi dengan menggunakan ilmu ekonomi untuk menjelaskan
interaksi antara manusia dalam hubungan ganjaran dan manfaat (Blau, 1964; Emerson,
1976). Menurut Ritzer dan Goodman (2009), teori ini secara umumnya beranggapan

4
bahawa dasar pembentukkan sesuatu hubungan sosial adalah melalui transaksi ekonomi, di
mana orang yang mempunyai hubungan dengan orang lain mengharapkan sesuatu untuk
memenuhi keperluannya (Ritzer dan Goodman, 2009). Menurut Thibaut dan Kelley (1959),
SET digunakan untuk menjelaskan sikap dan tingkah laku dengan andaian bahawa
manusia terlibat dalam aktiviti sosial bagi mendapatkan ganjaran, keuntungan dan
meminimumkan kos (Molm dan Cook, 1995; Lawler, 2001). Aktiviti-aktiviti seperti pekerjaan,
percintaan, perkahwinan, persahabatan dan lain-lain akan hanya berterusan jika ia
mendatangkan keuntungan bagi kedua-dua belah pihak (Lawler, 2001). Bagi Homans
(1950) pula, beliau menegaskan bahawa sesuatu pertukaran hendaklah mempunyai
ganjaran yang setimpal antara individu yang terlibat dalam perhubungan tersebut.

6. Kesimpulan
Kesimpulannya, jelaslah bahawa bidang pengajian dakwah Islamiah sangat luas. Ia bukan
sahaja sekadar ilmu mengetahui Islam malah juga ilmu mengenai kemanusiaan, seperti
psikologi, komunikasi dan ilmu-ilmu lain. Pengetahuan dalam ilmu-ilmu tersebut bertujuan
untuk melahirkan satu pendekatan dakwah yang sempurna bagi mempengaruhi golongan
sasar (Ab. Aziz, 1991). Di samping itu, psikologi dakwah bertujuan untuk membantu dan
memberikan panduan kepada pendakwah tentang pola dan tingkah laku golongan sasar
dan faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku golongan tersebut. Ia membincangkan
tentang aspek kejiwaan manusia serta mengkaji berkenaan dengan faktor luaran dan
dalaman yang mempengaruhi kejiwaan manusia. Secara tidak langsung, pandangan dan
pernyataan daripada Abdul Karim (1976), Ab. Aziz (2003) serta Don dan Mohd Ali (2008)
mewajarkan pengaplikasian dan pengamalan teori psikologi sosial seperti teori
pembelajaran sosial, teori tingkah laku terancang dan teori pertukaran sosial dalam bidang
dakwah bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi tingkah laku sesorang
individu.

7. Bibliografi
Abdul Karim Zaidan (1976), Uslub al-Da’wah. 3 ed. Maktabah al-Manar al-Islamiyyah.
Abdul Karim Zaidan (1984), Dasar-Dasar Ilmu Dakwah. Jilid Satu, Asywadi Syukur (terj.),
Kuala Lumpur: Pustaka Al-Ameen.
Ab. Aziz Mohd. Zin (1991), Syahadah Ibadah Asabiah Dakwah. Selangor: Tempo
Publishing.
Ab. Aziz Mohd. Zin (1999), Psikologi Dakwah. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia.
Ab. Aziz Mohd. Zin (2003), Pengantar Dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Abu Urwah (1988), Risalah Usrah Jilid 3. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Ajzen, I. (1985), From intentions to actions: A theory of planned behavior. Action, Control:
From cognition to behavior. Heidelberg: Springer. pp.11-39.
Ajzen, I. (1991), The theory of planned behavior. Organizational Behaviorand Human
Decision Processes, 50. pp. 179-211.
Ajzen, I. and Fishbein, M. (1980), Understanding attitudes and predictingsocial behavior,
Englewood Cliff s, NJ: Prentice-Hall.
Al-Sayyid Nawfal, A.M. (1977), al-Da’wah ila Allah Ta’ala: Khasaisuha Muqawimatuha
Manahijuha.
Bandura, A. (1977), Social Learning Theory. Englewood Cliffs: Prentice Hall.
Bidin, Z. dan Idris, K. M. (2009), Sikap, Norma Subjektif Dan Kawalan Gelagat Ditanggap
Terhadap Niat Gelagat Kepatuhan Zakat Pendapatan Gaji. International Journal of
Management Studies, 16(1). pp. 31-55.
Blau, P.M. (1964), Exchange and Power in Social Life. New York: John Wiley and Sons.
Desa, A. (2004), Psikologi Untuk Golongan Professional. Kuala Lumpur: McGraw-Hill.

