Anda di halaman 1dari 15

METODOLOGI IBN AL-‘ARABI DALAM HISTROGRAFI AL-‘AWASIM MIN AL-

QAWASIM: FI TAHQIQ MAWAQIF AL-SAHABAT BA’DA WAFAT AL-NABI

Oleh Roslan bin Abdul Rahman (P80012)

PENGENALAN

Bidang pensejarahan Islam adalah satu bidang kajian yang berterusan dan berkembang dari satu
abad ke satu abad. Perkembangan ini meliputi perubahan dari sudut metodologi, pemikiran, teori
dan falsafah penulisan sejarah antara seorang sejarawan dengan sejarawan yang lain. Hakikat ini,
membuktikan bahawa revolusi dalam bidang penulisan sejarah sentiasa berlaku disebabkan
keperluan manusia terhadap pengetahuan dalam bidang sejarah sentiasa wujud. Oleh itu, jika
diperhatikan kepada karya-karya sejarah yang dihasilkan oleh para sejarawan Islam masa lalu,
didapati banyak perbezaan antara satu karya dengan karya yang lain, terutama dalam bentuk
penulisan sejarah, metodologi, pemikiran, teori dan falsafah penulisan sejarah. Dalam hal ini, ada
sejarawan yang menghasilkan karya sejarah mereka dengan menyusunnya mengikut kaedah
hauliyyat atau mengikut tahun. Ada juga sejarawan yang menyusun karya sejarah mereka
mengikut peringkat tabaqat dan ada juga karya sejarah yang sifat material penulisannya berbeza
dengan karya-karya yang lain, iaitu hanya menumpukan kepada satu topik sahaja, iaitu
perbincangan isu-isu kontroversi zaman sahabat. Karya sejarah ini ialah karya Ibn al-’Arabi,
yang berjudul al-’Awasim Min al-Qawasim: Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat Ba’da Wafat al-
Nabi. Pada hakikatnya, kitab ini bukan kitab sejarah seperti yang disangkakan oleh kebanyakan
orang ramai, tetapi ianya merupakan sebuah kitab yang meliputi perbincangan mengenai bidang
falsafah, teologi, fiqh dan qiraat, hanya satu pertiga daripada keseluruhan kandungan kitab ini
membicarakan tentang sahabat Rasulullah s.a.w. Kitab ini telah mendapat perhatian ramai
pengkaji sejarah Islam, terutama dalam merujuk isu-isu fitnah yang timbul pada zaman sahabat.
Justeru, artikel ini, bertujuan untuk menganalisa metodologi Ibn al-’Arabi dalam penghasilan
karya sejarahnya, al-’Awasim Min al-Qawasim: Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat Ba’da Wafat al-
Nabi dengan meninjau sumber penulisan dan penyelesaian masalah melalui kitab ini.
BIOGRAFI IBN AL-‘ARABI (468-543H)

Riwayat hidup Ibn al-’Arabi diperolehi daripada sumber Muhib al-Din al-Khatib yang mentahqiq
kitab Al-’Awasim Min al-Qawasim, di mana beliau telah menyatakan secara ringkas mengenai
latar belakang Ibn al-’Arabi (al-Khatib, 1952). Selain beliau, seorang lagi pengkaji sejarah iaitu
Sa’id A’rab menerusi kitabnya, Ma’a al-Qadhi Abi Bakar bin al-’Arabi, turut menyatakan
tentang latar belakang Ibn al-’Arabi (Sa’id, 1987).

Menurut al-Khatib, nama sebenar Ibn al-’Arabi ialah Muhammad bin Abdullah bin
Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-’Arabi al-Ma’afiri. Dinisbahkan kepada Ma’afir bin
Ya’fur bin Malik, iaitu kabilah Arab yang berasal dari Yaman. Beliau dilahirkan di Isybiliah
(Sevilla), Andalus (Sepanyol) pada malam khamis, 22 Sya’ban tahun 468H / 1075M (al-Khatib,
1952).

