Anda di halaman 1dari 4

http://ceritarakyatmalaysia.blogspot.

com/

BADANG

Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik sekarang dikenali
sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira
Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan
semak-samun di sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.
Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit
berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja. Setelah selesai
sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi di dalam upih
pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam,
nasi sebungkus itu habis dimakannya.
Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-
main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan
sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat
banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat
merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain."
Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis
perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja
menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun,
Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai
berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia
mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan
sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang
sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.
Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi
melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam.
Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu,
Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat
kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi
mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja
yang tinggal. Badang bertambah hairan.
"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.
Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di
dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi menebas
seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi
untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik
semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring
panjang, berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya
panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah,
hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar
Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa
seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah
pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu
mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan
lembaga itu dengan begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan.
"Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan
hamba mahu," ujar lembaga itu.
Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata
lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta
banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik,
mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu
boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi gagah
perkasa," kata Badang.
"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba,"
kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat!
Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di
situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis.
Lembaga itu minta dirinya dilepaskan.
"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi
memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok
besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu
tumbang. Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan
terima kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-
tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut putih.
"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk
menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian
dia ghaib daripada pandangan Badang.
"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.Badang bersyukur kepada Tuhan kerana
memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua
hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.
Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya
mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah
membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu
tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat
sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-
samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa
gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun, dia berasa bimbang,
kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang Kaya Nira Sura lalu
mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang pun dibebaskan
daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak
suruhan.
Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri
menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi.
Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah
mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk
mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia
terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok
mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera Permaisuri berasa
hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja.
Raja datang menyaksikan sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu
terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat
Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh
Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling datang ke
Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya.
Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk
beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di
hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang
ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara. Sementara
menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua
Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan
pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu.
"Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam
hatinya.
Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah
Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan
pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat
batu itu setinggi paras lututnya. Dia lalu membawa batu itu ke hadapan raja dan
diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun ketawa kerana
gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang.
Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu
besar itu. Badang lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga.
Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi
kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang
sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya
kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.

Anda mungkin juga menyukai