Anda di halaman 1dari 4

4.

0 TINJAUAN LITERATUR

Pelbagai kajian penandarasan di peringkat antarabangsa telah dijalankan bagi tujuan


penambahbaikan mutu pembelajaran dan pengajaran. Dapatan kajian oleh TIMMS (Trend in
International Matematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student
Assesment) menunjukkan bahawa pelajar Malaysia berada pada tahap yang rendah. Dalam
kajian tersebut menunjukkan bahawa pelajar berpengetahuan tetapi tidak dapat
mengaplikasikan pengetahuan mereka. Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam
memastikan tahap pencapaian murid dapat ditingkatkan. Perkara ini turut dibuktikan oleh
laporan kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21 Century Schools
yang dibentangkan di USA pada 2 November 2011 mendapati bahawa pemikiran aras tinggi
dalam kalangan guru dan murid di Malaysia masih rendah.

4.1 Peta Minda

Menurut kajian Wahidah (2011), para pelajar didapati kurang mahir dalam membuat
perkaitan di antara satu topik dengan topik yang lain mahupun antara satu sub topik dengan
sub topik yang lain dan juga di antara satu konsep dengan konsep yang lain. Kefahaman
membuat perkaitan antara konsep dan topik ini perlu ada memandangkan pengetahuan
Aplikasi Komputer ini merupakan satu pengetahuan berbentuk hieraki iaitu kefahaman
berbentuk mudah kepada yang berbentuk abstrak. Kelemahan daripada penggunaan teknik
pengajaran dan pembelajaran yang tidak sesuai mengekang keseluruhan pencapaian pelajar.
Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2007), teknik pengajaran konvensional secara syarahan yang
berpandukan buku teks, buku latihan topikal dan nota pensyarah masih menjadi amalan. Ini
menyebabkan topik menjadi tidak menarik, di samping membuatkan pelajar tidak dapat
menumpukan perhatian kepada pengajaran penulisan. Menurut Ismail Zin (2006) pula
menyatakan bahawa masalah pengajaran yang kurang memberikan penekanan kepada unsur
pemetaan minda dalam sesuatu teknik telah menyebabkan pelajar tidak bersedia dalam
pembelajaran.

Tee Tze Kiong (2013) dalam kajiannya berkaitan peta minda dalam Kemahiran Hidup
menjelaskan setiap pelajar perlu menguasai kemahiran berfikir agar berupaya berhadapan
dengan peredaran dan perubahan drastik dalam semua aspek kehidupan (Wallace & Bently,
2001). Hal ini merupakan isu global yang memperlihatkan berlakunya semakan semula
kurikulum yang memberi penekanan utama ke atas pengajaran dan pembelajaran kemahiran
berfikir di seluruh dunia. Sebagai contoh, pembangunan kemahiran berfikir dalam pengajaran
dan pembelajaran telah digariskan menerusi semakan semula kurikulum Northern Ireland
yang mula dikuatkuasakan pada tahun 2007 (Mahon, 2011).

4.2 Peta Pemikiran i-Think

Berdasarkan kajian yang dijalan oleh Laura (2011), peta pemikiran telah berjaya
meningkatkan keupayaan pelajar untuk membanding beza sebanyak 69%. Beliau juga
menyatakan bahawa peta pemikiran telah dapat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi
dalam kalangan pelajar. Kajian yang dijalankan oleh Morgan-Janes (2009) mendapati bahawa
peta pemikiran merupakan alat yang sangat berguna untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
Menurut Hyerle (2000), peta pemikiran dapat mengubah persepsi dan harapan guru. Beliau
mendapati bahawa peta pemikiran menjadi alat yang dapat menghubungkan jurang budaya
antara guru dan murid. Setiap peta pemikiran dapat meningkatkan kemahiran kognitif pelajar,
iaitu mendefinisikan konsep, menerangkan, mengenal pasti, mengkategori dan menyusun
maklumat, menyusun, banding beza, sebab dan akibat, menganalisa dan membuat keputusan.
Melalui peta pemikiran, guru dan pelajar dapat berkomunikasi secara berkesan. Akhirnya,
pelajar akan memperoleh keyakinan untuk berkomunikasi.

