Anda di halaman 1dari 2

MUTAKHIR

Malaysia-Australia bincang
kerjasama selesai masalah pencari
suaka
2013/10/07 - 20:27:52 PMCetakEmel Kawan
NUSA DUA (Bali): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Malaysia
dan Australia sepakat untuk berbincang lanjut mengenai kerjasama yang boleh
dimainkan Malaysia bagi membantu mengatasi masalah pencari suaka yang dihadapi
negara itu.

Perkara itu dicapai dalam perbincangan dua hala antara Najib dan rakan sejawatannya
dari Australia Tony Abbott di luar Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi
Asia-Pasifik (Apec) 2013 di sini Isnin.
"Saya dan Perdana Menteri Australia memutuskan supaya kedua-dua menteri yang
berkenaan dari Malaysia dan Australia merundingkan perkara ini untuk menentukan
bagaimana kita boleh bantu dalam hal ini," katanya pada sidang akhbar dengan
wartawan Malaysia di sini.

Najib yang tiba di sini pada Ahad, sedang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang
Kemuncak Pemimpin Apec 2013 yang berlangsung dua hari mulai hari ini.

Perdana Menteri berkata pencari suaka merupakan masalah besar kepada Australia
kerana orang hanyut itu boleh dikatakan menjadi mangsa eksploitasi manusia dan
dijadikan sebagai kegiatan pemerdagangan manusia.

Masalah itu, kata Najib, membawa kesan cukup buruk dari segi bilangan manusia yang
mati dalam perjalanan serta pembayaran wang dengan jumlah begitu besar kepada
mereka yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

Pihak yang terbabit dalam kegiatan itu juga tidak mementingkan keselamatan para
pencari suaka kerana mereka menggunakan bot-bot yang berkeadaan tidak selamat
sama sekali, katanya.
Dalam perbincangan itu juga, Najib berkata Abbott turut memberi gambaran fasa
selanjutnya dalam Rancangan Colombo (Colombo Plan) yang akan berbentuk kebalikan
Rancangan Colombo (reverse Colombo Plan).

"Colombo Plan selama ini telah membawa pelajar-pelajar dari luar ke Australia, mereka
akan mencadangkan supaya dilakukan reverse Colombo Plan di mana pelajar-pelajar
dari Australia pula akan belajar di institusi pengajian di Malaysia dan di negara lain
supaya mereka lebih menghayati apakah sebenarnya keadaan budaya dan kefahaman
yang lebih mendalam tentang cara hidup di Malaysia dan di Asean," katanya.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand John Key, Najib
berkata mereka berbincang mengenai sokongan New Zealand kepada Malaysia untuk
mengisi satu daripada kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 dan hasrat New Zealand untuk
bertanding bagi jawatan sama.

"Ini tidak bertentangan sebab Malaysia adalah negara yang mewakili Asia dan Pasifik
manakala New Zealand masuk kategori negara-negara lain. Maknanya New Zealand
bersaing dengan Turki dan Sepanyol, padahal Malaysia masuk dalam kategori negara-
negara Asia Pasifik," katanya. - BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai