Anda di halaman 1dari 10

Gender Dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan

1.0 Pendahuluan
Dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan bahawa seorang insan perlu
seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmaninya. Perseimbangan aspek-aspek ini perlu
di kalangan pelajar untuk melahirkan generasi yang mempunyai pengetahuan, kemahiran,
pengalaman, kesukarelaan dan ketrampilan melalui aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan.
Justeru itu,melalui pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Sukan (PJS) dapat melatih pelajar
mengatasi pelbagai kekangan dan rintangan serta mempunyai daya tahan, daya saing, daya suai
dan daya cipta yang tinggi agar para pelajar boleh dan sanggup menghadapi cabaran pendidikan
alaf baru.

Dalam membina sahsiah insan pelajar, aspek kemahiran asas, pengurusan, kepimpinan,
kerjasama dan kecergasan perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Dengan pendedahan
komponen ini, pengajaran dan pembelajaran PJK yang terancang, sistematik dan berkesan
diharap dapat membentuk sikap pelajar yang positif serta memiliki semangat kesediaan dan
kesukarelaan dalam diri mereka.

2.0 Definisi Pendidikan Jasmani dan Sukan


Menurut Pettifor (1999), Pendidikan Jasmani menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan
hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi
dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut seharusnya dapat meningkatkan
pembangunan penguasaan kemahiran motor, kecergasan dan kesihatan berasaskan kesihatan,
keyakinan dalam menjadi aktif dan dapat mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal. Dengan kata
lain, Pendidikan Jasmani membekalkan ruang untuk membentuk kanak-kanak yang mantap
secara keseluruhannya yang mengambil kira pembangunan aspek-aspek afektif, kognitif dan
psikomotor. Konsep menyeluruh ini adalah selari dengan pendapat Dauer (1995) yang
berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani adalah sebahagian daripada program pendidikan yang
menyeluruh, yang memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembangunan keseluruhan
kanak-kanak melalui pengalaman-pengalaman pergerakan.

Pendidikan Jasmani juga merupakan aktiviti fizikal yang bermatlamat pendidikan. Pendidikan
Jasmani berbeza daripada bidang lain kerana ia menumpukan kepada pembangunan keseluruhan
individu. Bidang Pendidikan Jasmani memberi perhatian kepada kualiti fizikal, mental dan
emosi. Ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menegaskan elemen
JERI (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dalam membangun potensi seseorang individu.
Antara objektif Pendidikan Jasmani ialah:
o Mempertingkat dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor;
o Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri;
o Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian;
o Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan
fizikal;
o Membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan
o Membentuk keputusan bijak dalam hidup.

Menurut Snyder & Spreitzer (1989), sukan adalah pertandingan aktiviti fizikal manusia yang
dikawal oleh peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Angela Lumpkin (2002) pula
mengatakan sukan adalah aktiviti fizikal yang dikawal dengan peraturan dan undang-undang
yang formal atau tidak formal membabitkan pertandingan secara individu atau berpasukan untuk
mendapatkan keseronokan dan rekreasi. Vander Swaag (1988) pula berpendapat Sukan adalah
aktiviti fizikal berbentuk pertandingan yang menggunakan peralatan dan kemudahan khusus
dengan dimensi yang unik berkaitan masa dan ruang. Oleh itu, sukan boleh disimpulkan sebagai
satu proses yang melibatkan aktiviti fizikal yang ditentukan oleh peraturan formal atau tidak
formal yanag melibatkan pertandingan antara individu atau pasukan dengan pihak lawan untuk
tujuan keseronokan, rekreasi dan pengiktirafan.

3.0 Sukan dalam Akta dan Dasar Pendidikan


Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang ditubuhkan pada 1974 telah
menyatakan bahawa: ”Sukan dimestikan di semua sekolah.” Laporan tersebut juga merestui
pengwujudan dan peranan Majlis Sukan Sekolah-sekolah di peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan. laporan tersebut menegaskan:
Sukan merupakan satu saluran yang berkesan untuk menanamkan semangat kesukanan,
memupuk persefahaman serta perpaduan di kalangan murid di negara ini (185).

Sukan penting untuk kesihatan dan perkembangan jasmani, rohani dan kesihatan murid-murid
(186).

Untuk memastikan supaya sukan dan olahraga dapat mencapai matlamat yang ditentukan,
Laporan Jawatankuasa Kabinet telah membuat perakuan berikut:
Sekolah-sekolah hendaklah mengadakan senaman beramai-ramai yang melibatkan penyertaan
semua murid. Pertandingan senaman beramai-beramai antara pasukan-pasukan di sesebuah
sekolah dan antara sekolah-sekolah hendaklah dijalankan (187.1.a).

