Anda di halaman 1dari 5

Contoh Soalan:

Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar
sempena program motivasi di sekolah anda. Tajuk ceramah anda ialah ‘Ciri-ciri Pelajar
Cemerlang.

Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Analisis soalan:

Tema/Isu : pelajar cemerlang

Tugasan/Arahan : ciri-ciri pelajar cemerlang

Format : ceramah

Rangka isi:

Pendahuluan:

Kata alu-aluan format ceramah

- konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa

Isi karangan:

- 1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan awam, lanjut


pelajaran

- 2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan, kepimpinan

3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai

- 4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai

5) Pegangan agama

Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan.

Karangan Contoh
Yang berusaha, ahli jawatankuasa program motivasi 'Permata Hati', yang dihormati guru-guru
serta pelajar-pelajar SMK Dato’ Syed Esa yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat
sejahtera,

Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan kerana
pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam program motivasi 'Permata Hati' yang
sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan
PMR dan SPM tidak beberapa lama lagi. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah
tentang 'Ciri-ciri Pelajar Cemerlang'.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Malah, semua pelajar yang
berada di dalam Dewan Budiman yang permai ini juga ingin menjadi pelajar yang cemerlang.
Pendek kata, semua pelajar ingin cemerlang dalam semua bidang yang diceburi. Contohnya,
sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan
sebagainya. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.
Persoalanya, apakah sebenarnya ciri-ciri pelajar cemerlang? Bagaimanakah caranya untuk
menjadi cemerlang? Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang? Bersedialah
wahai pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama mengupas tajuk ciri-ciri
pelajar yang cemerlang.

Para pelajar yang disayangi,

Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi
pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk memastikan pecapaian akademik
mereka sentiasa memberangsangkan dalam setiap ujian dan peperiksaan. Contohnya, pelajar
cemerlang akan mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan
pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang
sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh
hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang
munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan
mengenepikan sebarang bentuk gangguan bagi memastikan pencapaian akademik mereka
sentiasa cemerlang.

Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap
aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai contoh, pelajar cemerlang akan
menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian
yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang
datang daripada dalam diri sendiri mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak
meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati.
Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna
atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim
pembelajaran yang seadanya.

Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan


belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol
dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar
mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai
perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang
dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar
cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa
meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi
tidak disuruh.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,

Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam
peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan
menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan,
tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar
cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi
segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan
awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang
berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan
sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi
terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.

Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai 'ulat buku'
merupakan ciri pelajar yang cemerlang? Sebenarnya, Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau
dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam
bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum
di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran
kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi
menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan
mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada
sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam,
permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap
ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,

Disiplin asas kejayaan. Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin
yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema yang akur dengan segala
peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku,
pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang
sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul
sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif
dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk
ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Sebagai contoh,
pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan
sesempurna mungkin. Setiap kali diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya
dengan sambalewa semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga". Jelaslah prinsip pelajar
cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup mereka.

Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi pekerti yang mulia
dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang
berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal
yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai
manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana
pihak.

Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang sentiasa berpegang
teguh pada tali agama. Kepercayaan dan kepatuhan kepada suruhanNya sepatutnyalah menjadi
perkara utama dalam kehidupan ini. Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha
melaksanakan suruhan Tuhan dan menjauhi larangannya. Malah pegangan agama yang kukuh
menjadi penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada pada
jalan kebenaran. Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa meninginkan
kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari
segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama. Mereka menepati ciri-ciri
modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka
menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu
pelajar cemerlang haruslah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan
jangan sesekali menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.

Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu pelajar-pelajar yang
berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada diri sendiri. Antara persoalan yang
mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri yang telah dinyatakan tadi dalam diriku?
Mampukah saya menggarab ciri-ciri kecemerlangan tersebut. Jawapanya ialah, jika hanya satu
atau dua ciri sahaja yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya
ucapkan. Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan itu.
Saya percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi pelajar yang
cemerlang dalam pelbagai bidang. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tepuk dada tanya
selera.

Sekian. Terima Kasih.