Anda di halaman 1dari 7

ISU-ISU SEMASA DAN PENDIDIKAN

RASUAH

Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau
tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah,
bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat
kesalahan rasuah yang utama:

 Meminta/Menerima Rasuah
 Menawar/Memberi Rasuah
 Membuat Tuntutan Palsu
 Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Punca Berlakunya Rasuah

Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa.


Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu
satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David
Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup
mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi
mereka yang lemah keperibadiannya.

Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi.


Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan
terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

Sosial dan budaya.


Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena
menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini
memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau
diumpan tanpa disedari.
Modenisasi.
Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan
terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan
meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya.

Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan
berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan
pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau
lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

Politik.
Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan
memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih
populariti dan sebagainya.

Kesan-Kesan Rasuah
Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan
sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau
hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai
dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai
negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau
tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah
ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya
dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi
kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan
masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah
negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk
kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

Langkah-Langkah Mencegah Rasuah

Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jatidiri


Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah.
Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka
amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa
tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

Memasukkan Bahaya Rasuah Dalam Sistem Pendidikan


Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi.
Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas.
Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.
Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan
serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal
rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Memudahkan Urusan Menggunakan ICT


Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan
kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak
membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat
menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.

Program yang boleh dilaksanakan di sekolah


 Kempen Wira Antirasuah
 Program benci rasuah

Berita terkini
SHAH ALAM 30 Mac 2016- Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua
pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM4,400 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lalu.

M. Subramaniam, 55, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Rawang didakwa menerima wang suapan itu
melalui cek bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,900 tanpa balasan daripada K. Devega, antara 30 Januari dan 8
Oktober 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. -UTUSAN ONLINE.

13 JANUARI 2014 SHAH ALAM- Guru Besar SK Kajang Utama, Kajang dihukum penjara 3 tahun dan didenda
RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan, meminta serta
memperoleh suapan RM3,000, tiga tahun lalu.Keputusan itu dibuat oleh Hakim, M. Bakri Abdul Majid terhadap
Abdul Samad Abdul Ghani, 50.M. Bakri dalam penghakimannya berkata, pembelaan Abdul Samad adalah rekaan
semata-mata supaya disesuaikan bagi menyatakan wang rasuah tersebut untuk sumbangan sekolah."Mahkamah
tidak terima pembelaan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuklah keterangan pakar
yang mengesahkan terdapat pindaan pada borang permintaan sumbangan,"katanya. Lelaki itu didakwa meminta dan
memperoleh rasuah RM3,000 daripada pengusaha kantin, Zainun Hussain bagi menyambung kontrak kantin sekolah
bagi sesi 2013.Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di SK Kajang Utama, Kajang, jam 11 pagi pada 8 dan 14
November 2011. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 16(a)
(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.Peguam, Hazman Harun yang mewakili anak guamnya memohon
penangguhan hukuman penjara untuk memfailkan rayuan.Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara
dengan jaminan RM8,000.
BOCOR SOALAN
UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 mencatat sejarah baharu dalam kalender penilaian negara. Sejarah
kerana peperiksaan yang bertujuan menilai pada peringkat awal di sekolah rendah, berlaku kebocoran soalan. Soalan
bocor bermakna calon mendapat maklumat berkaitan soalan bagi mata pelajaran tertentu lebih awal sebelum
peperiksaan sebenar bermula. Maklumat yang bocor boleh sahaja sepenuhnya, sebahagian ataupun hanya satu
soalan.

Namun ia memberi kesan kepada potensi calon untuk menjawab peperiksaan tersebut. Potensi berlakunya peniruan
ini menjejaskan matlamat sebenar proses peperiksaan dijalankan. Sehingga pihak yang bertanggungjawab
mengendalikan peperiksaan terpaksa menjadualkan kembali peperiksaan bagi mata pelajaran berkaitan.

Setakat ini dua mata pelajaran telah disahkan akan dijalankan pada tarikh lain yang telah ditetapkan. Kertas Bahasa
Inggeris dan Sains telah dijadualkan semula pada hujung bulan ini. Bagi kertas Bahasa Inggeris, peperiksaan sebenar
telah pun dijalankan baru-baru ini. Manakala mata pelajaran Sains belum sempat dijalankan.