Permainan-permainan di sekolah seberapaa yang boleh hendaklah melibatkana penyertaan murid


yang ramai seperti dalam perlumbaan merentas desa, jalan kaki dana sebagainya. Di samping itu,
mereka yang hendak diberikan latihan atau kemahiran peringkat tinggi hendaklah dilayani juga
(187.1.b).
Kegiatan sukan dan olahraga di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan hendaklah
terus dipergiatkan supaya matlamat perpaduan antara murid-murid berbilang kaum dan lapisan
masyarakat dapat dicapai (187.1.c)

Pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil maklum dan mengambil tindakan sewajarnya bagi
melaksanakan perakuan yang telah dikemukakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut
seperti mengeluarkan arahan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1979 mengenai Pendidikan
Jasmani dan Ujian Daya Tenaga Asas, Bil.10/1998 mengenai senaman beramai-ramai dan
Bil.1/1989 mengenai penyertaan pelajar dalam kegiatan sukan di sekolah.

Bertitik tolak daripada matlamat Dasar Pelajaran Kebangsaan, perakuan Laporan Jawataankuasa
kabinet dan Falsafah Pendidikan Negara, objektif pembangunan sukan di institusi pendidikan,
khususnya di sekolah-sekolah ialah, penyediaan seluas-luas peluang untuk pelajar untuk pelajar
menyertai sukan secara aktif dan mendapat keseronokan daripada aktiviti sukan, dan bagi
mereka yang berbakat, untuk mencapai prestasi dan potensi setinggi mungkin dalama bidang
sukana yang diminati. Objektif ini selaras dengan matlamat Dasar Sukan Negara, iaitu ”Sukan
Berprestasi Tinggi dan ”Sukan untuk Semua” serta menuju ke arah pencapaian hasrat falsafah
pendidikan Negara.

4.0 Gender dan Sukan


Terdapat banyak perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi rupa, bentuk badan, pakaian,
tabiat kehidupan, peranan dalam masyarakat, kerjaya dan lain-lain lagi. Mungkin kekurangan
maklumat dan kesedaran tentang perbezaan antara lelaki dengan wanita, maka wanita diajar,
diasuh dan dilatih dalam bidang sukan dengan cara persediaan yang dilakukan oleh kaum lelaki.
Adakah ini wajar? Untuk menghayati ataupun meningkatkan lagi prestasi atlet wanita, kita perlu
mengkaji perbezaan ini daripada beberapa aspek penting.

Kita mestilah sedar bahawa terdapat perbezaan antara lelaki dengan wanita dari segi fizikal
seperti rupa, tubuh dan rangka tulang serta dari segi fisiologi seperti fungsi khas wanita untuk
melahirkan anak, yang merupakan fungsi semula jadi dan tidak boleh diubah, tetapi kita boleh
menyesuaikannya. Selain itu, terdapat juga perbezaan yang berpunca dari segi sosial, iaitu kaum
wanita sering diasuh supaya berperangai lemah lembut dan dilatih dari kecil untuk mengambil
tugas suri rumah tangga. Umumnya, pendedahan wanita kepada sukan dan aktiviti sukan adalah
lebih rendah berbanding lelaki.

Dari segi fizikal, keupayaan individu daripada kedua-dua jantina adalah lebih kurang sama
sahaja sebelum akil baligh. Sebaik sahaja mereka melangkah ke alam remaja, pertumbuhan dan
perbezaan jantina menjadi semakin nyata. Dari segi sosial seringkali wanita remaja terpaksa
mengambil alih peranan dan tugas seorang wanita dewasa. Akibatnya, kecergasan mereka
merosot dan kekuatan otot akan menurun. Ini merupakan salah satu sebab mengapa prestasi
sukan wanita remaja secara puratanya adalah jauh lebih rendah berbanding prestasi kaum lelaki.

4.1 Perbezaan Rangka Tubuh


Secara purata, rangka lelaki adalah 10 peratus lebih tinggi daripada wanita. Dari segi berat tubuh
orang dewasa, lelaki lebih berat lebih kurang 11 kg. Ini disebabkan oleh perbezaan struktur
tulang lelaki yang lebih besar dan juga dari segi otot yang lebih pada tubuh lelaki. Dari segi rupa
bentuk tubuh, lelaki adalah lebih besar. Tulang-tulangnya lebih berat. Tulang-tulang tangan, kaki
lelaki juga lebih panjang dan sendi-sendinya lebih besar kecuali sendi lutut wanita yang lebih
lebar. ini memberikan kestabilan kepada tubuh wanita. Pelvik girdle yang lebih lebar
menyebabkan lutut wanita membengkok ke dalam. Akibatnya tapak dirian wanita lebih sempit.