Ibn al-’Arabi antara ulama’ yang berhijrah untuk mencari ilmu, pada usianya 17 tahun,
beliau memulakan pengembaraan ke Timur Tengah. Menurut al-Khatib, pengembaraan itu
bermula pada bulan Rabi’ al-Awwal tahun 485H. Pengembaraan beliau akhirnya memasuki
Mesir. Kemudian ke Baitul Maqdis. Di sana, beliau berguru dengan Makki bin Abdul Salam al-
Rumali dan al-Qadhi Abu al-Hassan Mukrim bin Marzuq.

Ibn al-’Arabi kemudiannya menuju ke Damsyik dan ke Baghdad. Antara guru beliau di
Baghdad, ialah Imam al-Ghazali. Pada akhir tahun 489H, iaitu pada bulan Zulkaedah, beliau
menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji dan juga ke Madinah untuk menziarahi maqam
Rasululullah s.a.w. Kemudian, pulang semula ke Baghdad untuk meneruskan pengajiannya
(Sa’id, 1987). Pada tahun 492H, beliau menuju ke Iskandariah dalam perjalanan pulang ke
Isbiliyyah. Menurut Sa’id, Ibn al-’Arabi berada di Timur Tengah dalam tempoh masa selama 12
tahun iaitu bermula pada tahun 485H/ 1092M dan pulang ke Isbiliyyah pada tahun 495H/ 1102M
(Sa’id, 1987).

Beliau pulang ke Isbiliyyah dan berkhidmat menyebarkan ilmu kepada umum sehingga
beliau dilantik menjadi Qadhi di Isbiliyyah pada bulan rejab tahun 528H. Menurut al-Khatib,
syarat kelayakan bagi jawatan Qadhi, ialah menghafal 12 ribu hadith, ternyata kehebatan Ibn al-
’Arabi yang melepasi syarat tersebut (al-Khatib, 1952). Murid beliau yang terkenal antaranya
ialah Qadhi Iyyad, Khalaf bin Abd. al-Malik dan Abu Ja’afar bin Badis (al-Muqqari, 1968).
Manakala, Sa’id A’rab telah menyenaraikan nama-nama anak murid Ibn al-’Arabi, lebih
daripada 120 orang (Sa’id, 1987). Oleh kerana keilmuannya yang begitu tinggi, beliau dikatakan
telah mencapai tahap kemampuan mengeluarkan ijtihad (al-Dhazabi, 1994). Bahkan dikatakan
seorang yang pakar dalam ilmu sanad di Andalus (al-Suyuti, t.th).

Konflik politik Andalus sekali lagi menyaksikan kerajaan Murabitun diguling oleh
kerajaan Muwahidun. Pada ketika itu, Ibn al-’Arabi bersama ulama yang lain, menuju ke utara
Afrika untuk menemui pemimpin Muwahiddun bagi menyatakan baiah kepada mereka, lalu
beliau meninggal dunia di Utara Afrika, iaitu di bandar Fez pada bulan Rabi’ al-Awwal 543H
dan dikebumikan jenazahnya di sana (Sa’id, 1987).

Ibn al-’Arabi telah meninggalkan karya-karya yang banyak yang sampai kepada kita pada
hari ini selain kitab al-’Awasim Min al-Qawasim, antara karyanya yang lain ialah;

1. ’Aridhah al-Ahwazi fi Sharh al-Tarmizi.


2. Anwar al-Fajr fi Tafsir al-Qur’an.
3. Qanun al-Takwil fi Tafsir al-Qur’an.
4. Ahkam al-Qur’an.
5. Al-Nasikh Wa al-Mansukh fi al-Qur’an.
6. Al-Qabs: Fi Sharh al-Muwatta’ Malik bin Anas.
7. Al-Mahsul fi ’Ilm al-Usul.
8. Tartib al-Rihlah lil Tarqib fil Millah.
9. Al-Masalik fi Sharh Muwatta Malik dan banyak lagi (al-Khatib, 1952).

KITAB AL-‘AWASIM MIN AL-QAWASIM

Menurut al-Khatib, kitab al-‘Awasim Min al-Qawasim ditulis oleh Ibn al-‘Arabi pada tahun
536H, iaitu dalam sekitar tujuh tahun sebelum beliau meninggal dunia (al-Khatib, 1952). Kitab
ini mula diedar oleh Abdul Hamid bin Badis pada tahun 1345H / 1926M, sebanyak dua jilid dan
diterbitkan oleh percetakan al- Jaza’ir al-Islamiah. Kemudian pada tahun, 1952M, Muhib al-Din
al-Khatib mentahqiqkan kitab ini dan diterbitkan oleh al-Maktabah al-‘Ilmiyyah, Bayrut, diikuti
oleh Ammar Talibi yang mentahqiq kitab ini pada tahun 1974M, diterbitkan oleh Maktabah Dar
al-Turath, Kaherah. Selain itu, Muhammad al-Sayyid al-Shanawi mentahqiqkan hadith yang
dikemukakan oleh Ibn al-‘Arabi dalam kitab ini pada tahun 1998M dan diterbitkan oleh Dar al-
Qalam al-Turath, Kaherah. Kemudian yang terbaru, pada tahun 2009M, Mustafa Abu al-Ma’ati,
telah mentahqiq kitab ini dengan mengekalkan tahqiq Muhib al-Din al-Khatib dan diterbitkan
oleh Dar al-Ghad al-Jadid, Mansurah, Mesir.

Kitab ini pada hakikatnya bukan kitab sejarah seperti yang disangkakan oleh kebanyakan
orang ramai, tetapi ianya merupakan sebuah kitab yang meliputi perbincangan mengenai bidang
falsafah, teologi, fiqh dan qiraat, hanya satu pertiga daripada keseluruhan kandungan kitab ini
membicarakan tentang sahabat Rasulullah s.a.w. Bab inilah yang mempunyai nilai sejarah dan
bab ini juga yang ditahqiqkan oleh Muhib al-Din al-Khatib, Muhammad al-Sayyid al-Shanawi
dan Mustafa Abu al-Ma’ati dengan memakai tajuk Al-‘Awasim Min al-Qawasim: Fi Tahqiq
Mawaqif al-Sahabat Ba’ad Wafat al-Nabi.

Karya Ibn al-‘Arabi ini, antara karya yang telah memperkenalkan nama beliau. Ini kerana
penulisan beliau mempunyai nilai yang tersendiri. Ia ditulis berkenaan satu topik yang
kontroversi yang sudah tentu menarik minat ramai pembaca. Kemunculan kitab ini, boleh
dikatakan sebagai perintis kepada karya yang membicarakan isu konflik dan kontroversi dalam
sejarah Islam. Selepas kemunculan kitab ini, muncul pula kitab Minhaj al-Sunnah oleh Ibn
Taimiyyah yang membahaskan isu-isu akidah dan ilmu kalam. Kemudian disusuli oleh ramai
penulis yang mengikuti cara ini dalam mengupas isu konflik dan kontroversi.

METODOLOGI PENULISAN AL-‘AWASIM MIN AL-QAWASIM

Setiap sejarawan mempunyai metodologi yang tersendiri dalam menghasilkan karya mereka.
Perbezaan berlaku samada dari sudut topik penulisan, penggunaan isnad, sikap keberkecualian
atau kecenderungan, penyusunan karya mengikut kronologi tahun atau berdasarkan topik dan
penggunaan unsur syair, nathar dan dialog (Wan Kamal Mujani, 2014).

Setelah meneliti karya Ibn al-’Arabi ini dengan mengkaji metodologi pensejarahan yang
telah digunakan, terdapat beberapa skop kajian, iaitu, topik sejarah yang ditulis dan penekanan
penggunaan isnad. Maka setelah diperhatikan didapati beberapa metodologi yang digunapakai
oleh Ibn al-’Arabi dalam karyanya ini:

Topik dan skop penulisan

Karya Ibn al-’Arabi ini bukanlah sebuah karya sejarah umum yang meliputi semua perbahasan
tentang sahabat, tetapi hanya memilih beberapa topik tertentu sahaja. Walaupun ia menceritakan
peristiwa yang berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. sehingga zaman awal Bani
Umayyah, tetapi hanya memilih isu-isu kontroversi yang berlaku di antara tempoh dua zaman
ini, yang berkaitan dengan konflik politik atau isu-isu kontroversi yang disebut sebagai fitan
(Sahrulazmi Sidek, 2009).

Tajuk perbahasan yang disentuh oleh Ibn al-’Arabi, adalah seperti berikut (Ibn al-’Arabi,
1998).

1. Peristiwa selepas kewafatan Nabi, iaitu mengenai tindakan Ali, Uthman, Umar, keluarga
Abbas, kedudukan Ansar dan Muhajirin dan kedudukan tentera Usamah bin Zaid.
2. Perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah dan perlantikan Khalifah Abu Bakar serta
perlantikan Khalifah Umar secara ringkas.
3. Khalifah Uthman bin Affan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
4. Khalifah Ali bin Abi Talib.
5. Konflik antara Ali dan Talhah, Zubair dan Aisyah sehingga terjadinya perang Jamal.
6. Konflik antara Ali dan Muawiah.
7. Perlantikan Hassan bin Ali dan pengundurannya.
8. Isu Tahkim dan dakwaan ar-Rafidhah tentang kedudukan Ali.
9. Khalifah Muawiah bin Abu Sufian.
10. Perlantikan Yazid bin Muawiah.
11. Isu pembunuhan Husin di Iraq.
12. Kepimpinan Bani Umayyah.

Huraian beliau bergantung kepada berapa banyak isu kontroversi yang berlaku di zaman
tersebut. Ulasan Ibn al-’Arabi mengenai Khalifah Uthman amat panjang kerana banyak isu dan
konflik yang berlaku pada zamannya dan tidak banyak huraian dan ulasan mengenai kepimpinan
Umar al-Khatab kerana tidak terdapat konflik dan kontroversi pada era pemerintah Umar al-
Khatab.

Perbincangan mengenai Mu’awiyah, banyak diulas oleh Ibn al-’Arabi kerana terdapat
banyak isu-isu kontroversi yang berlaku. Huraian topik Mu’awiyah, turut meliputi isu penarikan
diri Hasan bin Ali daripada jawatan khalifah, keistimewaan Mu’awiyah, tohmahan yang
dilontarkan kepadanya, perlantikan anaknya Yazid sebagai penggantinya, beberapa sungutan
mengenai Yazid, pemergian Husin bin Ali ke Kufah dan topik perlantikan atau perjawatan Bani
Umayyah.

Namun, Ibn al-’Arabi tidak menyentuh isu-isu ekonomi, futuhat, perluasan empayar,
peperangan, pertahanan, sumbangan, ketenteraan, pembangunan, pendidikan atau isu-isu sejarah
yang biasa disebut oleh ahli sejarawan lain. Selain itu, beliau tidak menyatakan beberapa topik
kontroversi yang pada era kepimpinan Khalifah Harun ar-Rasyid atau lain-lainnya.

Dengan skop penulisan ini, menunjukkan bahawa Ibn al-’Arabi antara yang terawal
menulis sejarah mengenai isu-isu kontroversi dan konflik politik sejarah Islam secara khusus
tanpa menyentuh mana-mana topik lain. Walaupun, sudah terdapat sejarawan Islam yang telah
menyentuh topik-topik ini, Tetapi penulisan Ibn al-’Arabi secara khusus tentang topik
kontroversi dengan analisa dan kritikan ilmiah, adalah suatu revolusi dalam penghasilan karya
sejarah Islam. Kemudian, muncul penulis-penulis lain yang cuba mengupas isu-isu kontroversi
ini. Antara yang terkenal Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Minhaj al-Sunnah Li al-Rad Ala ar-
Rafidhah. Tetapi Ibn Taymiyah banyak membincangkan isu-isu akidah bukannya konflik politik.