Persoalannya mengapa berlaku? Semua pihak bising dengan soalan ini. Pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat
semuanya menimbulkan persoalan, mengapa? Dan semua pihak yang berkaitan juga mula menuding jari masing-
masing mengarahkan kepada sesiapa sahaja. Budaya ‘bangau oh bangau’ sentiasa berlaku apabila sesuatu kes terjadi
di Malaysia. Masing-masing akan menyalahkan antara satu sama lain. Sehingga bola kesalahan itu melantun ke
merata-rata tempat yang sukar untuk dicari, akhirnya akan hilang dan senyap begitu sahaja. Kemudian isu yang sama
tidak mustahil akan berlaku kembali.

Ini adalah isu nasional yang melibatkan hak masyarakat. Oleh itu jika kita ingin menyelesaikan perlu dilihat pada
peringkat yang paling asas dalam masyarakat kita. Soalan-soalan asas berkaitan isu ini perlu ditangani terlebih
dahulu sebelum memikirkan cara penyelesaian yang terbaik.

Ibarat sebuah perniagaan, isu ini juga berkait dengan permintaan dan penawaran. Soalan bocor kerana wujudnya
permintaan yang tinggi terhadap soalan tersebut. Bayangkan jika tiada permintaan adakah individu atau pihak
tertentu mengambil risiko yang besar untuk membocorkan soalan.

Logiknya bagaimana masih terdapat individu atau pihak tertentu yang sanggup melakukan perkara ini dalam suasana
nilai integriti yang dipandang tinggi oleh semua pihak. Pelbagai usaha dan kempen telah berjaya mewujudkan
suasana integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Namun masih ada pihak yang sanggup
mengorbankan integriti dalam soal kebocoran soalan ini.

Walaupun UPSR hanya proses penilaian bagi penempatan pada peringkat sekolah menengah kemudiannya, namun
nilai kejayaan itu diletak pada tingkat yang penting oleh masyarakat. Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi
kejayaan anak-anak mereka di peringkat UPSR.

Kelas tuisyen, latih tubi dan pelbagai usaha lain dengan satu matlamat agar anak mereka beroleh keputusan
cemerlang dalam UPSR. Bagi pelajar yang gagal, walaupun di peringkat UPSR akan dilihat sebagai tidak berguna dan
malap masa depan mereka.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila permintaan untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut sangat
tinggi sehingga terdapat ibu bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi kejayaan anak-anak mereka, termasuk
mendapatkan soalan awal daripada pihak tertentu (soalan bocor).

Persepsi hanya dapat diubah dengan pemupukan nilai-nilai hidup yang berasaskan agama dan kepercayaan. Nilai
kejayaan dari perspektif agama akan sendirinya membentuk budaya dalam masyarakat.

Namun proses ini terlalu panjang dan berperingkat-peringkat. Bermula dari rumah dan membentuk ahli masyarakat,
seterusnya negara. Proses ini yang perlu disuburkan kembali dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
Dalam isu ini, apabila soalan UPSR telah terlepas kepada pihak tertentu dan dikongsi bersama melalui pelbagai
media sosial, bermakna masyarakat memang memerlukan soalan tersebut. Ini yang dikatakan berkait dengan nilai
hidup dan persepsi masyarakat terhadap peperiksaan itu sendiri.

Cara terbaik untuk mengatasinya, disarankan pelbagai pihak mengubah persepsi tentang peperiksaan itu sendiri.
Peperiksaan bukan sekadar menghitung jumlah gred yang berjaya dikumpul, malah ia juga proses pembentukan
kematangan pelajar.

Tumpuan dan usaha pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menangani isu ini perlu juga
mengambil kira emosi dan perasaan calon peperiksaan yang terpaksa menempuh sekali lagi demam peperiksaan
yang telah ditunda.

Isu kertas peperiksaan UPSR bocor: Jangan tuding jari!


SEPTEMBER 14 2014 — Budaya menuding jari terhadap kesalahan orang lain merupakan satu yang cukup lumrah
dalam masyarakat kita. Baik di rumah, tempat kerja, hubungan antara rakan sekerja mahupun hubungan antara
majikan dan pekerja – budaya tersebut bukan sahaja masih ketara bahkan semakin menjadi-jadi.

Bagi kebanyakan daripada kita, menuding jari adalah langkah pintas untuk mengelak daripada berhadapan dengan
masalah yang menimpa mereka. Ia ibarat satu escapisme yang membolehkan mereka memindahkan beban
kesalahannya kepada orang lain dengan harapan orang lain akan melihatnya dari sudut yang positif sahaja.