Walau bagaimanapun, wanita mempunyai kelebihana dari segi saiz tubuh yang lebih kecil dan
lebih rendah. Ini ada kaitannya dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah dan tumpuan
berat adalah di bahagian bawah tubuh. Dengan itu, wanita pada keseluruhannya mempunyai
kestabilan yang lebih baik.
Wanita berjalan dengan cara dan gaya yang istimewa yang sedikit berlainan dengan lelaki.
Begitu juga dengan gaya larian wanita adalah berbeza dengan gaya larian lelaki. Bandingkan
pula dengan perbezaan saiz dan bentuk pelvis dan tulang femur wanita adalah lebih tirus. Ini
menyebabkan tulang kaki wanita membengkok ke dalam dan sedikit sebanayak menjadi
halangan kepada prestasi berlari.
Apabila dewasa lelaki akana mempunyai bahagian tubuh atas yang lebih besar dan lebar,
sementara wanita akan mempunyai bahagian abdomen yang lebih besar. Selain itu, kaki lelaki
juga lebih panjang dan tapak kakinya juga lebih lebar. Begitu juga dengan tangan lelaki yang
lebih panjang. Pada amnya, prestasi sukan wanita lebih rendah dan besar kemungkinan adalah
disebabkan perbezaan tersebut di atas.

Salah satu kesan perbezaan fizikal ini ialah wanita berkemungkinan banyak mengalami masalah
lutut semasa berlari, melompat serta menukar arah dengan tiba-tiba. Mereka juga mungkin akan
menghadapi masalah semasa bermain badminton, tenis, bola jaring dan sukan lain yang
memerlukan penukaran arah pergerakan dengan tiba-tiba.
Dari segi rupa bentuk tubuh pula, pada amnya wanita adalah lebih mirip kepada bentuk
endomorf (kegemukan) dan lelaki pula kepada bentuk mesomorf (tubuh yang lebih berotot).
Rupa bentuk model atau bintang-bintang filem bukanlah bentuk wanita yang ’normal’, tetapi
mungkin diterima sebagai rupa bentuk yang ideal. Pada amnya lelaki dan wanita yang aktif dan
berjaya dalam sukan lebih cenderung kepada bentuk mesomorf.

Berikut adalah suatu rumusan am ciri-ciri wanita berbanding lelaki serta inplikasinya terhadap
prestasi sukan.

4.2 Faktor Fizikal


o Wanita memiliki rangka yang lebih kecil dan pendek, pusat graviti 2.3 cm lebih rendah dan
lebih berat di bahagian bawah tubuh, terutama di bahagian punggung. memandangkan hakikat
ini, wanita adalah lebih sesuai untuk sukan yang mementingkan pusat graviti yang rendah serta
imbangan seperti gimnastik. Setakat ini, pengaruh faktor fizikal ke atas prestasi lompat tinggi
dan lompat pagar belum dapat dikesan, tetapi pusat graviti yang lebih rendah bermaksud wanita
tidak akan dapat bersaing dengan lelaki dalam acara lompat tinggi. Tetapi kita perlu ingat
bahawa sebelum akil baligh, tubuh lelaki dan permpuan adalah lebih kurang sama. Apabila
dewasa, ukuran purata lelaki adalah 12.7 cm lebih tinggi. Ini memberikan lelaki suatu kelebihan
yang nyata dalam sukan seperti renang.
o Pelvis wanita adalah lebih lebar dan sudut sendinya dengan tulang kaki adalah lebih besar.
Putaran di bahagian punggung adalah lebih nyata pada tubuh wanita dan ini bermaksud mekanik
serta teknik berjalan, berlari dan bergerak secara am adalah berlainan berbanding dengan kaum
lelaki.
o Tangan wanita adalah lebih pendek dan bersudut keluar dari tubuh di bahagian siku untuk
mengelak pelvis yang lebih luas. Tangana yang pendek akan menghasilkan daya tuil yang kurang
berkesan, sendi pada siku wanita yang bersudut juga bermaksud teknik menggunakan alatan
seperti raket badminton adalah berlainan daripada kaum lelaki. Pernahkan anda terfikir mengapa
pada amnya lelaki boleh melontar dan membaling dengan lebih tepat berbanding wanita? Ini
adalah kerana lelaki mempunyai tangan yang lebih lurus dan oleh itu mempunyi fungsi tuas yang
lebih cekap.
o Bahu wanita lebih sempit tetapi lebih bulat. Ini mengurangkan daya kuasa yang boleh
dihasilkan oleh bahagian atas tubuh. Tetap ia juga membolehkan perenang wanita berenang
dengan lebih mudah lagi kerana bentuk badan yang lebih aerodinamik mengurangkan rintangan
air. Bagaimanapun wanita masih tidak dapat menandingi lelaki kerana otot lelaki jauh lebih kuat.
o Lebih banyak peratusan lemak dalam tubuh. Ini membolehkan wanita menghadapi keadaan
suhu sejuk dengan lebih baik, terutama semasa berenang jarak jauh di laut. Simpanan lemak
yang banyak membolehkan wanita memiliki sumber tenaga yang lebih besar untuk membantu
mereka dalam acara jarak jauh sama ada berenang atau berlari. tidak haiaranlah jika wanita pada
amnya mempunyai daya tahan yang lebih baik. selain itu, simpanan lemak dalam tubuh juga
membolehkan mereka terapung dengan lebih mudah. Secara puratanya wanita mempunyai dua
kali ganda peratusan lemak (daripada jumlah berat tubuh) berbanding lelaki. Perenang maraton
terekenal negara, Datuk Abdul Malik Maidin berjaya berenang merentasi Selat Inggeris pada
tahun 2003 kerana tubuhnya boleh terapung dengan begitu baik dengan mengawal kandungan
lemak di dalam badannya. Kejayaan beliau bagaimanapun bukanlah kerana kandungaan lemak
tubuh yang tinggi semata-mata, tetapi juga disebabkan oleh keupayaan otot-ototnya
menghasilkan daya yang kuat serta memiliki teknik renang yang sempurna.
o Wanita mempunyai kelenturan yang lebih baik. Ini adalah kemahiran fizikal yang berguna
dalam sukan gimnastik. Tubuh wanita mengeluarkan lebih hormon relaxin berbanding lelaki.
Semasa melahirkan anak, hormon relaxin membolehkan sendi dan otot mereka melentur dengan
lebih baik. Oleh itu kaum lelaki akan sentiasa kalah sekiranya mereka cuba membandingkan
tahap kelenturan mereka dengan kaum wania ketika membuat latihan yang sama.
o Kurang kuat berbanding dengan lelaki yang mempunyai saiz yang sama. Ini merupakan satu
kekurangan yang menjadikan wanita kurang berkesan dalam acara yang memerlukan kekuatan.
Sungguhpun wanita boleh melakukan latihan bebanan untuk menambahkan kekuatan, namun
tahap yang dicapai tidak boleh menandingi seorang lelaki yang bersaiz sama dengannya. Ini
kerana secara semulajadi tubuh wanita mempunyai banyak lemak, sementara lelaki mempunyai
lebih banyak otot. Wanita juga tidak boleh mencapai rupa bentuk yang berotot kenyal seperti
lelaki. Suatu perkembangan 30 peratus dari segi kekuatan Cuma menambahkan lilitan otot
sebanyak 5 peratus sahaja pada tubuh wanita. Pada amnya kekuatan bahagian atas tubuh waniata
adalah 40 peratus, kurang berbanding lelaki, sementara kekuatan bahagian tubuh bawah adalah
25 peratus kurang berbanding lelaki yang mempunyai saiz tubuh yang sama. Walau
bagaimanapun, wanaita boleh menggunakan manfaat latihan bebanan untuk mempertingkatkan
prestasi di samping mengurangkan kemungkinan berlakunya kecederaan. Ini kerana perbezaan
kekuatan anatara jantina adalah disebabkan oleh jumlah otot serta saiz serabut otot yang lebih
kecil dalam tubuh wanita.

4.3 Saiz dan Kualiti Otot


Memandangkan kekuatan adalah berkadar terus dengan luas keratan lintang dan saiz otot, maka
saiz otot lelaki yang lebih besar adalah suatu kelebihan yang penting. Pada amnya, kekuatan
wanita adalah dua per tiga lebih rendah berbanding tahap kekuatan lelaki. Punca perbezaan ini
ialah hormon pertumbuhan testoteron yang lebih dalam tubuh lelaki. Oleh itu, ramai atlet wanita
yang ingin mencapai tahap kekuatan yang lebih tinggi menggunakan steroid dan juga testoteron
tiruan (bahan-bahan yang diharamkan oleh persatuan sukan antarabangsa). Tujuannya untuk
membantu pertumbuhan otot dan justeru itu membantu mempertingkatkan prestasi sukan
mereka. Tetapi, ini mungkin mengakibatkan penukaran bentuk tubuh mereka yang berkekalan
serta mempunyai beberapa kesan sampingan. Umpamanya, ada antara atlet wanita yang
mendapati suara mereka menjadi lebih kasar dan mula berjanggut dan bermisai. Kesan
sampingan ini boleh berlanjutan sehingga dua tahun ataupun lebih selepas mereka berhenti
mengambil steroid berkenaan.

Menurut kajian, tidak terdapat perbezaan antara taburan serabut otot yang sesuai untuk kerja
yang berat dan pantas seperti berlari 100 meter ataupun melontar peluru dengan serabut otot
yang sesuai untuk kerja yang memerlukan daya tahan, umpamanya berlari jarak jauh pada kadar
perlahan pada wanita dan lelaki. Harus ingat bahawa tanpa kehadiran hormon pertumbuhan
testosteron yang banyak, saiz serabut otot wanita tidak akan menandingi perkembangan saiz otot
pada seorang lelaki sekiranya latihana yang sama dilakukan. Walau bagaimanapun hasil kajian
terkini menunjukkan bahawa saiz serabut otot kaki pelumba basikal wanita yang berlatih adalah
lebih besar berbanding dengan saiz otot lelaki atau wanita yang tidak berlatih.

4.4 Keupayaan Berlatih dan Menahan Sakit


Keupayaan wanita untuk berlatih adalah lebih kurang sama dengan lelaki. Tidak banyak
perbezaan antara seorang wanita dengan seorang lelaki yang tidak berlatih. Hal ini kerana
kebanyakan wanita tidak begitu aktif bersukan disebabkan mitos ataupun kepercayaaan karut
tentang senamaan dan wanita. Umpamanya kepercayaan bahawa senaman akan mengakibatkan
kehilangan sifat kewanitaan.

Sebenarnya latihan bebanan boleh menambahkan kekuatan dan saiz otot. Dengan adanya latihan,
kandungan lemak dalam tubuh akan kian mengurang, manakala otot tanpa lemak akan
bertambah. Atlet wanita dalam sukan yang bersifat daya tahan (endurance) seperti lari jarak jauh
mempunyai kadar lemak tubuh yang jauh lebih rendah berbanding dengan atlet lelaki dalam
sukan yang mementingkan daya kuasa, seperti lari pecut 100 meter, lompat tinggi dan lontar
peluru.

Memandangkan wanita perlu menahan tahap kesakitan yang tinggi apabila melahirkan anak,
maka mereka dengan secara semulajadi berkemampuan menahan kesakitan. Ini bermaksud
mereka boleh melakukan beban kerja yang lebih tinggi tanpa rungutan. Wanita juga
berkecenderungan untuk menggunakan beban latihan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan
kecederaan. Semasa bersenam, wanita tidak banyak mengeluarkan asid laktik. Asid inilah yang
menyebabkan kita berasa pedih pada otot-otot dan memaksa kita menghentikan senaman. Tanpa
pengeluaran asid laktik yang banyak, wanita boleh bersenam dalam tempoh yang lebih panjang.
Mereka lebih sesuai melibatkan diri dalam sukan yang memerlukan daya tahan. Di samping itu,
wanita juga tidak begitu cenderung mengalami kekejangan otot.

4.5 Faktor Fisiologi


Dari segi tindak balas kepada senaman, tidak ada perbezaan yang diperhatikan antara lelaki
dengan wanita. Mereka sanggup menjalani latihan yang berat tanpa menunjukkan kesan
sampingan yang buruk. Wanita juga sanggup bersaing dengan lelaki di arena sukan dan
diramalkan bahawa prestasi sukan wanita akan menandingi prestasi lelaki dalam beberapa sukan
tertentu menjelang dekad kedua abad ke-21.

Lelaki mempunyai lebih kurang 1000ml (1.0 liter) lebih banyak darah dalam tubuh mereka
berbanding dengan wanita yang sama saiz. Jumlah hemoglobin dalam darah lelaki juga lebih
banyak, iaitu 15.8 g/liter, berbanding dengan 13.9 g/liter bagi wanita. Oleh itu darah lelaki
membawa dan membekalkan lebih banyak oksigen berbanding wanita.

Saiz jantung dan isi padu darah yang dapat diedarkan oleh sistem kardiovaskular serta kapasiti
paru-paru wanita adalah 10 peratus lebih kecil berbanding lelaki. Sistem kardiovaskular ialah
sistem edaran darah tubuh yang terdiri daripada jantung, paru-paru, ateri, vena dan kapilari
darah. Saiz jantung kita lebih kurang saiz genggaman tangan. jantung kita adalah seperti enjin
kereta. Enjin kereta yang kecil dalam badan keretaa yang kecil adalah sama kelajuannya dengan
enjin besar dalam badan yang besar. Tetapi enjin yang kecil dalam badan kereta yang besar akan
menghadapi masalah bebanan.

Di samping itu, nadi rehat seorang wanita lebih tinggi daripada lelaki. Walau bagaimanapun
kadar denyutan jantung maksimum bagi lelaki dan wanita adalah sama dan ditentukan oleh
umur.

4.6 Haid dan Kehamilan


Wanita yang mengalami haid masih boleh berlatih. Paras kesakitan yang dialami oleh wanita
pada ketika itu dapat dikurangkan dengan amalan senaman. Wanita yang hamil juga boleh
berlatih, tetapi beban senaman hendaklah dikurangkan. Suhu tubuh harus diawasi supaya anak
dalam kandungan tidak terdedah kepada suhu yang berlebihan akibat latihan yang terlalu berat.

Atlet wanita yang mempunyai peratusan lemak tubuh yang rendah akan mengalami masalah
kitaran haid, iaitu kurang dua atau tiga kali setahun. Atlet gimnastik dan pelari jarak jauh
berpotensi mengalami masalah seperti ini. Wanita perlu memahami hakikat itu dengan baik
untuk mengelakkan masalah tekanan psikologi. Walau bagaimanapun tidak terdapat bukti yang
menyatakan bahawa hal ini akan berkekalan ataupun membawa kesan yang buruk. Apabila berat
tubuh meningkat dan peratusan lemak naik ke paras normal, atlet berkenaan akan pulih seperti
sediakala. Kita sering mendengar atau membaca berita tentang pemain wanita yanag handal
secara tidak sangka menerima kekalahan teruk ke atas pemain yang bertaraf jauh lebih rendah.
Pihak tertentu sering kali menyatakan bahawa kekalahan seperti itu berpunca daripada
kedatangan haid. tetapi kini sudah ada cara mengawal kedatangan haid supaya sesuai dengan
keperluan jadual pertandingan, umpamanya dengan menggunakan pil pencegah hamil. Jurulatih
lelaki hendaklah sentiasa peka kepada masalah ini. Mereka juga sewajarnya sedar bahawa ada
atlet wanita yang sanggup berlatih atau bertanding semasa datang haid. Walau bagaimanapun
nasihat doktor diperlukan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan.

Tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa wanita yang hamil tidak boleh bersukan, cuma
mereka tidak digalakkan bersukan terlalu aktif dalam tempoh bulan pertama hingga bulan
keempat. Sukan yang berbahaya seperti menunggang kuda dan mendaki gunung tidak digalakkan
sama sekali. Berjalan dan berjoging adalah senaman yang lebih selamat dan bermanfaat untuk
dipraktiskan.

4.7 Pemakanan dan Kecederaan


Atlet wanita memerlukan lebih banyak zat besi kerana zat tersebut banyak hilang semasa haid.
Latihan fizikal yang berat juga menyebabkan kehilangan zat ini. Kehilangan tersebut perlu
digantikan kerana zat itu penting untuk pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah yang
membawa oksigen kepada otot yang berfungsi. Atlet wanita juga memerlukan zat kalsium yang
diperlukan untuk membentuk tulang yang kuat. Yang perlu diamalkan oleh wanita ialah minum
susu lembu dan makan makanan seperti tauhu dan keju. Di samping itu, wanita juga memerlukan
lebih banyak vitamin B12 yang membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.

Semasa hamil, ramai wanita akan mengalami kekurangan zat tertentu kerana anak dalam
kandungan akan mengambil apa sahaja zat sebagaimana yang diperlukan oleh ibunya. Kerana
itu, wanita hamil kadang kala mengidam makanan yang ganjil. Ini sebenarnya adalah petanda
bahawa mereka memerlukan makanan yang mengandungi zat tertentu.
Dari segi kecederaan pula, tiada perbezaan yang dapat dikesan dari segi kekerapan berlakunya
kecederaan antara lelaki dan wanita kecuali kecederaan di bahagian lutut. Sendi tulang paha di
bahagian lutut wanita tercondong keluar pada posisi lutut. Sebaliknya wanita mempunyai lebih
banyak hormon relaxin, ini menyebabkan mereka jarang menghadapi kecederaan yang
disebabkan oleh kekurangana kelenturan.

5.0 Perbandingan Gender Dalam Penyertaan Sukan


Cabaran yang sangat besar kepada penyelidikan dan jurulatih sukan adalah untuk mengkaji dan
mengenal pasti perbezaan antara jantina kerana ia merupakan sesuatu yang kompleks dalam
tingkah laku sosial dan mempunyai pelbagai fenomena dalam pengaruh dan tingkah laku latihan
sukan antara lelaki dan wanita. Kajian dalam membezakan tingkah laku latihan sukan antara
lelaki dan wanita ini telah dijalankan oleh Dewar dan Horn (1992), di mana lelaki dikatakan
lebih cenderung dan kuat berbanding wanita dalam aktiviti kesukanan tetapi sama ada ia
diakibatkan oleh perbezaan biologikal, persekitaran dan peranan budaya sehingga penonjolan
lelaki lebih nyata daripada wanita dalam masyarakat, masih belum diketahui. Kebanyakan
penyelidikan tentang jantina memfokuskan tentang bagaimana sukan dan prestasi latihan serta
pengalaman di kalangan wanita adalah berbeza daripada lelaki.

Dalam kajian yang dibuat oleh Cox (1994) menyatakan wanita mempunyai perasaan malu dalam
penyertaan sukan yang tidak sesuai dengan peranan jantina mereka. Selain itu atlet wanita juga
dikatakan akan berasa selesa dalam permainan sukan seperti tenis dan bola tampar, dan akan
berasa lebih terancam dalam sukan seperti gusti dan bola sepak yang dianggap melanggar
peranan stereotaip seks mereka (Peplau, 1976). Manakala menurut teng, Ang dan Mohd Sofian
(2001) pula terdapat perbezaan individu yang ketara apabila faktor jantina diperluaskan atau
dikaji. Perbezaan individu dikaji bukan sahaja tentang seks, ras dan budaya hidup tetapi juga dari
segi perlakuan dan tingkah laku.

Wanita dikatakan suka kepada benda-benda cantik dan kecantikan adalah suatu aspek yang
penting dalam kehidupan seorang wanita. Kecantikan bentuk dan berat badan mereka boleh
diperoleh melalui penyertaan aktiviti sukan dan ini adalah galakan kepada wanita untuk
menceburkan diri dalam sukan. Keyakinan diri mereka juga timbul dengan kesedaran akan
kecantikan mereka dan sifat-sifat positif yang lain juga akan turut wujud dengan penglibatan
wanita dalam bidang sukan. Berbanding dengan wanita menurut teori psikoanalitik, lelaki
merupakan insan yang kuat dan mempunyai hasrat dalaman yang tidak disedari dan digambarkan
sebagai perjalanan hidup dan perasaan mereka. Penyertaan lelaki dalam sukan akan melihatkan
kejayaan hidup mereka dengan meningkatnya prestasi, berkeyakinan dan berpendirian.

Menurut Martens (1978) proses perubahan tingkah laku dan perbandingan prestasi individu
boleh dikenal pasti berdasarkan pada kriteria tertentu seperti adanya kehadiran individu lain
sebagai penilai dan meningkatnya tret kebimbangan bagi dimensi personaliti. Sebagai contoh,
jika atlet dikehendaki melakukan dua aktiviti iaitu imbangan statik dan ketepatan menembak
ketika kehadiran penonton dan dalam situasi yang kompetitif. Dapatan mungkin menunjukkan
subjek bagi acara imbangan yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi menampakkan
pencapaian yang rendah tanpa mengira jantina, manakala dalam ketepatan menembak, subjek
wanita yang mengalami tahap kebimbangan yang tinggi memperoleh pencapaian yang rendah
berbanding dengan subjek lelaki.

Tingkah laku juga ditentukan oleh kemudahan serta-merta dan faktor persekitaran, dan teori ini
boleh dikaitkan dalam kajian yang dijalankan oleh Masters, Ogles dan Jolton (1993) bagi
menunjukkan perbezaan jantina dalam penyertaan perlumbaan pelbagai jarak. Seramai 42 orang
pelari jarak jauh dan 47 orang pelari rekreasi telah diuji dengan menggunakan the Motivations of
Marathoners Scales (Masters, Ogles dan Jolton,1993). Dapatan kajian menunjukkan dalam
perlumbaan jarak sederhana menampakkan nisbah penyertaan yang tinggi daripada pelari wanita
rekreasi berbanding pelari wanita jarak jauh yang lebih menyokong berkaitan berat badan,
penggabungan, pengiktirafan diri, keupayaan psikologikal dan kehidupan merupakan motif
penting untuk berlumba berbanding dengan atlit lelaki bagi kumpulan yang sama.

Kumpulan pelari jarak jauh bertingkah laku mengenal pasti kebolehan berlari berbanding pelari
rekreasi yang berlari untuk keseronokan. Kumpulan lelaki adalah secara langsung dikenal pasti
sebagai pelari tetap yang berkriteria untuk mencapai kejayaan dan mereka terlibat dengan motif
pencapaian matlamat pertandingan dan lebih menitikberatkan latihan. Wanita juga dikatakan
tidak mempunyai ketahanan, kekuatan dan kecergasan sebagaimana yang dimiliki oleh ahli-ahli
sukan lelaki. Dalam perkara ini, tiada bukti perubatan yang menunjukkan bahawa acara sukan
yang memerlukan ketahanan diri dan kecergasan itu tidak baik bagi kesihatan dan atlit yang
terlatih. Wanita mempunyai ketahanan diri yang lebih baik berbanding lelaki disebabkan mereka
mempunyai peratus lemak di bawah kulit badan yang berlebihan.

Tingkah laku yang diharapkan juga terbentuk melalui pengaruh psikologi sosial yang ditegaskan
lagi melalui kajian yang dijalankan oleh Hull, Miller dan Dollard yang menggunakan teori
tingkah laku sebagai suatu hasil yang menunjukkan perubahan sikap melalui faktor-faktor seperti
motivasi sosial, pembelajaran sosial dan ganjaran hukuman. Proses sosialisasi sukan juga
mempengaruhi perbezaan jantina di kalangan atlit dalam penyertaan sukan. Menurut kajian yang
dijalankan oleh Durentini dan Lander (1987) dalam abstraknya yang mengkaji perbezaan jantina
dalam proses sosialisasi sukan di kalangan atlit sekolah tinggi telah menguji penglibatan sukan
adakah signifikan antara struktur peringkat permulaan sekolah atau peringkat menengah dan
apakah sumber motivasi di peringkat permulaan sekolah akan menyebabkan penglibatan atlit dan
penyertaan berterusan dalam sukan.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa lebih ramai atlit wanita daripada lelaki menyertai sukan
sebagai keseronokan bersukan, di mana ini menunjukkan bahawa dengan menyertai aktiviti
sukan mereka dapat membuat pilihan sama ada untuk bertingkah laku keseronokan atau prestasi
sukan. Manakala atlit lelaki pula menyatakan penyertaan berkawan dalam aktiviti rekreasi fizikal
adalah sejak dari kecil dan atas dorongan ibu bapa sebagai motivasi utama dalam permulaan
penyertaan atau penglibatan sukan mereka. Selain daripada itu, terdapat atlit wanita yang
melaporkan bahawa penglibatan awal mereka dalam sukan adalah melalui motivasi diri. Ini
boleh disimpulkan bahawa faktor motivasi juga penting dalam mengubah tingkah laku seseorang
untuk menyertai sukan. Kesimpulan daripada kajian ini mendapati bahawa faktor motivasi
adalah diperlukan bagi meningkatkan tingkah laku atlit dalam persediaan diri untuk belajar, bagi
perkembangan dan kematangan seseorang dapat mengawal emosi dan sikap atlit semasa
bertanding atau berlatih dan dapat meningkatkan keupayaan diri.

Faktor tret kebimbangan juga memainkan peranan penting dalam menentukan tingkah laku
dalam penyertaan sukan di mana atlit individu menonjolkan tret tahap kebimbangan yang lebih
tinggi daripada sukan berpasukan. Ini kerana bagi atlet sukan individu, bertanding secara
bersaorangan dan perasaan takut mengalami kekalahan adalah ditanggung sendiri.

Dari segi jantina, adalah didapati bahawa atlit wanita adalah lebih tinggi tahap kebimbangannya
berbanding lelaki. Didapati juga peluang kaum wanita untuk menceburi dalam pertandingan dan
pendedahan wanita kepada situasi mencabar adalah kurang jika dibandingkan dengan kaum
lelaki. Oleh itu kaum wanita selalu menonjolkan tahap tret kebimbangaan yang lebih tinggi
daripada kaum lelaki. Dalam kajian yang dijalankan oleh Jones, Swain dan Cale (1991) terhadap
peranan sokongan jantina dan melibatkan pertandingan menampakkan lagi tahap kebimbangan
lebih signifikan berbanding jantina.

Menurut Bird (1973), terdapat dua ciri tentang wanita, pertama; mereka tidak mempunyai
keinginan dan kehendak yang tinggi untuk mencapai matlamat dan kedua; motivasi pencapaian
terbentuk hasil daripada latihan awal dan tahap itu akan terus kekal. Kenyataan ini sudah tidak
sesuai pada masa kini kerana atlit wanita sekarang tidak lagi mudah berpuas hati dengan
pencapaian yang diperoleh dan mereka akan sentiasa mencuba memperbaikinya dari masa ke
masa. Wanita kini telah dapat melepaskan diri mereka daripada ikatan sosial, politik,
perundangan dan hukum adat.

6.0 Kesimpulan
Semasa Sukan Olimpik purba, wanita tidak dibenarkan mengambil bahagian dan juga tidak
boleh menyaksikan lelaki bertanding. Ini bermakna sejarah penyertaan wanita dalam sukan jauh
lebih pendek dan penyelidikan tentang kemampuan tubuh wanita masih belum lagi memadai
untuk membolehkan kita memahaminya dengan sempurna. Walau bagaimanapun penyertaan
wanita kini tidak dipersoalkan lagi dan sudah menjadi kenyataan bahawa banyak perkembangan
telah dicapai kebelakangan ini. Kita pasti dapat melihat peningkatan prestasi atlet wanita pada
masa akan datang hasil usaha fizikal dana mental yang berlipat ganda dan penemuan baru
tentang latihan akhas untuk mempertingkatkan lagi prestasi wanita dalam arena sukan.

Perbezaan fizikal yang ketara pada tubuh wanita berbanding lelaki akan mempengaruhi
penglibatan mereka dalam sukan. Memahami perbezaan ini memberi panduan umum kepada
kaum wanita, khususnya menjalani latihan sukan sama ada untuk pertandingan, berekreasi atau
untuk aktiviti kecergasan. Individu wanita akan mendapat faedah yang maksimum semasa
latihan dan pertandingan selagi mereka melihat perbezaan pada tubuh mereka berbanding lelaki
sebagai satu kelebihan dan keistimewaan.

Anda mungkin juga menyukai