Kaedah Qasimah dan ’Asimah

Kaedah Qasimah dan ’Asimah merujuk kepada metodologi Ibn al-’Arabi dalam mengupas isu-
isu kontroversi yang berlaku. Qasimah merupakan kata tunggal bagi perkataan Qawasim,
menurut Mu’jam al-Mu’tamad, perkataan ini bermaksud Inkisar iaitu sesuatu yang pecah, dalam
konteks fakta sejarah, bolehlah diertikan sebagai fakta-fakta yang menyeleweng (Mu’jam al-
Mu’tamad, 2000). Manakala dalam Mu’jam al-’Arabi al-Muyassar, Qasimah bermaksud Muhlik
iaitu perosak (Mu’jam al-’Arabi al-Muyassar, 1991). Dalam kitab ini, Ibn al-’Arabi telah
memulakan pembentangan fakta-fakta yang menyelewang dalam bahagian Qasimah sebelum
beliau menyatakan ulasan, kritikan dan pandangan beliau dalam bahagian ’Asimah. ’Asimah pula
ialah kata tunggal bagi perkataan ’Awasim. Menurut Mu’jam al-Mu’tamad ’Awasim bermaksud
Inhifaz iaitu jagaan atau sesuatu yang perlu dipegang (Mu’jam al-Mu’tamad, 2000). Manakala
dalam konteks fakta, ianya boleh diertikan sebagai fakta-fakta yang dipegangi. Contoh
pengaplikasian Ibn al-’Arabi metodologi ini dalam kitabnya, boleh dilihat dalam topik pertama
kitab ini, di mana Ibn al-’Arabi telah mengemukakan isu-isu yang berlaku selepas kewafatan
Nabi s.a.w., seperti tindak balas Abu Bakar, Ali, Uthman dan Umar serta keluarga Ali dan Abbas
dalam bab Qasimah. Kemudian beliau menjawab isu-isu ini dengan memberi komentar pada bab
’Asimah (Ibn al-’Arabi, 1998).

Pengunaan Isnad

Pengunaan isnad merupakan tradisi para sejarawan Islam dalam penulisan karya sejarah. Dalam
konteks ini, Ibn al-’Arabi juga amat mementingkan penggunaan isnad. Namun, berbeza dengan
yang lain, Ibn al-’Arabi hanya menyebut isnad secara ringkas sahaja. Sebagai contoh, beliau
terus menyebut nama-nama ahli Hadith seperti Khalifah bin al-Khayat, al-Darqutni, Bukhari,
Ahmad bin Hambal dan Malik. Namun terdapat keadaan, di mana Ibn al-’Arabi menyebut qila
(dikatakan), khususnya dalam mengutarakan tohmahan terhadap Mua’wiyyah dan Yazid, tidak
diketahui siapa yang berkata itu ?.

Walaubagaimana pun, Ibn al-’Arabi sememangnya telah meletakkan isnad dan sumber
sesuatu riwayat sebagai perkara penting. Namun demikian, beliau tidaklah konsisten dalam
penggunaan isnad. Ini dapat dibuktikan dalam beberapa kupasannya, di mana beliau hanya
sekadar menuliskan kupasan dan kritikannya sahaja tanpa menyertakan sebarang isnadnya (Ibn
al-‘Arabi 1998), beliau tidaklah menulis susur galur sanad yang bersambung-sambung seperti al-
Tabari. Bahkan di penghujung bukunya ini beliau menyarankan pengambilan isnad melalui ahli
hadith sahaja. Ini berkemungkinan penekanan beliau dalam penggunaan isnad dan pengambilan
riwayat daripada ahli hadith, kerana isu kupasannya merupakan isu konflik dan fitnah.
SUMBER-SUMBER PENULISAN IBN AL-’ARABI

Sumber adalah sesuatu perkara yang penting dalam pengkajian sejarah, dalam hal ini, menurut
Sayyidah Ismail Khasif dalam bukunya Masadir al-Tarikh al-Islamiy menyatakan, bahawa
sumber sebagai maklumat yang dipegangi atau dirujuk dalam menjelaskan persoalan mengenai
sejarah yang ditulis (Sayyidah, 1976). Berhubungan dengan sumber penulisan Ibn al-‘Arabi
dalam kitab al-‘Awasim Min al-Qawasim, didapati beliau banyak mengambil sumber-sumber
hadith.

Pentahqiq kitab ini, seperti Muhammad Shanawi dalam tahqiqnya banyak menyandarkan
hadith-hadith yang dikemukakan oleh Ibn al-‘Arabi kepada sahih al-Bukhari, sahih Muslim dan
al-Darqutni (Shanawi, 1998). Selain itu, Athar atau kata-kata sahabat yang dikemuka oleh Ibn al-
‘Arabi juga turut dikemukakan Ibn al-Khatir dalam kitab Bidayah wa al-Nihayah (Shanawi,
1998). Ini dibuktikan lagi dengan penjelasan Ibn al-‘Arabi sendiri pada akhir kitabnya, di mana,
beliau telah menyarankan supaya jangan menerima mana-mana sumber dalam memahami isu
kontroversi melainkan daripada ulama’ hadith yang thiqah (Ibn al-‘Arabi, 1998).

Selain itu, penulisan beliau juga bersumberkan kitab-kitab sejarah yang muktabar seperti
al-Tabari, iaitu Tarikh al-Umam wa al-Muluk dan Khalifah bin al-Khayyat, ini dibuktikan
dengan kenyataan beliau di penghujung kitabnya, di mana beliau menyatakan bahawa jangan
didengari ulasan sejarawan melainkan daripada al-Tabari (Ibn al-‘Arabi, 1998). Selain itu, beliau
dengan terang menolak sumber-sumber seperti kitab al-Imamah wa al-Siyasah oleh Ibn al-
Qutaibah, kitab al-Kamil fi al-Lughah wa al-Adab oleh al-Mubarrid dan Muruj al-Zahab oleh al-
Mas’udi (Ibn al-‘Arabi, 1998) kerana ianya mengelirukan.

PENYELESAIAN MASALAH MELALUI KITAB AL-‘AWASIM

Sebagaimana yang telah dinyatakan bahawa kitab al-‘Awasim Min al-Qawasim adalah sebuah
kitab menangkis serangan dan tohmahan kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Perbincangan
mengenai peristiwa selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., dijelas dengan teliti oleh Ibn al-‘Arabi,
di mana beliau pada mulanya mengemukakan fakta-fakta yang rapuh dalam bab ‘Asimah. Iaitu
tindakan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Kemudian beliau menjawab dalam bab Qasimah
dengan mengemukakan fakta-fakta yang kukuh mengenai tindakan Abu Bakar, Umar, Uthman
dan Ali ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Ini secara tidak langsung akan memadamkan api
fitnah yang dikemukakan golongan syiah terhadap isu ini. Menurut Anwar al-Bazi, dalam
membicarakan tentang kelahiran mazhab syiah, ianya berpunca daripada empat peristiwa, iaitu;
(Anwar al-Bazi, 1998).

1. Kewafatan Nabi s.a.w. dan perhimpunan di Saqifah Bani Saidah.


2. Fitnah pada zaman Uthman.
3. Peperangan Siffin dan majlis tahkim.
4. Pembunuhan Hussin bin Ali.

Rentetan ini sudah tentulah peristiwa ini cuba diseleweng oleh golongan syiah yang akhirnya
meracuni pemikiran umat Islam.

Kemudian, penulis-penulis pro syiah menyebarkan fahaman yang mencaci para sahabat,
antaranya ialah karya al-Mas’udi yang berjudul, Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Juahar. Al-
Mas’udi dalam membicarakan isu pemerintahan Uthman bin Affan, telah menyatakan kelemahan
Uthman bin Affan dalam pengurusan negara dan rakyat serta layanan buruknya terhadap
beberapa orang sahabat. Pada umumnya, dapat dinyatakan perkara-perkara yang dibangkitkan
oleh al-Mas’udi, antaranya dituduh Uthman menjatuhkan hukuman buang daerah ke atas Abu
Zar al-Ghifari, dituduh Marwan bin al-Hakam sebagai dalang kepada pembunuhan Uthman (al-
Mas’udi, 1970).

Semua isu ini dijawab oleh Ibn al-’Arabi melalui kitab al-’Awasim, beliau telah
menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah batil dari sudut sanad dan matan (Ibn al-’Arabi,
1998). Beliau menafikan tindakan Uthman menjatuhkan hukuman buang negeri kepada Abu Zar.
Isu ini berlaku disebabkan kritikan Abu Zar terhadap polisi yang diamalkan oleh Muawiyyah di
Syam terhadap harta awam. Menurut Abu Zar, harta yang bukan milik peribadi mestilah
dibahagikan di kalangan kaum muslimin, tanpa boleh disimpan walau sedikit pun. Namun
berbeza dengan polisi yang diamalkan oleh pegawai Uthman di Syam, iaitu Muawiyyah yang
tidak membahagikan harta ini, sebaliknya disimpan untuk pembangunan negara. Lalu timbullah
ketegangan antara Abu Zar dan Muawiyyah. Melihat kepada situasi ini, Khalifah Uthman telah
memanggil Abu Zar pulang ke Madinah dan berlaku perbincangan antara mereka, kemudian,
Abu Zar menyatakan bahawa beliau ingin keluar dari Madinah dan memilih untuk tinggal di
Rabazah, dengan rela hati, bukan dijatuhkan hukuman (Marzuki, 1994). Jika dilihat ulasan isu ini
dalam kitab Muruj al-Zahab, seolah ianya mengambarkan kekerasan yang dilakukan oleh
Uthman bin Affan.

Begitu juga isu perlantikan Marwan bin al-Hakam. Al-Mas’udi menyatakan ketika
kediaman Uthman dikepung oleh, Ali bin Abi Talib telah menghantar dua orang anaknya supaya
mempertahankan Uthman dan melindunginya daripada dibunuh. Namun, pembunuhan tetap
berlaku, Uthman terbunuh. Pada ketika itu, Ali datang dan melihat Uthman dibunuh, lalu beliau
memarahi anaknya, kenapa tidak menghalang pembunuhan ini. Lalu, Talhah yang turut bersama
pada ketika itu, berkata kepada Ali, ”Jangan memarahi anakmu, jika Marwan yang menghalang,
nescaya pembunuhan ini tidak berlaku”. Ini merupakan dialog yang dikemukakan dalam kitab
Muruj al-Zahab (al-Mas’udi, 1970).

Ibn al-’Arabi dalam kitab al-’Awasim bangkit memperbetulkan kenyataan ini, di mana
beliau menyatakan bahawa Marwan adalah seorang yang bersifal adil di kalangan pembesar
sahabat, tabi’in dan fuqaha’ Islam yang diriwayatkan hadith daripadanya (Ibn al-’Arabi, 1998).

Berdasarkan kepada beberapa ulasan berkenaan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu,


jelas menunjukkan bahawa usaha pihak-pihak tertentu dalam merendah-rendahkan para sahabat,
bertujuan untuk memecah belah umat Islam, dalam konteks ini, kitab al-’Awasim Min al-
Qawasim adalah sebuah kitab yang menjadi benteng dalam mempertahankan generasi yang
membawa Islam iaitu para sahabat Rasulullah s.a.w.
KESIMPULAN

Berdasarkan kepada penelitian terhadap karya Ibn al-’Arabi ini, didapati bahawa Ibn’ al-’Arabi
berpegang teguh kepada riwayat hadith dan menolak riwayat-riwayat lain yang bertentangan
dengan riwayat hadith, ini disebabkan beberapa perkara;

1. Isu kontroversi atau fitan yang berlaku dalam kalangan sahabat, harus dirujuk kepada
sumber yang berautoriti, tiada sumber lain melainkan al-Qur’an dan Hadith. Ini
bertepatan yang dengan firman Allah s.w.t,

 
  
 
   
   
  
  
 
  
  