5
Don, A.G. dan Mohd Ali, Z. (2008), Dakwah dan Cabaran De-Islamisasi di Malaysia. Shah
Alam: Karisma Publication Sdn. Bhd.
Emerson, R. (1976), Social Exchange Theory. Annual Review of Sociology, Vol. 2. pp. 335-
362.
Hassan, A. (2007), Teori dan Teknik Moden Mendorong Perubahan Tingkah Laku
Berdakwah Dengan Efektif. Selangor: PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Hilgard, E.R. (1962), Intruduction to Psycholgy. New York: Brace and World Inc.
Homans, G.C. (1950), The Human Group. New York: Harcourt, Brace and Company.
Ibn Kathir, I. (1948), Tafsir al-Quran al-‘Azim. al-Maktabah al-Malakiyyah.
Ibnu Manzhur (1990), Lisan al-Arab. Beirul: Dar al-Fikr
Iskandar, T. (1986), Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lawler, E.J. (2001), An Affect Theory of Social Exchange. The American Journal of
Sociology, Vol. 107, No. 2. pp. 321-352. pp. 327.
Mohamed, M.N. (1990), Pengantar Psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Molm, L. and Cook, K. (1995), Social Exchange and Exchange Networks. Sociological
Perspectives on Social Psychology, edited by K. S. Cook. Boston: Allyn and Bacon.
pp. 209-235.
Mulkhan, A. M. (1993), Paradigma Intelektual Muslim. Yogyakarta: Sipress.
Philip Kotler (1986), Principles of Marketing. New Delhi: Printice Hall.
Philip Kotler (1997), Marketing Management: Analysis, Planning, Implementation And
Control. 9th ed. Upper Saddle River, New Jersey: Prentice Hall International.
Philip Kotler dan Gary Armstrong (2000), Prinsip Pemasaran. Norjaya Mohd Yasin dan
Ahmad Azmi Mohd. Ariffin (terj.), Selangor: Prentice Hall.
Ritzer, G. dan Goodman, D.J. (2009), Teori Sosiologi, dari Teori Sosiologi Klasik Sampai
Perkembangan Mutakhir Teori Sosial Posmodern. (terj. Nurhadi). Penerbit Kreasi
Wacana.
Sarwono, S.W. (2000), Pengantar Umum Psikologi. Jakarta: Bulan Bintang.
Sayyed Qutb (1993), Ma’alim fi al-tariq. Beirut: Dar al-Shuruq.
Sayyid Abd Ra'uf, A.Q. (1987), Dirasah fi al-Islamiyah. Cairo: Dar al-Thaibah al-
Muhammadiyah.
Smith, J. R., Manstead, A., Terry, D. and Louis, W. (2007), Interaction Effects in the Theory
of Planned Behaviour: The interplay of Self-Identity and Past Behaviour. Journal of
Applied Social Psychology, Vol. 37, No. 11. pp. 2726-2750.
Sommer, L. (2011), The Theory Of Planned Behaviour And The Impact Of Past Behaviour.
International Business and Economics Research Journal, January 2011, Vol. 10, No.
1. pp. 91-110.
Thibaut, J.T. and Kelley, H.H. (1959), The Social Psychology of Groups. New York: John
Wiley and Sons.
Yusuf Al-Qaradhawi (1978), Thaqafatu al-Da’iyah. Beirut.
Yusuf Al-Qaradhawi (1992), Awlawiyyat al-harakah al-Islamiyyah fi al-marhalah al-qadimah.
Cairo: Maktabah Wahbah.

Anda mungkin juga menyukai