Namun apa yang tidak disedari, tindakan sedemikian jelas membuka pekung sebenar diri seseorang dalam
hubungannya dengan orang lain. Segala macam janji yang pernah dilaung-laungkan sebelum ini kini tinggal janji
semata-mata.

Tidak keterlaluan untuk menyifatkan manusia secara umumnya adalah spesis yang hipokrit dan mementingkan diri
sendiri. Kenyataan ini adalah satu hakikat. Masing-masing mengutamakan kelangsungan mereka dalam dunia yang
penuh kepalsuan ini.

Ambil kes kebocoran kertas peperiksaan UPSR untuk mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris beberapa hari sebagai
contohnya, memperlihatkan sikap menuding jari yang tipikal dalam kalangan pihak berkepentingan. Reaksi pertama
yang diberikan oleh golongan ini ialah untuk menuding jari terhadap Kementerian Pendidikan kerana membiarkan
masalah kebocoran kertas peperiksaan berlaku. Selain itu, para ibu bapa pula marah kerana masalah ini terus
berleluasa.

Kalangan pemimpin politik pula mengambil kesempatan terluang ini untuk menuding jari dan memberi tekanan
terhadap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan-timbalannya kerana gagal menangani masalah
kebocoran kertas peperiksaan hingga ke akar umbi.

Ya memang mudah untuk mereka melenting dan memberikan bermacam-macam kritikan terhadap pihak berwajib
namun tidak pula kedengaran mereka untuk memberikan cadangan kepada pihak berwajib dalam menangani isu
tersebut. Apabila diminta berbuat demikian, mereka terus membisu.

Tidak dinafikan, masalah kebocoran kertas peperiksaan awam tidak sepatutnya berlaku. Malahan, ia tidak boleh
berlaku dari mula lagi. Berlakunya kes kebocoran sebegini membuktikan terdapat kelemahan dari pihak Lembaga
Peperiksaan dan pihak berwajib dalam aspek pemantauan mereka.

Mereka perlu sedar bahawa insiden yang berulang ini hanya akan memberikan kesan negatif dan mengurangkan
integriti serta kepercayaan orang awam terhadap kerahsiaan kertas peperiksaan awam.
Kerahsiaan adalah kunci utama kepada kredibiliti sesebuah kertas peperiksaan dan jika perkara tersebut tidak dapat
dipertahankan, maka apa lagi harapan yang boleh disandarkan oleh rakyat terhadap sistem pendidikan negara untuk
anak-anak mereka dan generasi akan datang?

Apapun, masyarakat serta golongan berkepentingan tidak boleh terburu-buru memberikan penghakiman terhadap
isu ini. Sebaliknya, pihak berkuasa perlu memastikan bahawa insiden kebocoran kertas peperiksaan awam tidak
boleh berlaku lagi selepas ini.

Dalang-dalang yang didapati bertanggungjawab dalam membocorkan kertas peperiksaan awam perlu diheret ke
muka pengadilan pada kadar segera bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiti sistem
peperiksaan negara.

Ini bukanlah masanya untuk kita menuding jari tetapi tampil untuk membantu pihak kementerian dan polis jika
perlu. Kepada pemimpin dan parti-parti politik, usahlah menangguk di air keruh dan menjaja isu ini untuk meraih
sokongan awam. Politik tidak sepatutnya dicampuradukkan dalam pendidikan negara.

Berhentilah membuat sebarang spekulasi dan menghakimi pihak kementerian hanya berdasarkan kepada kes
kebocoran yang berlaku kali ini. Sememangnya, insiden ini telah mengaibkan imej Kementerian Pendidikan tetapi
barangkali pihak berwajib boleh menjadikan insiden tersebut sebagai satu iktibar berguna bagi memastikan insiden
yang boleh dielakkan itu, tidak akan berlaku lagi.

Di sebalik insiden kebocoran kertas peperiksaan UPSR kali ini, inilah peluang terbaik untuk pihak berwajib
membetulkan keadaan sekaligus mengembalikan kepercayaan golongan ibubapa dan pelajar terhadap sistem
peperiksaan negara.
GST

PT3

BAJET 2017

KES BULI

KES KECURIAN

BANJIR

GURU DUKA LARA

ROTAN

RANKING MALAYSIA DALAM UJIAN TIMSS & PISA

Anda mungkin juga menyukai