 
Maksud; Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah
lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(al-Nisa’, 4:59)
2. Kedudukan Ibn al-’Arabi sebagai seorang qadhi di Isbiliyyah yang memerlukan
ketegasan dalam pembuktian dan dalil mengeluarkan sesuatu hukum. Kesilapan
menganalisa dalil boleh menyebabkan sesuatu pihak dizalimi.
3. Metodologi yang dikemukakan oleh beliau begitu menarik, dengan mengemukakan fakta-
fakta yang rapuh dan dinyatakan fakta-fakta yang benar dan boleh dipegangi, selain tidak
terikat dengan pengunaan sanad yang berjela-jela.
4. Setiap pengkaji sejarah Islam harus berhati-hati dalam mengambil fakta berkenaan isu
kontroversi sahabat. Melalui kitab al-’Awasim, Ibn al-’Arabi telah menyebut beberapa
riwayat sejarah yang boleh diambil riwayatnya dan riwayat yang perlu ditolak.
Oleh itu, kitab ini menjadi benteng bagi umat Islam dalam mempertahankan akidah mereka.
Sesungguhnya musuh-musuh Islam mencari segenap ruang untuk memecah belahkan umat ini,
setelah mereka gagal dalam memecah belahkan dalam perkara yang besar, mereka mencari pula
jalan lain, sehingga sahabat Rasulullah dituduh sebagai pembunuhan, pengkhianat dan bahkan
lebih teruk daripada itu, sedangkan Nabi s.a.w. menyatakan bahawa para sahabat seperti bintang
dilangit, jika kamu mengikuti mereka, nescaya kamu beroleh hidayah. Usaha Ibn al-’Arabi
mempertahankan sahabat, adalah suatu sumbangan besar beliau kepada umat Islam.
Rujukan
Abu Bakar Ibn al-’Arabi. 1952. Al-Awasim Min al-Qawasim Fil Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Muhib al-Din al-Khatib. Bayrut, al-Maktabah al-’Ilmiyyah.
Abu Bakar Ibn al-’Arabi. 1998. Al-Awasim Min al-Qawasim Fil Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Muhammad al-Sayyid al-Shanawi. Qaherah, Dar al-Qalam
lil al-Turath.
Abu Bakar Ibn al-’Arabi. (t.th). Al-Nass al-Kamil Lil al-Kitab Al-Awasim Min al-Qawasim.
Tahqiq, Ammar Talabi. Qaherah, Maktabah Dar al-Turath.
Abu Bakar Ibn al-’Arabi. 2008. Al-Awasim Min al-Qawasim Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat
Ba’d Wafat al-Nabi. Tahqiq, Mustafa Abu al-Ma’thi. Qaherah, Dar al-Gad al-Jadid.
Al-Zahabi, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad bin Uthman, 1990, Siyar a’lam al-Nubala’ .
Tahqiq Husien al-Asad. Bayrut, Dar al-Kutub al-Imiah.
Al-Muqqarri, Ahmad bin Muhammad. 1968. Nafh al-Tib Fil Gasn al-Andalus al-Ratib. Bayrut,
Dar al-Sadir.
Anwar al-Bazi, 1998. ’Ishmah al-Aimmah ’Inda al-Syiah. Mansurah, Dar al-Wafa’ lil al-Tiba’ah
wa al-Nashr wa al-Ta’zi’.
Al-Mas’udi, Ali bin Husain. 1980. Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Juahar. Bayrut, al-Maktabah
al-Sharqiyyah.
Sa’id ’A’rab. 1987. Ma’a al-Qadhi Abi Bakr al-’Arabi. Bayrut, Dar al-Gharab al-Islami.
al-Nahwi, al-Khalil. 1991. Al-Mu’jam al-‘Arabi al-Muyassar. Tunis, Larrousse.
Sayyidah Ismail Khasif. 1986. Masadir al-Tarikh al-Islamiy wa Manahij al-Bahth fih.
Kaherah: Maktabah al-Khanajy.
Marzuki Haji Mahmood. 1994. Isu-Isu Kontroversi Dalam Sejarah Pemerintahan Khulafa’ al-
Rasyidin. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Kamal Mujani. 2014. Ketokohan dan Karya Sejarawan Islam dari Kurun Keempat Hijrah
Hingga Kurun Kelapan Hijrah. Prosiding Seminar Pensejarahan Islam 2014. Hlm. 19-
38.
Sahrulazmi Sidek & Noorsafuan Che Noh, Metodologi Penulisan Ibn al-‘Arabi Dalam Kitab al
’Awasim min al-Qawasim: Fi Tahqiq Mawaqif al-Sahabat Ba’da Wafat al-Nabi dalam
roceedings of The Malaysia Conference on Arabic Studies And Islamic Civilization.
2009. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai