Anda di halaman 1dari 5

‫السالم عليكم ورحمة هللا وبركاته‬

............. ‫الحمد هلل رب العالمين‬

Terima kasih Pengacara Majlis.

Yang Berusaha En Nordin Bin Badri Yang dipertua PIBG SMA Shamsuddiniah,
Ustaz Zatul Akmam Bin Yusop Pengetua SMA Shamsuddiniah,
Ustaz Ahmad Radzuan Bin Katimin Guru Penolong Kanan Pentadbiran,
Madam Nurshila binti Umar Baki Guru Penolong Kanan Hal Elwah Murid,
Ustaz Lukman Bin hj Md Sawari Guru Penolong kanan Kokurikulum,
Barisan Guru-Guru SMA Shamsuddiniah, Staf-staf SMA Shamsuddiniah dan para
pelajar yang dirahmati Allah sekelian.

Beras kunyit saya taburi,


Air mawar direnjis wangi.
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Hari Q SMA Shamsuddiniah, bagi tahun
2019. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak warga sekolah
yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi
kepentingan seluruh warga sekolah. Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis
seperti ini, yang pasti Majlis Hari Q merupakan satu majlis khas untuk meraikan pelajar-
pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang sekolah ini. Saya
juga difahamkan bahawa majlis Hari Q ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan
para pelajar, ia juga tanda pengiktirafan untuk para pendidik dan staf sekolah yang
telah melaksanakan tugas yang diberi dengan baik dan sempurna. Tahniah kepada
semua yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang sangat efisyen dan
cemerlang.Mudah-mudahan budaya kerja ini dapat diteruskan bagi menjamin kejayaan
yang lebih cemerlang untuk semua warga sekolah SMA Shamsuddiniah..

Anak – anak SMA Shamsuddiniah sekalian,


Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa ‘Beriman dan beramal sumbernya ialah
ilmu. Ilmu diperoleh dengan belajar. Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan
tiada erti amal kalau tiada keikhlasan
Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur
pencapaian berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik jangan
cepat berasa puas dengan pencapaian pada hari ini. Seorang pendidik mesti sentiasa
berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan
menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum,
para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan
dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian
mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan
perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian
yang sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Qi pada hari ini adalah selari dengan matlamat
memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar , para pendidik dan staf sekolah
agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan
semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan
sahaja untuk pelajar yang cemerlang, guru cemerlang dan staf cemerlang tetapi juga
yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah
kepada para pelajar, tenaga pengajar dan staf sekolah yang akan menerima hadiah
nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut
tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala
kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak
kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh
mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan
sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran
baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi
dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Kepada mereka yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah
pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap
rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa.Berpeganglah pada prinsip alang-
alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya mereka
yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan
konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari
dan bukannya rajin menjelang hari – hari tertentu semata-mata atau rajin mengikut
musim.. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima
anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan
datang.

Para pelajar yang dikasihi sekalian,


Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya
bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal
ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha
untuk merealisasikannya. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan
kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan
antara pelajar , guru dan pekerja- pekerja sekolah sebagai hubungan yang berasaskan
rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu
sama lain,bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Pemimpin dan barisan tenaga pengajar sekolah ini boleh bertukar ganti; boleh datang
dan pergi, namun organisasi mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang menerajui
dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-
ansurkan. Semua pihak termasuk ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu
kepada pihak pentadbir sekolah jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin
direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan
syabas kepada pihak tenaga kerja hari Q kerana berjaya menganjurkan Majlis yang
sangat bermakna tahun ini.

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian
pada gurindam ini;

Jika murid mendengar kata


Tidak guru berkata cela

Jika ibu bapa bekerjasama


Tidaklah anak berdukacita

Jika kita seia sekata


Tiada timbul sengketa

Jika seiring kita berusaha


Pasti semua akan berjaya
Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhir-
rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang)
MERASMIKAN, Majlis Hari Q SMA Shamsuddiniah bagi tahun 2019.

Sekian terima kasih.

‫وباهلل توفيق والهداية والسالم عليكم ورحمة هللا وبركاته‬

Anda mungkin juga menyukai