Menurut kajian Khalidah Othman, Saodah Ismail, Haslina Jaafar & Aminah Samsudin
(2014), majoriti pelajar bersetuju dengan aplikasi peta pemikiran i-Think dalam pengajaran
dan pembelajaran Literasi Nombor. Dalam ketiga-tiga aspek yang dikaji lebih daripada 50%
keseluruhan pelajar bersetuju iaitu aspek pengetahuan (57%), pedagogi (55.7%) manakala
interpersonal dan intrapersonal (50.2%). Menurut Ab. Fatah (1994), subjek Matematik masih
kurang menggunakan pengurusan grafik sebagai alat berfikir. Oleh itu, peta pemikiran i-
Think wajar diaplikasikan dalam Kursus Literasi Nombor. Salah satu usaha membudayakan
kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar adalah aspek kesediaan dan kebolehan pelajar.
Pelajar akan bersedia untuk berfikir dan memberikan idea apabila diberikan rangsangan
untuk berfikir. Penggunaan alat berfikir seperti peta pemikiran dalam PdP dapat menggalakan
murid untuk berfikir dan membuat penaakluan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012).
Penggunaan peta pemikiran dapat menghasilkan nota yang ringkas, padat dan menarik,
senang diingat, mudah dibaca dan dirujuk. Semasa membuat nota dalam bentuk peta
pemikiran, pelajar perlu berfikir dan mencari maklumat dari pelbagai sumber. Pelajar perlu
mengenal pasti jenis bentuk peta pemikiran yang akan digunakan. Seterusnya, mereka
mampu mengembangkan idea yang tercatat dalam peta pemikiran itu. Langkah-langkah
tersebut dapat mengembangkan kemahiran berfikir mereka. Sekiranya peta pemikiran i-Think
sering digunakan secara tidak langsung akan membantu membudayakan kemahiran berfikir
dalam kalangan pelajar.

Firdaus, Norlela & Mohd Aminuddin (2014) pula menjelaskan tentang persepsi
pelajar PPISMP terhadap Peta Pemikiran i-Think. Hasil analisis statistik diskriptif tahap
pengetahuan pelajar tentang peta pemikiran i-Think mendapati min tahap pengetahuan pelajar
PPISMP berada dalam julat yang tinggi. Item yang menentukan tahap pengetahuan pelajar
terhadap peta i-Think menunjukkan min yang tinggi melebihi 4.20, kecuali item “tahu
menggunakan peta pelbagai alir dengan baik” yang mencatatkan min 3.36. Dapatan ini selari
dengan pandangan Azizah Abdullah (2000) bahawa penggunaan peta konsep dan
seumpamanya memudahkan pemikiran dan mengukuh daya ingatan pelaja runtuk mengingati
fakta-fakta penting. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa persepsi pelajar PPISMP
IPGKIK tentang kepentingan penggunaan peta pemikiran i-Think adalah tinggi (min:3.85).
Pelajar juga didapati memahami kepentingan penggunaan peta pemikiran i-Think dapat
meningkatkan KBAT seperti pendapat Jeya Velu (2014) iaitu beliau mendapati sikap positif
yang ada pada pelajar terhadap KBAT akan mendorong graduan berusaha bersungguh-
sungguh untuk meningkatkan kemahiran mereka. Dapatan juga mendapati penggunaan peta i-
Think memudahkan mereka membuat nota, disamping menggalakkan pelajar membuat kerja
secara berkumpulan. Namun, hal ini bertentangan dengan kajian yang dilakukan oleh Wan
Norehan (2013) yang mendapati tahap penggunaan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar
khususnya adalah sederhana sahaja.

Oleh yang demikian, suatu kaedah penambahbaikan perlu dilakukan bagi menjana
kemahiran berfikir mereka. Peta pemikiran i-Think merupakan salah satu jenis peta minda
yang boleh membantu pelajar mengingati sesuatu isi pelajaran dengan baik. Dalam kajian
Wan Noor Ashikin (2009) menyatakan bahawa pelajar yang mengaplikasikan strategi peta
minda dapat meningkatkan pencapaian Ekonomi Asas dan strategi peta minda memberi
kepentingan ke atas skor pencapaian keseluruhan. Beliau juga menjelaskan bahawa pelajar
kumpulan rendah dilihat mendapat faedah yang baik berbanding pelajar kumpulan tinggi.
Perkara ini turut disokong melalui kajian bertajuk ‘Keberkesanan Kaedah Peta Pemikiran i-
Think Terhadap Pencapaian, Sikap dan kesediaan Murid Tingkatan Empat (2014)’ mendapati
bahawa terdapat perbezaan yang signifakan antara markah pencapaian murid kumpulan
eksperimen dan kumpulan kawalan sebelum dan selepas proses PdP bagi elemen KOMSAS
Bahasa Melayu.

4.3 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran berfikir adalah asas bagi mencorakkan pembangunan pendidikan yang


kreatif dalam kalangan murid. Penekanan terhadap kemahiran berfikir dalam semua mata
pelajaran di sekolah membolehkan percambahan pemikiran berlaku dan murid boleh berfikir
dan membuat sesuatu keputusan dengan lebih rasional, bertimbang rasa dan objektif. Hasil
daripada pemerhatian yang telah dijalankan oleh Zohar (2004), penggunaan peta pemikiran
telah berjaya meningkatkan pelaksanaan aktiviti bagi KBAT. Beliau menyatakan bahawa
pelajar mempunyai akses yang konsisten terhadap kemahiran berfikir aras tinggi. Dengan
cara ini, pelajar akan dapat berkongsi pemikiran dalam bentuk visual. Menurut Othman et al.
(2010), KBAT merangkumi kemahiran berfikir seperti sintesis, analisis, memberi sebab,
kefahaman, aplikasi dan penilaian. Manakala Rhoades et al. (2009) pula mendefinisikan
KBAT sebagai kemahiran yang berkait dengan penyelesaian masalah dan proses pemikiran
kritikal. Dalam konteks kajian ini, KBAT adalah merujuk kepada tiga aras KBAT iaitu aras
menganalisis (analyze), menilai (evaluate) dan mereka (create) dalam Taksonomi Anderson
dan Krathwohl (Anderson & Krathwohl, 2001).

Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan murid yang berbeza dari
segi kebolehan mereka. Kepakaran guru amat diperlukan dalam menentukan strategi PdP.
Hal ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan
teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan murid. Strategi dan
teknik yang dipilih itu, selain berpotensi merangsang murid belajar secara aktif dan juga
mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati murid serta
dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Namun, permasalahannya ialah sistem
persekolahan kurang memberi penekanan terhadap tugas memperkembang daya pemikiran
murid. Tumpuan hanya lebih tertumpu kepada penyediaan maklumat dengan tujuan
menyediakan murid menghadapi peperiksaan dan menghabiskan sukatan. Menurut Sharifah
Nor (2012), terdapat beberapa sebab kemahiran berfikir tidak ditekankan antaranya
sesetengah guru hanya berpendapat bahawa murid terlebih dahulu menguasai semua fakta
dan konsep sesuatu mata pelajaran sebelum murid boleh digalakkan berfikir. Menurut
Maimunah (2004), perubahan daripada menggunakan kaedah konvensional kepada kaedah
PdP KBAT memerlukan komitmen yang tinggi atau cabaran yang besar. Zamri (2012) dalam
kajian yang dijalankan olehnya menyatakan bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam
sesuatu mata pelajaran tidak akan menjadi kenyataan sekiranya pengajaran guru masih
menggunakan kaedah tradisional dan tidak mengambil kira aspek kemahiran berfikir itu
adalah merupakan aspek penting dalam menguasai sesuatu kemahiran yang dilihat banyak
mempengaruhi pencapaian murid.

Fokus pendidikan pada masa ini menjurus kepada pembangunan modal insaniah.
Maka, KBAT amat perlu untuk membolehkan seseorang individu membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah (Kazilan, Hamzah & Bakar, 2009) berdasarkan jenis aras kemahiran
berfikir yang sesuai dalam pembelajaran dan kehidupan harian mahupun masa depan semasa
bekerja (Thompson & Evans, 2005; Ea et al., 2005). Pelajar berupaya mengesan tahap
penguasaan kemahiran berfikir untuk memperbaikinya. Pelajar akan menjadi lebih
bermotivasi dan bersemangat untuk membuat persediaan penilaian dengan menggunakan
kemahiran berfikir dan peta minda. Penguasaan kemahiran berfikir dan peta minda ini bukan
sahaja dapat mempertingkatkan pencapaian pelajar, malah yang lebih penting ialah berupaya
mengaplikasikan kemahiran berfikir menerusi pembelajaran mata pelajaran Kemahiran Hidup
dalam kehidupan harian dengan lebih berkesan. Tambahan pula, pemindahan pengetahuan
kemahiran berfikir dan penggunaan peta minda boleh berlaku secara merentas kurikulum
dalam kalangan pelajar ke atas semua mata pelajaran yang dipelajari di sekolah. Dalam pada
itu, pelajar juga berpeluang menguasai teknik peta minda bagi tujuan mengambil nota bagi
semua mata pelajaran di sekolah. Nota yang dihasilkan adalah seragam, sistematik dan
berkesan bagi tujuan penguasaan isi kandungan dan penilaian.

Anda mungkin juga menyukai